Membina kepok di pusara tanah wakaf

Soalan:

Hukum membuat kepok di atas pusaradalam kawasan tanah yang diwakafkan?

Jawapan:

Hukum asal membuat kepungan atau binaan/kepok di atas pusara dalam kawasan tanah yang diwakafkan adalah haram manakala mengapur atau menulis sesuatu di atasnya adalah makruh. Bagaimanapun, hukum tersebut boleh berubah menjadi harus jika ia bertujuan untuk menjaga dan memelihara pusara daripada hakisan air/struktur tanah yang lembut dan pencerobohan binatang liar, seperti dikorek binatang,atau takut dipijak orang,  namun jangan keterlaluan dengan binaan mewah yang terdapat unsur-unsur pembaziran yang ditegah. Hanya dibina diperkarangan tanah kubur si mati. Tidak boleh ambil ruang yang sangat banyak kerana dikhuatiri menggangu tanah kubur lain.

Adakah wang khairat kematian perlu dizakatkan

Soalan :

Adakah wang pertubuhan khairat kematian dan kebajikan yang tersimpan dalam pelaburan khas perlu dizakatkan?

Jawapan :

Wang pertubuhan khairat kematian dan kebajikan yang tersimpan dalam pelaburan khas tidak wajib dizakatkan kerana bukan milik perseorangan tertentu dan bukan milik sempurna.

Bayang hutang jika pemberi hutang sudah meninggal

Soalan :

Bagaimana caranya kita ingin membayar hutang kita jika si pemberi hutang sudah meninggal?

 

Jawapan:

Hutang wajib dibayar. Jika pemberi hutang telah meninggal dunia, hutang tersebut hendaklah diberikan kepada warisnya. Jika tidak mengetahui warisnya, maka hutang tersebut diserahkan kepada Baitul Mal.

Menjual tanah kepada pihak gereja

Soalan :

Sebuah koperasi telah menerima tawaran pembelian tanah milik koperasi daripada pihak gereja. Mohon pandangan dari sudut Islam berkaitan penjualan tanah tersebut.

 

Jawapan :

Harus menjual tanah kepada pihak gereja dan jual belinya sah jka memenuhi syarat rukun jual beli.

Namun jika diketahui bahawa pihak gereja membeli tanah untuk tujuan kemaksiatan seperti membina tempat ibadat mereka di kawasan orang Islam atau untuk memudaratkan orang Islam jual beli seperti ini lebih elok dielakkan.

Guna ayat dari bible untuk panduan hidup

Soalan:

Saya merupakan seorang pelajar tajaan yang sedang belajar di United Kingdom. Ada yang bertanya kepada saya tentang hukum seorang Muslim menggunakan ayat Bible yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dalam kehidupan harian. Sebagai contoh, dia menggunakan sepotong ayat sekadar sebagai motivasi harian tetapi ayat tersebut jelas tidak bertentangan dengan Islam. Adakah perbuatan seperti ini dibenarkan dalam Islam?

Jawapan:

Sekiranya jelas ucapan-ucapan itu berasal daripada kitab bible atau petikan khutbah paderi Kristian sebaiknya dielakkan daripada disebarkan atau diamalkan. Bagi orang yang membaca atau menyebarkannya atas niat menyebarkan ajaran agama tersebut maka berdosa dan tergelincir akidahnya.

Seseorang itu dibolehkan membaca bible untuk tujuan penyelidikan serta memperkuatkan hujah bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah. Sekiranya terdapat kekeliruan apa yang dibaca, dapatkan nasihat daripada alim ulama bagi memastikannya. Adalah lebih baik kita tidak membaca atau mengkaji bible sekiranya kita kurang atau tidak membaca dan memahami al-quran kerana dikhuatiri kita lebih mempercayai dan mengagumi bible sedangkan kita tidak mendalami keistimewaan isi kandungan al-quran.

Nasab dan nafkah anak tidak sah taraf

Soalan:

Jika perempuan berzina kemudian hamil. Kemudian perempuan tersebut telah dikahwini oleh pasangan zinanya /atau bukan. Setelah anak di dalam kandungan dilahirkan, anak tersebut telah dibinkan kepada pasangan zinanya/ bukan. Apa kah hukumnya?

Dan setelah dibinkan nama lelaki tersebut, adakah layak utk si ibu menuntut nafkah?

Jawapan:

Jika perempuan itu berzina dan hamil hasil perbuatan zina tersebut, kemudian bernikah dengan pasangan zinanya atau orang lain, anak yang dilahirkan itu haram dibin/bintikan suaminya (pasangan zinanya atau orang lain)

Oleh kerana seorang anak tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya, tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya atau kemudiannya menjadi suami ibunya, maka dia dianggap sebagai seorang anak yang tidak berbapa, sekalipun sebenarnya lelaki yang menyetubuhi ibunya itu adalah bapa biologinya.

Segala nafkah dan saraan hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ke atas ibunya. Ini adalah kerana anak tak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya dan bukan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

Fotografi

Soalan 1  :

Adakah haram pendapatan kami apabila menjual bingkai gambar beserta gambar studio pada majlis konvokesyen?

Kerana terdapat hadis yang menyatakan bahawa rumah tidak di masuki oleh Malaikat Rahmat kerana tergantungnya gambar di rumah.

 Bagaimana status pendapatan kami yang mana syarikat perlu mengambil gambar ke semua graduan menerima sijil tetapi graduan tersebut tidak menutup aurat dan yang bukan Islam.

Soalan 2 :

Bagaimana status pendapatan syarikat yang menghantar jurugambar untuk mengambil gambar majlis perkahwinan atau majlis yang terdapat di dalamnya wanita Islam yang tidak menutup aurat dan gambar itu di cuci dan di masukkan ke dalam album, kami tidak dapat mengelak untuk tidak mengambil gambar mereka kerana kami di bayar oleh pelanggan untuk merakamkan suasa perjalanan majlis secara keseluruhan.

Soalan 3 :

Jika kami mempunyai mesin pencetak gambar dan pelanggan yang menghantar kepada kami itu adalah mereka yang bukan Islam dan kami mencetak gambar tersebut (yang mana wanitanya tidak menutup aurat contohnya gambar perkahwinan masyarakat India, Cina atau Melayu) bagaimana status pendapatan itu?

Begitu juga jika gambar – gambar tersebut jika kami hasilkan dalam bentuk album untuk simpanan pelanggan.

 

Jawapan:

Pada perinsipya hukum berfotografi adalah harus tetapi perlu diingat selagi mana ianya tidak mengandungi unsur-unsur lain yang boleh menyebabkan perkara tersebut bertukar menjadi kepada perkara yang diharamkan. Seperti mengambil gambar seseorang tokoh lalu diagungkannya maka disini hukum fotografi tersebut berubah menjadi haram, begitu juga dengan gambar-gambar wanita atau lelaki mendedahkan aurat mereka maka hukum fotografi seperti ini juga adalah diharamkan walaupun pada asalnya ia adalah harus.

Pekerjaan mengambil gambar tidak salah dari sudut agama asalkan gambar yang diambil itu tidak menyalahi agama dan syariat. Ia tidak sama dengan melukis dan mengukir manusia atau binatang yang diharamkan oleh agama kerana illah pengharamannya ialah menandingi ciptaan Allah. Mengambil gambar bukan menandingi ciptaan Allah, akan tetapi merakam ciptaan Allah di atas filem atau kertas.

Namun jika suatu perkerjaan yang halal itu dilakukan di dalam keadaan atau tempat yang tidak dibenarkan Islam, maka pekerjaan itu menjadi syubhah (bersekongkol dengan maksiat atau kebatilan). Contoh lain ialah seorang yang bekerja sebagai tukang sapu sampah di pusat judi atau kedai arak. Pekerjaan tersebut halal tetapi tempat kerjanya adalah tempat yang tidak baik. Permintaan pelanggan bukanlah alasan untuk mengharuskan pekerjaan yang haram.

 

Ubat pencair darah

Soalan:

Saya baru sahaja bersalin anak secara czer. Macam biasa doktor bekalkan pencair darah. Untuk makluman ustazah ni kali pertama saya bersalin czer. Saya baru dimaklumkan pencair darah jenis CLEXANE ada mengandungi unsur dna babi.

Persoalan saya adakah dibolehkan? Dan kenapa pihak Hospital Tunku Jaafar Seremban tak memaklumkan dahulu kepada pesakit tentang ubat ni? Pada pandangan ustazah (dari sudut agama) apa yang perlu saya lakukan? Saya dah cucuk 5kali. Dan ada baki 5 lagi.  Mohon pencerahan dan tindakan sewajarnya

 

Jawapan:

Hukum menggunakan ubat yang mengandungi bahan daripada babi kecuali dalam keadaan darurat atau bahan-bahan yang boleh mendatangkan mudharat kepada badan adalah haram. Oleh itu adalah menjadi keutamaan seseorang Muslim untuk mengutamakan ubat yang suci berbanding yang mengandungi najis sekiranya ada pilihan.

Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine (2009)

Keputusan: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia  Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui.
  2. Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane danFraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Keterangan/Hujah:

  1. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi.
  2. Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram.

3. Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

4. Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

  • Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan;
  • Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;
  • Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;
  • Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan
  • Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.
  1. Dalam isu ubat clexane dan Fraxiaprine ini, kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat sejenis ubat lain iaitu Arixtra Solution For Injection atau nama generiknya Fondaparinux Sodium mempunyai tahap keupayaan yang tinggi dalam membantu mengelakkan masalah pembekuan darah. Ubat ini telah pun berdaftar dengan BPFK dengan nombor pendaftaran MAL 20034441A.
  2. Fondaparinux merupakan ramuan aktif di dalam Arixtra yang terhasil secara sintetik di manapentasaccharide sintetik diambil dan ia tidak mengandungi sebarang bentuk heparin. Malah, tiada satu pun material dalam penghasilan ubat ini diambil daripada haiwan termasuklah biproduk babi. Arixtra bukan ubat yang baru ditemui, sebaliknya ia telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun. Namun kajiannya yang terbaru telah mendapati bahawa ubat ini mampu menggantikan kekuatan Clexane dan Fraxiaprine.
  3. Arixtra digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah atau masalah VTE bagi pesakit yang menjalani rawatan pembedahan major ortopedik, lutut dan pinggang. Selain itu, ia juga digunakan bagi pesakit jantung, pesakit kronik yang tidak dapat bergerak dan pembedahan abdomen.
  4. Penemuan Arixtra dalam dunia perubatan hari ini telah menghapuskan `illah pengharusan penggunaan perkara yang ditegah. Perkara ini bersesuaian dengan kaedah fiqh ما جاز لعذر يبطل بزواله. Prinsip ini menetapkan bahawa keharusan sesuatu perkara itu adalah disebabkan keuzuran tertentu dan ia terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.

 

 

Curang

Soalan:

Masalah lelaki ini dah kahwin, isteri ada hubungan dengan lelaki lain (syak) sahaja. Akhirnya isteri mengaku dan menyesal. Perkara itu dah lama berlaku dan isteri minta maaf pd suami. Kemudian suami memaafkan perbuatan isteri. Adakah si suami dayus?

Jawapan:

Dayus ialah membiarkan isteri berterusan melakukan maksiat. Hal tersebut tidak menjadikan si suami seorang dayus.