Masa hadapan

Soalan :

Apakah masa hadapan kita termasuk dalam perkara yang ghaib?

Dan apakah masa hadapan kita hanya Allah yang mengetahui?

 

Jawapan:

Masa hadapan seseorang adalah termasuk dalam perkara ghaib yang tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah swt sahaja. Sesiapa yang mendakwa mengetahui masa hadapan tanpa alasan munasabah, seolah-olah dia telah menandingi kekuasaan Allah.

Firman Allah swt:

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.

(Surah al-A’raf: 188)

 

Kenan

Soalan:

Bolehkan saya(suami) membela ikan hiasan yang mempunyai rupa pelik( kepala besar, perut besar, mata besar) ketika isteri sedang hamil ??saya musykil sebab takut dikaitkan dengan kenan..terima kasih

 

Jawapan:

Harus memelihara haiwan ternakan atau hiasan dengan syarat kebajikan dan makan minumnya dijaga dengan baik.

Percaya kepada ‘kenan’ merupakan salah satu bentuk kepercayaan yang boleh membawa kepada syirik. Ia dikatakan syirik kerana terdapat keyakinan dalam hati terdapat kuasa lain yang dapat mempengaruhi kehidupannya seperti mengaitkan kecacatan dan kemudaratan yang dialami bayi disebabkan oleh binatang tersebut .

Umat Islam dilarang untuk menganggap sesuatu perkara atau makhluk lain boleh  memberi keburukan, sial, nasib malang dan sebagainya. Hal ini bagi mengelakkan kita terjerumus dalam mensyirikkan Allah swt.

Sebaliknya kita hendaklah sentiasa bertawakal dan bersangka baik kepada Allah swt apabila berlaku sesuatu musibah, bukan menyalahkan perkara tertentu atau sesuatu itu pembawa malang atau sial. Berpegang teguhlah kepada kekuasaan Allah serta serahkanlah urusan sepenuhnya kepada Allah swt. Ingatlah firman-Nya:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

(Surah al-Talaq: 3)

Menilik nasib

Soalan:

Apakah hukum pergi kepada tukang tilik nasib untuk menilik nasib sendiri?

 

Jawapan:

Hukum mempercayai tilikan tukang tilik adalah berdosa dan termasuk dalam amalan khurafat. Ia adalah perbuatan yang haram dalam Islam kerana boleh menyebabkan  syirik kepada Allah. Oleh itu, sebagai orang Islam wajib kita menjauhinya.

 

Surah Al-Maidah ayat 90;

Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

 

Bayar hutang dengan duit haram

Soalan:

Apakah hukum membayar hutang dengan menggunakan sumber yang haram (hasil dari kegiatan gangster).

 

Jawapan:

Apabila sudah berhutang, kita wajib membayarnya. Membayar hutang dengan duit dari sumber yang haram, hukumnya adalah haram dan tidak dibenarkan kerana wang itu tidak boleh disucikan disebabkan hukum asalnya ialah haram. Hutang tidak terlunas dengannya.

Jika pemiutang mengetahui sumber yang digunakan oleh penghutang untuk membayar hutangnya daripada sumber yang haram dan dia menerimanya, maka hukumnya juga ialah haram kerana bersubahat.

Wang itu menjadi Harta atau wang tidak patuh Syariah iaitu merujuk kepada semua jenis harta yang diperolehi dengan cara yang bertentangan dengan Syariat Islam. Harta tersebut dikategorikan sebagai pemilikannya yang tidak diiktiraf oleh syarak. Harta atau wang tidak patuh syariah boleh disalurkan ke Baitulmal Negeri.

Penggunaan dana masjid

Soalan:

Saya selaku individu yang terlibat menguruskan dana masjid/surau ingin mohon pandangan tentang hukum penggunaan wang masjid/surau diberikan kepada masyarakat sebagai sumbangan kebajikan sempena musim covid ini.

 

Jawapan:

Pihak masjid/surau hendaklah memastikan sumber atau tujuan dana masjid/surau yang terkumpul seperti derma individu atau organisasi kedalam akaun bank atas nama masjid/surau, atau derma yang dimasukkan ke dalam tabung yang disediakan di masjid/surau, tabung jumaat, wakaf tunai, pungutan derma sempena hari raya, tabung bergerak, sumbangan kerajaan, hasil sewaan dan sebagainya yang dimasukkan kedalam akaun masjid/surau. Berikut adalah kategori dana masjid/surau dan perbelanjaannya:

Wakaf tunai yang dipungut khusus untuk pembangunan masjid / surau;

Wajib dibelanjakan untuk pembangunan fizikal masjid yang berkenaan seperti pembelian tapak masjid / surau, membina, membaikpulih, mengubahsuai, membesarkan, membeli peralatan, perkakasan, infrastruktur dan kemudahan fizikal yang bersangkutan dengan kepentingan masjid / surau berkenaan sama ada pada masa sekarang atau pada masa yang akan datang.

Wang atau aset yang diwakafkan untuk masjid / surau yang tertentu;

Wajib dibelanja atau diguna untuk manfaat dan maslahat masjid / surau yang ditentukan itu. Ia tidak boleh dibelanja, dipindah atau digunakan kepada masjid / surau lain sebagai menghormati niat pewakaf berkenaan.

Wang yang didermakan oleh orang ramai sebagai khairat / kebajikan kepada sesebuah masjid / surau;

Harus dimanfaatkan untuk aktiviti-aktiviti yang mendatangkan kemaslahatan ahli jemaah dan anak kariah masjid / surau berkenaan contohnya seperti bayaran saguhati pensyarah dan guru yang mengajar di masjid / surau itu, mengadakan jamuan, majlis berbuka puasa untuk ahli jemaah dan anak kariah masjid / surau dan sebagainya.

Wang yang didermakan oleh orang ramai bagi menjalankan aktiviti tertentu;

Ia harus dibelanjakan kepada aktiviti yang dikhususkan itu sahaja seperti Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil, Majlis Doa Selamat Pergi / Balik Haji, Majlis Sambutan Hari Kebesaran Islam dan sebagainya. Baki atau lebihan wang daripada pungutan derma khas yang dibuat bagi menjalankan aktiviti/majlis tertentu bolehlah disimpan dan dianjakkan derma tersebut kepada majlis yang serupa pada masa akan datang. Jika hendak dibelanjakan baki atau lebihan derma tersebut kepada aktiviti / majlis yang lain, wajiblah dihebahkan kepada orang-orang yang berderma untuk makluman.

Jika tidak diketahui niat dan tujuan orang yang berderma itu dengan jelas, maka hendaklah dilihat dari segi adat kebiasaan (‘uruf’) sesebuah masjid / surau dalam membelanjakan wang derma itu. Pihak Jawatankuasa harus merancang dan membelanjakan lebihan wang tabung masjid / surau tersebut untuk maslahah anak kariah secara khusus mahupun untuk kepentingan ummat Islam secara umum tertakluk kepada budi bicara serta kebijaksanaan masing-masing dengan syarat ia diurus dengan penuh amanah dan hikmah.

Tabung masjid atau surau sekiranya bukan berbentuk tabung yang dikhususkan untuk tujuan tertentu, pada asasnya merupakan wang derma yang disumbangkan oleh umat Islam dengan niat untuk kemaslahatan masjid atau surau dan ahli kariah. Maka ia boleh digunakan untuk apa sahaja aktiviti atau kepada sesiapa sahaja golongan yang memerlukan selama mana terdapatnya maslahah kaum muslimin menerusi pemberian tersebut.

Penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan dengan kaedah dan pemantauan yang rapi oleh Pengurusan Masjid / Surau. Bentuk dan kadar bantuan diserahkan kepada kebijaksanaan pengurusan masjid dengan mengambil kira beberapa faktor serta mengikut kemampuan pihak masjid.

Zakat fitrah secara online

Soalan:

Jika sebuah keluarga menggunakan beras basmathi yg sekilogram harga dalam RM5. Jika mengikut makanan ruji mereka, zakat fitrahnya ialah RM13 seorang berdasarkan 2.60 kg x RM5. Adakah zakat fitrah mereka ikut seperti di atas atau ikut keputusan MAINS ialah RM7.00. Kalau keluarga ini kena bayar mengikut makanan ruji mereka, bagaimana akad dan bayaran atas talian dapat disempurnakan?

 

Jawapan:

Di sisi ulama mazhab Imam al-Syafie, pendapat yang paling sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk, iaitu berdasarkan jenis purata beras yang dimakan penduduk sesebuah negeri.

Sunat hukumnya jika seseorang individu ingin membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan dan melebihi kadar minimum yang ditetapkan oleh MAINS sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat.

Hukum pembayaran zakat secara elektronik dan online adalah harus, ini berdasarkan kepada fatwa,  ‘kaedah pembayaran zakat fitrah melalui SMS sama ada secara prabayar atau pascabayar adalah harus.’

Pembayaran zakat sah sekiranya tidak disertakan akad ijab dan qabul. Kerana syarat wajib zakat fitrah ialah,

  1. Islam
  2. Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.
  3. Mampu; memiliki harta yang melebihi keperluan untuk makan bagi diri dan tangungannya pada siang dan malam raya, serta keperluan tempat tinggal.

Zakat/fidyah

Soalan:

Saya nak tanya beberapa soalan berkaitan fidyah.

  1. Golongan faqir dan miskin adalah golongan yang layak terima, apakah definisi sebenar 2 golongan ini?
  2. Saya ingin mengenal pasti status saya, adakah saya kelompok layak terima fidyah? Ayah saya baru pencen, ibu tidak bekerja, adik beradik 8 orang, seorang sudah bernikah manakala 2 lagi sudah bekerja. Saya seorang pelajar di luar negara yang hanya bergantung pada duit zakat dan pinjaman.
  3. Jika saya sudah menerima duit fidyah dari seseorang sedangkan saya tidak layak, adakah saya boleh infakkan kepada golongan faqir dan miskin yang sebenar meskipun akad atas nama saya? Dan adakah bayaran fidyah tersebut dikira sah sebab saya sudah memberi kepada insan yang lebih layak menerimanya?

 

Jawapan 1:

Takrifan Asnaf – Fakir

Fakir ialah seorang yang tidak mempunyai sebarang harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan daripada sumber-sumber lain tetapi jumlahnya tidak sampai 50% daripada had kifayah untuk keperluan asas dirinya dan tanggungannya.

Kriteria Asnaf Fakir :

  1. Orang yang tiada harta atau pendapatan kerana hilang upaya bekerja dengan sebab :
  2. Hilang keupayaan fizikal seperti uzur, cacat, sakit berpanjangan dan seumpamanya.
  3. Hilang keupayaan mental seperti gila, sakit mental, hilang ingatan dan seumpamanya.
  4. Orang yang ada harta atau pekerjaan atau pendapatan, tetapi tidak mencapai 50% had kifayah dirinya dan tanggungannya.
  5. Orang yang kehilangan sumber nafkah secara kekal dan tiada ahli keluarga yang dapat menyara kehidupannya.
  6. Kefakiran berlaku bukan disebabkan malas bekerja atau tidak berusaha mencari pekerjaan.
  7. Mendapat bantuan daripada mana-mana pihak tetapi masih tidak mencukupi had kifayah.

 

Takrifan Asnaf – Miskin

Miskin ialah seorang yang mempunyai pekerjaan atau pendapatan yang melebihi 50% had kifayah untuk keperluan asas dirinya dan tanggungannya.

Kriteria Asnaf Miskin

  1. Orang yang memiliki harta atau pekerjaan atau pendapatan tetapi tidak mampu menampung had kifayah dirinya dan tanggungannya.
  2. Harta atau pendapatan yang dimiliki mampu menampung lebih 50% keperluan asasi dirinya dan tanggungannya tetapi masih belum mencukupi had kifayah.
  3. Orang yang memiliki harta atau pendapatan tetapi tidak mencukupi untuk menanggung kos keperluan asasi yang tinggi seperti kos rawatan.
  4. Kemiskinan yang sementara atau mendesak.

 

Jawapan 2:

Saudari seorang pelajar dan termasuk kategori asnaf Riqab dan layak menerima zakat.

Definisi asnaf Riqab ialah – Orang Islam yang dibelenggu atau dieksploitasi dari aspek pemikiran, harta benda, kekuasaan dan kebebasan yang tidak mampu membebaskan dirinya daripada belenggu tersebut.

 

Skim Asnaf Riqab :

  1. Dermasiswa Pelajaran
  2. Bantuan Sekolah Agama Rakyat
  3. Pembudayaan Al-Quran Dan Ilmu
  4. Bantuan kepada Sek.Men.Agama di Negeri Sembilan
  5. Bantuan Kebajikan Am IPT
  6. Bantuan Kebajikan Persekolahan
  7. Saguhati Pelajar Timur Tengah
  8. Pembayaran Elaun Penyelia Kafa
  9. Bantuan Perpustakaan Sek.Agama
  10. Bantuan Aktiviti Institusi Pendidikan

 

Jawapan 3:

 Fidyah tidak boleh diberi kepada mana-mana individu tanpa mengetahui kedudukannya.

Berdasarkan ayat 184 surah al-Baqarah dan hadis Nabi, fidyah hendaklah diberikan kepada golongan miskin. Fakir adalah termasuk dalam kategori ini berdasarkan qiyas bahawa keadaannya yang lebih serius berbanding orang miskin.

 

Surah al-Baqarah, ayat 184

… فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ …

Maksudya: “…membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin…”

 

Ayat tersebut jelas menyatakan bahawa bayaran fidyah puasa itu adalah untuk orang miskin dan tiada keterangan yang menyatakan untuk mereka yang lain seperti asnaf zakat yang lapan.

 

 

 

 

Anak susuan

Soalan:

  1. Adakah apa-apa perbezaan hukum bagi seorang ibu susuan yang mengambil hormon bertujuan mendatangkan susu badan memandangkan wanita berkenaan sememangnya belum berkahwin ataupun sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai susu badan , tujuan mengambil hormon bagi mendatangkan susu badan bagi diberi kepada anak angkat susuan.

 Jawapan:

 Hukum penyusuan terhadap air susu yang dihasilkan daripada suntikan hormon adalah harus. (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012)

 

Soalan :

  1. Sekiranya dalam kalangan adik-beradik kandung kita ada mengambil anak angkat dan diberi susu badan (menjadi anak susuan), bagaimanakah taraf mahramnya anak susuan berkenaan dengan ahli keluarga yang lain, adakah di kira muhrim seperti anak kandungnya juga (contohnya antara anak susuan tersebut dengan adik beradik ibu susuannya serta dengan datuk atau neneknya iaitu ibu bapa kepada ibu susuannya).

Jawapan:

Anak susuan itu mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut.

Suami akan menjadi ayah susuan dan isterinya adalah ibu susuan yang mana anak susuan dan kerabatnya akan menjadi mahram sebagaimana kemahraman kerana nasab. Status mahram kerana persusuan bersifat kekal meskipun isteri susuan telah dicerai atau meninggal.

 

Soalan:

  1. Berkaitan anak yang tidak sah taraf pula (anak hasil luar nikah) – contohnya adik perempuan saya melahirkan anak perempuan tidak sah taraf , bagaimanakah kedudukan mahramnya dengan saya (bapa saudara), adakah sama kedudukannya sebagaimana anak-anak saudara perempuan yang lain.

Jawapan:

Ya, anak luar nikah kepada adik tuan itu sama seperti anak-anak saudara yang lain. Perhubungan anak tak sah taraf dengan ahli keluarga sebelah ibu adalah hubungan kekeluargaan yang satu. Tetapi, ia tidak diperluaskan pada keluarga bapa yang tak sah itu.

 

Bersunat bagi anak perempuan

Soalan:

Adakah wajib untuk menyunatkan anak perempuan?

 

Jawapan:

Mengikut mazhab Syafi’ie dan jumhur ulama’, berkhitan adalah wajib bagi lelaki dan perempuan.

Ini adalah berdasarkan kepada hadith Nabi:

Yang bermaksud, Lima perkara fitrah: berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur), memendekkan misai. ( Riwayat Muslim ).

Hikmah berkhitan adalah supaya kanak-kanak itu benar-benar bersih dan suci. Tidak syak bahawa dengan memotong kulit yang menutupi hasyafah lebih menjamin untuk mencapai tujuan kebersihan tersebut. Contohnya apabila hendak melakukan ibadah solat, dia hendaklah membersihkan dengan baik kemaluannya supaya tidak ada kekotoran yang melekat.

Bagi kanak-kanak pengidap autism bergantung kepada tahap kesihatannya dan jika tidak ada apa-apa kemudaratan kepadanya wajib dikhitankan.

—————————————————————————————————————————————

Fatwa:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 3/1433H yang bersidang pada 31 Mei 2012 bersamaan 10 Rejab 1433H telah bersetuju memutuskan:

  1. Amalan berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam.
  2. Walau bagaimanapun, Islam juga mementingkan keselamatan umatnya dan memberikan kelonggaran sekiranya sesuatu amalan atau perbuatan itu boleh mendatangkan kemudharatan diri.

3. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama, Muzakarah setuju memutuskan bahawa hukum pemotongan genitalia wanita (Female Genital Mutilation) adalah wajib. Walau bagaimanapun, sekiranya ia boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan.

 

Zakat batu permata

Soalan:

Batu berharga seperti berlian adakah diwajibkan zakat? Jika ya, bagaimana kaedah pengiraan.

 

Jawapan:

Harta-harta perhiasan seperti emas dan perak adalah wajib dizakatkan, manakala perhiasan daripada batu-batu permata, intan, mutiara, dan sebagainya tidaklah wajib dizakatkan, kecuali ia dijadikan sewaan atau jualan hingga mendatangkan hasil. Zakat dikenakan ke atas hasil yang dijana daripadanya sebagai zakat pendapatan atau zakat perniagaan.