Nikah online

Soalan:

Saya ada satu kemusykilan berkenaan nikah wali hakim online di sempadan Thailand. Adakah sah ataupun tidak? Situasinya begini:

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), imam bertauliah dari Majlis Agama Islam Narathiwat menjalankan majlis akad nikah pasangan secara online, di mana pasangan dari Malaysia hanya perlu berada di sempadan sungai Rantau Panjang, Malaysia manakala imam pula berada di sempadan Sungai Golok, Narathiwat. Akad nikah dijalankan atas talian melalui telefon atau video call dengan cara wali hakim tanpa kehadiran & tanpa keizinan wali nasab. Imam ini diakui oleh Majlis Agama Islam Thailand sebagai wali hakim yang dilantik secara sah melalui surat tauliah yang telah dikeluarkan.

Dokumen yang sah telah dikeluarkan secara rasmi oleh Majlis Agama Islam Narathiwat & ditandatangani oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat.

Persoalan saya:

  1. Adakah pernikahan ini sah mengikut hukum syarak, mengikut pendapat dari mana-mana mazhab ahli sunnah wal jamaah?
  1. Apakah hujah yang menyokong sama ada pernikahan ini sah atau tidak sah?
  1. Adakah pernikahan sebegini boleh didaftarkan secara sah di Malaysia dengan adanya dokumen lengkap serta pengesahan dokumen dari pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla?

 

Jawapan:

Pernikahan tidak sah kerana imam/wali hakim berada di Thailand dan pasangan pengantin berada di Malaysia.

Pernikahan secara online bukanlah suka-suka, hanya untuk yang benar-benar perlu sahaja dan mempunyai alasan yang munasabah. Nikah online juga mempunyai syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

 

Fatwa Rujukan 1:

 

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 1/1433H yang bersidang pada 21 Mac 2012 bersamaan 28 Rabi’ul Akhir 1433H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dan ia merupakan akad yang diterima syarak dengan menegaskan bahawa para fuqaha’ bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.

Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa adalah Harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut :

  1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
  2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
  3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
  4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
  5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
  6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.

 

Fatwa Rujukan 2:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie. Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.

Begitu juga perkahwinan yang dilakukan di luar negara Malaysia seperti kahwin lari di selatan Thailand. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:

  1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah.
  2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah.
  3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin di atas alasan syarak di tempat dia bermustautin.
  4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim

 

 

 

 

 

 

 

 

About Author

Connect with Me:

Leave a Reply

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast