Meminta Orang Bukan Islam Sama-Sama Berdoa Mengikut Anutan Masing-Masing Dalam Satu Majlis Yang Dihadiri Oleh Penganut Pelbagai Agama

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil. 3/2019 yang bersidang pada 25 April 2019 bersamaan dengan 19 Sya’ban 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

Orang Islam haram meminta atau mengarahkan orang bukan Islam berdoa mengikut agama mereka masing-masing, begitu juga orang Islam haram berdoa bersama-sama orang bukan Islam mengikut agama masing-masing di dalam satu majlis. Walau bagaimanapun, jika mereka berdoa atau memohon sesuatu mengikut ajaran mereka dengan kehendak mereka sendiri tanpa diarahkan, maka perkara tersebut tidak dilarang.

 

Status: Tidak diwartakan

Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil.8/2019 yang bersidang pada 31 Oktober 2019 bersamaan 3 Rabi’ al-Awwal telah bersetuju memutuskan bahawa:

 

Sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.

 

Status: Tidak Diwartakan

Semakan Hafazan Al-Quran Pelajar Perempuan Sedang Haidh

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/1434H yang bersidang pada 30 April 2013 bersamaan 19 Jumada al-Akhirah 1434H telah membincangkan mengenai Hukum Berkaitan Semakan Hafazan Al-Quran Pelajar Perempuan Sedang Haidh. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut :

1. Tidak harus bagi pelajar perempuan yang sedang berada dalam keadaan haidh untuk menghafal hafalan baru dan melalui proses tasmik bagi hafalan baru tersebut.

2. Walau bagaimanapun, pelajar tersebut diharuskan untuk melalui proses tasmik bagi hafalan lama iaitu merangkumi murajaah jadidmurajaah qadim dan murajaah majmuk.

3. Manakala bagi calon perempuan dalam keadaan haidh yang menghadiri temuduga kelayakan masuk ke institut tahfiz tidak diharuskan untuk membaca al-Quran. Mesyuarat mengesyorkan agar institut yang menguruskan temuduga berkenaan perlu memberi kelonggaran dan menyediakan alternatif bagi sesi temuduga seterusnya.

Wakalah Dan Beberapa Perkara Berbangkit Dalam Ibadah Qurban

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2013-1434H yang bersidang pada 03 Julai 2013 bersamaan 24 Sya’ban 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 bertarikh 25 November 2004 dalam isu Hukum Wakalah dan Beberapa Perkara Berbangkit Dalam Ibadah Qurban dengan sighah seperti berikut :

i. Hukum asal wakalah adalah harus.

ii. Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain dengan keizinan muwakkil .

iii Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain sekiranya tidak mampu atau tidak layak melakukan sendiri perkara yang diwakilkan tersebut.

iv. Harus mengagihkan daging qurban ke tempat atau negara lain.

v. Tidak harus mengagih dan memberi makan daging qurban kepada orang bukan Islam.

Mesyuarat juga memutuskan bahawa sighah perwakilan antara orang yang berkorban kepada wakilnya hendaklah dinyatakan secara lafaz atau kinayah seperti bertulis dan seumpamanya.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2014-1435H yang bersidang pada 24 April 2014 bersamaan 24 Jumada al-Akhirah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-79 berkenaan Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi dengan sighah seperti berikut :

  1. Pesakit yang menggunakan beg kolostami dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostami setiap kali berwudhu’ atau menunaikan solat.
  2. Pesakit hendaklah mengambil wudhu’ setiap kali mengerjakan solat fardu. Hal ini kerana wudhu’ yang diambil hanya untuk mengharuskan solat, bukan untuk mengangkat hadath. Kedudukan pesakit adalah sama seperti orang yang sentiasa berhadath (الحدث دائم).

 Keterangan/Hujah: 

  1. Istilah “Kolostomi” merujuk kepada keadaan sebahagian usus besar (colon) di dalam abdomen yang dibuka dan pembukaannya itu disalurkan ke bahagian dinding abdomen dan dilekatkan pada kulit. Hujung usus ke bahagian dubur (rectum) tidak lagi berfungsi seperti biasa. Beg Kolostomi dipasang pada abdomen yang ditebuk di mana usus keluar daripada dinding abdomen tersebut. Pengeluaran najis tidak akan dapat dikawal sama sekali oleh pesakit.
  2. Kebanyakan pesakit kolostomi merasa was-was untuk menunaikan amalan fardu ain terutamanya solat. Persoalan yang ditimbulkan adalah bagaimana harus mereka mengurus kolostomi mereka semasa mengambil wudhu’ dan semasa menunaikan fardhu solat. Adakah mereka perlu mengosongkan pundi kolostomi mereka setiap kali mengambil wudhu’ atau untuk menunaikan solat. Adakah wudhu’ akan terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal ke dalam pundi kolostomi.
  3. Isu batal wudhu’ apabila keluar sesuatu menerusi salah satu daripada dua kemaluan seperti yang dibahaskan oleh para ulama’ adalah dalam konteks orang yang sihat. Bagi yang berpenyakit atau mengalami masalah keluar sesuatu di luar kawalan, Islam memberikan kaedah penyucian dan pelaksanaan ibadah kerana mereka dianggap orang yang dalam keuzuran.
  4. Masalah kolostomi berbeza dengan masalah sulus al-bawl kerana kebersihannya lebih terjamin. Oleh itu dari sudut hukum, ia tidak boleh diqiaskan kepada mereka yang mengalami sulus al-bawl.
  5.  Memandangkan pengeluaran najis bagi mereka yang mengalami masalah kolostomi tidak boleh dikawal, mereka dianggap berada dalam keadaan dharurat yang tidak terikat dengan taklif syarak dalam beberapa aspek ibadah. Mereka juga tidak dianggap sebagai menanggung najis dan boleh melaksanakan semua ibadat.
  6. Pesakit-pesakit kolostomi dibolehkan mengambil sekali wudhu’ untuk semua ibadah yang hendak dilaksanakan sekiranya wudhu’ tersebut tidak terbatal. Tetapi sekiranya tiada kesukaran bagi mereka untuk memperbaharui wudhu’, ia adalah disunatkan.
  7. Islam adalah agama yang memberi kemudahan. Oleh itu pesakit tidak wajar disyaratkan untuk mengosong atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwudhu’ kerana ia akan menyukarkan mereka melakukan ibadah.

Status Pewartaan : Tidak diwartakan

Aqiqah Dan Qurban Menggunakan Kambing Jenis Baka Boer

Keputusan: (Sighah)

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil 1/1430 pada 7 Rejab 1430H bersamaan 30hb Jun 2009M

Mengesyorkan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa bahawa kambing boer berumur enam hingga 12 boleh dijadikan binatang qurban dan aqiqah. Ini juga pendapat Waqi’ yang menyatakan usia 6 atau 7 bulan seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Qudamah dalam al-Mughni.

Tajuk: Bangunan Baru Yang Ditambah Pada Masjid

Keputusan: (Sighah)

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

26hb. Disember, 2002

 

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK

(NEGERI SEMBILAN) 1991

(Enakmen No. 1 Tahun 1991)

 

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW

(NEGERI SEMBILAN) ENACTMENT 1991

(Enactment No.1 of 1991)

 

PEMBERITAHUAN FATWA

NOTIFICATION OF FATWA

 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

IN exercise of the powers conferred by section 30 of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) Enactment 1991 and approved unanimously by the Islamic Legal Committee pursuant to subsection 33(6) of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) 1991, the Mufti of Negeri Sembilan State Government on behalf and in the name of Islamic Legal Committee, hereby issue the Fatwa as specified in the Schedule.

JADUAL/SCHEDULE

 1. Semua bangunan tambahan dengan niat untuk menjadikannya masjid bagi tujuan solat (sembahyang) dan I’tikaf yang bersambung dengan bangunan masjid yang sedia ada, adalah dianggap masjid, sunat beri’tikaf di dalamnya dan haram bagi perempuan yang haidh duduk di dalamnya. (Bughyah al-Mustarsyidin, Syeikh Abd Rahman Ba ‘Alawi, muka surat 81).

2. Termasuk didalam pengertian masjid iaitu sutuh (atap masjid yang rata), ruang udaranya dan jendela yang bersambung dengannya. Oleh itu, sah ber’itikaf di atas sutuh dan dahan pokok yang berada di ruang udaranya sama ada pokok itu memang tumbuh di dalam masjid ataua di luarnya. Begitu juga sah i’tikaf di atas dahan pokok jika pokok itu tumbuh di dalam masjid dan dahannya menjulur keluar. Inilah pandangan dalam mazhab al-Syafi’i sebagaimana yang disebut di dalam Mausu’ah Al-Fiqh Al-Islami, Juzuk 16 halaman 109 iaitu :-

Yang bermaksud : [“Sesungguhnya termasuk bahagian masjid ialah sutuh, ruang udara dan jendela yang bersambung dengannya, maka hukumnya sah beri’tikaf diatas sutuhnya, diatas dahan pokok yang berada di ruang udaranya sama ada batang pokok itu berada didalam masjid atau diluar, dan demikian juga sekiranya batang pokok itu berada di dalam masjid sedangkan dahannya di luar masjid sama seperti hukum berada di jendela”]

Malah disebut di dalam kitab Nihayah Al-Muhtaj oleh Syeikh Ramli bahawa sunat i’tikaf di halamannya yang berpagar dan ruang yang disediakan untuk orang ramai.

 3. Oleh itu apa-apa binaan yang disambung dengan masjid asal khususnya untuk kegunaan sembahyang adalah dikira sebagai masjid kecuali bahagian tandas, bilik air dan tempat-tempat najis yang lain (Bughyah al-Mustarsyidin muka surat 82). Sah dan mendapat fadhilat i’tikaf jika dibuat di dalam binaan yang baru itu. Kesimpulannya, jika binaan itu bersambung dengan binaan masjid terutamanya untuk tujuan sembahyang maka segala hukum berkenaan masjid adalah terpakai.

Dibuat 26 Mac, 2002

Made 26 March 2002

[JMKNNS 209(01)914/1]

 

DATO’ HJ. MOHD MURTADZA BIN HJ. AHMAD

Mufti Keajaan Negeri Sembilan

Tajuk: Menunaikan Ibadah Haji Sambil Bekerja

Keputusan: (Sighah)

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA

GOVERNMENT OF NEGERI SEMBILAN GAZETTE

PUBLISHED BY AUTHORITY

ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARAK

(NEGERI SEMBILAN) 1991

(Enakmen No. 1 Tahun 1991)

 

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW

(NEGERI SEMBILAN) ENACTMENT 1991

(Enactment No.1 of 1991)

 

PEMBERITAHUAN FATWA

NOTIFICATION OF FATWA

 

PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 30 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 dan setelah diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Syariah menurut subseksyen 33(6) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991, maka Mufti Kerajaan Negeri Sembilan bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Syariah, dengan ini mengeluarkan Fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual.

IN exercise of the powers conferred by section 30 of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) Enactment 1991 and approved unanimously by the Islamic Legal Committee pursuant to subsection 33(6) of the Administration of Islamic Law (Negeri Sembilan) 1991, the Mufti of Negeri Sembilan State Government on behalf and in the name of Islamic Legal Committee, hereby issue the Fatwa as specified in the Schedule.

JADUAL/SCHEDULE 

 1. Hukum menunaikan ibadah haji sambil bekerja seperti doktor, jururawat dan kakitangan kesihatan, petugas Lembaga urusan haji dan lain-lain adalah sah selagi ia menepati rukun dan wajib haji. Hal ini diqiaskan dengan berniaga sambil mengerjakan ibadah haji sebagaimana firman Allah s.w.t. :

Yang bermaksud : [“Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan haji”]

(Al-Baqarah : 198)

Berdasarkan ayat di atas mencari rezeki yang dikurniakan oleh Allah pada musim haji dengan berniaga dan melakukan usaha-usaha halal yang lain adalah tidak berdosa, yang bermaksud : [“Sesungguhnya orang ramai pada permulaan ibadat haji difardhukan- didalam Islam-mereka berjual beli di Mina. “Arafah di pasar Dzu al-Majaz (kawasan yang berhampiran ‘Arafah) dan pada musim haji, maka mereka khuatir untuk berjual beli ketika mereka didalam ihram. Lalu Allah menurunkan ayat ini”]

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Oleh sebab itu, mereka yang menunaikan haji disamping melakukan perniagaan, haji mereka adalah sah, tidak rosak dan tidak perlu mereka mengulanginya. Hal ini berdasarkan ayat 198 Surah al-Baqarah tersebut. Mereka tidak dihalang melakukan perniagaan dengan syarat mereka berniat untuk mengerjakan haji sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, yang bermaksud : [“Sesungguhnya amalan itu adalah niat dan setiap orang hanya mendapat yang diniatkannya”]

[Muttafaq ‘Alaih]

Dibuat 26 Mac 2002

Made 26 March 2002

(JMKNNS 209(01)914/1]

DATO’ HJ. MOHD MURTADZA BIN HJ. AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Jenazah Saudara Baru Yang Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Bukan Islam

Keputusan: (Sighah)
Hukum memindahkan jenazah orang Islam dari tanah perkuburan bukan Islam ke tanah perkuburan Islam adalah wajib.

Apakah hukum membaca AlQuran dengan “mencuri ayam” tidak wakaf dan ibtidak pada tempatnya sebalikya mengambil/menyambung nafas tanpa wakaf ditengah bacaan

1) Apakah hukum membaca AlQuran dengan “mencuri ayam” tidak wakaf dan ibtidak pada tempatnya sebalikya mengambil/menyambung nafas tanpa wakaf ditengah bacaan.

 

2)Ada pandangan mengatakan tarhim/membaca alquran pagi sebelum subuh di masjid atau surau adalah makruh berdasarkan sebuah hadith nabi yang menegur sahabat yang membaca Al Quran dengan kuat didalam masjid agar perlahankan suara kerana mengganggu orang lain lalu baginda mengatakan bahawa semua orang sedang bermunajat kepada Allah

Jawapan:  Jawapan Pertama :

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم

Wakaf dan ibtidak adalah antara bab yang paling penting dalam ilmu tajwid. Maka pembaca al-quran hendaklah menjaga kaedah-kaedah dalam bab ini supaya dia dapat mewakafkan atau memberhentikan bacaannya ketika membaca al-quran mengikut kesempurnaan dan kesuaian makna al-quran tersebut. Jika tidak, ia akan menyebabkan seseorang itu mewakafkan bacaannya pada pada makna yang tidak elok di dalam al-quran al-karim. Oleh sebab itu, apabila ditanya Imam Ali bin Abu Thalib tentang firman Allah taala (وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً) katanya :

الترتيل هو تجويد الحروف ومعرفة الوقوف

” at-tartil ialah memperelokkan huruf dan mengetahui wakaf bacaan”.

Adapun jika tidak diwakafkan bahkan disambung bacaan tersebut dengan mengambil nafas ditengah-tengahnya maka ia dibenarkan sekira-kira dia mengeluarkan huruf daripada makhrajnya dan tidak memutuskan perkataan bacaan tersebut.

والله أعلم وأحكم

Jawapan Kedua :

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم

Allah taala berfirman :

وافعلوا الخير لعلكم تفلحون

Mafhumnya : ” Dan kerjakanlah amalan kebaikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)”.
Amalan-amalan baik seperti membaca al-Quran, bertarhim, berzikir, berselawat ke atas Rasulullah salla Allahu `alayhi Wa Sallam dan seumpamanya yang dilaung-laungkan di masjid-masjid di Malaysia atau di Negara Islam yang lain melalui alat pembesar suara terutamanya sebelum waktu fajar (subuh) adalah sesuatu boleh diamalkan dan tidak bercanggah dengan syarak. Berikut adalah dalil keharusan amalan tersebut :

1. Fuqaha` memandang baik amalan tersebut. Berkata ad-Dusuki di dalam Hasyiahnya bagi Syarah al-Kabir karangan as-Syeikh Ad-Dardir , jilid 1, halaman 193 : ” Adapun berselawat ke atas Nabi Salla Allah Alayh Wa Sallam selepas laungan azan maka ia merupakan bid`ah hasanah (elok). Buat pertama kalinya ia dilakukan pada zaman pemerintahan an-Nasir Sholahuddin Yusuf Bin Ayyub pada tahun 781 H, di bulan Rabiul Awwal. Perkara ini ditambah pada permulaannya selepas azan Isyak pada malam Isnin dan pada malam Jumaat sahaja. Kemudian setelah 10 tahun berlalu, ditambah pada setiap azan yang dilaungkan melainkan waktu Maghrib sahaja. Begitu juga amalan yang dilakukan pada waktu malam seperti beristighfar, bertasbih dan bertawassul maka ini adalah bid`ah hasanah (elok). Inilah pendapat yang telah diutarakan oleh sesetengah ulama dan menurut al-Allamah as-Syeikh Ahmad al-Bisybisyi dalam Risalahnya yang berjudul at-Tuhfah as-Saniyyah Fi Ajwibah al-Asilah al-Mardhiyah bahawa pertama kali ditambah membaca selawat dan salam ke atas Rasulullah setiap kali setelah azan di menara-menara (masjid) pada masa as-Sultan al-Manshur Haji ibn al-Asyraf Sya’ban ibn Husain ibn an-Nashir Muhammad ibn al-Manshur Qalawuun atas perintah al-Muhtasib Najmuddin ath-Thambadi pada bulan Sya’ban tahun 771 H. Setelah sebelumnya juga dikumandangkan pada masa pemerintahan as-Sultan Sholahuddin al-Ayyubi pada setiap malam sebelum azan subuh di negara Mesir dan Syam dengan lafaz “as-Salamu ‘ala Rasulillah”. Perkara tersebut berlanjutan sehinggga pada tahun 767 H kemudian bacaannya ditambah lagi atas perintah al-Muhtasib Shalahuddin al-Barlasi menjadi: “Ash-Shalatu wa as-Salamu ‘alayka ya Rasulullah” kemudian bacaan selawat ini dikumandangkan pada setiap kali selepas melakukan azan pada tahun 771 H.”perdapat yang sama diutarakan oleh as-Showi al-Maliki di dalam Hasyiahnya ke atas Syarah as-Shoghir, jilid 1, halaman 249, al-Hatthab ar-Ra`aini al-Maliki di dalam Manh al-Jalil, jilid 1, halaman 429, al-Hafizh as-Sakhawi (anak murid kepada amir al-Mukminin dalam bidang Hadis iaitu Ibn Hajar al-Asqalani) dalam kitabnya “al-Qaul al-Badi” pada halaman 192, an-Nafrawi al-Azhari di dalam kitab al-Fawakih ad-Diwani syarah bagi risalah Abi Zaid al-Qairawani jilid , halaman 174, at-Thahthawi al-Hanafi di dalam Hasiyahnya ke atas kitab Maraqi al-Falah syarah kitab Nur al-Eidhah pada jilid 1, halaman 193, al-Jashkafi di dalam Dur al-Mukhtar jilid 1, halaman 390, ibn Abidin al-Hanafi di dalam hasyiahnya ke atas kitabnya (dur al-mukhtar), ibn Hajar al-Haitami di dalam kitab al- Fatawa al-Kubra jilid 1, halaman 13, Syarwani di dalam hasyiahnya ke atas Tuhfah al-Muhtaj jilid 3 halaman 483 dan ramai lagi.

2. Ahli sejarah dan sirah menyebutkan bahawa melakukan tasbih (mengatakan subhanallah) pada waktu sahur (waktu sebelum subuh) di atas mimbar-mimbar dengan suara yang nyaring ianya adalah amalan para nabi-nabi terdahulu. Sesungguhnya mereka memerintahkan pengikut-pengikut mereka melakukannnya sebagaimana dinukilkan oleh ahli sejarah dan sirah (al-Hafiz as-Suyuti di dalam kitab al-Wasail Fi Masarah al-Awail, halaman 25).

3. Pembacaan tasbih pada waktu sahur di menara-menara berlaku pada zaman para sahabat dan salaf as-soleh dan tiada dari kalangan ulama dan fuqaha yang mengingkarinya (al-Hafiz as-Suyuti di dalam kitab al-Wasail Fi Masarah al-Awail, halaman 15)

4. Membaca al-quran, takbir, membaca qasidah adalah sesuatu perkara yang masyhur dalam sejarah umat Islam berlaku secara terus-menerus semenjak daripada kesultanan umat Islam terdahulu lagi dan dan mendapat pengiktirafan para ulama (al-Hafiz as-Suyuti di dalam kitab al-Wasail Fi Masarah al-Awail, halaman 15).

5. Sultan al-Mujahid Solahuddin al-Ayyubi-semoga Allah merahmatinya- merupakan seorang fuqaha syafie, baginda telah memerintahkan para tukang azan supaya mengulang-ngulangkan selawat kepada nabi Salla Allah Alayhi Wa Sallam sebelum azan berkumandang (Al-Hafiz As-Suyuti dalam al-Wasail Fi Masarah al-Awail, halaman 14 dan Nur ad-Deen Bin Burhanuddin di dalam as-Sirah al-Halabiyyah jilid ke 2 , halaman 143.

6. Sultan al-Mujahid Solahuddin al-Ayyubi -semoga Allah merahmatinya- adalah seorang penguasa yang memerintahkan supaya pengajaran akidah diadakan di atas menara-menara masjid pada waktu sahur (sebelum subuh) dan amalan mulia ini berterusan selama 4 kurun lamanya (al-Muarrikh Taqiyuddin al-Maqrizi (W 845 H) di dalam kitabnya al-Mawa`iez Wa al-Iktibar Bi Zikr al-Khutati Wa al-Atsar, Al-Hafiz Jalaluddin as-Suyuti (W911 H) berkata dalam al-Wasail ila Ma`rifah al-Awail, Al-`Allamah Muhammad Bin `ilan as-Siddeq as-Syafie ( W 1057) di dalam kitab al-Futuhaat ar-Rabbaniyyah `ala al-Azkar an-Nabawiyyah,

7. Antara ulama yang menganggap perkara ini sebagai bid’ah hasanah adalah al-Hafizh as-Sakhawi (anak murid kepada amir al-Mukminin dalam bidang Hadis iaitu Ibn Hajar al-Asqalani) dalam kitabnya “al-Qaul al-Badi” (halaman 192) dan ramai lagi.

8. Amalan bacaan al-Quran pada waktu sebelum subuh di masjid-masjid melalui pembesar suara bagi memberi peringatan kepada orang Islam akan masuk waktu solat dengan harapan supaya mereka sempat bersiap awal untuk menghadiri solat jemaah adalah sesuatu yang baik. Jangan lupa, pada zaman Rasulullah azan dilaungkan sebanyak 2 kali iaitu sebelum masuk waktu dan pada waktu masuk solat bagi mengingatkan dan supaya para sahabat boleh bersiap lebih awal untuk solat berjemaah.

9. Bagi umat Islam pembacaan al-Quran memberi ketengan jiwa. Allah taala berfirman :

الذين ءامنوا وتطمئن قلوبهم بذكر الله ألا بذكر الله تطمئن القلوب

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia”. al-quran tidak menyerabutkan hati orang yang beriman. Sesungguhnya orang yang membantah perkara ini adalah secara kebiasaannya terdiri daripada mereka yang bukan Islam dan ahl bidaah atau orang yang malas daripada golongan munafik yang payah dan berat untuk bangun solat subuh. Mereka adalah golongan yang dicela oleh Rasulullah melalui sabdaannya :

أثقل الصلاة على المنافقين العشاء والفجر

“Solat yang paling berat untuk dilakukan oleh orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh” HR al-Bukhari.

Adapun hadis (ولا يجهر بعضكم على بعض بالقرآن) tiada di dalamnya sebarang hujjah atau dalil yang jelas untuk mengatakan keharaman atau celaan bagi meninggikan suara dengan melakukan azan ataupun berzikir sebelum subuh sebagaimana penerangan hadis ini telah diselewengkan oleh beberapa pihak.

Menurut az-Zarqani ketika mensyarahkan dan menjelaskan hadis ini di dalam syarahnya pada kitab Muwattho` Malik bahawa pembacaan al-quran yang dimaksudkan ialah pembacaan yang menggangu orang yang sedang bersolat dan mencegahnya daripada melakukan solat. Hadis Ini bukan tegahan atau larangan mengangkat suara secara mutlak.

Jika dilihat di dalam masalah yang dihadapi sekarang ialah berhubung dengan pembacaan al-Quran sebelum masuknya waktu subuh, sebelum orang datang melakukan solat di masjid iaitu bertujuan untuk membangunkan mereka yang sedang nyenyak tidur supaya mereka menyiapkan diri mereka untuk bersolat. Perbuatan ini tiada sangkut paut dengan perbuatan menganggu orang yang sedang bersolat. Bahkan kebanyakan manusia pada ketika itu sedang nyenyak tidur dan mengharapkan ada yang membangunkan mereka dan mencerdaskan mereka bagi melakukan solat. Maka tidak sahih mengatakan perkara ini gangguan atau bertujuan menyakitkan orang ramai. Kerana perbuatan mengejutkan atau membagunkan mereka untuk melaksanakan kefardhuan solat adalah perkara yang sangat baik dan disarankan oleh syarak. Oleh sebab itu, disyariatkan kepada tukang azan supaya melaung-laungkan “الصلاة خير من النوم” solat adalah lebih baik daripada tidur.
Walaubagaimanapun, dari segi perlaksanan amalan sewajarnya amalan ini dilakukan secara sistematik dan sekata di semua masjid dan surau-surau seperti melaung-laungkannya di corong-corong pembesar masjid 15 atau 30 minit sebelum masuk waktu subuh dan tidak perlu melakukan sejam atau 2 jam sebelumnya.

والله أعلم وأحكم