Penggunaan Peralatan dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa :

Berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.

Sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut Syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak berleluasa.

Peralatan atau perhiasan bone china juga tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.

Sehubungan itu, adalah diputuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.

Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan.

 

About Author

Connect with Me:

Comment on this FAQ

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast