Fri12152017

Last updateWed, 25 Oct 2017 8am

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Tareqat Tasauwuf Maklumat Tareqat Tasauwuf PENGENALAN TAREKAT QADIRIYYAH WA NAQSHABANDIYYAH

PENGENALAN TAREKAT QADIRIYYAH WA NAQSHABANDIYYAH

TAREKAT QADIRIYYAH WA NAQSHABANDIYYAH:

LATAR BELAKANG DAN AMALAN

 

Oleh

Dr. Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Kampus Gong Badak, KT

 

 

 

Pendahuluan

 

Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah merupakan sebuah tarekat yang masyhur dan mempunyai ramai pengikut di Nusantara, khususnya di Kepulauan Jawa. Di Malaysia, tarekat ini juga merupakan antara tarekat yang sudah terkenal dan mempunyai ramai pengikut selain daripada tarekat Ahmadiyyah dan Naqshabandiyyah Khalidiyyah. Kertas kerja ini akan menjelaskan beberapa perkara tentang tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah menyentuh pengenalan, sejarah pembentukan, perkembangan, silsilah, amalan asas dan juga tujuan pengamalan tarekat ini.

 

Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah

 

Tarekat Qadiriyyah merupakan sebuah tarekat yang dinisbahkan kepada Shaykh Muhyi al-Din Abu Muhammad `Abd al-Qadir ibn Abi Salih Zangi Dost al-Jilani yang dilahirkan di Jilan pada tahun 470 H. (1077 M.) dan meningal dunia di Baghdad pada tahun 561 H. (1166 M.).[1] Tarekat Naqshabandiyyah pula merupakan sebuah tarekat yang dinisbahkan kepada Shaykh Bahā’ al-Dīn, Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad al-Sharīf al-Husaynial-Hasanī al-Uwaysī al- Bukhārī[2] yang dilahirkan di Bukhara, Turkestan, Asia Tengah pada tahun 717 H. (1317 M.) dan meninggal dunia pada tahun 791 H. (1388 M.) di Qasr `Ārifān, sebuah kampung di daerah tersebut.[3]

 

Manakala Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah pula merupakan satu aliran tarekat yang tergabung di dalamnya beberapa aliran tarekat sufiyyah khususnya tarekat Qadiriyyah dan Naqshabandiyyah yang menjadi unsur utama dalam pembentukan tarekat ini. Penggabungan tarekat ini dipercayai telah dilakukan oleh Shaykh Ahmad Khatib al-Sambasi (w. 1878 M) yang merupakan sufi dan shaykh ternama di Masjid al-Haram, Mekah al-Mukarramah, yang berasal daripada Indonesia dan menetap sampai akhir hayat beliau di Mekah.[4] Menurut keterangan Shaykh Ahmad Khatib sendiri, tarekat yang diamalkan dan dikembangkan oleh beliau itu adalah merupakan gabungan lima tarekat iaitu Qadiriyyah, Naqshabandiyyah, Anfasiyyah, Junaydiyyah dan Muwafaqah.[5] Walau bagaimanapun unsur Qadiriyyah dan Naqshabandiyyah merupakan unsur yang dominan dalam penggabungan tersebut dan ini kelihatan pada silsilah, zikir, khatam dan tawassul yang dilaksanakan dalam tarekat ini.

 

Dari sudut nisbah kerohanian, Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah merupakan gabungan dua nisbah iaitu nisbah `Alawiyyah (nisbah kepada kerohanian Sayyiduna `Ali ibn Abi Talib k.w.j.) yang kemudiannya membentuk aliran sufiyyah dipelopori Shaykh Junayd al-Baghdadi, dan nisbah Siddiqiyyah (nisbah kepada kerohanian Sayyiduna Abu Bakr al-Siddiq r.a.) yang kemudiannya membentuk aliran malamatiyyah dipelopori oleh Shaykh Abu Yazid al-Bistami r.a. Ia adalah gabungan aliran suluk (mujahadah dan riyadah) yang menjadi asas perjalanan tarekat Qadiriyyah dan aliran jadhbah yang menjadi asas perjalanan tarekat Naqshabandiyyah. Hakikat ini terserlah antara lain pada bentuk zikir jahr Qadiriyyah yang memperlihatkan unsur keterbukaan dan kekuatan semangat serta hemah yang tinggi, dan bentuk zikir khafi Naqshabandiyyah yang memperlihatkan unsur sembunyi (tertutup), merasai kefaqiran dan kelemahan diri dan juga harapan yang tinggi.

 

Perkembangan Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah Di Nusantara

 

Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah pada asalnya berpusat di Mekah al-Mukarramah di era kepimpinan Shaykh Ahmad Khatib. Ia kemudiannya didapati telah berkembangan dengan pesat di Asia Tenggara terutamanya di Kepulauan Jawa menerusi para khalifah Shaykh Ahmad Khatib. Antara khalifah Shaykh Ahmad Khatib yang ternama ialah Shaykh Abdul Karim al-Bantani yang menggantikan beliau sebagai murshid di Mekah, Shaykh Ahmad Talhah Kalisapu Ceribon yang menyebarkan tarekat ini di Jawa Barat, Shaykh Ahmad Hasbu yang menyebarkan tarekat ini di Madura dan lain-lain. Selain itu Shaykh Ahmad Khatib mempunyai beberapa orang khalifah lagi yang agak kurang berpengaruh berbanding tiga khalifah tersebut, antara mereka ialah Shaykh Muhammad Isma`il bin Abd. Rahim dari Bali, Shaykh Yasin dari Kedah, Shaykh Haji Ahmad Lampung dari Lampung dan Shaykh M. Ma`ruf bin Abdullah al-Khatib dari Palembang [6] Shaykh Nuruddin dari Filipina dan Shaykh Muhammad Sa`ad dari Sambas.[7] 

 

Di Malaysia, terdapat beberapa kumpulan pengamal tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah yang masyhur, antaranya ialah kumpulan yang mengambil silsilah daripada Shaykh Ahmad Sahib al-Wafa Taj al-`Arifin (Abah Anom). Shaykh Taj al-`Arifin yang lebih dikenali sebagai Abah Anom ini telah mengambil tarekat daripada ayahnya sendiri iaitu Shaykh Abdullah al-Mubarak bin Nur Muhammad yang mengambilnya daripada Shaykh Talhah yang mengambilnya daripada Shaykh Ahmad Khatib al-Sambasi.

 

Tarekat pimpinan Abah Anom ini berpusat di Pondok Pesantren Suryalaya, Jawa Barat, Indonesia, yang merupakan antara yang terbesar di Jawa. Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyahpimpinan Abah Anom ini telah dibawa masuk dan dikembangkan oleh para wakil (khalifah) beliau di negara ini. Antara mereka ialah Ustaz Hj. Ali (1975) dari Singapura yang selalu berulang-alik ke Kedah, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain, Hj. Muhammad Said al-Attas (1977) yang menyebarkan tarekat ini di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Sabah dan beberapa negeri lain termasuklah Thailand, Ustaz Hj. Muhammad Trang Isa (1978) yang menyebarkan tarekat ini di Sarawak, Ustaz Hj. Muhammad Uthman bin Abdul Latif (1984) yang menyebarkan tarekat ini di Terengganu, Ustaz Hj. Muhd Zuki (1986) yang menyebarkan tarekat ini di Kedah, Ustaz Hj. Mansur (1996) dan Tun Hj. Sakaran Dandai (2005) yang menyebarkan tarekat ini di Sabah dan Ustaz Saifuddin (2005) yang menyebarkan tarekat ini di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

 

Hasil dari penyebaran yang dilakukan oleh para wakil Abah Anom ini, jumlah pengamal Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah menjadi semakin bertambah dari semasa ke semasa dan pusat pengamalannya juga bertambah di seluruh tanah air. Antara pusat pengamalan Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah di Malaysia sekarang ini ialah di Batu Caves (Kuala Lumpur), Lembah Kelang dan Bangi (Selangor), Nilai (Negeri Sembilan), Masjid Tanah (Melaka), Putrajaya, Kuala Nerang (Kedah), Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman (Terengganu), Kota Kinabalu, Tawau dan Sempoerna (Sabah), dan Kuching (Sarawak).

 

Selain itu antara kumpulan pengamal tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah yang masyhur di Malaysia ialah kumpulan yang terdapat di Johor iaitu yang mengambil silsilah daripada Shaykh Hasan Mustafa dan juga Shaykh Abu Naim (Sarang Buaya Semerah) yang kedua-duanya mengambil tarekat daripada Shaykh `Abd al-Karim Banten iaitu khalifah dan pengganti Shaykh Ahmad Khatib di Mekah dan Shaykh Sam`un ibn `Abd al-Karim. Begitu juga kumpulan yang mengambil silsilah daripada Shaykh Haji Siraj (Rengit, Batu Pahat) yang mengambil tarekat dari shaykh di Indonesia.[8] Sehingga kini terdapat puluhan tempat perhimpunan dan pengamalan tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah di negeri Johor dan sekitarnya.

 

Silsilah Perguruan Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah

 

Dari segi silsilah tarekat, Shaykh Ahmad Khatib mengambil tarekat Qadiriyyah daripada Shaykh Shams al-Din yang mengambilnya daripada Shaykh Muhammad Murad yang mengambilnya daripada Shaykh `Abd al-Fattah yang mengambilnya daripada Shaykh `Uthman yang mengambilnya daripada Shaykh `Abd al-Rahim yang mengambilnya daripada Shaykh Abu Bakr yang mengambilnya daripada Shaykh Yahya yang mengambilnya daripada Shaykh Hisham al-Din yang mengambilnya daripada Shaykh Walyy al-Din yang mengambilnya daripada Shaykh Nur al-Din yang mengambilnya daripada Shaykh Sharf al-Din yang mengambilnya daripada Shaykh Shams al-Din yang mengambilnya daripada Shaykh Muhammad al-Hattak yang mengambilnya daripada Shaykh `Abd al-`Aziz yang mengambilnya daripada Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani.

 

Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani mengambil tarekat daripada Shaykh Abu Sa`id al-Mubarak ibn `Ali al-Makhzumi yang mengambilnya daripada Shaykh Abu al-Hasan `Ali ibn Yusuf al-Qirshi al-Hakari yang mengambilnya daripada Shaykh Abu al-Fadl `Abd al-Wahid al-Tamimi yang mengambilnya daripada Shaykh Abu Bakr Dilf al-Shibli yang mengambilnya daripada Shaykh Abu al-Qasim al-Junayd al-Baghdadi yang mengambilnya daripada Shaykh Sirr al-Saqati yang mengambilnya daripada Shaykh Ma`ruf al-Karkhi yang mengambilnya daripada Shaykh  Abu al-Hasan `Ali ibn Musa al-Rida yang mengambilnya daripada Sayyiduna al-Imam Musa al-Kazim yang mengambilnya daripada Sayyiduna Ja`far al-Sadiq yang mengambilnya daripada Sayyiduna Muhammad al-Baqir yang mengambilnya daripada Sayyiduna Zayn al-`Abidin yang mengambilnya daripada Sayyiduna Husayn yang mengambilnya daripada Sayyiduna `Ali yang mengambilnya daripada Sayyiduna Muhammad s.a.w.[9]

 

Manakala silsilah tarekat Naqshabandiyyah pula, Shaykh Ahmad Khatib Sambas didapati tidak menyebutnya dalam karya beliau Fath al-`Arifin. Para pengkaji sejarah tarekat seperti Martin Van Bruinessen pula, tidak menemui maklumat yang dapat memberikan penjelasan mengenai perkara ini.[10] Walau bagaimanapun beberapa perguruan tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah di Jawa didapati memberikan maklumat mengenai perkara ini.

 

Berdasarkan karya yang diterbitkan oleh Yayasan Serba Bakti, Pondok Pesantren Suryalaya, Shaykh Ahmad Khatib didapati mengambil tarekat Naqshabandiyyah daripada Shaykh Khalid Hilmi yang mengambilnya daripada Shaykh Muhammad Jan al-Makki (Muhammad Mazhar al-Ahmadi) yang mengambilnya daripada Shaykh Ahmad Sa`id al-Ahmadi yang mengambilnya daripada Shaykh Abu Sa`id al-Ahmadi yang mengambilnya daripada Shaykh `Abd Allah al-Dahlawi yang mengambilnya daripada Shaykh Shams al-Din Habib Allah Jan Janan yang mengambilnya daripada Shaykh Nur Muhammad al-Badwani yang mengambilnya daripada Shaykh Sayf al-Din yang mengambilnya daripada Shaykh Muhammad Ma`sum al-Sirhindi yang mengambilnya daripada Shaykh Ahmad al-Faruqi al-Sirhindi yang mengambilnya daripada Shaykh Muhammad al-Baqi Billah yang mengambilnya daripada Shaykh Muhammad al-Khawajaki al-Amkani al-Samarqandi yang mengambilnya daripada Shaykh Darwish Muhammad al-Samarqandi yang mengambilnya daripada Shaykh Muhammad al-Zahid yang mengambilnya daripada Shaykh Nasiruddin `Abidullah al-Ahrar al-Samarqandi ibn Mahmud ibn Shihab al-Din yang mengambilnya daripada Shaykh Ya`qub al-Jarkhi yang mengambilnya daripada Shaykh Muhammad `Ala' al-Din al-`Attar al-Bukhari al-Khawarizami yang mengambilnya daripada imam tarekat Naqshabandiyyah Shah Naqshaband al-Sayyid Baha' al-Din Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad al-Sharif al-Husaini al-Hasani al-Uwaisi al-Bukhari.

 

Shaykh Baha’ al-Din Shah Naqshaband mengambil tarekat daripada Shaykh Sayyid Amir Kulal yang mengambilnya daripada Shaykh Muhammad Baba al-Samasi yang mengambilnya daripada Shaykh `Ali al-Ramitani yang mengambilnya daripada Shaykh Mahmud al-Injir al-Faghnawi yang mengambilnya daripada Shaykh `Arif al-Riwakri yang mengambilnya daripada Shaykh `Abd al-Khaliq al-Ghujdawani yang mengambilnya daripada Shaykh Yusuf al-Hamadani yang mengambilnya daripada Shaykh Abu `Ali al-Farmadi yang mengambilnya daripada Shaykh Abu al-Hasan al-Kharqani yang mengambilnya daripada Shaykh Abu Yazid al-Bistami yang mengambilnya daripada Imam Ja`far al-Sadiq yang mengambilnya daripada al-Qasim ibn Muhammad yang mengambilnya daripada Salman al-Farisi yang mengambilnya daripada Abu Bakr al-Siddiq yang mengambilnya daripada Nabi Muhammad s.a.w.[11]

 

Berdasarkan silsilah ini, tarekat Naqshabandiyyah yang diambil oleh Shaykh Ahmad Khatib adalah dari cabang Mujaddidiyyah (nisbah kepada Shaykh Ahmad al-Faruqi al-Sirhindi) Mazhariyyah (nisbah kepada Shaykh Shams al-Din Habib Allah Jan Janan Mazhar al-`Alawi). Silsilah ini tidak melalui Shaykh Khalid al-Kurdi tetapi melalui Shaykh Abu Sa`id al-Ahmadi yang merupakan rakan seperguruan Shaykh Khalid di mana kedua-duanya merupakan murid dan juga khalifah kepada Shaykh `Abd Allah al-Dahlawi. Maka kerana itu tarekat Naqshabandiyyah Shaykh Ahmad Khatib bukanlah daripada cabang Khalidiyyah.

 

Amalan Khusus Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah

 

Terdapat beberapa amalan khusus yang dilaksanakan dalam tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah, antaranya ialah; Pertama, zikir yang merangkumi zikir harian dan juga zikir khatam, sama ada dilaksanakan secara individu atau berjamaah. Kedua, manaqib iaitu majlis perhimpunan bulanan bagi ikhwan tarekat yang mana antara pengisiannya ialah pembacaan manaqib Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Ketiga, riyadah iaitu latihan kerohanian khusus yang dilaksanakan oleh ikhwan menurut apa yang diajarkan oleh shaykh.

 

Perlaksanaan Zikir Dalam Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah

 

Terdapat dua jenis zikir khusus dalam tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah iaitu zikir harian dan zikir khatam. Zikir harian ialah zikir jahr, zikir khafi dan muraqabah yang dilaksanakan secara tetap (istiqamah) setiap hati selepas solat fardu.

 

Adab dan Kaifiyat Zikir (Jahr dan Khafi)

 

Merujuk kepada beberapa karya penting tarekat ini dan juga perlaksanaan zikir oleh ikhwannya mendapati bahawa adab dan kaifiyat zikir dalam tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah adalah seperti berikut;

 

Pertama: al-Fatihah, dihadiahkan kepada Nabi s.a.w., keluarga, para sahabat dan zuriat baginda.

 

Kedua: Istighfar

 

Ketiga: Salawat

 

Keempat: Munajat

 

Kelima: Rabitah[12]

 

Keenam: Zikir Jahr iaitu zikir nafy ithbat (La ilaha illallah) dan disudahi dengan ucapan “Sayyiduna Muhammad Rasulullah s.a.w.”

 

Ketujuh: Salawat Munjiah dan Doa

 

Kelapan: al-Fatihah, dihadiahkan kepada Nabi s.a.w., keluarga, para sahabat dan zuriat baginda.

 

Kesembilan: al-Fatihah, dihadiahkan kepada para shaykh ahli silsilah tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah.

 

Kesepuluh: al-Fatihah, dihadiahkan kepada ibu bapa dan seluruh orang-orang Islam

 

Kesebelas: Istighfar

 

Kedua belas: Bacaan Surah al-Ikhlas

 

Ketiga belas: Salawat Ibrahimiyyah

 

Keempat belas: Munajat

 

Kelima belas: Rabitah

 

Keenam belas: Zikir Khafi iaitu zikir ism al-dhat (Allah, Allah).[13]

 

Zikir Jahr

 

Zikir jahr ialah zikir kalimah tauhid (nafy ithbat) yang diucapkan dengan lidah dengan syarat, adab dan kaifiyyat tertentu. Antara syarat zikir ini ialah talqin daripada murshid atau wakilnya, berwuduk, suara yang bersemangat dan pukulan yang kuat ke hati sanubari. Zikir ini bukan hanya diucapkan, malah ditanamkan dalam diri manusia sehingga keyakinannya menjadi kuat dan perilaku serta amalannya menjadi baik. Menerusi pendekatan tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah, zikir kalimah tauhid ini diamalkan setiap kali selepas selesai solat fardu sejumlah paling kurang 165 kali.[14]

 

Praktik menanam kalimat tauhid ini berasaskan kepada pertunjuk yang ditemui dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud “tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seumpama pohon yang baik, tunjangnya teguh dan cabangnya sampai ke langit (menjulang tinggi), ia membuahkan hasilnya setiap ketika dengan izin Tuhannya, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia supaya mereka selalu ingat”.[15] Ia juga berasaskan kepada hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “iman itu ada lebih daripada tujuh puluh tiga cabangnya, yang tertinggi ialah ucapan La ilaha illallah dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakitkan di jalanan, dan sifat malu itu sebahagian daripada iman”.[16] Begitu juga hadis yang bermaksud “perbaharuilah iman kamu. (Para sahabat bertanya) Bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami wahai Rasulullah. (Baginda menjawab) Perbanyakkan menyebut La ilaha illallah”.[17]

 

Menurut ulama tasawuf, kalimah tauhid yang juga disebut sebagai kalimah tayyibah dapat menyucikan diri seseorang itu daripada syirik jali sebagaimana ia dapat membersihkan jiwa seseorang itu daripada syirik khafi serta menjadikannya ikhlas dan murni. Begitu juga kalimah ini dapat membuang hijab-hijab hati yang berkait dengan kebendaan serta membersihkan jiwa daripada segala kekotoran dan sifat-sifat kebinatangan.[18]

 

Zikir Khafi (Sirr)

 

Manakala zikir khafi pula ialah zikir ism al-dhat yang ditanam dan diisikan di dalam hati dan perasaan sehingga hati seseorang itu terasa dan sedar terhadap kewujudan dan kebersertaan Allah di mana juga dia berada. Zikir ini diamalkan dengan persyaratan, adab dan kaifiyyat tertentu. Zikir ism al-dhat secara khafi ini diamalkan pada setiap kali selepas selesai solat fardu iaitu selepas zikir jahr.[19] Selain itu ia digalakkan supaya dilaksanakan pada sepanjang masa sesuai dengan kemampuan dan kelapangan masa seseorang murid.

 

Zikir ism al-dhat secara khafi ini merujuk kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud "dan sebut  serta ingatlah Tuhanmu dalam dirimu dalam keadaan merendah diri dan merasa takut, dan tanpa menyaringkan suara pada pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong dalam golongan orang-orang yang lalai".[20] Ia juga merujuk kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud "serulah Tuhan kamu dalam keadaan merendah diri dan sembunyi, sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batasan".[21] Ia juga merujuk kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud "dan sebutlah nama Tuhanmu dan tumpukanlah perhatian kepada-Nya semata-mata".[22]

 

Dalam tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah, zikir ism al-dhat secara khafi ini dilaksanakan menerusi pengisian zikir pada lata’if insaniyyah iaitu dimulai dengan latifah qalb dituruti dengan latifah ruh, sirr, khafi, akhfa’, nafs al-natiqah dan latifah qalab (kullu jasad), menurut apa yang ditalqinkan oleh shaykh.[23] Pengisian zikir pada lata’if ini adalah bertujuan memudahkan suluk (perjalanan dan peningkatan kerohanian) dan mencapai maksud firman Allah iaitu ”kulit orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi gementar terhadapnya (al-Qur’an), kemudian kulit (julud) dan hati (qulub) mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah”.[24] Mengingati Tuhan dengan seluruh jiwa raga, zahir dan batin inilah yang dikenali di kalangan ahli tarekat Naqshabandiyyah sebagai sultan zikir.

 

Zikir ism al-dhat secara khafi ini adalah sebagai usaha mendapatkan malakah ihsan iaitu seseorang itu selalu merasai keberadaan (kewujudan) dan kebersertaan Allah di mana juga dia berada dan dalam apa juga keadaan dirinya. Ini adalah untuk mencapai rahsia yang terkandung dalam firman Allah yang bermaksud ”di mana saja kamu berhadap maka di sana (kamu akan menemui) wajh (dhat) Allah”,[25] dan rahsia yang terkandung dalam hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud ”Ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka Dia melihat engkau”.[26] Pencapaian ini akan memperkukuhkan keimanan dan keyakinan seseorang dan seterusnya menjadi benteng yang dapat memelihara diri daripada perkara yang tidak baik.

 

Muraqabah

 

Muraqabah merupakan salah satu amalan yang dilaksanakan dalam tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah. Muraqabah dalam tarekat bermaksud renungan batin atau tilikan rohani terhadap Allah s.w.t. dan makna-makna ketuhanan-Nya serta pengertian-pengertian yang berkaitan dengannya dalam keadaan menanti limpahan kerohanian yang dikurniakan ke dalam hati. Ia dilaksanakan setelah seseorang murid itu mencapai kemantapan zikir dan mendapat talqin (pengajaran) serta keizinan daripada shaykh. Shaykh Ahmad Khatib dalam karya beliau Fath al-`Arifin telah menyebut dua puluh jenis muraqabah iaitu;

 

1-Muraqabah al-Ahadiyyah

2-Muraqabah al-Ma`iyyah

3-Muraqabah al-Aqrabiyyah

4-Muraqabah al-Mahabbah fi Da’irah al-Ula

5-Muraqabah al-Mahabbah fi al-Dai’irah al-Thaniyah

6-Muraqabah al-Mahabbah fi al-Qaws

7-Muraqabah Wilayah al-`Ulya

8-Muraqabah Kamalat al-Nubuwwah

9-Muraqabah Kamalat al-Risalah

10-Muraqabah Kamalat Ulu al-`Azmi

11-Muraqabah al-Mahabbah fi Da’irah al-Khullah

12-Muraqabah Da’irah al-Mahabbah al-Sarfah (Hakikat Sayyiduna Musa)

13-Muraqabah al-Dhatiyyah al-Mumtazijah bi al-Mahabbah (Haqiqah al-Muhammadiyyah)

14-Muraqabah al-Mahbubiyyah al-Sarfah (Haqiqah al-Ahmadiyyah)

15-Muraqabah al-Hubb al-Sarf

16-Muraqabah La Ta`yin

17-Muraqabah Haqiqah al-Ka`bah

18-Muraqabah Haqiqah al-Qur’an

19-Muraqabah Haqiqah al-Salah

20-Muraqabah Da’irah al-Ma`budiyyah al-Sarfah[27]

 

Zikir Khatam

 

Zikir khatam merupakan sebahagian daripada amalan yang dilaksanakan dalam tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah. Zikir khatam ini biasanya dilaksanakan secara berjamaah dan merupakan zikir mingguan, namun ia boleh juga dilaksanakan secara individu dan diamalkan secara harian. Zikir khatam tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah merupakan gabungan beberapa khatam yang dinisbahkan kepada beberapa orang shaykh yang ternama dalam silsilah kedua-dua tarekat tersebut iaitu tarekat Qadiriyyah dan tarekat Naqshabandiyyah. Berikut ialah zikir khatam tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah;

 

al-Fatihah pertama dihadiahkan kepada roh Nabi s.a.w., keluarga, para sahabat dan zuriat baginda.

 

al-Fatihah kedua dihadiahkan kepada roh ibu bapa (keturunan) baginda, para nabi dan rasul, para malaikat muqarrabin dan karubiyyin, para shahid, orang-orang soleh, keluarga dan sahabat mereka, Nabi Adam dan Hawa dan zuriat kedua-duanya sehinggalah ke hari pebalasan (akhirat).

 

al-Fatihah ketiga dihadiahkan kepada roh para sahabat dan para imam dan juga orang-orang yang mengikuti mereka itu.

 

al-Fatihah keempat dihadiahkan kepada roh para imam mujtahid, para ulama, para qari’, ahli tafsir dan hadith, ahli tasawwuf yang sebenar, para wali dan semua muslimin.

 

al-Fatihah kelima dihadiahkan kepada ahli silsilah tarekat al-Qadiriyyah wa al-Naqshabandiyyah dan semua ahli tarekat khususnya para shaykh al-Qadiriyyah dan al-Naqshabandiyyah.

 

al-Fatihah keenam dihadiahkan kepada roh kedua ibu bapa, para shaykh, orang-orang yang telah meninggal dunia, orang-orang yang berbuat baik, orang-orang yang mempunyai hak, orang-orang yang berwasiat dan minta diwasiatkan dan orang-orang yang mendoakan kebaikan.

 

al-Fatihah ketujuh dihadiahkan kepada roh semua orang yang beriman dan Islam, yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia dari keturunan Nabi Adam sehinggalah ke hari kiamat.

 

Khatam pertama: Salawat, Surah al-Insyirah, Surah al-Ikhlas dan al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Shaykh Ahmad (Muhammad) al-Baqir.

 

Khatam kedua: Salawat, Allhumma ya Qadiya al-Hajat, Allahumma ya kafiya al-muhimmat, Allahumma ya dafi`a al-baliyyat, Allahumma ya rafi`a al-darajat, Allahumma ya shafiya al-amrad, Allahumma ya mujiba al-da`wat, Allahumma ya arhama al-rahimin dan al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Imam al-Khujakan (Shaykh `Abd al-Khaliq al-Ghujdawani).

 

Khatam ketiga: Salawat, La hawla wa la quwwata illa billah, Salawat dan al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Imam al-Rabbani (Shaykh Ahmad al-Faruqi al-Sirhindi)

 

Khatam keempat: Salawat, Surah al-Falaq, Istighfar, Salawat dan al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Sayyid Muzahhir (Shaykh Muhammad Mazhar)

 

Khatam kelima: Salawat, Hasbuna Allah wa ni`ma al-wakil, Salawat dan al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani

 

Khatam keenam: Salawat, Ni`ma al-mawla wa ni`ma al-nasir, Salawat dan al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Shaykh al-Mukarram (shaykh yang memimpin)

 

Khatam ketujuh: Salawat, Ya khafiya al-lutfi adrikni bi lutfika al-khafi, Salawat dan al-Fatihah yang dihadiahkan kepada Imam Khawajah al-Naqshabandi (Shaykh Baha’ al-Din)

 

Khatam kelapan: Salawat, La ilaha anta subhanaka inni kuntu mina al-zalimin, Salawat dan al-Fatihah kepada Sayyid Muhammad Ma`sum

 

Tawajjuh, Munajat, Ya Latif dan Doa[28]

 

Manaqib

 

Manaqib merupakan acara bulanan bagi ikhwan tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah. Dalam majlis manaqib ini, pembacaan manaqib Shaykh `Abdul al-Qadir al-Jilani akan diperdengarkan kepada para ikhwan selain daripada pembacaan ayat-ayat suci al-Qur’an, tawassul dan beberapa acara lain lagi.

 

Matlamat Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah

 

Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah, sebagaimana juga tarekat-tarekat lain adalah bertujuan mencapai hakikat ihsan. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas pada munajat yang menjadi dasar bagi tarekat dan seluruh pengamalannya iaitu “Allahumma (Ilahi) anta maqsudi wa ridaka matlubi a`tini mahabbataka wa ma`rifataka”[29] yang bermaksud “Tuhanku Engkaulah maksudku, keredaan Engkaulah yang aku cari, maka kurniakanlah kepadaku rasa cinta kepad-Mu dan kenal diri-Mu”. Munajat ini merangkumi tiga perkara utama iaitu taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, mencapai keredaan Allah dan mendapat mahabbah (rasa cinta) serta ma`rifah (kenal) terhadap Allah.[30] Ketiga-tiga perkara ini adalah elemen asas bagi pencapaian hakikat ihsan.

 

Cara yang boleh menyampaikan kepada matlamat ini menurut ahli tarekat ialah; Pertama, zikir khafi iaitu zikir dengan hati dan fikiran yang dibersihkan daripada sebarang khawatir tanpa mengingati perkara yang lalu, yang akan datang, yang sekarang dan sesuatu yang lain dari Allah. Kedua, muraqabah iaitu hati menilik kepada Allah s.w.t. dalam keadaan menanti limpahan kurnia daripada-Nya. Ketiga, melazimi khidmat kepada syakh yang mempunyai kesan dan pengaruh terhadap kerohanian murid.[31] Ketiga-tiga perkara ini ditemui perlaksanaannya dalam tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah secara khusus.

 

Dengan kata lain, tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah bertujuan mencapai martabat ihsan yang menjadi penyempurna kepada maqam   `ubudiyyah, zahir dan batin iaitu kesempurnaan Islam, Iman dan Ihsan yang menjadi tiga tiang asas agama seperti yang dapat difahami daripada penjelasan Nabi s.a.w. dalam sabda baginda yang bermaksud “sesungguhnya dia itulah Jibril yang datang kepada kamu bagi mengajarkan kepada kamu agama kamu”.[32] Ini kerana pencapaian hakikat ihsan menambah kesempurnaan Iman dan Islam iaitu menyumbang kepada perlaksanaan Islam secara yang lebih mantap, sempurna dan ikhlas dan juga menyumbang kepada kemantapan dan kekukuhan keimanan.

 

Penutup

 

Tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah merupakan satu tarekat yang lahir daripada gabungan beberapa tarekat khususnya dua tarekat besar dalam dunia Islam iaitu Qadiriyyah dan Naqshabandiyyah. Tarekat ini yang pada mulanya muncul di Mekah telah berkembang dengan begitu pesat terutamanya di Nusantara khususnya di Kepulauan Jawa. Tarekat ini sebagaimana juga tarekat-tarekat lain, memberikan tumpuan kepada amalan zikir dan muraqabah dalam usaha mencapai hakikat ihsan. Pencapaian ihsan dilihat dapat memperkuatkan keimanan dan memantapkan perlaksanaan syariat.

 

Rujukan

 

Ahmad Khatib al-Sambasi. 1346. Fath al-`Arifin. Qahirah: Matba`ah Dar Ihya’ al-Kutub al-`Arabiyyah.

 

al-Kurdi, Muhammad Amin.t.th. Tanwir al-Qulub. Qahirah: Dar al-Fikr.

 

K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin. 1988. Kunci Pembuka Dada. Selangor: Thinkers Library Sdn. Bhd.

 

K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin. 1991. Ibadah Sebagai Metoda Pembinaan Korban Penyalahgunaan Narkotika dan Kenakalan Remaja. Tasikmalaya: Institut Islam Latifah Mubarokiyyah.

 

K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin. `Uqud al-Juman. Tasikmalaya: Yayasan Serba Bakti Pesantren Suryalaya.

 

Juhaya S. Praja. 1991. TQN Pondok Pesantren Suryalaya dan Perkembangannya Pada Masa Abah Anom (1950-1990) (dlm) Thoriqot Qodiriyyah Naqsabandiyyah, Sejarah, Asal-Usul dan Perkembangannya (pnyt.) Harun Nasution. Tasikmalaya: Institut Agama Islam Latifah Mubarokiyyah.

 

Muhammad ibn Isma`il al-Bukhari. 1987/1407. Al-Jami` al-Sahih al-Mukhtasar. Bayrut: Dar Ibn Kathir.

 

Muslim ibn al-Hajjaj al-Qushayri al-Naysaburi. 1954/1374. Sahih Muslim. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.

 

Abu Dawud Sulayman ibn al-Ash`ath al-Sajastani al-Azdi. t.th. Sunan Abi Dawud. Dar al-Fikr.

 

Ahmad ibn Hanbal al-Shaybani. t.th. Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal. Misr: Muassasah Qurtubah.

 

al-Khani, `Abd al-Majid ibn Muhammad. 1306. Al-Hada'iq al-Wardiyyah fi Haqa'iq Ajilla’ al-Naqshabandiyyah. Damshiq: t.pt.

 

Darniqah, Muhammad Ahmad. t.th. Al-Tariqah al-Naqshabandiyyah wa A`lamuha. t.tp: Matba`ah Jarus Press.

 

Bruinessen, Martin Van. 1994. Tarekat Naqsyabandiyah Di Indonesia: Survei Historis, Geografis dan Sosiologis. Bandung: Penerbitan Mizan.

 

al-Dahlawi, Ahmad ibn `Abd al-Rahim. t.th. Al-Qawl al-Jamil. t.tp., t.pt.

 

al-Khani, Muhammad ibn `Abdillah. 1989/1409. al-Bahjah al-Saniyyah. Istanbul: Maktabah al-Haqiqah.

 

Yayasan Serba Bakti Pondok Pesantren Suryalaya. 2005. Satu Abad Pondok Pesantren Suryalaya, Perjalanan dan Pengabdian 1905-2005. Tasikmalaya: Yayasan Serba Bakti.

 



[1] H.A.R. Gibb dan J.H. Kramers, Shorter Encyclopaedia of Islam, hlm.5.

[2] al-Kurdi, Tanwir al-Qulub, hlm.501.

[3]H.A.R. Gibb & J.H. Kramers, Shorter Encyclopaedia, hlm.5; dan Van Hoeve, Ensiklopedi Islam.

[4] Hawash Abdullah, Perkembangan Ilmu Tasawuf, hlm.177; dan Bruinessen, Tarekat Naqshabandiyah, hlm. 91.

[5]Ahmad Khatib, Fath al-`Arifin, hlm. 1.

[6] Bruinessen, Tarekat Naqsyabandiyah, hlm.

[7] Hawash Abdullah, Perkembangan Ilmu Tasawuf, hlm. 181.

[8] Sulaiman Yasin, Mengenal Ilmu Tasawuf, hlm.130.

[9] Ahmad Khatib, Fath al-`Arifin, hlm.9-10. Silsilah ini juga dikemukakan oleh Shaykh Ahmad Sahib al-Wafa Taj al-`Arifin (Lih. Yayasan Serba Bakti Pondok Pesantren Suryalaya, Uqudul Jumaan, hlm.26-31).

[10] Lih. Bruinessen, Tarekat Naqshabandiyah, hlm.91.

[11] Yayasan Serba Bakti Pondok Pesantren Suryalaya, Satu Abad Pondok Pesantren Suryalaya, hlm.104. 104; Band. al-Kurdi, Tanwir al-Qulub, hlm.500-502; al-Khānī, al-Hada’iq al-Wardiyyah, hlm.6; & al-Harawi, Rashahat, hlm.6.

[12] Rabitah adalah wasilah yang termasuk dalam apa yang difirmankan Allah dalam al-Qur’an yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan carilah wasilah kepada-Nya”(al-Qur'an, al-Maidah,35). Menurut ahli tarekat, shaykh yang boleh dijadikan rabitah ialah shaykh yang telah mencapai peringkat baqa' yang sempurna setelah mencapai fana' yang sempurna. Dia juga hendaklah seorang yang kuat bertawajjuh dan sentiasa melakukan "yad dasht". (Lih. al-Khani, al-Bahjah al-Saniyyah, hlm.44; al-Dahlawi, al-Qawl al-Jamil, hlm.48). Tokoh-tokoh tasawwuf telah mengemukakan beberapa definisi rabitah. Secara umumnya, rabitah ini adalah menerangkan tentang menghadirkan ruhaniyyah para mashayikh silsilah tarekat bagi mendapatkan limpahan daripada  kerohanian mereka bagi menolak lintasan-lintasan (khawatir) syaitan (Lih. Darniqah, al-Tariqah al-Naqshabandiyyah, hlm.28.). Rabitah merupakan ikatan antara murid dengan shaykh yang berasaskan perasaan kasih (mahabbah) dan hubungan kerohanian secara ma`nawi di mana antara natijahnya ialah terhasilnya kejinakan atau kemesraan antara hati murid dengan hati shaykh (Lih. al-Harawi, Rashahat, hlm.194.). Asas rabitah ialah bersahabat dengan shaykh atau berdampingan dengannya sebagaimana yang disuruh dalam al-Qur'an yang bermaksud “wahai orang yang beriman hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan bersama-samalah dengan orang-orang yang benar”( al-Qur'an, al-Tawbah, 119). Antara tujuannya ialah untuk menghasilkan mujanasah dan nisbah iaitu untuk mendapatkan sifat-sifat dan hal-hal kerohanian yang ada pada diri shaykh yang mendidik. Bersama-sama dengan orang yang benar (kainunah / ma`iyyah) merangkumi dua maksud. Pertama, bersama-sama secara zahir iaitu berdampingan. Kedua, bersama-sama secara ma'nawi  dan inilah yang dikehendaki dengan rabitah (Lih.  Sahib, As`ad, Bughyah al-Wajid, hlm.73; al-Kurdi, Tanwir al-Qulub, hlm.518). Oleh kerana sentiasa berdampingan dengan shaykh itu adalah satu perkara yang sukar dilakukan maka rabitah boleh menggantikan tempatnya. Ini kerana, menggambarkan rupa shaykh yang kamil juga mendatangkan faedah atau menghasilkan natijah sebagaimana juga bersahabat dengannya ( Lih. al-Dahlawi, al-Qawl al-Jamil, hlm.48).

[13] Lih. Ahmad Khatib, Fath al-`Arifin, hlm.3-4; dan Yayasan Serba Bakti Pondok Pesantren Suryalaya, Uqudul Jumaan, hlm.4-9.

[14] Lih. KHA Shohibulwafa Tajul Arifin, Ibadah Sebagai Metoda Pembinaan.

[15] Al-Qur’an, Surah Ibrahim, 24-25.

[16] Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud dan al-Nasa’i.

[17] Hadis Riwayat al-Hakim.

[18] K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin, Kunci Pembuka Dada, hlm.15.

[19] Lih. Yayasan Serba Bakti, `Uqud al-Juman.

[20] Al-Qur’an, Surah al-A`raf, 205.

[21] Al-Qur’an, Surah al-A`raf, 55.

[22] Al-Qur’an, Surah al-Muzammil, 8.

[23] Ahmad Khatib, Fath al-`Arifin, hlm.4-5.

[24] Al-Qur’an, Surah al-Zumar,23.

[25] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah, 115.

[26] Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari.

[27] Lih. Ahmad Khatib, Fath al-`Arifin, hlm.6-9.

[28] Lih. Ahmad Khatib, Fath al-`Arifin, hlm. 10-11; Yayasan Serba Bakti, `Uqud al-Juman, hlm.10-25; al-Qazani, Dhayl Rashahat, hlm.233-335; dan al-Kurdi, Tanwir al-Qulub, hlm.523-524.

[29] Ahmad Khatib, Fath al-`Arifin, hlm.5.

[30] Lih. Juhaya, Pondok Pesantren Suryalaya, hlm.137.

[31] Ahmad Khatib, Fath al-`Arifin, hlm.5-6.

[32]  al-Naysaburi, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, Bab Bayan al-Iman wa al-Islam wa al-Ihsan ; al-Bukhari, al-Jami` al-Sahih, Kitab al-Iman, Bab Su'al Jibril al-Nabiyy Salla Allahu `Alayhi wa Sallama `an al-Iman wa al-Islam wa al-Ihsan; & Ibn Hanbal, al-Musnad, Jil.1,hlm.64.

 

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Aras 15, Menara MAINS,
Jalan Taman Bunga,
70100 Seremban,
Negeri Sembilan Darul Khusus.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427