Isu Umat Islam Yang Berjuang atas nama ISIS

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 09/2014-1436H yang bersidang pada 16 Disember 2014 bersamaan 23 Safar 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-106 berkenaan Isu Umat Islam Yang Berjuang atas nama ISIS dengan sighah seperti berikut :

1. Islamic State of Iraq and Syria (ISIS), atau Islamic State of Iraq and Levant (ISIL) serta Islamic State (IS) adalah gerakan yang menyeleweng dan bercanggah dengan fahaman Ahlu Sunnah wa al Jamaah.

2. Oleh itu, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa menegaskan bahawa sesiapa yang telah atau ingin pergi berjuang atau menyokong ISIS, ISIL atau IS adalah tidak selari dengan konsep jihad yang sebenar dalam Islam.

3. Sehubungan itu, mereka yang terbunuh kerana perjuangan gerakan tersebut tidak dikategorikan sebagai syahid menurut hukum syarak’.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Tafsiran Pegangan dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2016-1437H yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawal 1437H telah bersetuju menerima cadangan takrifan berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Negeri Sembilan iaitu merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam mereka yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para ulama Islam muktabar serta berpegang dalam hal berkaitan dengan:

1. Aqidah dan Tauhid, berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

2. Fiqh dan Syariah, berdasarkan mazhab Shafii di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

3. Tasawwuf, berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Tajuk: Aliran dan Dakyah Wahhabiah

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah membincangkan fatwa berkaitan Aliran dan Dakyah Wahhabiah pada mesyuaratnya bertarikh 17 Disember 2014, 25 Februari 2015 dan 24 Mac 2015. Mesyuarat telah memutuskan Aliran dan dakyah Wahhabiah didapati bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam di Negeri Sembilan. Percanggahan tersebut berdasarkan kepercayaan, perbuatan dan pengamalan aliran Wahhabiah seperti berikut :

  1. Menolak dan menyesatkan pengamal pendekatan Tauhid Sifat 20;
  2. Menganggap syirik amalan-amalan ahli sunnah seperti perbuatan tawassul, tabarruk dan istighathah dan selawat-selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah seperti Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah;
  3. Mendakwa bahawa pengikut aliran Asya’irah dan Maturidiyah tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah wa al-Jamaah;
  4. Membid’ahkan pelbagai amalan ahli sunnah yang bersifat khilafiah sebagai melakukan bid’ah dhalalah dan pengamalnya akan menjadi penghuni neraka;
  5. Menganggap amalan dan sambutan-sambutan yang dilakukan bertujuan memuliakan Rasulullah saw sebagai perbuatan syirik;
  6. Menolak sepenuhnya beramal dengan hadith dhaif;
  7. Memahami al-Quran dan al-Sunnah secara makna zahir semata-mata dan menolak pentakwilan dalam memahami teks al-Quran;
  8. Menolak fahaman bermazhab;
  9. Menolak kefahaman dan amalan tariqat tasawuf yang muktabar;
  10. Mempertikaikan ulama Nusantara yang muktabar serta kitab-kitab karya mereka;
  11. Mempertikaikan fatwa-fatwa atau keputusan pihak berkuasa agama;
  12. Berpegang dengan kefahaman tasybih dan tajsim berdasarkan zahir ayat dan hadith yang mutasyabihat; dan
  13. Mudah mengkafirkan, membid’ahkan dan memfasikkan golongan yang tidak sealiran dengan mereka;

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan mengambil keputusan bahawa;

  1. Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi penyebar aliran dan dakyah Wahhabiah adalah disifatkan berfahaman Wahhabiah yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al- Jamaah;
  2. Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang menjadi ahli jamaah atau pengikut aliran dan dakyah Wahhabiah dengan berselindung di sebalik apa-apa nama, aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran dan dakyah Wahhabiah, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah;
  3. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang cuba menyebarkan  aliran dan dakyah Wahhabiah, sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran dan dakyah Wahhabiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah;
  4. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana aliran dan dakyah Wahhabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Wahhabiah adalah bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah; atau
  5. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan tokoh, aliran dan dakyah Wahhabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Wahhabiah dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah dilarang.
  6. Apa jua bentuk tindakan seperti yang dinyatakan di atas perlu dihalang dan diambil tindakan menurut undang-undang.

Mesyuarat bersetuju untuk mewartakan fatwa ini. Orang ramai hendaklah membuat aduan kepada pihak berkuasa agama yang berhampiran sekiranya terdapat sebarang keraguan seperti mana dinyatakan.

Status Pewartaan : Proses Warta

Tajuk: Golongan Anti Hadith

Keputusan: (Sighah)

Setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2017-1438H yang bersidang pada 27 September 2017 bersamaan 7 Muharram 1439H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan berkenaan Fatwa terhadap Golongan AntiHadith dengan sighah seperti berikut :

(1)      Kefahaman dan pengajaran menolak hadis adalah bercanggah dengan syariat Islam;

(2)      Buku-buku seperti ini atau seumpamanya;

(a) Buku-

(i) “Hadis Satu Penilaian Semula”; dan

(ii)“Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, yang ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) Buku-

(i) “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu” dan

(ii) Hadith di dalam al-Quran”, yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman

(c) Buku- “Bacaan” yang ditulis oleh Othman Ali,

(d) Buku- “The Computer Speaks-God’s Message to The World” yang ditulis oleh Dr. Rashad

Khalifa; dan

(e) Risalah “Iqra” terbitan Jemaah al-Quran Malaysia.

(3) Oleh yang demikian-

(a) Mana-mana ajaran atau kumpulan orang yang berpegang pada ajaran-ajaran dan fahaman- fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah yang dinyatakan dalam perenggan (2) boleh menyebabkan terkeluar dari Islam;

(b) Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi penyebar aliran Antihadith adalah disifatkan bercanggah dengan syariat Islam;

(c) Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang menjadi ahli jamaah atau pengikut aliran Antihadith dengan berselindung di sebalik apa-apa nama, aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran Antihadith, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam;

(d) Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang cuba menyebarkan  aliran Antihadith, sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran Antihadith adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam;

(e) Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana aliran Antihadith atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran Antihadith adalah bercanggah dengan syariat Islam; atau

(f) Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan tokoh, aliran dan dakyah Antihadith atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Antihadith dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah dilarang.

(g) Mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam yang telah melibatkan diri dengan kumpulan Antihadith sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (c) hendaklah bertaubat.

Proses pewartaan : Proses Warta

Tajuk: Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 1/2017-1438H yang bersidang pada 15 Februari 2017 bersamaan 18 Jamadiawwal 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-109 berkenaan Millah Abraham @ Ibrahim dengan sighah seperti berikut :

1. Ajaran Millah Abraham @Ibrahim mengandungi perkara-perkara berikut:

a. Membawa ajaran Islam baharu. Ajaran Millah Abraham@Ibrahim mendakwa Kerajaan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w telah lama jatuh sejak tahun 1324H. Setelah kejatuhan Islam pada tahun 1324 Hijri, pengikut Millah Abraham mendakwa bahawa golongan musyrik termasuk para ulama’ telah membawa ajaran Islam yang palsu dan hendaklah bertaubat dengan memilih kembali deen Millah Abraham@Ibrahim.

b. Mendakwa wujud rasul selepas Nabi Muhammad s.a.w. Ajaran ini menafsirkan bahawa Allah SWT mengutuskan rasul dalam kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar mereka untuk keluar daripada kesesatan. Maka, Rasul Millah Abraham diutuskan dari kalangan bangsa Melayu Nusantara untuk membaca, menyuci serta mengajar kaum Melayu Nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Mushaddeq. Maksud Khataman Nabiyyin adalah kesempurnaan deen pada zaman Nabi Muhammad dan bukanlah penutup segala nabi.

c. Mencampuradukkan ajaran dalam al-Quran, Bible dan Taurat (Perjanjian Lama). Selain terjemahan al-Quran, kumpulan ini juga menggunakan kitab Taurat dan Injil (Bible Perjanjian Lama dan Baru) dalam pengajian mereka kerana dalam al-Quran telah membenarkan kitab sebelum al-Quran dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan.

d. Menyelewengkan Konsep صراط المستقيم (Sirotol Mustaqim). Maksud صراط المستقيم (Sirotol Mustaqim) dalam Ajaran Millah Abraham adalah merujuk kepada jalan yang benar iaitu dengan mengambil pengajaran daripada kitab-kitab Allah dan melalui sejarah di zaman Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad. Justeru, hanya satu jalan sahaja yang perlu wujud untuk mengabdi kepada Tuhan, iaitu melalui ajaran Millah Abraham. Pengikut Ajaran Millah Abraham dikehendaki mempelajari kitab-kitab terdahulu juga sebagai sumber pelajaran kerana sirotol mustaqim ada ciri-cirinya tersendiri dan perlu dipelajari melalui kitab-kitab Allah.

e. Menyelewengkan Konsep hari Kiamat. Hari Kiamat dalam Ajaran Millah Abraham adalah merujuk kepada perkataan qiyam, iaitu bangkit atau tegak dan tidak ditafsirkan hari Kiamat adalah hari kehancuran, kerana Hari Kiamat hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja. Perkataan qiyam dalam ayat ini merujuk kepada keperluan untuk menegakkan agama. Setelah zaman satu-satu umat telah habis, maka akan ada rasul baharu yang akan menegakkan deen bagi umat pada zaman tersebut. Sistem ini silih berganti sehingga keputusan Allah untuk menamatkan dunia ini.

d. Menyelewengkan pemahaman Darussalam atau Syurga. Ajaran Millah Abraham berpegang bahawa Darussalam itu ada di atas muka bumi, iaitu “Dar”= tempat atau kehidupan dan “as-salam”= yang mensejahterakan atau damai sejahtera. Maka, Darussalam itu adalah simbol kepada model kehidupan yang damai sejahtera di atas muka bumi yang wujud apabila sistem Tuhan ditegakkan; iaitu melalui Ajaran Millah Abraham

e. Mengingkari kefardhuan solat lima waktu dan solat Jumaat. Pengikut Ajaran Millah Abraham tidak melaksanakan Solat Fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf. Mereka mengatakan solat itu merujuk kepada “sillah” iaitu hubungan dengan ajaran Millah. Makna lain ialah bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Abraham, bukan maksud solat yang dilakukan oleh orang Islam.

2.Sehubungan dengan itu, Muzakarah memutuskan bahawa Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

3.Justeru, orang Islam hendaklah menjauhi ajaran Millah Abraham@Ibrahim dan dilarang berpegang serta beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.

4.Semua bentuk pengajaran, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan ajaran Millah Abraham@Ibrahim melalui apa jua medium hendaklah disekat, dihenti dan diharamkan dengan serta merta.

Status pewartaan : Proses Warta

Tajuk: Aktiviti Dan Kedudukan Raja Bomoh Sedunia Ibrahim Mat Zin

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah mendapati bahawa Amalan dan upacara Perbomohan Ibrahim Mat Zin melibatkan amalan-amalan dan upacara yang menggambarkan kepercayaan khurafat dan tahyul melalui penggunaan pelbagai peralatan.Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil 4/2017-1438H yang bersidang pada 25 Mei 2017 bersamaan 28 Sya’aban 1438H telah bersetuju menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaandan dan memutuskan dengan sighah seperti berikut :

1. Bahawa upacara dan amalan perbomohan Ibrahim bin Mat Zin untuk apa-apa tujuan dengan menggunakan atau tidak menggunakan apa-apa objek adalah menyeleweng dan berlawanan dengan ajaran Islam.

2. Oleh yang demikian, mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam adalah dilarang:

a. Menganut, mengamal, menjadi ahli, menjadi pengikut, mengisytiharkan diri sebagai ahli, mengisytiharkan diri sebagai pengikut perbomohan tersebut; atau

b. Memiliki, menyimpan, mencetak, menerbit, memuat naik, memuat turun, menjual, mengedar atau menggunakan apa-apa terbitan, risalah, majalah, buku, media sosial, dokumen, rakaman audio, filem amalan atau upacara perbomohan tersebut; atau

c. Mengajar, menyebar, menghidup, membantu, menganjur, mempromosi upacara, atau amalan perbomohan tersebut, menghadiri apa-apa upacara yang dikaitkan dengan amalan perbomohan tersebut atau menyokong apa-apa aktiviti perbomohan tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung.

3. Mana-mana orang Islam adalah dilarang bersubahat daripada melakukan mana-mana perkara yang dinyatakan dalam perenggan (ii).

4. Mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam yang telah melibatkan diri dengan upacara dan amalan perbomohan Ibrahim bin Mat Zin sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (ii) hendaklah bertaubat.

Status Pewartaan : Proses Warta

Tajuk: Aurad Muhammadiah

Keputusan: (Sighah)

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

4hb Ogos 1994

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK

(NEGERI SEMBILAN) 1991

(Enakmen No. 1 Tahun 1991)

 

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW

(NEGERI SEMBILAN) ENACTMENT 1991

(Enactment No.1 of 1991)

 

PEMBERITAHUAN FATWA

NOTIFICATION OF FATWA

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

IN exercise of the powers conferred by section 30 of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) Enactment 1991 and approved unanimously by the Islamic Legal Committee pursuant to subsection 33(6) of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) 1991, the Mufti of Negeri Sembilan State Government on behalf and in the name of Islamic Legal Committee, hereby issue the Fatwa as specified in the Schedule.

JADUAL/SCHEDULE

A. BAHAWA buku yang bertajuk –

(a) “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” yang ditulis oleh Ustaz Hj. Ashaari Muhammad, dan

(b) “Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi” yang ditulis oleh Mohamad Taha As Suhaimi.

Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahamana yang bertentangan dengan aqidah dan Syariah Islamiah serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam.

 B. BAHAWA Kumpulan Darul Arqam@al-Arqam, iaitu suatu kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku bertajuk –

(a) “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan

(b) “Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi”.

Adalah suatu kumpulan yang sesat dan bertentangan dengan aqidah dan Syariah Islamiah serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam.

C. Oleh yang demikian –

(a) percetakan, penerbitan, pemilikan, penyiaran, penyebaran atau pengedaran buku “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan “Munaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi” termasuk

(i)  apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu, pada atau atas apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau melalui apa-apa media adalah haram.

(b) pengajaran, pembelajaran, pengalaman dan penyebaran ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan Munaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abullah As Suhaimi” adalah haram;

(c) kumpulan Darul Arqam @ al-Arqam itu atau mana-mana kumpulan lain atau orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus menjawab Tuduhan” dan “Munaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad Bin Abdullah As Suhaimi” adalah haram ;

(d) Adalah haram bagi orang Islam –

(i) menjadi anggota atau memimpin kumpulan Darul Arqam @ al-Arqam atau mana-mana kumpulan lain yang disebut dalam perenggan ( c );

(ii) membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.

SAHIBUS SAMAHAH

DATO’ HAJI MOHD MURTADZA BIN HJ. AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Dibuat pada 2hb. Ogos, 1994

Seremban

[PU/NS (JB) (Ag) (Majlis) 15/92; PANS (S) 196/07 (472/51]

Tajuk: Buku-Buku Dan Risalah Ajaran Sesat

Keputusan: (Sighah)

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

20hb Jun 1996

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK

(NEGERI SEMBILAN) 1991

(Enakmen No. 1 Tahun 1991)

 

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW

(NEGERI SEMBILAN) ENACTMENT 1991

(Enactment No.1 of 1991)

 

PEMBERITAHUAN FATWA

NOTIFICATION OF FATWA

 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

IN exercise of the powers conferred by section 30 of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) Enactment 1991 and approved unanimously by the Islamic Legal Committee pursuant to subsection 33(6) of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) 1991, the Mufti of Negeri Sembilan State Government on behalf and in the name of Islamic Legal Committee, hereby issue the Fatwa as specified in the Schedule.

 JADUAL/SCHEDULE

1. Mana-mana orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah berikut :

(a)        Qamar Al-Huda

(b)       Nukilan Ahli Sufi Allahu Akhbar Encik Bahrin bin Salleh

(c)        Risalah kesufian – Anjuran Baharin Salleh

(d)       Sebaik-baik makrifah yang dipertunjukkan bagi hati,

(Selepas ini disebut secara kolektif sebagai “buku-buku dan risalah tersebut”) adalah menyalahi akidah Islam dan menyesatkan.

2. Mana-mana orang Islam adalah dilarang –

(1) untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah tersebut;

(2) untuk mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan atau mengedarkan buku-buku dan risalah tersebut atau mana-mana bahagian buku-buku dan risalah tersebut dalam –

(i)  apa-apa bentuk, versi atau variasi;

(ii)  apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku dan risalah tersebut itu pada atau atas apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(3) untuk menjadi ahli, anggota, pengikut atau pemimpin mana-mana kumpulan yang tersebut dalam perenggan 1 atau membantu dalam menghidupkan atau memberi publisiti atau mengembangkan kumpulan sedemikian.

Bertarikh 17 April 1996

[PU/NS (JB) (Agama) 15/92 Jld.1];

[PANS.196(07)220/1 Klt.3.]

 

DATO’ HAJI MOHD MURTADZA BIN HAJI AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Tajuk: Ke Arah Membendung Pengaruh Syiah Di Malaysia

Keputusan: (Sighah)

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

12hb Mac 1998

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK

(NEGERI SEMBILAN) 1991

(Enakmen No. 1 Tahun 1991)

 

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW

(NEGERI SEMBILAN) ENACTMENT 1991

(Enactment No.1 of 1991)

 

PEMBERITAHUAN FATWA

NOTIFICATION OF FATWA

 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

IN exercise of the powers conferred by section 30 of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) Enactment 1991 and approved unanimously by the Islamic Legal Committee pursuant to subsection 33(6) of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) 1991, the Mufti of Negeri Sembilan State Government on behalf and in the name of Islamic Legal Committee, hereby issue the Fatwa as specified in the Schedule.

JADUAL/SCHEDULE

KE ARAH MEMBENDUNG PENGARUH SYIAH DI MALAYSIA

1. Adalah ditetapkan bahawa Umat Islam di Negeri Sembilan hendaklah mengikut undang-undang Islam dan ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dari segi ‘aqidah, syariah dan akhlak.

 2. Adalah diperakukan bahawa ajaran Islam selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah bercanggah dengan hukum Syarak dan dengan yang demikian penyebaran apa-apa ajaran lain selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah dilarang.

3. Adalah ditetapkan bahawa penerbitan, penyiaran dan penyebaran melalui buku, risalah, filem, video atau dengan apa-apa cara lain pun yang berkaitan dengan ajaran yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah dilarang.

Bertarikh 27 Februari 1998.

[JMKNNS.209(01) 914/1;

PU/NS (JB) (Ag) 15/92 Jld.1.]

 

DATO’ HJ. MOHD MURTADZA BIN HAJI AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan