Sun03262017

Last updateWed, 22 Mar 2017 2pm

Font Size

SCREEN

Profile

Layout

Menu Style

Cpanel
Back You are here: Halaman Utama Arkib Tareqat Tasauwuf Maklumat Tareqat Tasauwuf PENGENALAN TAREKAT NAQSYABANDIYYAH

PENGENALAN TAREKAT NAQSYABANDIYYAH

Pengasas

Tarekat Naqsyabandiyyah ialah sebuah tarekat yang dinisbahkan kepada Syeikh Baha’ al-Din, Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad al-Syarif al-Hasani al-Husayni al-Uwaysi al-Bukhari (717-791H/1317-1388M). Beliau lebih dikenali dengan gelaran Shah Naqsyaband. Naqsyaband terdiri daripada dua perkataan iaitu ‘naqsy’ dan ‘band’ yang membawa maksud ukiran yang kekal. Gelaran ini diberikan kepada Syeikh Muhammad Baha’ al-Din kerana dikatakan bahawa beliau melakukan zikir Ism al-Zhat (Allah) di dalam hati sehingga zikir tersebut seolah-olahnya terukir di cermin hati. Ini memberikan gambaran bahawa tumpuan utama tarekat ini ialah pada melakukan zikir secara khafi (sirr). Inilah yang menjadi keistimewaan tarekat ini dan membezakannya dari kebanyakkan tarekat lain.

Menurut ahli tarekat ini, sejak dahulu sampai sekarang, tarekat ini dikenali dengan beberapa panggilan iaitu Siddiqiyyah, Tayfuriyyah, Khujakaniyyah, Naqsyabandiyyah, Ahrariyyah, Mujaddidiyyah, Mazhariyyah, dan Khalidiyyah. Nama-nama ini diambil sempena nama tokoh-tokoh penting tarekat ini pada period-period tertentu.


Kemasukan Tarekat Naqsyabandiyyah

Ke Negeri Sembilan Darul Khusus 

Haji Ahmad bin Muhammad al-Baqir merupakan seorang tokoh yang membawa masuk Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah ke Negeri Sembilan. Beliau menetap di Batu 7, Pantai, Jalari, Jelebu, Negeri Sembilan. Di kampung tersebut telah didirikan sebuah surau suluk yang menjadi pusat kegiatan pengamalan Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah dan beliau menjadi pemimpin pertama perjalanan suluk di situ. Haji Ahmad telah mengambil Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah dari Syeikh Ali al-Rida iaitu syeikh tarekat tersebut di Jabal Abi Qubays, Makah. Syeikh Ali al-Rida pula telah mengambil Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah dari ayahnya, Syeikh Sulayman al-Zuhdi. Syeikh Sulayman al-Zuhdi telah mengambilnya dari Syeikh Sulayman al-Qamiri. Syeikh Sulayman al-Qamiri ialah murid serta khalifah kepada Syeikh Abd Allah al-Arzinjani. Syeikh Abd Allah al-Arzinjani pula mengambilnya dari Syeikh Khalid al-Uthmani al-Kurdi.

Haji Ahmad meninggal dunia pada tahun 1942. Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah yang dibawa oleh beliau itu kemudiannya telah diwarisi dan dikembangkan oleh khalifah-khalifah beliau. Antara yang terkenal ialah Haji Maruf bin Yaqub (1901-1994). Haji Maruf telah mengambil Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah dari Haji Ahmad pada tahun 1920. Beliau telah diizinkan memimpin tawajjuh dan suluk oleh gurunya pada tahun 1942. Beliau telah mendirikan sebuah surau suluk di Kampung Baru, Pekan Lenggeng, Negeri Sembilan pada tahun 1965 dan menjadikannya sebagai pusat kegiatan pengamalan Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah. Di bawah pimpinan beliau, Tarekat Naqsyabandiyyah Khalidiyyah talah berkembang pesat ke serata tempat di Semenanjung Malaysia khususnya di Negeri Sembilan, Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Perak dan juga Singapura. Setelah kematian Haji Maruf, tarekat tersebut telah dikembangkan pula oleh beberapa orang khalifah baliau antaranya Haji Sulaiman bin Haji Muhammad Nur yang menggantikan beliau sebagai mursyid di surau suluk Kampung Baru, Pekan Lenggeng, Negeri Sembilan.

Amalan Tarekat Naqsyabandiyyah 

Tarekat merupakan wasilah bagi tazkiyah al-Nafs. Bagi mencapai tujuan tersebut, Tarekat Naqsyabandiyyah menekankan tiga cara utama iaitu:

1.     Zikir

Tarekat Naqsyabandiyyah memberikan penekanan khusus kepada amalan zikir. Prinsip-prinsip zikir dan perkara yang berkaitan dengannya dalam tarekat ini dapat ditemui dalam sebelas perkataan Parsi iaitu Hush Dar Dam, Nazar Bar Qadam, Safar Dar Watan, Khalwat Dar Anjaman, Yad Kard, Baz Kasht, Nakah Dasht, Yad Dasht. Ianya dinisbahkan kepada pengajarnya Syeikh Abd al-Khaliq al-Ghujdawani. Manakala 3 lagi iaitu wuquf adadi, wuquf zamani dan wuquf qalbi adalah dinisbahkan kepada pengajaran Syeikh Muhammad Baha’ al-Din. Kebanyakan zikir dilakukan secara khafi (sirr).

Dalam Tarekat Naqsyabandiyyah terdapat dua jenis utama iaitu zikir individu yang terdiri dari zikir Lata’if dan Nafy Ithbat dan zikir berjamaah iaitu zikir Khatam Khujakan yang terdiri daripada bacaan al-Fatihah, selawat, surah Insyirah, surah al-Ikhlas, dan kemudian selawat dengan susunan dan jumlah tertentu.

2.     Muraqabah

Muraqabah bermaksud tilikan atau tumpuan hati secara berterusan terhadap Allah serta menunggu limpahan kurnia dariNya. Ianya dilakukan sehingga menjadi satu sifat yang sebati dengan dirinya. Ahli Tarekat Naqsyabandiyyah menjelaskan bahawa muraqabah merupakan satu cara tersendiri dalam mencapai hakikat insan, namun ia tidak dapat dilaksanakan sebaik-baiknya kecuali setelah zikir menjadi mantap. Berterusan melakukan muraqabah membawa kepada tercapainya musyahadah. Dalam Tarekat Naqsyabandiyyah terdapat beberapa jenis muraqabah yang diamalkan dan menjadi asas bagi muraqabah-muraqabah itu iaitu Muraqabah Ahadiyyah, Muraqabah Ma‘iyyah dan Muraqabah Mutlaq.

3.     Suhbah dan Rabitah

Suhbah bermaksud berdampingan murid dengan Syeikh dengan menjaga adab-adab perdampingan, rabitah pula ialah ikatan atau tautan hati dengan Syeikh berasaskan rasa kasih, hormat, dan mulia.

والله أعلم

Dipetik daripada buku ‘Munaqashah Sufi Peringkat Kebangsaan 2004’, terbitan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, kertas bertajuk Tarekat Naqsyabandiyyah: Perkembangan dan Sumbangan Ikhwannya di Malaysia oleh Dr Abdul Manam bin Mohamad, Pensyarah UniSZA.

Awam / Pelawat

Pautan Staff

Penerbitan

Mobile / Smartphone

Rangkaian Jabatan

Pautan Agensi :

myGov | Ketua Setiausaha Negara | MSC | 1 Malaysia | SUK NSLHDN | JPA | SPA | Kementerian Kewangan Malaysia | myEG |eKL | MDeC | MyBayar | PEMUDAH | MAMPU | Biro Pengaduan Awam | MySMS | Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia |E-Pembelajaran Sektor Awam | e-federal Gazzete | u-library

Pautan Jabatan Mufti Negeri :

Kelantan Darul Naim | Melaka Bandaraya Bersejarah | Pahang Darul Makmur | Perak Darul Ridzuan | Perlis Indera Kayangan |  Sabah Di Bawah Bayu | Sarawak Bumi Kenyalang | Selangor Darul Ehsan | Terengganu Darul Iman 

Hubungi Kami :
Tingkat 3,
Bangunan SUK Lama, Jalan Dato' Hamzah,
70990 Seremban,
Negeri Sembilan.
Tel : 06-7652426
Fax : 06-7652427