KOLEKSI FATWA

  • BIDANG

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 4/2019 yang bersidang pada 27 Jun 2019 bersamaan dengan 23 Syauwal 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Ayat-ayat Al-Quran haram diiringi bacaannya dengan muzik atau dijadikan lirik nyanyian.
  2. Haram menggunakan matan hadis sebagai lirik nyanyian.
  3. Menjadikan terjemahan al-Quran atau hadis sebagai lirik nyanyian hukumnya harus dengan syarat menjaga adab-adabnya yang selari dengan syarak.

 

Status: Tidak diwartakan

Category: Syariah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil. 3/2019 yang bersidang pada 25 April 2019 bersamaan dengan 19 Sya’ban 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

Orang Islam haram meminta atau mengarahkan orang bukan Islam berdoa mengikut agama mereka masing-masing, begitu juga orang Islam haram berdoa bersama-sama orang bukan Islam mengikut agama masing-masing di dalam satu majlis. Walau bagaimanapun, jika mereka berdoa atau memohon sesuatu mengikut ajaran mereka dengan kehendak mereka sendiri tanpa diarahkan, maka perkara tersebut tidak dilarang.

 

Status: Tidak diwartakan

Category: Ibadah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil. 2/2019 yang bersidang pada 28 Mac 2019 bersamaan 21 Rajab 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang (Surrogate Motherhood) Untuk Mendapatkan Zuriat adalah haram dalam Islam kerana:

  1. Boleh menyebabkan kecelaruan dari segi nasab anak yang akan dilahirkan, walaupun sperma dan ovum adalah diambil daripada pasangan suami isteri yang sah.

 

  1. Bagi kes perkahwinan poligami, menanam embrio kedalam rahim salah seorang isteri sebagai ibu tumpang sedangkan ovum diperolehi daripada isteri yang lain, misalnya embrio dihasilkan daripada percantuman sperma suami dengan isteri kedua tetapi ditumpangkan kepada isteri pertama, hukumnya haram berdasarkan kaedah “Sad az-Zari‘ah”.

 

Status: Tidak Diwartakan

Category: Munakahat

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil.8/2019 yang bersidang pada 31 Oktober 2019 bersamaan 3 Rabi’ al-Awal 1441H telah bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan sesuatu rawatan seperti menanam rambut di kepala dengan tujuan untuk memperelokkan diri dari keaiban, selagi tidak bertentangan dan melampaui batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menanam rambut di kepala adalah harus dengan syarat penanaman rambut adalah dengan menggunakan rambut sendiri, menggunakan bahan-bahan yang suci dan tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan mudharat.

Status: Tidak Diwartakan

Category: Sosial

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil.8/2019 yang bersidang pada 31 Oktober 2019 bersamaan 3 Rabi’ al-Awwal telah bersetuju memutuskan bahawa:

 

Sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.

 

Status: Tidak Diwartakan

Category: Ibadah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 7/2019 yang bersidang pada 26 September 2019 bersamaan dengan 26 Muharram 1441H telah bersetuju memutuskan bahawa :

  1. Islam melarang umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliah serta berlebih-lebihan dan membazir.

 

  1. Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan  pemujaan, peringatan atau sebagainya.

 

Walaubagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran  nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, ianya adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.

 

  1. Acara-acara seperti Majlis Peringatan termasuk bacaan Doa Selamat, Yasin, Tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.

 

Status: Tidak Diwartakan

Category: Sosial

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 01/2016 yang bersidang pada 28 Januari 2016 bersamaan 18 Rabi’ al-Akhir 1437H telah bersetuju memutuskan bahawa :

  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang   dikemukakan Muzakarah mendapati bahawa:
  2. Rokok elektronik mengandungi Nikotin, Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna. Manakala vape pula mengandungi Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna.
  3. Bahan-bahan yang terkandung rokok elektronik dan vape tersebut boleh memudaratkan dan boleh memberi kesan kepada kesihatan seperti ketagihan, menggalakkan pembekuan darah, kematian mengejut, iritasi pada mata, tekak dan kulit serta mampu membunuh sel paru- paru. Kandungan lain yang terdapat di dalam rokok elektronik dan vape juga boleh mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan.

iii. Prinsip passive smoker seperti pada rokok konvensional juga terpakai pada rokok elektronik dan vape di mana orang yang berada di sekeliling juga mendapat kesan hembusan wap yang keluar daripada rokok elektronik dan vape. Oleh itu, ia tidak hanya memberi mudarat kepada penghisap rokok elektronik dan vape tersebut bahkan juga orang di sekeliling mereka.

  1. Berdasarkan dapatan kajian-kajian dari sudut perubatan dan saintifik yang dibentangkan tersebut, rokok elektronik dan vape masih tidak terbukti sebagai alternatif rawatan ketagihan berhenti merokok atau nikotin oleh perokok-perokok, malahan ia menyebabkan lebih ramai akan terjebak dalam permasalahan ini, termasuk remaja dan kanak-kanak.
  2. Dari perspektif syarak, hukum pengharaman memakan atau meminum atau mengambil bahan-bahan yang memudaratkan disebut oleh ulama daripada keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hambali dalam kitab-kitab mereka. Mereka menyatakan bahawa bahan-bahan yang memudaratkan tubuh badan haram dimakan, diminum atau diambil sekalipun ia suci seperti racun, tanah, kaca dan seumpamanya.
  3. Salah satu dalil umum dalam pengharaman penggunaan rokok elektronik dan vape ini ialah perbuatan tersebut memudaratkan tubuh. Syariat Islam melarang perbuatan dan tindakan yang membawa kepada kebinasaan dan memudaratkan diri, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195:

وَلَا تُلقُواْ بِأَيدِيكُم إِلَى ٱلتَّهلُكَةِ‌ۛ

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Hadith Nabi SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

“Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)”.

(Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

  1. Antara kriteria kemudharatan yang diambil kira oleh Islam dalam pengharaman sesuatu makanan atau minuman atau bahan ialah:
  2. Kemudharatan bahan tersebut terbukti dengan jelas atau nyata;
  3. Pengambilan bahan tersebut secara kebiasaannya (ghalib) boleh membawa kemudharatan;

iii. Kemudharatan merangkumi kemudharatan yang berlaku secara segera atau secara perlahan;

  1. Kemudharatan merangkumi sesuatu yang boleh membawa kematian, kehilangan/kerosakkan anggota, membawa penyakit berbahaya, atau kemudharatan pada akal;
  2. Bahan yang memudaratkan tersebut tidak mempunyai sebarang manfaat yang muktabar.
  3. Penghujahan berasaskan kepada qiyas juga membuktikan bahawa rokok elektronik dan vape tidak berbeza hukumnya dengan rokok konvensional kerana kedua-duanya mempunyai ʿillah yang sama iaitu memudharatkan tubuh.
  4. Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah bentuk pembaziran yang diharamkan oleh agama kerana ia adalah perbelanjaan dalam perkara yang sia-sia, tidak berfaedah, dan malahan memudharatkan tubuh. Ia juga membebankan ekonomi negara bagi membiayai kos rawatan penyakit berkaitan.
  5. Penggunaan rokok elektronik dan vape juga terdedah kepada penyalahgunaan yang boleh membawa kepada kegiatan pengedaran ganja dan dadah yang berbahaya. Justeru, adalah wajar perkara-perkara yang sangat terdedah kepada kemudharatan yang besar ditutup melalui penetapan hukum haram, berasaskan kepada kaedah (sadd adz-dzariʿah) سد الذريعة iaitu “menutup pintu kerosakkan”
  6. Berasaskan kepada maslahah umum, pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk melarang penggunaan bahan-bahan yang memudharatkan kepada masyarakat bagi menjaga kepentingan umum (maslahah ammah)mereka berdasarkan kaedah fiqh:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

“Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah bergantung kepada maṣlaḥah”

 

  1. Islam adalah agama yang lengkap yang sentiasa menjaga kehidupan manusia sejagat berdasarkan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Penggunaan rokok elektronik dan vape ini sekiranya tidak dibendung, boleh meruntuhkan lima prinsip syarak ini.

Keputusan : Berdasarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan serta perbincangan dan pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli, Muzakarah bersetuju terhadap keperluan mengharamkan penggunaan rokok elektronik dan vape. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap rokok elektronik dan vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan rokok elektronik dan vape.

Status : Proses Warta

Category: Sosial

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil.8/2019 yang telah bersidang pada 31 Oktober 2019M bersamaan 3 Rabi’ al-Awal 1441H telah bersetuju memutuskan bahawa:

 

Mewakafkan tanah hak milik terhad (leasehold) adalah sah dan diterima oleh syarak dan hendaklah di ta’bidkan (dikekalkan) menurut Mazhab Syafi’i.

 

Status : Tidak Diwartakan

Category: Muamalat

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 6/2019 yang telah bersidang pada 30 Ogos 2019 bersamaan dengan 28 Zu al-Hijjah 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Memakan makanan yang terubahsuai genetik (GM Food) adalah harus sekiranya bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilannya adalah halal dan tidak memudharatkan manusia serta alam sekitar.

 

  1. Penggunaan haiwan ternakan selain babi dan anjing, unsur atau keturunannya atau selain binatang yang haram dimakan adalah halal selagi haiwan tersebut disembelih mengikut syarak.

 

  1. Makanan yang dihasilkan melalui kaedah terubahsuai genetik (GM Food) yang tidak dapat dipastikan kemudharatannya adalah dibolehkan berdasarkan kaedah Fiqh menyatakan “Berlakunya sesuatu hukum itu adalah bergantung kepada wujudnya ‘illah atau tidak”.

 

Status: Tidak Diwartakan

Category: Makan dan minum

         Tajuk           : Menyambut Perayaan/ Pesta Pongal

         Kategori      : Akidah

         Keputusan   :Sighah

 

Muzakarah Jawantankuasa Fatwa Bil. 03/2019 yang bersidang pada 25 April 2019 bersamaan 19 Sya’aban 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

 

  1. Orang Islam adalah dilarang dan haram daripada menyertai, menyambut atau menganjurkan Perayaan Ponggal kerana ia mempunyai unsur-unsur penyembahan dewa-dewa, pemujaan dan khurafat.

 

  1. Perayaan / pesta ponggal adalah bermaksud “masa menuai”, menandakan masa untuk Orang Tamil menuai hasil tanaman dan dianggap sebagai hari kesyukuran kepada Tuhan mereka kerana memberi rezeki yang cukup, tempat tinggal sempurna dan keluarga bahagia.
  2. Pesta Ponggal diadakan di seluruh India dengan nama yang pelbagai mengikut tempat. Ia diraikan selama 4 hari pada bulan Thai dalam Kalendar Kaum India.

 

  1. Secara asasnya menyambut dan meraikan pesta ponggal ini adalah haram dan dilarang dalam Islam kerana ia adalah perayaan keagamaan.

 

  1. Terdapat unsur-unsur kepercayaan dalam pesta Ponggal seperti berikut:

 

  1. Hari pertama “Bhagi” ialah Hari menghormati Dewa Awan dan Hujan bagi menandakan permulaan Hari Penting dalam kehidupan masyarakat India.

 

  1. Hari kedua “Thai Ponggal” adalah hari untuk memberi penghormatan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari, dengan memasak beras yang dituai bersama susu lembu sehingga melimpah dalam periuk.

 

  1. Hari ketiga “maltu ponggal” adalah hari yang khusus untuk haiwan lembu yang dianggap binatang suci bagi orang India dan banyak berjasa pada manusia serta diberi makan “ponggal”.

 

  1. Hari keempat “Kaanum ponggal” merupakan Hari istimewa untuk wanita. Pada hari ini wanita sulung bangun awal dan menyapukan kunyit pada muka semua wanita muda dan melumurkan minyak bijan kepada rambut mereka. Kaum wanita akan berdoa untuk kebahagiaan keluarga dan ahli keluarga yang muda memohon restu dan memberi penghormatan kepada orang yang lebih tua.

 

Status: Tidak diwartakan

Category: Aqidah

         Tajuk         :  Sambutan Perayaan Valentine’s Day

         Kategori    :  Akidah

         Keputusan : Sighah

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil. 03/2019 yang bersidang pada 25 April 2019 bersamaan 19 Sya’aban 1440H  telah bersetuju memutuskan bahawa:

 

  1. Orang Islam adalah dilarang dan haram menyertai, menyambut atau menganjurkan perayaan Valentine’s Day kerana semangat (roh) perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat.

 

  1. Hari kekasih atau Valentines’ Day ialah satu sambutan tahunan yang diadakan pada 14 Februari khususnya bagi penduduk Amerika dan Eropah untuk meraikan kasih sayang sesama kekasih dengan pelbagai cara seperti menghadiahkan bunga dan kiriman kad ucapan.

 

  1. Sambutan Valentine’s Day ini diambil daripada nama seorang paderi Kristian yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.

 

  1. Perayaan Valentine’s Day ini biasanya diraikan di kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang romantik. Pengisiannya diadakan dengan pesta-pesta hiburan, nyanyian, tarian dan minuman arak yang bersifat serba boleh dan berunsur hedonisme (menurut hawa nafsu).

 

  1. Tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine’s Day dalam Islam. Orang Islam tidak boleh menyertainya kerana hari tersebut adalah hari perayaan bagi umat Kristian berdasarkan asal-usul kemunculannya yang dipenuhi dengan unsur-unsur ritual keagamaan. Bergabung dengan mereka bermakna mengakui agama mereka dan meredhai kekufuran yang ada pada mereka.

 

  1. Senario menyambut Hari Valentine’s Day yang berlaku dalam kalangan muda- mudi Islam juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam. Pergaulan bebas yang wujud dalam perayaan ini dibimbangi akan sampai ke tahap menggadaikan kehormatan dan maruah diri demi membuktikan kecintaan dan kesetiaan.

Status : Tidak diwartakan

Category: Aqidah

         Tajuk           :  Ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim (PERAHMAT)

        Kategori       :  Akidah

        Keputusan   :  Sighah

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil 2/2017 yang bersidang pada 30 Mac 2017 bersamaan 2 Rajab 1438H telah bersetuju memutuskan bahawa :

 

  1. Ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim adalah menyeleweng

dan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,

 

  1. Penyelewengan ajaran Ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim

ini adalah seperti berikut:

 

  1. Terbatal kesemua rukun Islam sekiranya tidak mempelajari Ilmu Syahadah yang dibawa oleh Ismail bin Kassim (IBK). Rukun Islam yang pertama, iaitu mengucap dua kalimah Syahadah bagi seseorang itu terbatal sekiranya dia tidak mempelajari Ilmu Syahadah (Ilmu Penyaksian) yang dibawa oleh Ismail bin Kassim. Ilmu Syahadah yang dimaksudkan ialah ilmu penyaksian roh yang sedang bersyahadah.

 

  1. Tuntutan mencari penyaksi di alam arwah. Seseorang itu hendaklah berusaha mencari penyaksinya yang akan dibawa sebagai saksi pada hari akhirat kelak. Sekiranya penyaksi tersebut tidak dapat ditemui, ia akan menyebabkan amalan Zikir Nafasnya tidak dapat berjalan dengan lancar. Namun begitu, dia tidak perlu bersusah payah untuk mencari penyaksi kerana penyaksi itu akan diutuskan oleh Allah s.w.t di alam shahadah, apabila mengamalkan Zikir Nafas.

 

iii.  Wajib mempelajari Zikir Nafas kerana tiada cara lain untuk mencari Allah kecuali melaluinya. Seseorang itu wajib mempelajari Zikir Nafas, kerana tiada cara lain untuk mencari Allah kecuali melaluinya. Mencari Allah s.w.t melibatkan peranan yang dimainkan oleh qalbu. Anggota pancaindera manusia yang lain, seperti mata dan telinga peranannya terhad kepada alam zahir sahaja, berbeza dengan qalbu yang mempunyai peranan ghaib. Hanya dengan amalan Zikir Nafas boleh membuka mata hati qalbu. Oleh yang demikian, apabila mata hati qalbu seseorang telah terbuka, maka dia akan dapat melihat penyaksian roh, dan perkara-perkara ghaib yang lain dengan berterusan secara autopilot. Manakala untuk mengambil ilmu Zikir Nafas pula, hendaklah melalui guru yang berketurunan Ahli Bait sahaja.

 

  1. Amalan Zikir Nafas IBK adalah sabit melalui al-Quran, dan mengingkarinya bermakna syak terhadap Ayat al-Quran. Amalan Zikir Nafas adalah sahih dan sabit melalui al-Quran dan al-Hadith, dan sesiapa yang mengingkarinya dianggap telah menaruh syak terhadap al-Quran dan al-sunnah.

 

  1. Amalan Zikir Nafas juga dianggap sebagai kunci kepada lima perkara, iaitu :

 

  1. a) Mengenal Allah

 

  1. b) Menyaksi illah

 

  1. c) Menikmati setiap gerak-geri illah

 

  1. d) Merasai peredaran nafas dengan illah

 

  1. e) Menghayati kuasa illah

 

Perkara ini adalah merupakan kepercayaan yang dipegang oleh Ismail Bin Kassim dan para pengikutnya. Adalah salah untuk kita mengatakan bahawa zikir nafas Ismail Bin Kassim adalah kunci kepada 5 perkara di atas kerana banyak kitab karangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah telah dikarang untuk menjelaskan tentang Dua Kalimah Shahadah yang penting dalam Islam. Di samping itu perkara c,d dan e amat mengelirukan kerana ia boleh membawa fahaman seolah-olah Allah swt berjisim, tasybih dan hulul.

 

vii. Mentakwil Ayat-ayat al-Quran secara bathil. Mentakwil ayat-ayat al-quran secara batil, antaranya seperti berikut:

 

Pada ayat dalam surah al-Fatihah : إهدنا الصراط المستقيم , Allah SWT akan menjawab: صراط الذين انعمت عليهم, iaituا لصا لحين , الشهدأ, والصديقين

 

Tafsiran bagi ketiga-tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut:

الصالحين: Mempunyai zikir nafas dan kenal Allah dengan aqal;

الشهداء : mempunyai Zikir Nafas dan syahadah dengan qalbu;

الصديقين : Mempunyai Zikir Nafas dan rohnya bersyahadah;

 

vii.  Kaedah Penafsiran al-Quran (Usul Tafsir) Yang Menyeleweng.

 

Ayat-ayat al-Quran tidak boleh difahami semata-mata dengan membaca terjemahannya, kitab-kitab tafsir, mahupun asbab al-nuzul, bahkan hanya boleh difahami dengan ilmu al-Quran (Ilmu Takwil, Ilmu al-Furqan, Ilmu Ma’na, ilmu Maqsud, Ilmu Hikmah, Ilmu Makrifat, Ilmu Hakikat, Ilmu Asrar, Ilmu Ghaib dan Ilmu Yaqin).

 

viii.  Berpegang Kepada Hadith Palsu. Antaranya adalah seperti yang berikut:

“Sesiapa yang menyakiti seorang tolibul-ilmi seperti menyakiti 124,000 nabi, sesiapa menyakiti 124,000 nabi seperti menyakiti Rasulullah s.a.w, sesiapa yang menyakiti Rasulullah s.a.w seperti menyakiti Allah, dan sesiapa yang menyakiti Allah, neraka tempatnya”.

 

“Barang siapa yang mencariku, pasti menjumpai-Nya, barang siapa yang menjumpai-Nya, maka dia telah menjumpai segala-galanya, Nabi Muhammad s.a.w bertanya bagaimana ingin mencari Allah, dan Allah pun menjawab: “Shahadah”.

 

“Barang siapa yang datang berjumpa dengan Aku dalam pada mana dia mengenal aku, setiap kebajikan aku beri dia sedunia bilangan makhluk yang pernah Aku cipta dan akan aku cipta”.

 

  1. Ghuluw (Melampau) dalam Menghormati Guru. Peraturan yang wajib dipatuhi oleh murid kepada Ismail bin Kassim selaku guru atau sheikh seperti berikut:

 

Sesiapa yang hendak bersalaman dengan Ismail Bin Kassim wajib mengambil wuduk terlebih dahulu kerana Ismail Bin Kassim dianggap membawa al-Quran yang hidup;

Setiap murid berkeadaan yakin bahawa guru dapat mengesan ketaatan murid, atas izin Allah s.w.t;

Setiap murid jangan menderhaka kepada guru atas amanah-amanahnya;

Setiap murid jangan ada sangkaan bahawa guru tidak mengetahui kelakuan dan perbuatan mereka;

Setiap murid jangan meragui atau membantah di hadapan guru atau dibelakangnya kerana guru hanya mengajar ilmu kalimah la ila ha illallah;

Setiap murid jangan sekali-kali melanggar panduan di atas, kelak akan terjerumus ke dalam kecelakaan dan kebinasaan.

 

Kesimpulannya ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim adalah meragukan dan bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah. Penyelewengan ajaran ini dapat dilihat pada 5 persoalan utama, iaitu:

 

  1. Ilmu Syahadah Ismail Bin Kassim mengandungi elemen takfir terhadap orang yang tidak menerima ajarannya.

 

  1. Fahaman Ismail Bin Kassim mengandungi unsur hulul dan ittihad

 

iii. Mengandungi unsur penghinaan terhadap para Sahabat r.a. dengan tuduhan munafik.

 

  1. Ajaran Zikir Nafas Ismail Bin Kassim tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam.

 

  1. Ajaran Ismail Bin Kassim menyeleweng daripada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah yang sahih dan memanipulasi sumber ajaran Islam dan tokoh-tokoh ulama yang muktabar.

 

  1. Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk berpegang kepada fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim termasuklah:-

 

  1. Menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau,

 

  1. Berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau

 

iii.   Mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya, sama ada melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain seperti berbai’ah (taat setia) dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau

 

  1. Berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau

 

  1. Terlibat dengan pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau

 

  1. Mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau

 

vii.   Memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman, audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim; atau

 

vii.   Mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim di Negeri Sembilan.

 

  1. Mana-mana orang Islam yang mengamalkan Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail Bin Kassim adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar dan hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan Allah s.w.t.

 

  1. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail bin Kassim adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

 

  1. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas Ismail bin Kassim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan.

 

  1. Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan.

 

Status : Proses Warta

 

Category: Aqidah

Tajuk         :  Ajaran Bapak Bagindo Muchtar ( Ilmu Mengenal Diri ) Analisa  Dari  Sudut Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Kategori     : Akidah

Keputusan : Sighah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 7/2019 yang telah bersidang pada 26 September 2019 bersamaan dengan 26 Muharram 1441H telah bersetuju  memutuskan bahawa :

  1. Ajaran Bapak Bagindo Muchtar (BBM) ini juga dikenali sebagai ilmu Mengenal Diri, istilah yang sinonim dengan ajaran “Kebatinan” atau “Batiniyyah”.

 

  1. Ajaran BBM mengandungi syubhat-syubhat yang kuat bagi fahaman Wujidiyyah Mulhidah, Hululiyyah dan Batiniyyah.

 

  1. Pengasasnya (Muchtar bin Uddin) tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama yang jelas dan mendakwa dirinya mendapat ilmu secara ghaib.

 

  1. Fahamannya jelas tidak bersumberkan daripada tafsiran Al-Quran atau syarahan hadis yang muktabar atau kalam Ulama’. Kebanyakannya dihuraikan berdasarkan pendapatnya sendiri.

Status : Tidak Diwartakan

 

Category: Aqidah

Tajuk           : Persoalan Bid‘ah Dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara

                                Furuk

          Kategori     : Akidah

          Keputusan :  Sighah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/2016 yang bersidang pada 31 Mei 2016 bersamaan 24 Sya’ban 1437H telah bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Persoalan khilafiyah adalah perkara ijtihadiyahdan tidak boleh sama sekali dihukumkan bid‘ah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu.
  2. Pandangan jumhur ulama sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan perkara khilafiyahyang boleh menggugat perpaduan umat Islam.
  3. Antara amalan yang didakwa sebagai bid‘ah adalah-
  4. Konsep penggunaan dan pengamalan Hadis Dhaif
  5. Membaca Yasin pada malam Jumaat

iii. Membaca tahlil dan talqin untuk si mati

  1. Mengadakan kenduri arwah
  2. Menyambut hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj dan Maal Hijrah pada setiap tahun
  3. Membaca Yasin 3 kali pada malam nisfu Sya‘ban

vii. Berdoa beramai-ramai selepas solat berjemaah

viii. Membaca wirid dan zikir secara kuat/nyaring beramai – ramai selepas solat fardhu

  1. Membaca “Basmalah”secara kuat / nyaring dalam solat fardhu
  2. Menyebut lafaz “Usalli”dalam niat solat
  3. Membaca qunut dalam solat subuh

xii. Bersalaman selepas solat berjemaah

xiii. Solat sunat qabliah Maghrib.

xiv. Solat sunat qabliah Jumaat

  1. Fidyah solat

xvi. Terbatal wuduk dengan sebab bersentuhan kulit lelaki dengan perempuan yang harus dikahwini.

xvii. Bilangan rakaat bagi solat sunat tarawih selain 8 rakaat

xviii. Menyapu muka selepas salam

xix. Aqiqah dengan binatang al-An‘am selain kambing

  1. Amalam bertawassuldan bertabarruk

xxi. Berdoa dan membaca al-Quran di kubur

xxii. Doa akhir tahun dan awal tahun

  1. Mana-mana orang atau kumpulan adalah dilarang:
  2. Membid’ahkan mana-mana orang yang mengamalkan perkara i hingga xxii.
  3. Menegah pengamalan dan pengajaran perkara i hingga xxii.

iii. Menyiar, menyebar dan menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa perkara i hingga xxii adalah bid‘ah.

  1. Mana-mana orang Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penyokong mana-mana orang atau kumpulan orang yang dilarang didalam perkara (4).
  2. Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara 4.i, 4.ii, 4.iii dan 5 di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuatkuasa di Negeri Sembilan

Status : Proses Pewartaan

Category: Aqidah

Tajuk           : Penggunaan Kalimah Allah

         Kategori      : Akidah

         Keputusan  : Sighah

 

ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM

 

(NEGERI SEMBILAN) 2003

 

[Enakmen No. 10/2003]

 

PEMBERITAHUAN FATWA

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam ( Negeri Sembilan ) 2003 [ Enakmen No. 10/2003], Jawatankuasa Fatwa dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar dan persetujuan Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin, mengeluarkan fatwa seperti yang berikut:

  1. Bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan kalimah itu tidak boleh digunakan atau dikaitkan dengan agama-agama bukan Islam.

 

  1. Oleh itu, wajib bagi umat Islam melindunginya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsusr-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka tindakan perlulah diambil mengikut undang-undang yang berkuat-kuasa.

 

Dibuat 14 September 2016

[ JMKNNS.BPK.100-32/1: PUNS 100/2/4]

 

DATO’ HJ. MOHD YUSOF BIN HJ. AHMAD

                                                                        Mufti Kerajaan Negeri

                                                                                           Negeri Sembilan

Category: Aqidah

Tajuk          : Aliran Pemikiran Liberal : Hukum Dan Implikasinya Kepada

                            Islam

       Kategori     : Akidah

      Keputusan  : Sighah

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 4/2013 yang bersidang pada 25 Mac 2013 bersamaan 13 Jumada al-Ula 1434H telah bersetuju memutuskan bahawa :

 

Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

 

Aspek Akidah

 

  1. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

 

Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

 

  1. Akal Manusia Adalah Wahyu

 

Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

 

  1. Meragui Ketulinan Al-Quran

 

Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah mesej budaya Arab.

 

 

Aspek Syariah

 

  1. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith

 

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

 

  1. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

 

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

 

  1. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

 

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

 

  1. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

 

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai method dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

 

  1. Sikap Terhadap Hukum

 

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

 

Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

 

Status : Proses Warta

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/1434H yang bersidang pada 30 April 2013 bersamaan 19 Jumada al-Akhirah 1434H telah bersetuju memutuskan pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama. Mesyuarat menggesa agar masyarakat Islam supaya memberi pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah. 

Keterangan/Hujah: 

 

  1. Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki.
  2. Majoriti ulama’ bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan lelaki menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki. Maksud menyerupai ini termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.
  3. Apa yang berlaku pada hari ini ialah situasi yang berlawanan dengan fitrah yang telah diciptakan oleh Allah SWT dan ikutan yang membuta tuli yang akan mengancam golongan remaja Islam di seluruh dunia.
  4. Gejala pengkid ini telah lama menular di negara-negara barat dan perlakuan hubungan sesama jenis adalah akibat dari gejala ini yang seolah-olah menjadi fenomena biasa.
  5. Walaupun hukum Islam jelas melarang perlakuan wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita, tetapi kebanyakkan umat Islam tidak memandang serius larang tersebut.
  6.  Isu pengkid juga berkaitrapat dengan kedudukan hiburan yang melampau dan pergaulan bebas di kalangan remaja.
Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/1434H yang bersidang pada 30 April 2013 bersamaan 19 Jumada al-Akhirah 1434H telah membincangkan mengenai Hukum Berkaitan Semakan Hafazan Al-Quran Pelajar Perempuan Sedang Haidh. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut :

1. Tidak harus bagi pelajar perempuan yang sedang berada dalam keadaan haidh untuk menghafal hafalan baru dan melalui proses tasmik bagi hafalan baru tersebut.

2. Walau bagaimanapun, pelajar tersebut diharuskan untuk melalui proses tasmik bagi hafalan lama iaitu merangkumi murajaah jadidmurajaah qadim dan murajaah majmuk.

3. Manakala bagi calon perempuan dalam keadaan haidh yang menghadiri temuduga kelayakan masuk ke institut tahfiz tidak diharuskan untuk membaca al-Quran. Mesyuarat mengesyorkan agar institut yang menguruskan temuduga berkenaan perlu memberi kelonggaran dan menyediakan alternatif bagi sesi temuduga seterusnya.

Category: Ibadah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/1434H yang bersidang pada 30 April 2013 bersamaan 19 Jumada al-Akhirah 1434H telah bersetuju memutuskan seperti berikut :

  1. Islam mengiktiraf konsep ihya’ al-mawat yang dilakukan oleh orang perseorangan/berkumpulan. Namun berdasarkan situasi semasa, aktiviti ihya’ al-mawat hendaklah dilakukan dengan kawalan kerajaan agar ia tidak dimiliki atau dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja;
  2. Orang perseorangan/berkumpulan yang menceroboh tanah kerajaan dengan menanam tanaman seperti kelapa sawit dan sebagainya adalah tidak harus kecuali setelah mendapat kebenaran kerajaan;
  3. Orang perseorangan/berkumpulan yang menceroboh tanah rizab kerajaan (seperti rizab jalan, sungai, hutan dan lain-lain) dengan mendirikan rumah kediaman, rumah kedai dan bercucuk tanam juga tidak harus (haram) kerana tanah-tanah tersebut termasuk di bawah kategori tanah harim dan kemudahan awam yang tidak boleh dimiliki oleh individu. Walau bagaimanapun kerajaan mempunyai kuasa budi bicara untuk melupuskan tanah-tanah tersebut dalam bentuk penggunaan sementara dengan syarat tidak menimbulkan dharar (bahaya) kepada orang lain;
  4. Orang perseorangan/berkumpulan yang menceroboh tanah milik orang lain (tanah bergeran) adalah haram kerana perbuatan itu termasuk dalam istilah menceroboh harta orang lain yang diharamkan oleh syarak.
Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 4/1434H yang bersidang pada 25 Mac 2013 bersamaan 13 Jumada al-UlaH telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dalam isu ini dengan sighah seperti berikut :

“ Di dalam Islam, harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

i. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

ii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.”

Keterangan/Hujah:

Imam al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah (dibelanjakan) kepada maslahah-maslahah umum umat Islam seperti (membiayai pembinaan atau menyelenggara) jambatan, masjid-masjid, dan seumpamanya yang bersangkut-paut dengan urusan orang Islam. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir.

Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya bagaimana mengurus faedah yang terkumpul di dalam bank konvensional, sama ada hanya perlu dibiarkan sahaja berada di dalam bank konvensional tersebut atau sebaliknya, telah menyatakan bahawa :

a. Faedah-faedah bank yang terkumpul hukumnya adalah sama seperti harta-harta lain yang diperolehi melalui jalan yang haram.

b. Tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan seumpamanya.

c. Meninggalkan wang faedah itu di dalam bank konvensional adalah haram secara muktamad. Dasar ini telah dipersetujui di dalam Muktamar Bank Islam Kedua di Kuwait oleh ulama’ secara ijma’. Tindakan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi ekonomi bank riba dan dikira sebagai menolong dalam urusan maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 4/1434H yang bersidang pada 25 Mac 2013 bersamaan 13 Jumada al-Ula 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-57 bertarikh 10 Jun 2003 dalam isu ini dengan sighah seperti berikut :

“Mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya. Mana-mana anak angkat sama ada sah taraf atau tidak, yang digabungkan namanya dengan nama ayah angkat hendaklah dibin atau bintikan kepada bapa kandungnya atau mana-mana nama Allah al-Husna yang tidak sama dengan nama ayah angkat berkenaan”.

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 4/1434H yang bersidang pada 25 Mac 2013 bersamaan 13 Jumada al-Ula 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-74 bertarikh 25 Julai 2006 dalam isu aliran pemikiran liberal dengan sighahnya adalah seperti berikut :

Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

Aspek Akidah

a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

b. Akal Manusia Adalah Wahyu

Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

c. Meragui Ketulinan Al-Quran

Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

Aspek Syariah

a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul alHadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

e. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, mesyuarat memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan seperti berikut :

i. Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.

ii. Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan Jumhur fuqaha’yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk menyusukan anak sepertimana pandangan Mazhab Hanbali, Syafie dan Hanafi yang menyatakan bahawa seorang perempuan yang hendak menyusukan seorang anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.

iii. Sehubungan itu, adalah diputuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau mudharat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.

iv. Jumhur fuqaha’juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, adalah diputuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:

a.  bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;

b.  susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan

c.  umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.

v. Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.

vi. Adalah diputuskan juga bahawa seorang wanita beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.

vii. Manakala susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama’ mazhab Shafie dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak.

viii. Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka adalah diputuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2013-1434H yang bersidang pada 03 Julai 2013 bersamaan 24 Sya’ban 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 bertarikh 25 November 2004 dalam isu Hukum Wakalah dan Beberapa Perkara Berbangkit Dalam Ibadah Qurban dengan sighah seperti berikut :

i. Hukum asal wakalah adalah harus.

ii. Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain dengan keizinan muwakkil .

iii Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain sekiranya tidak mampu atau tidak layak melakukan sendiri perkara yang diwakilkan tersebut.

iv. Harus mengagihkan daging qurban ke tempat atau negara lain.

v. Tidak harus mengagih dan memberi makan daging qurban kepada orang bukan Islam.

Mesyuarat juga memutuskan bahawa sighah perwakilan antara orang yang berkorban kepada wakilnya hendaklah dinyatakan secara lafaz atau kinayah seperti bertulis dan seumpamanya.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Ibadah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa :

i.  Insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.

ii. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.

iii. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.

iv. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (iii) di atas.

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 9/2013-1434H yang bersidang pada 27 Ogos 2013 bersamaan 20 Syauwal 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-83 bertarikh 22 – 24 Oktober 2008 dengan menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan kebajikan dan kesempurnaan hidup umatnya, terutama anak-anak yang kehilangan ahli keluarga mereka. Oleh itu, Mesyuarat berpandangan bahawa dalam melaksanakan Wasiat Wajibah adalah harus mengambil pandangan yang menyatakan bahawa berwasiat kepada ahli-ahli waris (seperti cucu) yang tidak mendapat pusaka disebabkan halangan-halangan tertentu adalah merupakan suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan.

Oleh yang demikian, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa dalam kes di mana seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya, anak tersebut iaitu cucu berhak untuk menerima Wasiat Wajibah dengan mengambil bahagian faraid bapa atau ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau nenek. Sekiranya bahagian ibu atau bapa adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar tidak melebihi 1/3.

Pelaksanaan Wasiat Wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:

  1. Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima Wasiat Wajibah.
  2. Hendaklah kedua ibu atau bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak dengan datuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.
  3. Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardu atau ta’sib maka mereka tidak layak untuk mendapat Wasiat Wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding Wasiat Wajibah.
  4. Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah daripada harta pusaka datuk.
  5. Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucu melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang daripada hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan. Maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.
  6. Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang lain.
  7. Pembahagian Wasiat Wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.
  8. Pembahagian Wasiat Wajibah kepada cucu-cucu yang berhak adalah berdasarkan kepada prinsip faraid iaitu seorang lelaki menerima bahagian 2 orang perempuan.

Keterangan/Hujah: 

  1. Majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa hokum wasiat adalah sunat dan umat Islam digalakkan untuk berwasiat kepada ahli-ahli keluarga yang tidak mendapat pembahagian pusaka dengan kadar tidak melebihi 1/3.
  2. Ibn Hazm al-Zahiri berpendapat bahawa wajib berwasiat kepada kaum kerabat yang tidak mendapat bahagian harta pusaka. Menurut Ibn Hazm, penurunan ayat pusaka yang menerangkan hak faraid bagi waris-waris tidak menasakhkan kewajipan berwasiat bahkan penurunan ayat wasiat tersebut dikhususkan bagi ahli-ahli waris yang tidak mendapat pusaka disebabkan oleh halangan-halangan tertentu.
  3. Dalam hal ini Ibn Hazm menegaskan bahawa kewajipan itu tidak akan gugur meskipun selepas kematian seorang muslim dan menjadi kewajipan kepada waris atau pentadbir harta untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut menurut kadar yang berpatutan tanpa menimbulkan kesusahan kepada waris-waris yang ditinggalkan.
  4. Wasiat Wajibah perlu dilihat dari segi maksud dan hikmah serta bagaimana pelaksanaannya kerana wasiat wajibah dilihat dapat mengatasi isu kematian serentak yang berlaku terhadapdatuk atau nenek bersama anak yang masih mempunyai anak-anak (cucu) yang masih hidup.
  5. Dalam sistem pembahagian pusaka Islam, cucu tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka datuk atau nenek disebabkan mereka terdinding oleh bapa saudara dan ibu saudara. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan tentang kebajikan dan masa depan cucu-cucu ini terutama sekali sekiranya mereka masih kecil. Lebih memburukkan lagi keadaan sekiranya ibu bapa mereka meninggal dunia pada usia muda dan tidak meninggalkan harta untuk diwarisi oleh anak-anak bagi meneruskan kehidupan.
  6. Dalam melaksanakan Wasiat Wajibah, harus mengambil pandangan Ibn Hazm az-Zahiri demi kepentingan keluarga terutamanya anak-anak yang menjadi yatim piatu.
  7. Sebahagian negeri tidak mengkanunkan pelaksanaan Wasiat Wajibah kerana ia tidak mengikut pandangan Mazhab Syafie. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa meminta supaya negeri-negeri memfatwakan kerana asas pelaksanaannya adalah maslahah dan kebajikan insan. Dalam situasi hidup pada hari ini, maslahah ahli-ahli waris yang dalam keadaan memerlukan tetapi terhalang daripada mendapat bahagian pusaka, perlu ditentukan mengikut Maqasid Syariyyah.
  8. Wasiat Wajibah boleh dianggap sebagai badal atau ganti kepada faraid. Oleh itu, pelaksanaannya juga perlu didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.

Status pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa :

Islam sangat menitik beratkan persoalan nasab dan apabila telah ada dalil yang mengisbatkan nasab, maka penafiannya tidak boleh diterima melainkan dengan kaedah Li’an kerana Li’an telah sabit melalui al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’dan merupakan suatu amalan taabudiah.

Majma’Fiqh al Islami yang bersidang pada 21 – 26 Syawal 1422 bersamaan 5 – 10 Januari 2002 telah memutuskan bahawa untuk mengisbatkan nasab, penggunaan DNA dibenarkan dan dilakukan atas perintah mahkamah hanya dalam kes pertelingkahan ketidaktahuan nasab anak atas pelbagai sebab, kes kekeliruan atau pertukaran anak di hospital atau pusat jagaan, kes bayi tabung uji serta dalam kes anak-anak yang hilang atas sebab bencana alam dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Majma’al-Fiqh al-Islami menetapkan bahawa DNA tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab anak apalagi digunakannya mendahului kaedah li`an.

Adalah ditegaskan oleh para Fuqaha’yang telah bersepakat bahawa penafian nasab anak melalui kaedah li’an perlu dilakukan dengan kadar segera (على الفور) dan jika penafian nasab tidak dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan, maka gugurlah hak penafian nasab tersebut.

Merujuk kepada Mazhab Shafie, terdapat dua pandangan iaitu dalam qaul qadim dan qaul jadid. Dalam qaul qadim, Imam Shafie menetapkan bahawa penafian hendaklah berlaku sejurus diketahui kelahiran bayi tersebut. Sekiranya penafian tidak dibuat, bermakna seseorang itu telah mengakui bahawa bayi tersebut adalah anaknya. Namun begitu, dalam qaul jadid, penafian tidak semestinya secara terus. Ia memerlukan masa sebelum sesuatu keputusan diambil memandangkan ia merupakan satu perkara yang penting. Ia boleh ditangguhkan sehingga tiga hari dan penangguhan hanya boleh berlaku atas sebab-sebab keuzuran.

Sehubungan itu, berdasarkan penegasan dan pandangan para ulama’ mengenai tempoh segera bagi melakukan li’an untuk menafikan nasab anak, seseorang yang hendak melakukan li’an bagi penafian nasab anaknya perlu mempunyai tempoh waktu yang munasabah sebelum membuat keputusan demi mengelakkan sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku.

Oleh yang demikian, adalah diputuskan bahawa tempoh segera bagi seseorang bapa yang hendak melakukan li’an bagi menafikan nasab anaknya adalah bermula daripada tarikh isterinya disahkan mengandung sehinggalah tiga (3) hari selepas bersalin. Penafian setelah tempoh munasabah tersebut adalah tertolak dan anak tersebut adalah sah dan sabit sebagai anaknya.

Adalah diputuskan supaya garis panduan untuk menjalankan ujian DNA oleh pihak berkuasa berkaitan hendaklah diperketatkan lebih-lebih lagi dalam isu untuk menafikan nasab kerana DNA hanya sekadar qarinah atau sokongan semata-mata dan tidak boleh dijadikan bukti utama.

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2014-1435H yang bersidang pada 20 Mac 2014 bersamaan 18 Jumada al-Ula 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan berkenaan Pendermaan Jasad Atau Mayat Orang Islam Untuk Tujuan Penyelidikan di dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-105 dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa pendermaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan adalah haram dan tidak dibenarkan berdasarkan hujah berikut:

1. Prinsip kemuliaan mayat dan kewajipan menghormatinya perlu diikuti sebagaimana kaedah:

الأصل في العرض التحريم

Maksudnya: Asal kepada perkara yang melibatkan maruah dan kehormatan adalah diharamkan.

Kaedah ini bersandarkan kepada sebuah hadis Nabi SAW:

وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ

Maksudnya: Darah-darah kamu, harta-harta kamu, dan kehormatan kamu di antara sesama kamu haram seperti mana haramnya hari kamu ini, bulan kamu ini, di negeri kamu ini. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Kehormatan mayat merupakan suatu tuntutan dan pendermaannya adalah menceroboh prinsip penghormatan tersebut.

3. Keperluan penggunaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan belum berada pada tahap mendesak atau dharurah kerana keperluan tersebut masih boleh dipenuhi dengan kaedah-kaedah alternatif yang ada.

 

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Perubatan
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid haram berada / duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan.

Category: Perubatan
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2014-1435H yang bersidang pada 24 April 2014 bersamaan 24 Jumada al-Akhirah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-49 berkenaan Wang Pampasan Kematian Pekerja Yang Dianugerahkan Oleh Kerajaan Atau Syarikat Swasta dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa wang pampasan yang diperolehi dari kematian pekerja, wang pampasan melalui tuntutan mahkamah, wang SOCSO dan seumpamanya tidak dianggap harta pusaka.

 

Status Pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2014-1435H yang bersidang pada 24 April 2014 bersamaan 24 Jumada al-Akhirah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-49 berkenaan Sembahyang Jamak Kerana Menjalani Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik Di Hospital-Hospital Kerajaan / Swasta dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa hukum sembahyang jamak kerana kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti menjalani rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus.

Status Pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Perubatan
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2014-1435H yang bersidang pada 24 April 2014 bersamaan 24 Jumada al-Akhirah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-79 berkenaan Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi dengan sighah seperti berikut :

  1. Pesakit yang menggunakan beg kolostami dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostami setiap kali berwudhu’ atau menunaikan solat.
  2. Pesakit hendaklah mengambil wudhu’ setiap kali mengerjakan solat fardu. Hal ini kerana wudhu’ yang diambil hanya untuk mengharuskan solat, bukan untuk mengangkat hadath. Kedudukan pesakit adalah sama seperti orang yang sentiasa berhadath (الحدث دائم).

 Keterangan/Hujah: 

  1. Istilah “Kolostomi” merujuk kepada keadaan sebahagian usus besar (colon) di dalam abdomen yang dibuka dan pembukaannya itu disalurkan ke bahagian dinding abdomen dan dilekatkan pada kulit. Hujung usus ke bahagian dubur (rectum) tidak lagi berfungsi seperti biasa. Beg Kolostomi dipasang pada abdomen yang ditebuk di mana usus keluar daripada dinding abdomen tersebut. Pengeluaran najis tidak akan dapat dikawal sama sekali oleh pesakit.
  2. Kebanyakan pesakit kolostomi merasa was-was untuk menunaikan amalan fardu ain terutamanya solat. Persoalan yang ditimbulkan adalah bagaimana harus mereka mengurus kolostomi mereka semasa mengambil wudhu’ dan semasa menunaikan fardhu solat. Adakah mereka perlu mengosongkan pundi kolostomi mereka setiap kali mengambil wudhu’ atau untuk menunaikan solat. Adakah wudhu’ akan terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal ke dalam pundi kolostomi.
  3. Isu batal wudhu’ apabila keluar sesuatu menerusi salah satu daripada dua kemaluan seperti yang dibahaskan oleh para ulama’ adalah dalam konteks orang yang sihat. Bagi yang berpenyakit atau mengalami masalah keluar sesuatu di luar kawalan, Islam memberikan kaedah penyucian dan pelaksanaan ibadah kerana mereka dianggap orang yang dalam keuzuran.
  4. Masalah kolostomi berbeza dengan masalah sulus al-bawl kerana kebersihannya lebih terjamin. Oleh itu dari sudut hukum, ia tidak boleh diqiaskan kepada mereka yang mengalami sulus al-bawl.
  5.  Memandangkan pengeluaran najis bagi mereka yang mengalami masalah kolostomi tidak boleh dikawal, mereka dianggap berada dalam keadaan dharurat yang tidak terikat dengan taklif syarak dalam beberapa aspek ibadah. Mereka juga tidak dianggap sebagai menanggung najis dan boleh melaksanakan semua ibadat.
  6. Pesakit-pesakit kolostomi dibolehkan mengambil sekali wudhu’ untuk semua ibadah yang hendak dilaksanakan sekiranya wudhu’ tersebut tidak terbatal. Tetapi sekiranya tiada kesukaran bagi mereka untuk memperbaharui wudhu’, ia adalah disunatkan.
  7. Islam adalah agama yang memberi kemudahan. Oleh itu pesakit tidak wajar disyaratkan untuk mengosong atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwudhu’ kerana ia akan menyukarkan mereka melakukan ibadah.

Status Pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Ibadah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2014-1435H yang bersidang pada 22 Mei 2014 bersamaan 22 Rajab 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-60 berkenaan Hukum Zakat Fitrah Ke Atas Orang Tahanan Dan Banduan Islam Di Institusi Penjara dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat telah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di Institusi Penjara adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu :

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Status warta : tidak diwartakan

Category: Zakat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2014-1435H yang bersidang pada 22 Mei 2014 bersamaan 22 Rajab 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-56 berkenaan Sembahyang Jumaat Banduan Di Dalam Penjara Dan Seumpamanya dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat telah memutuskan bahawa hukum sembahyang Jumaat ke atas banduan di penjara dan seumpamanya adalah wajib dan Jabatan Penjara Malaysia hendaklah membenarkan para banduan menunaikan sembahyang Jumaat kecuali bagi mereka yang didapati boleh menimbulkan ancaman seperti ancaman keselamatan, sosial dan sebagainya.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2014-1435H yang bersidang pada 26 Jun 2014 bersamaan 28 Sya’ban 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-69 berkenaan Hukum Menulis Ayat-Ayat Al-Quran Mengikut Reka Bentuk Alat Permainan Seperti Wau, Tumbuhan, Bunga-Bungaan Dan Seumpamanya dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat telah memutuskan bahawa:

1. Penulisan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk hiasan yang keterlaluan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesukaran kepada pembaca adalah dilarang;

2. Penulisan khat ayat al-Quran boleh dibuat dengan syarat ditulis dengan betul dan dapat dibaca;

3. Tulisan khat ayat al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan ayat-ayat lain sehingga boleh mengelirukan pembaca;

4. Tulisan khat ayat-ayat al-Quran mestilah ditulis dengan sempurna dan susunan ayat-ayatnya tidak boleh terputus-putus sehingga mencacat atau mengelirukan atau mengubah maknanya; dan

5. Tulisan seni khat ayat-ayat al-Quran yang dibuat dalam pelbagai bentuk sehingga menimbulkan kekeliruan dan menghilangkan tujuan ayat-ayat al-Quran diturunkan iaitu untuk dibaca, difahami dan dihayati adalah dilarang.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2014-1435H yang bersidang pada 26 Jun 2014 bersamaan 28 Sya’ban 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-69 berkenaan Hukum Menulis Dan Menerbit Bahan-Bahan Yang Mengandungi Ayat-Ayat Al-Quran, Hadis Beserta Pandangan-Pandangan Agama Lain (Cina, Buddha, Hindu, Sikh Dan Kristian) dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat telah memutuskan bahawa menulis dan menerbit bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, hadis beserta pandangan-pandangan agama lain (Cina, Buddha, Hindu, Sikh Dan Kristian) adalah dilarang bagi mempastikan kesucian dan kehormatan agama Islam terpelihara.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2014-1435H yang bersidang pada 26 Jun 2014 bersamaan 28 Ramadhan 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-105 berkenaan Kedudukan Amalan Khurafat Di Pulau Besar Melaka dengan sighah seperti berikut :

1. Setelah mendengar pembentangan S.S Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa:

a. Perbuatan memohon hajat, berdoa dan bermeditasi serta bertawassul di sisi kubur-kubur yang ada di sekitar Pulau Besar merupakan amalan ghuluw yang boleh membawa kepada syirik.

b. Perbuatan memuja dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan daripada sesuatu objek seperti di kubur Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail, kubur Tujuh Beradik, kubur Syarifah Rodziah, kubur Syeikh Yusuf, kubur Tok Janggut, kubur Nenek Kebayan, Tempayan Pecah, Batu Belah, Gua Yunus, perigi Nenek Kebayan, Tasik Bunian, Tasik Biawak dan pokok disula adalah syirik.

c. Perbuatan membaca Surah Yasin, membuat tahlil seterusnya mendoakan hajat bagi pihak orang bukan Islam dengan tujuan supaya permintaan mereka tercapai adalah dilarang oleh Islam.

d. Perbuatan mandi di Perigi Nenek Kebayan dan Tempayan Pecah, menjadikan batu-batu atau objek yang diambil daripada perigi sebagai azimat, membakar colok di sekitar kawasan kubur dan pokok-pokok dengan mempercayai ia boleh memberi manfaat atau mudharat adalah perbuatan khurafat yang jelas dilarang oleh Islam.

e. Perbuatan menjamu orang ramai dengan daging yang dinazar oleh orang Islam dan bukan Islam adalah perlu dihentikan.

f. Menjual poster yang dipercayai sebagai gambar para sahabat nabi adalah haram dan hendaklah dihentikan.

g. Amalan membaca tahlil ketika upacara menaik dan menurunkan bendera serta berjalan kaki tanpa kasut atau selipar menuju ke gua atau perigi serta perbuatan menyapu dan menjirus cairan cendanan berwarna kuning pada batu nisan dan kubur Sheikh Ismail adalah khurafat yang perlu ditegah.

2. Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Jawatankuasa Fatwa bersetuju memutuskan bahawa amalan dan perbuatan yang disebut di atas adalah merupakan perkara bida’ah dhalalah dan khurafat yang amat ditegah oleh syarak dan perlu dihentikan segera kerana ia boleh membawa kepada syirik.

3. Sehubungan itu juga Jawatankuasa Fatwa menggesa supaya tindakan penguatkuasaan bagi membenteras amalan khurafat di Pulau Besar dilaksanakan segera oleh Kerajaan Negeri Melaka. Penjelasan dan kesedaran kepada masyarakat awam hendaklah dilaksanakan supaya amalan khurafat yang berleluasa di Pulau Besar tersebut dapat dihentikan.

Status Pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2014-1435H yang bersidang pada 26 Jun 2014 bersamaan 28 Sya’ban 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-80 berkenaan Hukum Menggunakan Barangan Yang Mempunyai Lambang Agama Lain dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat telah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang menggunakan barangan yang mempunyai lambang agama lain seperti salib.

 

Status Pewartaan – Tidak Diwartakan

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

KeputusanMesyuarat Jawatankuasa Fatwa 3/1430 Pada 14 Sya‘Ban 1430H bersamaan 5hb Ogos 2009 seperti berikut:

1.  Mengguna-pakai pengiraan fidyah puasa mengikut Mazhab Syafi‘I, iaitu satu cupak beras atau nilai ¼ daripada zakat fitrah semasa bagi satu hari puasa yang ditinggalkan, dan fidyah puasa ini digandakan sekiranya puasa yang tertinggal tidak diqadha’ hingga masuk bulan Ramadhan yang baru.

2. Dalam sesetengah keadaan, seseorang/wakil yang tidak mampu membayar jumlah fidyah puasa tersebut, maka pengiraan fidyah puasa mengikut Mazhab Hanafi boleh diguna-pakai, iaitu setengah gantang beras atau nilai ½ daripada zakat fitrah semasa bagi satu hari puasa yang ditinggalkan tanpa gandaan.

3.  Pembayaran fidyah puasa dalam bentuk nilai beras adalah harus.

4. Pusat Zakat Negeri Sembilan bolehlah menerima pembayaran fidyah puasa dan pengagihannya hendaklah diserahkan kepada Baitul Mal Negeri Sembilan

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2014-1435H yang bersidang pada 27 Ogos 2014 bersamaan 01 Zulqaedah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-95 berkenaan Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid dengan sighah seperti berikut :

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Mesyuarat berpandangan bahawa Jumhur ulama’ telah memperakukan bahawa upacara akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Bahkan ulama’ mazhab Syafie berpendapat adalah sunat dan digalakkan untuk melaksanakan akad nikah di masjid.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melakukan upacara akad nikah di masjid atau surau adalah sunat untuk mendapat keberkatan. Walaubagaimanapun, kedua-kedua pihak bagi pengantin lelaki dan perempuan yang turut menyertai upacara akad nikah tersebut hendaklah menjaga adab dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam masjid atau surau berkenaan.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2014-1435H yang bersidang pada 27 Ogos 2014 bersamaan 01 Zulqaedah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-96 berkenaan Hukum Qurban Dan Aqiqah Ke Atas Haiwan Import Yang Tidak Diketahui Umurnya dengansighah seperti berikut :

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Mesyuarat berpandangan bahawa Qurban dan Aqiqah telah disyariatkan dalam al-Quran dan Sunnah dan kedua-duanya merupakan sembelihan sunat yang bertujuan untuk taqarrub kepada Allah s.w.t.

Sehubungan itu, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa hukum Qurban dan Aqiqah ke atas haiwan yang diimport adalah berdasarkan hukum yang telah disepakati oleh para fuqaha’, iaitu bagi anak kambing muda ianya sesuai untuk dijadikan qurban apabila umurnya genap setahun dan telah masuk ke tahun yang kedua. Manakala bagi unta disyaratkan umurnya memasuki enam tahun dan bagi kambing dan lembu pula hendaklah telah memasuki umur tiga tahun. Bagi biri-biri pula hendaklah memasuki umur dua tahun.

Para pengimport haiwan ternakan pula dinasihatkan agar untuk tujuan ibadah Qurban atau Aqiqah hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mempastikan haiwan import tersebut mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan kerana Qurban dan Aqiqah merupakan satu amal ibadah yang bersifat ta’abbudiyyah yang perlu dilaksanakan secara sempurna.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2014-1435H yang bersidang pada 27 Ogos 2014 bersamaan 01 Zulqaedah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-83 berkenaan Hukum Penggantungan Kaligrafi Islam Di Premis Bukan Islam dengan sighah seperti berikut :

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, mesyuarat telah memutuskan bahawa bagi menjaga kehormatan dan kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran dan kalimah-kalimah suci agama Islam, perbuatan menggantung apa jua ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah-kalimah suci agama Islam di premis-premis bukan Islam atau mana-mana tempat yang boleh mendedahkannya kepada penghinaan, penipuan atau penyalahgunaan adalah dilarang oleh Islam.

Penjualan dan penyimpanan kitab suci al-Quran di kedai-kedai yang dimiliki oleh orang bukan Islam adalah juga dilarang oleh Islam kerana ia boleh membawa kepada penghinaan ke atas kehormatan dan kesucian kitab suci tersebut.

Status pewartaan : Proses Warta

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 09/2014-1436H yang bersidang pada 16 Disember 2014 bersamaan 23 Safar 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-106 berkenaan Kedudukan Perbuatan Zikir Sambil Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Dalam Masjid Atau Surau dengan sighah seperti berikut :

1. Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid demi menjaga kehormatan masjid dan akhlak Islam.

2. Walau bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa jua jenis alatan muzik yang diharuskan syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan syariat dan akhlak Islam.

 Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 09/2014-1436H yang bersidang pada 16 Disember 2014 bersamaan 23 Safar 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-106 berkenaan Isu Umat Islam Yang Berjuang atas nama ISIS dengan sighah seperti berikut :

1. Islamic State of Iraq and Syria (ISIS), atau Islamic State of Iraq and Levant (ISIL) serta Islamic State (IS) adalah gerakan yang menyeleweng dan bercanggah dengan fahaman Ahlu Sunnah wa al Jamaah.

2. Oleh itu, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa menegaskan bahawa sesiapa yang telah atau ingin pergi berjuang atau menyokong ISIS, ISIL atau IS adalah tidak selari dengan konsep jihad yang sebenar dalam Islam.

3. Sehubungan itu, mereka yang terbunuh kerana perjuangan gerakan tersebut tidak dikategorikan sebagai syahid menurut hukum syarak’.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil.02/2015-1436H yang bersidang pada 25 Februari 2015 bersamaan 06 Jumada al-Ula 1436H memutuskan seperti berikut :

“Muzakarah memutuskan untuk tidak membenarkan pembinaan tandas dalam bangunan masjid berdasarkan hukum yang terdapat di dalam Kitab Fathul Bari, syarah Sahih Bukhari menyatakan makruh membina tandas dengan dinding yang sama dengan masjid dan bersamaan dengan arah kiblat. Bahkan adalah makruh untuk bersolat di dalam masjid yang mempunyai binaan seperti itu.”

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2015-1436H yang bersidang pada 25 Februari 2015 bersamaan 06 Jumada al-Ula 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-106 berkenaan Percukaian Menurut Pandangan Islam: Kajian Terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan sighah seperti berikut :

1) Hasil pembentangan, Mesyuarat menerima pendapat bahawa :

i. Sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Isu cukai adalah isu siyasah syar’iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan maslahah pada sesuatu zaman berbanding zaman yang lain.

ii. Cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh Syarak adalah diharamkan. Oleh itu, jika Kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat rakyat, seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ia adalah dibenarkan.

iii. Sebahagian ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi’i, al-Syatibi, Ibn Khaldun, ulama semasa Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni membenarkan Kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.

iv. Majoriti para ulama berpandangan Kerajaan haram mengutip cukai daripada rakyat. Namun jika terdapat keperluan yang mendesak, maka Kerajaan dibenarkan mengenakan cukai bagi memenuhi maslahah umum rakyat berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah:

الشريعة وضعت لمصالح العباد ودرء المفاسد عنهم

“Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka”.

2) Mesyuarat juga berpandangan bahawa apabila Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, wujud kemudharatan khusus iaitu harta milik rakyat akan berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip, banyak maslahah umum tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan. Oleh itu, berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah  يُتَحَمَّلُ الضَّرَرُ الْخَاصُّ؛ لِأَجْلِ دَفْعِ ضَرَرِ الْعَامِّ (Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum), Kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum.

3) Sehubungan itu, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri untuk mengutip cukai seperti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia selagimana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak seperti berikut:

i. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam;

ii. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan;

iii. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;

iv. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil;

v. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat;

vi. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan Setempat;

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2015-1436H yang bersidang pada 20 April 2015 bersamaan 01 Rajab 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-61 berkenaan Hukum Pembayaran Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bagi Ahli Yang Memeluk Islam dengan sighah seperti berikut :

1. Mengikut hukum syarak, orang bukan Islam tidak berhak mewarisi harta orang Islam dan begitulah sebaliknya;

2. Jika seseorang bukan Islam memeluk Islam dan mempunyai simpanan KWSP dan telah menamakan penama orang bukan Islam maka hendaklah menukar penama tersebut kepada orang Islam. Jika tiada penama orang Islam dan tiada waris Islam yang berhak ke atas harta tersebut setelah beliau meninggal dunia maka harta itu tidak menjadi hak kepada penama bukan Islam, sebaliknya hendaklah diserahkan kepada Baitulmal; dan

3. Orang Islam boleh membuat wasiat kepada orang bukan Islam tidak melebihi 1/3 daripada hartanya.

Status Pewartaan : Proses Warta

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2015-1436H yang bersidang pada 20 April 2015 bersamaan 01 Rajab 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-69 berkenaan Hukum  Skim Pinjaman Wang Daripada Koperasi dan Seumpamanya Untuk Tunaikan Fardhu Haji Atau Umrah dengan sighah seperti berikut :

  1. Adalah harus seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah daripada skim pinjaman wang sekiranya mampu membayar balik hutang tersebut dan ia tidak menjejaskan kehidupan normalnya; dan
  2. Skim pinjaman tersebut hendaklah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, taawun, adil dan telus dalam operasinya disamping bebas dari unsur-unsur riba.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2015-1436H yang bersidang pada 26 Mei 2015 bersamaan 08 Sya’ban 1436H telah memutuskan agar ‘uruf pemakaian emas wanita Islam di Negeri Sembilan dikekal pada kadar 200 gram.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Zakat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2015-1436H yang bersidang pada 27 Mei 2015 bersamaan 09 Sya’ban 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-56 berkenaan Pencantuman Benih Untuk Mendapatkan Zuriat dengan sighah seperti berikut :

  1. Hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya dibuat pencantuman dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah haram.
  2. Hukum mencantumkan benih yang diambil dan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah harus.
  3. Hukum memasukkah embrio ke dalam rahim isteri selepas berlaku kematian suami atau perceraian adalah haram.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Perubatan
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2015-1436H yang bersidang pada 30 Julai 2015 bersamaan 14 Syauwal 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-83 berkenaan Hukum Pewarisan Bagi Kes Kematian Serentak dengan sighah seperti berikut :

Hukum Pewarisan Bagi Kes Kematian Serentak dalam kejadian yang sama atau sebaliknya dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu bagi menentukan hak pewarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara satu sama lain kerana berdasarkan syarat-syarat pewarisan, waris (al-warith) hendaklah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan (al-muwarrith). Oleh itu, harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambilkira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya.

Bagi merekodkan waktu kematian, perakuan pakar perubatan hendaklah diterimapakai dan dicatatkan dalam Sijil Kematian.

Keterangan/Hujah :

1. Bagi kes ahli-ahli keluarga yang meninggal secara serentak yang tidak dapat ditentukan siapa meninggal terlebih dahulu dalam kejadian kapal karam, kebakaran, tertimbus dalam runtuhan, kemalangan jalan raya dan sebagainya, Jumhur Fuqaha’ kecuali mazhab Hanbali berpendapat bahawa mereka itu tidak saling mewarisi antara satu sama lain kerana syarat pewarisan ialah waris (al-warith) hendaklah masih hidup sewaktu kematian orang yang yang mewariskan (al-muwarrith) sedangkan dalam kes kematian serentak syarat tersebut tidak dipenuhi. Dalam kejadian tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu di kalangan ahli keluarga, maka mereka tidak saling mewarisi antara satu sama lain.

2. واستدلوا بما روى خارجة بن زيد بن ثابت عن أبيه أنه قال: أمرني أبو بكر الصديق ـ رضي الله عنه ـ بتوريث أهل اليمامة، فورثت الأحياء من الأموات، ولم أورث الأموات بعضهم عن بعض. وأمرني عمر ـ رضي الله عنه ـ بتوريث أهل طاعون عَمْوَاس، وكانت القبيلة تموت بأسرها، فورَّثت الأحياء من الأموات، ولم أورِّث الأموات بعضَهم من بعض. وهكذا نقل عن علي كرم الله تعالى وجهه في قتلى الجَمَل وصِفِّين

Yang bermaksud, Ini bersandarkan kepada kisah yang diriwayatkan oleh Kharijah bin Zaid bin Thabit daripada bapanya dan dia telah berkata : “ Aku telah diarahkan oleh Abu Bakr al-Siddiq r.a untuk membahagikan harta pusaka kepada penduduk Yamamah, orang-orang yang hidup mewarisi daripada orang yang meninggal dunia. Manakala orang-orang yang meninggal dunia tidak mewarisi sesama mereka. Dan aku juga telah diperintahkan oleh Umar r.a untuk membuat pembahagian pusaka kepada waris si mati yang meninggal akibat wabak taun yang melanda Amwas (sebuah kampung di Palestin). Terdapat kabilah tertentu yang seluruh anggota keluarganya meninggal dunia. Oleh itu, orang yang mati mewarisakan harta mereka kepada warisnya yang hidup dan orang yang meninggal dunia secara bersama itu tidak saling mewarisi di antara mereka. Hal yang sedemikian turut dipraktikkan oleh Ali k.w selepas berlakunya peperangan Jamal dan Siffin.”

 

3. Dar al-Ifta’ Mesir telah mengeluarkan fatwa bagi kes kematian serentak melibatkan ahli keluarga dengan menyatakan bahawa ahli keluarga berkenaan tidak mewarisi antara satu sama lain.

4. Dalam isu pewarisan bagi kes kematian serentak ini, pandangan Jumhur Ulama’ lebih fokus berbanding dengan yang lain di mana Jumhur menetapkan bahawa mereka tidak saling mewarisi antara satu sama lain dan harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya.

5. Jawatankuasa boleh mengambil pandangan Jumhur dalam menentukan hukum kerana ia berdasarkan kepentingan dan maslahah umat Islam.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan bahawa membangunkan tanah wakaf khas khususnya wakaf masjid dengan tambahan projek pembangunan atau beberapa penambahbaikan bagi menjamin harta wakaf tersebut kekal adalah diharuskan oleh Islam dengan syarat pembangunan ini hendaklah berdasarkan keperluan yang boleh ditentukan oleh pemerintah dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa :

Berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.

Sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut Syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak berleluasa.

Peralatan atau perhiasan bone china juga tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.

Sehubungan itu, adalah diputuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.

Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan.

 

Category: Pakaian
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 06/2015-1436H yang bersidang pada 26 Ogos 2015 bersamaan 11 Dzulqa’dah 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-23 berkenaan Penukaran Nama Daripada Bukan Islam Kepada Islam dengan sighah seperti berikut :

  1. Dibolehkan untuk mengekalkan nama asal yang mempunyai pengertian yang baik.
  2. Walau bagaimanapun, adalah menjadi satu keperluan untuk meletakkan nama Islam.
  3. Pertukaran nama perlu dilakukan sekiranya nama tersebut mempunyai pengertian yang tidak baik.
  4. Tiada halangan saudara baru untuk meletakkan nama bapanya atau boleh dibin/dibintikan dengan nama Abdullah atau tidak dibin/dibintikan dengan apa-apa nama.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)
  1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
  3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.
  4. Mesyuarat juga memutuskan untuk menerima pakai Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam dan bersetuju agar garis panduan ini diterbitkan dalam bentuk risalah atau edaran yang bersesuaian untuk makluman awam.
Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 06/2015-1436H yang bersidang pada 26 Ogos 2015 bersamaan 11 Dzulqa’dah 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-71 berkenaan Hukum Cerai Taklik Pilihan Kepada Isteri Sekiranya Suami Berpoligami dengan sighah seperti berikut :

  1. Di dalam Islam poligami adalah diharuskan. Oleh itu dengan mengambilkira hikmah poligami yang telah disyariatkan, Muzakarah memutuskan bahawa cadangan memasukkan lafaz cerai taklik sekiranya suami berpoligami tidak perlu dilaksanakan.
  2. Muzakarah juga berpandangan bahawa Undang-Undang Keluarga Islam yang sedia ada telah lengkap dan mencakupi semua isu berkaitan institusi keluarga Islam. Sehubungan itu sebarang pindaan undang-undang bagi tujuan penambahan lafaz cerai taklik ini adalah tidak diperlukan.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Munakahat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan bahawa di dalam Islam tiada sebarang nas yang mewajibkan seseorang yang baru memeluk Islam dipanggil muallaf. Sebutan dan had tempoh panggilan muallaf ini lebih bersifat urf semata-mata.

Mesyuarat juga mengesyorkan agar pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan mengambil tindakan untuk menentukan tempoh had muallaf berdasarkan uruf di Negeri Sembilan.

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuaratbersetuju menerimakeputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dengan sighah seperti berikut:

“Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut. Justeru itu mengeluarkan zakat kepada berkuasa agama adalah wajib.

Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak dan cukup syaratnya tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib”

“Mengenai hukum Qada Zakat, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya”

Category: Zakat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2015-1436H yang bersidang pada 30 September 2015 bersamaan 16 Zulhijjah 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 berkenaan Hukum Minyak Ikan Yang Diproses Tanpa Dibuang Perut dan Najisnya dengan sighah seperti berikut :

  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa kandungan isi perut ikan adalah antara hukum yang tidak disebut secara jelas mengenainya sama ada dalam al-Quran ataupun Sunnah Rasulullah SAW. Ibn Hajar, Ziyad, al-Ramli dan lain-lain telah bersepakat bahawa apa-apa yang ada dalam perut ikan yang kecil sama ada darah atau najis adalah suci dan boleh dimakan serta tidak dianggap najis, bahkan al-Ramli berpendapat, hukum tersebut berlaku juga kepada ikan yang besar.
  2. Sekiranya ia dihukum bersih, syarak menetapkan hukum memakannya bergantung pula pada pandangan pakar perubatan yang dipercayai sama ada ia boleh memudaratkan ataupun tidak. Sekiranya mudarat maka tidak boleh dimakan kerana memberi kesan pada kesihatan, begitulah sebaliknya.
  3. Sehubungan itu, berdasarkan masyaqqah yang perlu dihadapi untuk memproses ikan dalam kuantiti yang banyak sehingga terlalu sukar untuk dibuang kandungan isi perut ikan satu persatu, dan realiti semasa industri komersial pemprosesan minyak ikan pada masa ini yang perlu mematuhi standard dan piawaian yang ketat bagi memastikan ianya bersih dan selamat digunakan, serta dengan mengambil kira kepentingan, manfaat dan kegunaan minyak ikan kepada kesihatan manusia, dan dengan itu Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa minyak ikan yang diproses secara komersial dalam kuantiti yang melibatkan beribu-ribu tan ikan tanpa dibuang perut atau najisnya adalah suci dan halal dimakan.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2015-1436H yang bersidang pada 30 September 2015 bersamaan 16 Zulhijjah 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-79 berkenaan Hukum Berjabat Tangan Dengan Wanita Ajnabi dengan sighah seperti berikut :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-79 yang bersidang pada 6-8 September 2007 telah membincangkan Hukum Berjabat Tangan Dengan Wanita Ajnabi. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum berjabat tangan dengan wanita ajnabi tanpa berlapik adalah haram.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/1433H yang bersidang pada 30 Ogos 2012 bersamaan 12 Syawal 1433H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI dalam isu pelaburan dalam saham ASN, ASB dan seumpamanya berdasarkan alasan berikut:

1. Telah wujud panel syariah dalam institusi PNB yang mengambil tanggungjawab untuk berusaha dari semasa ke semasa untuk mengurangkan peratus percampuran antara pelaburan yang halal dan haram.

2. Mesyuarat bersetuju bahawa keputusan fatwa perlu dirujuk kepada maslahah umum, maqasid syarak dan realiti semasa. Fatwa dikeluarkan bukan berdasarkan pandangan bersifat peribadi atau hukum yang bersifat ideal semata-mata. Dalil yang menyokong aspek maslahah umum dalam isu pelaburan ASN/ASB ini juga adalah kukuh.

3. Isu ini juga bersifat ijtihadi khususnya bagi penentuan peratus keharaman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Khilaf yang berlaku ini menyebabkan wujudnya sedikit keringanan di dalam sesuatu hukum yang diputuskan.

Berdasarkan pandangan tersebut, mesyuarat bersetuju dengan sighah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI seperti berikut:

“Bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus”.

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 01/2016-1437H yang bersidang pada 28 Januari 2016 bersamaan 18 Rabi’al-Akhir 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Bil. 2/2015 berkenaan Penyucian Dividen Simpanan Ahli KWSP Sedia Ada Sebelum Bertukar Ke Akaun KWSP Yang Diuruskan Mengikut Prinsip Syariat (KWSP-Islamik) dengan sighah seperti berikut :

1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah mendapati bahawa:

i. Selaku pemegang amanah ke atas simpanan ahli KWSP, keuntungan yang diperolehi oleh KWSP adalah berbentuk takasub (usaha) dan bukan secara ghasab(pengambilan harta tanpa hak atau secara zalim). Dividen yang diterima oleh ahli KWSP diperolehi melalui transaksi pelaburan yang dilakukan mengikut lunas undang-undang dan berdasarkan kontrak yang dipersetujui bersama.

ii. KWSP merupakan pemegang amanah yang diberi mandat untuk menguruskan simpanan ahli-ahli di bawah Akta KWSP 1991, di mana majikan diwajibkan untuk mencarum dengan KWSP bagi pihak ahli dan setakat ini tiada sebarang pilihan diberikan kepada ahli dan mereka tiada hak tasarruf (mengurus) dalam urusan simpanan mereka sejak dari awal mencarum dalam KWSP. Simpanan tersebut akan menjadi hak dan milik ahli KWSP setelah mencapai had umur yang ditetapkan.

iii. Berdasarkan amalan semasa perbankan dan kewangan Islam di Malaysia, tiada sebarang ketetapan yang pernah dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia atau Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mewajibkan pelanggan perbankan Islam untuk menyucikan terlebih dahulu sebarang pendapatan tidak patuh syariah yang diterima sama ada daripada aktiviti perbankan konvensional atau daripada sumber-sumber lain sebelum boleh mendeposit atau melabur ke dalam produk patuh syariah yang ditawarkan oleh institusi perbankan dan kewangan Islam.

iv. Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia juga telah mengeluarkan resolusi membenarkan segala dividen yang diterima daripada produk konvensional dilaburkan semula ke dalam produk patuh syariah.

 

Keputusan : Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ahli KWSP sedia ada yang memilih akaun KWSP-Islamik tidak perlu melakukan pembersihan dividen bagi pertukaran kali pertama.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/1433H yang bersidang pada 30 Ogos 2012 bersamaan 12 Syawal 1433H telah bersetuju memutuskan:

i) hukum mempromosikan produk Insurans Konvensional khususnya menjadi agen Insurans Konvensional adalah haram berdasarkan alasan keharamannya jelas dinyatakan di dalam hadith.

ii) Pendapatan dan komisyen yang diperolehi daripada insurans konvensional semasa tempoh peralihan agen ke institusi takaful adalah dimaafkan.

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2016-1437H yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawal 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 berkenaan Hukum Penggunaan Vaksin Menactra dengan sighah seperti berikut :

  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa pada prinsipnya ulama bersepakat bahawa makanan termasuk ubat-ubatan yang dibenarkan oleh Islam untuk digunakan mestilah terdiri daripada bahan-bahan yang baik (toyyib) dan halal, serta tidak mempunyai unsur-unsur yang mendatangkan mudharat kepada kesihatan badan dan akal manusia.2.
  2. Muzakarah juga mendapati bahawa dalam proses penghasilan Vaksin Menactra ini, tiada sebarang komponen bahan mentah yang mengandungi sumber haiwan atau bahan-bahan yang diragui dari aspek syarak digunakan serta tiada perkongsian saluran pemprosesan dengan produk vaksin yang tidak halal.
  3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum penggunaan Vaksin Menactra adalah diharuskan.

 Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 3/1433H yang bersidang pada 31 Mei 2012 bersamaan 10 Rejab 1433H telah bersetuju memutuskan:

i. Amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam.

ii. Walau bagaimanapun, Islam juga mementingkan keselamatan umatnya dan memberikan kelonggaran sekiranya sesuatu amalan atau perbuatan itu boleh mendatangkan kemudharatan diri.

iii. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama, Muzakarah setuju memutuskan bahawa hukum pemotongan genitalia wanita (Female Genital Mutilation) adalah wajib. Walau bagaimanapun, sekiranya ia boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan.

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 1/1433H yang bersidang pada 21 Mac 2012 bersamaan 28 Rabi’ul Akhir 1433H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dan ia merupakan akad yang diterima syarak dengan menegaskan bahawa para fuqaha’ bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.

Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut :

  1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
  2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
  3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
  4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
  5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
  6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.
Category: Munakahat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2016-1437H yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawal 1437H telah bersetuju menerima cadangan takrifan berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Negeri Sembilan iaitu merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam mereka yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para ulama Islam muktabar serta berpegang dalam hal berkaitan dengan:

1. Aqidah dan Tauhid, berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

2. Fiqh dan Syariah, berdasarkan mazhab Shafii di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

3. Tasawwuf, berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus yang bersidang pada 8 September 2010 telah membincangkan mengenai Hukum Membela Dan Menjalankan Perniagaan Katak. Mesyuarat memutuskan bahawa berdasarkan pendapat jumhur (majoriti) ulama’ daripada Syafi‘e, Hanafi dan Hanbali adalah haram bagi orang Islam makan, menternak dan menjual katak.

Category: Haiwan
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa 3/1430 pada 14 Sya‘ban 1430H bersamaan 5hb Ogos 2009 telah memutuskan bahawa:

1.  ‘Uruf emas perhiasan bagi wanita Islam di Negeri Sembilan adalah pada kadar 200 gram dan sekiranya melebihi daripada had kadar tersebut maka hendaklah dikeluarkan zakatnya.

2.  ‘Uruf emas perhiasan adalah mengikut timbangan emas (gram) dan bukannya dalam bentuk nilai.

3.  Kaedah penaksiran zakat emas perhiasan hendaklah dibuat setelah ditolak kadar ‘uruf emas perhiasan.

Category: Pakaian
Keputusan: (Sighah)

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa 3/1430 pada 14 Sya‘ban 1430H bersamaan 5hb Ogos2009

  1. Pembayaran zakat fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah harus.
  2. Pembayar zakat fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) tidak dikenakan apa-apa bayaran perkhidmatan.
  3. Syarikat telekomunikasi hendaklah menyediakan satu sistem (antara 10-15 minit) untuk memaklumkan kepada pembayar sama ada pembayaran yang dibuat melalui SMS berjaya atau gagal.
  4. Sebarang bayaran perkhidmatan yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi adalah ditanggung oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan dan bukannya diambil daripada hasil kutipan zakat fitrah yang diperolehi.
Category: Zakat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2016-1437H yang bersidang pada 31 Mac 2016 bersamaan 22 Jamadil Akhir 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-108 berkenaan Had Kemuallafan Seseorang Saudara Baru dengan sighah seperti berikut :

1. Muzakarah menerima cadangan supaya diwujudkan penyeragaman had tempoh panggilan muallaf saudara baru negeri-negeri seluruh Malaysia seperti yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu.

2. Muzakarah bersetuju menetapkan had tempoh maksima bagi seseorang saudara baru dipanggil muallaf ialah lima (5) tahun. Walau bagaimanapun, selaras dengan kuasa agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, maka Majlis Agama Islam Negeri berhak membuat sebarang pengecualian yang dikehendaki.

  Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil 1/1430 pada 7 Rejab 1430H bersamaan 30hb Jun 2009M

Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa bahawa kambing boer berumur enam hingga 12 boleh dijadikan binatang qurban dan aqiqah. Ini juga pendapat Waqi’ yang menyatakan usia 6 atau 7 bulan seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Qudamah dalam al-Mughni.

Category: Ibadah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2016-1437H yang bersidang pada 31 Mac 2016 bersamaan 22 Jamadil Akhir 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-108 berkenaan Hukum penjualan produk menggunakan Ayat Ruqyah (ayat al-Quran) untuk tujuan komersial dengan sighah seperti berikut :

1. Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak menafikan penggunaan ruqyah dan Rasulullah SAW menyebutkan bahawa sebaik-baik ubat ialah ayat-ayat al-Quran dan Baginda membolehkan untuk meruqyah selama tidak berlaku syirik.

2. Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa isu produk yang dilabelkan sebagai “makanan sunnah” dan makanan dan minuman yang diruqyahkan dengan ayat al-Quran serta zikir semakin berleluasa dan menjadi pelan pemasaran pengusaha produk-produk makanan dan barangan di negara ini. Ia telah menjadi kaedah untuk melariskan produk bersandarkan perkataan “makanan sunnah” dan ruqyah.

3. Sehubungan itu, sebagai “sad az-zari‘ah” kepada unsur-unsur penipuan dan penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan komersial, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan ruqyah dan istilah “makanan sunnah” secara tidak bertanggungjawab untuk tujuan mengaut keuntungan dan melariskan produk adalah dilarang kerana termasuk dalam perbuatan memperdagangkan ayat-ayat al-Quran yang ditegah oleh ajaran Islam.

4. Oleh hal yang demikian, Muzakarah menggesa supaya perbuatan tersebut ditangani segera supaya istilah “makanan sunnah” ini tidak difahami oleh masyarakat dalam konteks yang tidak tepat, dan penggunaan ruqyah tidak disalahgunakan sehingga menggugat akidah sekiranya masyarakat meyakini keberkesanan ruqyah pada sesuatu produk tersebut mengatasi usaha dan ikhtiar serta kekuasaan Allah SWT.

5. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pelabelan, pengiklanan atau promosi untuk tujuan komersial atas nama ruqyah pada sesuatu produk adalah dilarang.

 Status pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2016-1437H yang bersidang pada 28 April 2016 bersamaan 20 Rejab 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke- 88 berkenaan Hukum Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak dengan sighah seperti berikut :

1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan tidak mengandungi sebarang unsur najis dan memudaratkan.

3. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

4. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan melainkan bagi tujuan perubatan.

 

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2016-1437H yang bersidang pada 28 April 2016 bersamaan 20 Rejab 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 berkenaan Hukum Pelaburan Yang Dijalankan Oleh Syarikat Mecca Fund Global dengan sighah seperti berikut:

1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah menegaskan bahawa terdapat beberapa syarat bagi kontrak mudharabah yang sah mengikut syarak, iaitu antaranya:

i. Kebebasan menjalankan urusan tanpa tertakluk kepada syarat tertentu. Pelaburan mestilah bersifat terbuka dan sesuatu pelaburan dianggap tidak sah jika pelabur menetapkan pengusaha perlu membeli barang tertentu contohnya sejadah, atau barangan jenis tertentu daripada orang tertentu.

ii. Keuntungan hanya dikongsi antara pelabur dengan pengusaha. Keuntungan yang dihasilkan mesti dikongsi bersama oleh pelabur dan pengusaha. Pelabur akan mengambil hasil pelaburan modalnya, sementara pengusaha akan memperoleh hasil usahanya.

iii. Pengusaha mestilah bebas menguruskan modal dan bekerja. Kontrak pelaburan dianggap tidak sah jika wujud syarat yang menetapkan pelabur perlu bekerja bersama pengusaha.

2.  Muzakarah mendapati bahawa pelaburan yang dijalankan oleh Syarikat Mecca Fund Global ini bertentangan dengan prinsip sebenar mudharabah dalam Islam, iaitu antaranya pelabur perlu membeli lot yang ditawarkan oleh pemilik syarikat, akan berlaku kehilangan modal dan berlaku ketidakpastian terhadap kadar keuntungan dan modal.

3.  Sehubungan itu, berdasarkan perkara-perkara tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pelaburan yang dijalankan oleh Mecca Fund Global adalah tidak mengikut prinsip mudharabah yang sebenar dan tidak sah mengikut hukum syarak. Pelaburan yang dijalankan juga didapati melanggar undang-undang negara kerana mengambil deposit daripada pelabur tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia(BNM).

4.  Muzakarah juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terlibat dalam skim pelaburan oleh Mecca Fund Global ini.

 

Status Pewartaan: Tidak Diwartakan

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 06/2016-1437H yang bersidang pada 28 Julai 2016 bersamaan 23 Syawal 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke- 72 berkenaan Hukum Sistem Jualan Langsung (MLM) Menurut Islam dengan sighah seperti berikut :

i.    Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam.

ii.   Sekiranya terdapat unsur-unsur Skim Piramid yang mengandungi unsur-unsur penindasan dan penipuan dalam sistem jualan MLM maka hukumnya adalah haram.

iii.  Mana-mana orang yang ingin terlibat dengan perniagaan MLM ini hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi Level Marketing) Menurut Syariah. (Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bilangan 1/2013).

Category: Muamalat
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2016-1437H yang bersidang pada 25 Ogos 2016 bersamaan 22 Zulkaedah 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-64 berkenaan Hukum Peraduan SMS Dan Menyertainya Menurut Pandangan Islam dengan sighah seperti berikut :

  1. Muzakarah memutuskan bahawa peraduan kuiz melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan dan nasib adalah tergolong dalam pengertian judi.
  2. Mana-mana orang yang ingin terlibat dengan peraduan kuiz melalui sistem pesanan ringkas (SMS) hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah (Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bilangan 5 tahun 2013).

Hujah dan dalil:

Aspek/sudut pengharaman:

  1. Bayaran bil telefon atau talian untuk memasuki pertandingan dari segi syarak hukumnya adalah haram jika syarikat yang menaja wang dan menyediakan peraduan menunggu wang yang datangnya daripada caj bayaran telefon.
  2. Peserta yang menggunakan talian telefon untuk menyertainya membayar setiap minit dengan bayaran yang lebih dari caj bayaran biasa.
  3. Peserta yang berharap hanya membayar dengan bayaran biasa/sedikit tetapi mendapat keuntungan yang banyak adalah haram.
  4. Syarikat telah mengambil wang manusia lain secara batil kerana pertandingan atau yang seumpamanya ini berjaya mengumpulkan berlipat kali ganda hasil kadar bayaran daripada peserta.

Lajnah Tahrir al-Taqwa bil Mauqi’ (لجنة تحرير الفتوى بالموقع) meletakkan beberapa syarat yang wajib dihindari supaya sesuatu peraduan itu tiada unsur judi:

  1. Tidak berlaku persetujuan antara penganjur dengan mana-mana syarikat komunikasi; sebagai satu cara mereka untuk mendapat untung.
  2. Peraduan itu tidak mengenakan bayaran untuk disertai sama ada bayaran itu dengan cara tertentu atau melalui penambahan kos perbualan jika peraduan itu diadakan melalui telefon.
  3. Peraduan itu mestilah pada perkara yang berfaedah sebaliknya bukan pada bentuk soalan berkenaan filem dan seumpamanya.
  4. Peraduan itu tidak bertujuan untuk mengambil harta orang ramai yang menyertainya kerana berharap kepada hadiah yang lumayan seterusnya membawa kepada pembaziran wang atau harta.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 08/2016-1437H yang bersidang pada 28 September 2016 bersamaan 26 Zulhijjah 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-77 berkenaan Hukum Penggunaan Ayat-Ayat al-Quran Dan Laungan Azan Dalam Nada Dering Dan Paparan Skrin Di Dalam Telefon Bimbit dengan sighah seperti berikut :

1. Penggunaan ayat-ayat suci al-Quran sebagai nada dering di dalam telefon bimbit adalah dilarang.

2. Mana-mana laungan azan / zikrullah dibenarkan penggunaannya dengan menjaga adab-adab dan digunakan di tempat-tempat yang tidak mencemarkan kesucian ayat-ayat tersebut seperti di dalam tandas.

Hujah dan dalil:

Dalil tuntutan untuk menjaga kesucian al-Quran ialah Firman Allah SWT:

إِنَّهُۥ لَقُرۡءَانٞ كَرِيمٞ ٧٧ فِي كِتَٰبٖ مَّكۡنُونٖ ٧٨ لَّا يَمَسُّهُۥٓ إِلَّا ٱلۡمُطَهَّرُونَ ٧٩

Maksudnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Quran yang mulia, yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan. Yang tersimpan dalam kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui suci bersih. Surah al-Waqiah: 77-79.

a. Para ulama Islam telah menetapkan hukum dan adab tertentu kepada individu yang ingin memegang, membawa, membaca, menulis, menjual dan melupuskan al-Quran.

b. Sehubungan itu, apa-apa jua bentuk dan keadaan yang boleh disifatkan menghina al-Quran sama ada melalui perbuatan, tulisan, perkataan dan sebagainya hendaklah dihindari oleh orang Islam. Orang yang sengaja mempersenda dan menghina al-Quran melalui perkataan atau perbuatan maka ia boleh dihukum kafir. Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyatakan:

“Dan seseorang yang dengan sengaja mempermain al-Quran atau sebahagian daripadanya atau sengaja mencampakkan mushaf ke tempat kotor atau mendustai apa-apa hukum yang dinyatakan di dalamnya atau menafikan apa-apa yang telah sabit atau ragu-ragu dengan al-Quran sedangkan dia mengetahui perkara tersebut maka hukumnya kafir”.

c. Baginda Rasulullah SAW sendiri turut memuliakan tulisan yang mengandungi zikir atau nama-nama yang mulia. Anas r.a pernah meriwayatkan bahawa Nabi SAW apabila memasuki tandas, baginda SAW menanggalkan cincinnya. Para fuqaha menyatakan sebab Nabi SAW tidak membawa masuk cincinnya ialah kerana pada cincinnya tertulis perkataan “Muhammad Rasulullah”.

d. Para fuqaha dalam memastikan kemuliaan al-Quran menyatakan, ia hendaklah dibaca di tempat yang bersih. Sehubungan itu, fuqaha Hanafiah, Malikiah, Syafiiyyah dan Hanabilah menghukum makruh membaca al-Quran di tempat-tempat yang kotor seperti tempat mandi dan tempat buangan najis.

e. Berkaitan penulisan al-Quran di dinding termasuk dinding masjid, rumah dan sebagainya, para imam besar mazhab sepakat mengatakan adalah makruh menulis sesuatu daripada al-Quran di dinding masjid.

f. Berdasarkan hukum yang dikemukakan di atas juga, maka penggunaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan seumpamanya dalam nada dering dan paparan skrin dalam telefon bimbit boleh diqiaskan kepada beberapa permasalahan hukum seperti yang disebutkan di atas kerana illahnya sama iaitu memastikan unsur penghinaan kepada al-Quran tidak berlaku.

Status Pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 08/2016-1437H yang bersidang pada 28 September 2016 bersamaan 26 Zulhijjah 1437H telah bersetuju menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai Peguam Syarie berpandukan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah serta kaedah-kaedah Fiqhiyyah dan peruntukan undang-undang berikut:

1. Tiada dalil yang jelas daripada al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan larangan atau kebenaran pelantikan orang bukan Islam sebagai peguam Syarie. Walau bagaimanapun terdapat dalil-dalil umum mengenai perkara tersebut dalam al-Quran, hadith dan pandangan ulama muktabar seperti berikut:

 

(a) Firman Allah s.w.t:

      لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya : Janganlah orang yang beriman mengambil orang kafir menjadi pemimpin/teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman. Surah Ali-Imran (3):28.

 

(b) Hadith Nabi s.a.w:

 عن أزهر بن راشد عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لا تستضيئوا بنار المشركين

Maksudnya: “Daripada Azhar bin Rasyid yang meriwayatkan daripada Anas Bin Malik, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda,“Janganlah kamu meminta disinari dengan cahaya musyrik.”(Diriwayatkan oleh al-Nasa’ie).

Menurut Imam al-Suyuti, hadith ini menjelaskan bahawa seseorang Islam itu tidak seharusnya meminta bantuan atau perlindungan daripada orang musyrik. Seandainya kita meminta pandangan daripada mereka, kita seolah-olah telah menjadikan pendapat mereka sebagai penyuluh apabila kita dalam keadaan kekeliruan.

 

2. Kaedah-kaedah Fiqhiyyah

a. سد الذ ريعة : Kaedah ini merujuk kepada perlunya menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudaratan. Sekiranya orang bukan Islam dibenarkan untuk dilantik sebagai Peguam Syarie, ia memberi ruang kepada orang-orang bukan Islam untuk menguruskan hal ehwal orang Islam terutama sekali isu-isu syarak. Keadaan ini boleh menimbulkan kecelaruan dan memberi gambaran kelemahan orang Islam.

b. إذا تعارض المانع والمقتضى قدم المانع : Apabila bertentangan antara dalil-dalil yang menegah dengan dalil-dalil yang mengkehendaki hendaklah diutamakan perkara yang menegah. Larangan melantik orang bukan Islam sebagai Peguam Syarie perlu diutamakan, walaupun kemungkinan ia mempunyai kebaikan dari satu segi, tetapi keburukannya perlu diambil kira dan diberi perhatian.

c. المصلحة العامة تقدم على المصلحة الخاصة : Kaedah ini bermaksud maslahah (kebaikan) am perlu didahulukan dari maslahah khas. Maslahah am atau umum merujuk kepada maslahah umat Islam di Malaysia secara keseluruhannya. Manakala maslahah khas merujuk kepada kebaikan yang mungkin diperolehi oleh orang tertentu. Dalam situasi hari ini, maslahah orang awam (umat Islam) perlu diutamakan.

d. تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة  : Kaedah ini bermaksud tindakan yang dijalankan oleh pemerintah terhadap rakyat bergantung kepada maslahah. Dalam konteks ini, pemerintah berhak membuat keputusan berpandukan kepada kemaslahatan rakyat dengan berlandaskan kepada syariat Islam.

e. Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai Peguam Syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai Peguam Syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian, tiada tindakan yang boleh diambil ke atas beliau kerana Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.

 

Status Pewartaan : Tidak diwartakan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah membincangkan fatwa berkaitan Aliran dan Dakyah Wahhabiah pada mesyuaratnya bertarikh 17 Disember 2014, 25 Februari 2015 dan 24 Mac 2015. Mesyuarat telah memutuskan Aliran dan dakyah Wahhabiah didapati bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam di Negeri Sembilan. Percanggahan tersebut berdasarkan kepercayaan, perbuatan dan pengamalan aliran Wahhabiah seperti berikut :

  1. Menolak dan menyesatkan pengamal pendekatan Tauhid Sifat 20;
  2. Menganggap syirik amalan-amalan ahli sunnah seperti perbuatan tawassul, tabarruk dan istighathah dan selawat-selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah seperti Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah;
  3. Mendakwa bahawa pengikut aliran Asya’irah dan Maturidiyah tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah wa al-Jamaah;
  4. Membid’ahkan pelbagai amalan ahli sunnah yang bersifat khilafiah sebagai melakukan bid’ah dhalalah dan pengamalnya akan menjadi penghuni neraka;
  5. Menganggap amalan dan sambutan-sambutan yang dilakukan bertujuan memuliakan Rasulullah saw sebagai perbuatan syirik;
  6. Menolak sepenuhnya beramal dengan hadith dhaif;
  7. Memahami al-Quran dan al-Sunnah secara makna zahir semata-mata dan menolak pentakwilan dalam memahami teks al-Quran;
  8. Menolak fahaman bermazhab;
  9. Menolak kefahaman dan amalan tariqat tasawuf yang muktabar;
  10. Mempertikaikan ulama Nusantara yang muktabar serta kitab-kitab karya mereka;
  11. Mempertikaikan fatwa-fatwa atau keputusan pihak berkuasa agama;
  12. Berpegang dengan kefahaman tasybih dan tajsim berdasarkan zahir ayat dan hadith yang mutasyabihat; dan
  13. Mudah mengkafirkan, membid’ahkan dan memfasikkan golongan yang tidak sealiran dengan mereka;

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan mengambil keputusan bahawa;

  1. Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi penyebar aliran dan dakyah Wahhabiah adalah disifatkan berfahaman Wahhabiah yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al- Jamaah;
  2. Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang menjadi ahli jamaah atau pengikut aliran dan dakyah Wahhabiah dengan berselindung di sebalik apa-apa nama, aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran dan dakyah Wahhabiah, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah;
  3. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang cuba menyebarkan  aliran dan dakyah Wahhabiah, sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran dan dakyah Wahhabiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah;
  4. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana aliran dan dakyah Wahhabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Wahhabiah adalah bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah; atau
  5. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan tokoh, aliran dan dakyah Wahhabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Wahhabiah dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah dilarang.
  6. Apa jua bentuk tindakan seperti yang dinyatakan di atas perlu dihalang dan diambil tindakan menurut undang-undang.

Mesyuarat bersetuju untuk mewartakan fatwa ini. Orang ramai hendaklah membuat aduan kepada pihak berkuasa agama yang berhampiran sekiranya terdapat sebarang keraguan seperti mana dinyatakan.

Status Pewartaan : Proses Warta

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2017-1438H yang bersidang pada 27 September 2017 bersamaan 7 Muharram 1439H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan berkenaan Fatwa terhadap Golongan AntiHadith dengan sighah seperti berikut :

(1)      Kefahaman dan pengajaran menolak hadis adalah bercanggah dengan syariat Islam;

(2)      Buku-buku seperti ini atau seumpamanya;

(a) Buku-

(i) “Hadis Satu Penilaian Semula”; dan

(ii)“Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, yang ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) Buku-

(i) “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu” dan

(ii) Hadith di dalam al-Quran”, yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman

(c) Buku- “Bacaan” yang ditulis oleh Othman Ali,

(d) Buku- “The Computer Speaks-God’s Message to The World” yang ditulis oleh Dr. Rashad

Khalifa; dan

(e) Risalah “Iqra” terbitan Jemaah al-Quran Malaysia.

(3) Oleh yang demikian-

(a) Mana-mana ajaran atau kumpulan orang yang berpegang pada ajaran-ajaran dan fahaman- fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah yang dinyatakan dalam perenggan (2) boleh menyebabkan terkeluar dari Islam;

(b) Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi penyebar aliran Antihadith adalah disifatkan bercanggah dengan syariat Islam;

(c) Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang menjadi ahli jamaah atau pengikut aliran Antihadith dengan berselindung di sebalik apa-apa nama, aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran Antihadith, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam;

(d) Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang cuba menyebarkan  aliran Antihadith, sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran Antihadith adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam;

(e) Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana aliran Antihadith atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran Antihadith adalah bercanggah dengan syariat Islam; atau

(f) Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan tokoh, aliran dan dakyah Antihadith atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Antihadith dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah dilarang.

(g) Mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam yang telah melibatkan diri dengan kumpulan Antihadith sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (c) hendaklah bertaubat.

Proses pewartaan : Proses Warta

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 06/2017-1438H yang bersidang pada 24 Ogos 2017 bersamaan 2 Zu al-Hijjah 1438H telah bersetuju memutuskan untuk berkenaan Status Kesucian Ikan Yang Dipelihara dengan sighah seperti berikut:

  1. Jumhur menyatakan bahawa “al-Jalalah” bermaksud haiwan yang kebanyakan (majoriti) makanannya daripada najis. Al-Jalalah itu meliputi semua jenis haiwan sama ada unta, lembu, kambing, ayam, itik, ikan atau sebagainya daripada haiwan yang boleh dimakan.
  2. Binatang jalalah yang bebas dan memakan sesuatu yang najis adalah makruh untuk dimakan.
  3. Manakala binatang jalalah yang dibela atau dikurung serta sengaja diberi makan makanan yang najis adalah haram dimakan.
  4. Walaupun begitu, binatang jalalah tersebut harus dimakan apabila ia telah melalui tempoh kuarantin yang munasabah, iaitu sekurang-kurangnya tujuh (7) hari.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Category: Haiwan
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 06/2017-1438H yang bersidang pada 24 Ogos 2017 bersamaan 2 Zul-Hijjah 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke – 97 berkenaan Hukum Penubuhan Bank Susu dengan sighah seperti berikut :

1.Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.

2.Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi-bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik-beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

3.Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan jumhur fuqaha bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan sama ada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadis riwayat Abu Daud:

عن ابن مسعود قال لا رضاع إلا ما شدا العظم وانبت اللحم

Maksudnya, daripada Ibn Mas’ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.

4.Sehubungan itu, memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penubuhan bank susu  adalah tidak diharuskan.

5.Muzakarah juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu mengenali antara satu sama lain.

Status Pewartaan : Proses Warta

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2017-1438H yang bersidang pada 20 Julai 2017 bersamaan 26 Syawal 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-95 berkenaan Hukum Hukum Pemerdagangan Orang dengan sighah seperti berikut :

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa manusia merupakan makhluk yang amat dimuliakan oleh Allah SWT dan tidak diciptakan untuk menjadi hamba kepada manusia yang lain.
  2. Oleh yang demikian, pemerdagangan manusia yang melibatkan berbagai eksploitasi seperti pelacuran, perhambaan dan sebagainya adalah bercanggah dengan kemuliaan dan konsep khalifah yang disyariatkan Allah SWT.
  3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memperdagang dan mengeksploitasikan manusia dalam pelbagai bentuk yang menyalahi hukum syarak adalah diharamkan oleh Islam.

Status Pewartaan : Proses Warta

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 1/2017-1438H yang bersidang pada 15 Februari 2017 bersamaan 18 Jamadiawwal 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-109 berkenaan Millah Abraham @ Ibrahim dengan sighah seperti berikut :

1. Ajaran Millah Abraham @Ibrahim mengandungi perkara-perkara berikut:

a. Membawa ajaran Islam baharu. Ajaran Millah Abraham@Ibrahim mendakwa Kerajaan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w telah lama jatuh sejak tahun 1324H. Setelah kejatuhan Islam pada tahun 1324 Hijri, pengikut Millah Abraham mendakwa bahawa golongan musyrik termasuk para ulama’ telah membawa ajaran Islam yang palsu dan hendaklah bertaubat dengan memilih kembali deen Millah Abraham@Ibrahim.

b. Mendakwa wujud rasul selepas Nabi Muhammad s.a.w. Ajaran ini menafsirkan bahawa Allah SWT mengutuskan rasul dalam kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar mereka untuk keluar daripada kesesatan. Maka, Rasul Millah Abraham diutuskan dari kalangan bangsa Melayu Nusantara untuk membaca, menyuci serta mengajar kaum Melayu Nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Mushaddeq. Maksud Khataman Nabiyyin adalah kesempurnaan deen pada zaman Nabi Muhammad dan bukanlah penutup segala nabi.

c. Mencampuradukkan ajaran dalam al-Quran, Bible dan Taurat (Perjanjian Lama). Selain terjemahan al-Quran, kumpulan ini juga menggunakan kitab Taurat dan Injil (Bible Perjanjian Lama dan Baru) dalam pengajian mereka kerana dalam al-Quran telah membenarkan kitab sebelum al-Quran dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan.

d. Menyelewengkan Konsep صراط المستقيم (Sirotol Mustaqim). Maksud صراط المستقيم (Sirotol Mustaqim) dalam Ajaran Millah Abraham adalah merujuk kepada jalan yang benar iaitu dengan mengambil pengajaran daripada kitab-kitab Allah dan melalui sejarah di zaman Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Justeru, hanya satu jalan sahaja yang perlu wujud untuk mengabdi kepada Tuhan, iaitu melalui ajaran Millah Abraham. Pengikut Ajaran Millah Abraham dikehendaki mempelajari kitab-kitab terdahulu juga sebagai sumber pelajaran kerana sirotol mustaqim ada ciri-cirinya tersendiri dan perlu dipelajari melalui kitab-kitab Allah.

e. Menyelewengkan Konsep hari Kiamat. Hari Kiamat dalam Ajaran Millah Abraham adalah merujuk kepada perkataan qiyam, iaitu bangkit atau tegak dan tidak ditafsirkan hari Kiamat adalah hari kehancuran, kerana Hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Perkataan qiyam dalam ayat ini merujuk kepada keperluan untuk menegakkan agama. Setelah zaman satu-satu umat telah habis, maka akan ada rasul baharu yang akan menegakkan deen bagi umat pada zaman tersebut. Sistem ini silih berganti sehingga keputusan Allah untuk menamatkan dunia ini.

d. Menyelewengkan pemahaman Darussalam atau Syurga. Ajaran Millah Abraham berpegang bahawa Darussalam itu ada di atas muka bumi, iaitu “Dar”= tempat atau kehidupan dan “as-salam”= yang mensejahterakan atau damai sejahtera. Maka, Darussalam itu adalah simbol kepada model kehidupan yang damai sejahtera di atas muka bumi yang wujud apabila sistem Tuhan ditegakkan; iaitu melalui Ajaran Millah Abraham

e. Mengingkari kefardhuan solat lima waktu dan solat Jumaat. Pengikut Ajaran Millah Abraham tidak melaksanakan Solat Fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf. Mereka mengatakan solat itu merujuk kepada “sillah” iaitu hubungan dengan ajaran Millah. Makna lain ialah bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Abraham, bukan maksud solat yang dilakukan oleh orang Islam.

2.Sehubungan dengan itu, Muzakarah memutuskan bahawa Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

3.Justeru, orang Islam hendaklah menjauhi ajaran Millah Abraham@Ibrahim dan dilarang berpegang serta beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.

4.Semua bentuk pengajaran, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan ajaran Millah Abraham@Ibrahim melalui apa jua medium hendaklah disekat, dihenti dan diharamkan dengan serta merta.

Status pewartaan : Proses Warta

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2017-1438H yang bersidang pada 20 Julai 2017bersamaan 26 Syawal 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke – 93 berkenaan Hukum Mengadakan Pameran Spesimen Anatomi Manusia dengan sighah seperti berikut :

  1. Muzakarah berpandangan bahawa Islam menetapkan bahawa jasad seseorang yang telah meninggal dunia mempunyai kemuliaan, nilai dan hak kemanusiaan yang wajib dihormati dan dipelihara sepertimana orang yang masih hidup. Pembedahan dan pengawetan mayat yang bertujuan untuk pameran dan diperagakan dalam pelbagai bentuk dan aksi adalah bertentangan dengan syarak.
  2. Oleh yang demikian, selaras dengan ketetapan hukum syarak, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum mengadakan pameran spesimen anatomi manusia adalah haram dan dilarang dalam Islam.
  3. Walau bagaimanapun, bagi tujuan pendidikan kepada orang awam berkaitan anatomi manusia, ia boleh dilakukan melalui bahan-bahan pameran yang lain seperti melalui gambar-gambar dan bahan-bahan tiruan tanpa menggunakan mayat sebenar.

Status Pewartaan : Proses Warta

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah mendapati bahawa Amalan dan upacara Perbomohan Ibrahim Mat Zin melibatkan amalan-amalan dan upacara yang menggambarkan kepercayaan khurafat dan tahyul melalui penggunaan pelbagai peralatan.Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil 4/2017-1438H yang bersidang pada 25 Mei 2017 bersamaan 28 Sya’aban 1438H telah bersetuju menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaandan dan memutuskan dengan sighah seperti berikut :

1. Bahawa upacara dan amalan perbomohan Ibrahim bin Mat Zin untuk apa-apa tujuan dengan menggunakan atau tidak menggunakan apa-apa objek adalah menyeleweng dan berlawanan dengan ajaran Islam.

2. Oleh yang demikian, mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam adalah dilarang:

a. Menganut, mengamal, menjadi ahli, menjadi pengikut, mengisytiharkan diri sebagai ahli, mengisytiharkan diri sebagai pengikut perbomohan tersebut; atau

b. Memiliki, menyimpan, mencetak, menerbit, memuat naik, memuat turun, menjual, mengedar atau menggunakan apa-apa terbitan, risalah, majalah, buku, media sosial, dokumen, rakaman audio, filem amalan atau upacara perbomohan tersebut; atau

c. Mengajar, menyebar, menghidup, membantu, menganjur, mempromosi upacara, atau amalan perbomohan tersebut, menghadiri apa-apa upacara yang dikaitkan dengan amalan perbomohan tersebut atau menyokong apa-apa aktiviti perbomohan tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung.

3. Mana-mana orang Islam adalah dilarang bersubahat daripada melakukan mana-mana perkara yang dinyatakan dalam perenggan (ii).

4. Mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam yang telah melibatkan diri dengan upacara dan amalan perbomohan Ibrahim bin Mat Zin sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (ii) hendaklah bertaubat.

Status Pewartaan : Proses Warta

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 2/2017-1438H yang bersidang pada 30 Mac 2017 bersamaan 2 Rejab 1438H telah bersetuju memutuskan dengan sighah seperti berikut :

i. Di dalam Islam, Jumhur Ulama telah sepakat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur (belum baligh) juga adalah Islam dan hak penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

ii. Muzakarah memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam dan hak penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

iii. Keputusan ini hendaklah diwartakan.

Status pewartaan : Proses warta

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)
Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

4hb Ogos 1994

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK

(NEGERI SEMBILAN) 1991

(Enakmen No. 1 Tahun 1991)

 

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW

(NEGERI SEMBILAN) ENACTMENT 1991

(Enactment No.1 of 1991)

 

PEMBERITAHUAN FATWA

NOTIFICATION OF FATWA

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

IN exercise of the powers conferred by section 30 of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) Enactment 1991 and approved unanimously by the Islamic Legal Committee pursuant to subsection 33(6) of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) 1991, the Mufti of Negeri Sembilan State Government on behalf and in the name of Islamic Legal Committee, hereby issue the Fatwa as specified in the Schedule.

JADUAL/SCHEDULE

A. BAHAWA buku yang bertajuk –

(a) “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” yang ditulis oleh Ustaz Hj. Ashaari Muhammad, dan

(b) “Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi” yang ditulis oleh Mohamad Taha As Suhaimi.

Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahamana yang bertentangan dengan aqidah dan Syariah Islamiah serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam.

 B. BAHAWA Kumpulan Darul Arqam@al-Arqam, iaitu suatu kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku bertajuk –

(a) “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan

(b) “Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi”.

Adalah suatu kumpulan yang sesat dan bertentangan dengan aqidah dan Syariah Islamiah serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam.

C. Oleh yang demikian –

(a) percetakan, penerbitan, pemilikan, penyiaran, penyebaran atau pengedaran buku “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “Munaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi” termasuk

(i)  apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu, pada atau atas apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau melalui apa-apa media adalah haram.

(b) pengajaran, pembelajaran, pengalaman dan penyebaran ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan Munaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abullah As Suhaimi” adalah haram;

(c) kumpulan Darul Arqam @ al-Arqam itu atau mana-mana kumpulan lain atau orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus menjawab Tuduhan” dan “Munaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi” adalah haram ;

(d) Adalah haram bagi orang Islam –

(i) menjadi anggota atau memimpin kumpulan Darul Arqam @ al-Arqam atau mana-mana kumpulan lain yang disebut dalam perenggan ( c );

(ii) membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.

SAHIBUS SAMAHAH

DATO’ HAJI MOHD MURTADZA BIN HJ. AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Dibuat pada 2hb. Ogos, 1994

Seremban

[PU/NS (JB) (Ag) (Majlis) 15/92; PANS (S) 196/07 (472/51]

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

20hb Jun 1996

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK

(NEGERI SEMBILAN) 1991

(Enakmen No. 1 Tahun 1991)

 

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW

(NEGERI SEMBILAN) ENACTMENT 1991

(Enactment No.1 of 1991)

 

PEMBERITAHUAN FATWA

NOTIFICATION OF FATWA

 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

IN exercise of the powers conferred by section 30 of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) Enactment 1991 and approved unanimously by the Islamic Legal Committee pursuant to subsection 33(6) of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) 1991, the Mufti of Negeri Sembilan State Government on behalf and in the name of Islamic Legal Committee, hereby issue the Fatwa as specified in the Schedule.

 JADUAL/SCHEDULE

1. Mana-mana orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah berikut :

(a)        Qamar Al-Huda

(b)       Nukilan Ahli Sufi Allahu Akhbar Encik Bahrin bin Salleh

(c)        Risalah kesufian – Anjuran Baharin Salleh

(d)       Sebaik-baik makrifah yang dipertunjukkan bagi hati,

(Selepas ini disebut secara kolektif sebagai “buku-buku dan risalah tersebut”) adalah menyalahi akidah Islam dan menyesatkan.

2. Mana-mana orang Islam adalah dilarang –

(1) untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah tersebut;

(2) untuk mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan atau mengedarkan buku-buku dan risalah tersebut atau mana-mana bahagian buku-buku dan risalah tersebut dalam –

(i)  apa-apa bentuk, versi atau variasi;

(ii)  apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku dan risalah tersebut itu pada atau atas apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(3) untuk menjadi ahli, anggota, pengikut atau pemimpin mana-mana kumpulan yang tersebut dalam perenggan 1 atau membantu dalam menghidupkan atau memberi publisiti atau mengembangkan kumpulan sedemikian.

Bertarikh 17 April 1996

[PU/NS (JB) (Agama) 15/92 Jld.1];

[PANS.196(07)220/1 Klt.3.]

 

DATO’ HAJI MOHD MURTADZA BIN HAJI AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

WartaKerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK

(NEGERI SEMBILAN) 1991

(Enakmen No. 1 Tahun 1991)

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW

(NEGERI SEMBILAN) ENACTMENT 1991

(Enactment No.1 of 1991)

PEMBERITAHUAN FATWA

NOTIFICATION OF FATWA

 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

IN exercise of the powers conferred by section 30 of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) Enactment 1991 and approved unanimously by the Islamic Legal Committee pursuant to subsection 33(6) of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) 1991, the Mufti of Negeri Sembilan State Government on behalf and in the name of Islamic Legal Committee, hereby issue the Fatwa as specified in the Schedule.

 

JADUAL/SCHEDULE

1. Talqin hukumnya adalah sunat dan masa talqin itu ialah semasa ihtidar (hampir mati ) dan atau selepas dikebumikan.

2. Semasa di dalam ihtidar (hampir mati) maka sunat diajarkannya mengucap kalimah syahadah iaitu La Ilaha illallah dan bagi mayat yang telah dikebumika maka dikata disisi kuburnya, kata olehmu Tuhanku Allah, Agamaku Islam, Nabiku Muhammad S.A.W hingga akhir talqin.

3. Mana-mana orang atau kumpulan orang adalah dilarang –

a) membid’ahkan mana-mana orang lain yang membacakan talqin kepada mayat

b) memegang, mengamal atau mengajarkan bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang

c) menyiar, menyebar, menghebahkan atau mendedahkan dengan apa-apa cara pun bahawa bacaan talqin kepada mayat adalah dilarang.

4. Mana-mana orag Islam adalah dilarang menjadi anggota, pemimpin atau penokong mana-mana orang atau kumpulan orang ang dilarang di dalam perenggan 3.

Bertarikh 14 Ogos 197

[PU/NS  (JB) (AGAMA) 15/92 Jld. 1;]

PA/NS.  196 (07) 915/1.]

 

 

DATO’ HJ. MOHD MURTADZA BIN HJ. AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Category: Syariah
Keputusan: (Sighah)

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

12hb Mac 1998

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK

(NEGERI SEMBILAN) 1991

(Enakmen No. 1 Tahun 1991)

 

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW

(NEGERI SEMBILAN) ENACTMENT 1991

(Enactment No.1 of 1991)

 

PEMBERITAHUAN FATWA

NOTIFICATION OF FATWA

 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

IN exercise of the powers conferred by section 30 of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) Enactment 1991 and approved unanimously by the Islamic Legal Committee pursuant to subsection 33(6) of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) 1991, the Mufti of Negeri Sembilan State Government on behalf and in the name of Islamic Legal Committee, hereby issue the Fatwa as specified in the Schedule.

JADUAL/SCHEDULE

KE ARAH MEMBENDUNG PENGARUH SYIAH DI MALAYSIA

1. Adalah ditetapkan bahawa Umat Islam di Negeri Sembilan hendaklah mengikut undang-undang Islam dan ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi ‘aqidah, syariah dan akhlak.

 2. Adalah diperakukan bahawa ajaran Islam selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah bercanggah dengan hukum Syarak dan dengan yang demikian penyebaran apa-apa ajaran lain selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah dilarang.

3. Adalah ditetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran melalui buku, risalah, filem, video atau dengan apa-apa cara lain pun yang berkaitan dengan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah dilarang.

Bertarikh 27 Februari 1998.

[JMKNNS.209(01) 914/1;

PU/NS (JB) (Ag) 15/92 Jld.1.]

 

DATO’ HJ. MOHD MURTADZA BIN HAJI AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Category: Aqidah
Keputusan: (Sighah)

Zakat ke atas pendapatan bagi penggajian adalah wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang layak bagi seluruh Negeri Sembilan.

Bertarikh 13hb. Safar 149/8hb Jun 1998

[JMKNNS.209(01) 914/1;

PU/NS (JB) (Ag) 15/92 Jld.1.]

DATO” HJ. MOHD MURTADZA BIN HJ. AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Category: Zakat