Mewarnakan rambut

Soalan:

Dikatakan harus mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami. Jika warnakan rambut dengan warna selain hitam hukumnya tetap sama atau tidak?

 

Jawapan:

Sunat mewarnakan uban dan rambut dengan warna lain, sama ada kuning atau merah.

(Fiqh Manhaji Jilid 3:347)

Penggunaan pewarna rambut untuk tujuan mewarna mestilah disahkan status halalnya terlebih dahulu dan menepati tiga syarat iaitu:-

(1)        boleh menyerap air, supaya wudhuk dan mandi wajib menjadi sah

(2)        tidak mengandungi bahan yang memudaratkan kulit; seperti kanser, kekeringan rambut, allergi  dan sebagainya

(3)        dibuat daripada bahan yang tidak bercampur dengan najis dan daripada bahan yang suci dan halal

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi wajib atau wuduk. Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi wajib atau sebahagiannya ketika berwuduk. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut, maka tidaklah sah mandi wajib dan wuduk berkenaan tidak sah.

 

 

Fatwa untuk rujukan:

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

 

JADUAL/SCHEDULE

  1. Sunat 

Mewarna rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain daripada warna hitam

  1. Harus

(a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad

(b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.

  1. Makruh

(a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh

(b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.

  1. Haram

(a)  Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 2(a) dan (b)

(b)  Mewarnakan rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.

 

About Author

Connect with Me:

Leave a Reply

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast