admin

Bacaan al-fatihah dalam solat

Soalan:

Saya ingin bertanya, jika saya membaca surah al-fatihah dengan kaedah bacaan saktah, sedangkan fatihah adalah salah satu rukun qauli dan perlu dibaca dengan tajwid yang tepat, dan perlu di baca dengan waqaf. maksud kaedah bacaan saktah ialah saya membaca surah fatihah itu dengan berhenti seperti biasa akan tetapi semasa saya berhenti, saya tidak mengambil nafas baru. saya berhenti tetapi terus sambung ayat seterusnya tanpa mengambil nafas baru, sama seperti bacaan saktah ,sedangkan dalam qiraat kita, saktah hanya ada di 4 tempat sahaja di dalam al quran..jadi, secara tidak sedar, bacaan fatihah saya telah rosak dari segi tajwid, adakah solat saya batal?

 

Jawapan:

Solat yang dikerjakan adalah sah kerana kesalahan tersebut adalah kesalahan “Lahn Khafi” yang tidak membatalkan solat. Namun, adalah dituntut untuk memperbaiki bacaan al-Fatihah di masa akan datang.

Hukum qaza’

Soalan:

Saya nak dapatkan keterangan tentang qaza’. Adakah mencukur anak rambut dan membuat perapian seperti mencukur lebihan rambut pada sekeliling telinga di tepi dan bahagian tengkuk dikira sebagai qaza’ dan dilarang.

 

Jawapan:

Menurut jumhur ulama hukum mencukur sebahagian kepala dan membiarkan bahagian yang lain adalah ‘makruh tanzih’ kecuali bagi rujukan perubatan (berbekam dan lain-lain).

Larangan ini termasuk ke atas lelaki dan wanita kerana memburukkan ciptaan Allah, melambangkan kebodohan dan menyerupai fesyen agama Yahudi sebagaimana hadis Ibn Umar r.a yang bermaksud,

“Rasulullah melarang melakukan al qaza”

 

 

 

Bayar zakat fitrah anak angkat

Soalan:

Saya ada satu pertanyaan: Anak angkat yang dipelihara sejak lahir, siapa yang wajib membayar zakat fitrahnya, ayah kandung atau ayah angkat?

 

Jawapan:

Zakat fitrah itu wajib pada diri seseorang dan tanggungan di bawahnya. Orang yang menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya.

Malas qada’ solat

Soalan:

Saya pernah terlintas rasa malas nak qadha solat namun saya teruskan juga qadha solat dan saya menafikan rasa malas itu. Adakah saya dapat elakkan diri daripada sifat munafik?

 

Jawapan:

Tahniah kerana berjaya melawan hawa nafsu yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Untuk menghindarkan diri dari sifat munafik ini perlu kita membersihkan hati dahulu dari sifat-sifat mazmumah dan seterusnya memahami tentang keutamaan dan kelebihan solat. Seterusnya memahami tentang implikasi dan seksaan-seksaan bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja

Cerai taklik

Soalan:

Saya pernah mengadu pada suami tentang saya sering teringatkatkan kisah silam bersama lelaki lain. Saya pernah berkata padanya ‘saya takut awak akan ceraikan saya.. Beliau membalas nak ke? Saya jawab tak nak. Kemudian beliau membalas jika tak nak, janganlah buat lagi. Adakah jatuh talak sekiranya saya mengingati kisah silam tersebut? Sebab saya kurang pasti apa yang dimaksudkan perkara ‘jangan buat lagi’. Saya risau dan perkara ini sering bermain di pikiran saya. Kerana saya pernah mengingati kisah silam bersama lelaki tersebut selepas kejadian itu. Adakah situasi ini dikira sebagai cerai taklik?

 

Jawapan:

Lafaz talak tersebut tidak dianggap sebagai cerai taklik yang lengkap yang bergantung kepada sayaarat yang ditetapkan oleh suami. Walau bagaimanapun keputusan muktamad hanya dapat diperolehi selepaskes ini dibicarakan di Mahkamah Sayaariah berdekatan bagi memastikan adakah benar pihak suami bermaksud sedemikian. Selain itu, apa yang bermain di fikiran adalah sesuatu yang subjektif dan sukar untuk dihindarkan sama sekali.

Cat masih terdapat pada kuku

Soalan:

Saya mengambil kursus “mengecat” di Giat Mara. Di sana saya kerap buat aktiviti-aktiviti yang menggunakan cat. Seperti mengecat kereta, kemudian menggossok cat tersebut, seterusnya cat semula dan proses ini dibuat berulang-ulang kali.

Persoalan saya ustaz, semasa melakukan aktiviti tersebut akan ada cat yang melekat pada kawasan celah-celah kuku dan ada yang memang melekat para kuku. Saya cuba membersihkan cat yang melekat dikawasan tangan saya itu menggunakan “thinner” tetapi kotoran itu masih lagi tidak hilang.

Adakah saya perlu qadha semula solat saya yang saya buat sebelum ni setelah kotoran cat  tu hilang 100 peratus?

 

Jawapan:

Jika sememangnya ketika berwudhuk sudah terdapat liquid/cat di mana sifatnya boleh menghalang air daripada sampai ke kulit, maka tidak sah wudhuk, dan perlu dihilangkan dahulu kemudian berwudhuk.

Akan tetapi dimaafkan (terdapat sedikit kesan cat dan sukar hendak dihilangkan) kepada orang bekerja sebagai pengecat. Maka solat tersebut, tidak perlu diganti (qada’) atas sebab yang telah dinyatakan di atas.

Badal haji untuk arwah suami

Soalan:

Bolehkah isteri mengerjakan badal haji bagi suami? Daripada manakah sumber kewangan digunakan.

 

Jawapan:

Merujuk kepada soalan puan hukum mengerjakan badal haji adalah diharuskan oleh syarak menurut jumhur fuqaha’. Antara syarat sah untuk melakukan badal haji ialah:

  • Boleh bagi wanita mengambil badal haji untuk lelaki dan sebaliknya
  • Sebaiknya badal haji itu dilaksanakan oleh anaknya, kerabatnya dan saudara mara yang terdekat dengannya. Jika dilakukan oleh orang lain, maka hukumnya adalah harus.
  • Bila mati seseorang itu dan dia memiliki wang, maka selayaknya dia dihajikan dengan diupah kepada orang lain dengan menggunakan wangnya sama ada dia berwasiat ataupun tidak.

Kesimpulannya, hukum mengupah haji kepada mereka yang telah meninggal dunia yang tidak sempat untuk menunaikan haji ketika hidup adalah diharuskan syarak namum lebih afdhal waris sendiri yang melaksanakan upah haji bagi seseorang yang meninggal dengan syarat yang telah disebutkan tadi. Sekiranya tiada waris terdekat barulah boleh mengupah orang lain melaksanakannya berdasarkan syarat-syarat yang disebutkan.

Memancing di kolam berbayar

Soalan:

Apa hukum memancing kolam berbayar, ada yang mengatakan haram?.

 

Jawapan:

Menurut pendapat ulama’, hukumnya adalah harus memancing di kolam yang berbayar kerana menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Namun begitu ia boleh menjadi haram sekiranya diadakan pertandingan yang menawarkan hadiah hasil dari kutipan daripada pemancing kerana ianya dianggap unsur perjudian ( القمار ).

Najis anjing

Soalan:

Anjing sering melalui kawasan kaki lima rumah saya, adakah saya perlu sertu @ samak di kawasan tersebut? Ini kerana kadangkala anak-anak keluar rumah tanpa kasut.

Jawapan:

Majoriti ulama’ sepakat bahawa anjing ialah najis dan dikategorikan sebagai najis mughallazah kerana cara basuhan najis anjing lebih berat daripada najis lain. Namun begitu, jika tuan tidak yakin (syak) sama ada anak-anak tuan terpijak najis atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan anjing tersebut, maka hendaklah diabaikan syak wasangka tersebut tanpa perlu menyertu atau menyamak.

Daripada Hassan bin Ali RA, Rasulullah s.a.w bersabda,

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ، فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ، وَإِنَّ الكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu, kepada yang tidak meragukan kamu. Maka sesungguhnya perkara yang benar itu mendatangkan ketenangan dan sesungguhnya perkara yang dusta itu mendatangkan keraguan. 

 

Kaedah yang bertepatan dengan syak menyebut:

الشك لا يبنى عليه حكم

Maksudnya: Hukum tidak akan terbina keatas perkara syak