Tajuk: Penggunaan Nama “Islam” Pada Pertubuhan

Keputusan: (Sighah)

Fatwa 1:

Tiada halangan untuk menggunakan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan malah digalakkan dengan disiplin ilmu, iman dan ihsan. Mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan perkataan Islam untuk tujuan mengelirukan dan menyeleweng adalah salah dan boleh diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Fatwa 2:

Seseorang itu sudah diiktiraf sebagai orang Islam jika menepati Rukun Iman dan Rukun Islam. Dari itu adalah salah dan tidak berhak bagi mana-mana pihak menambah apa-apa syarat bagi menentukan Keislaman seseorang itu. Fahaman sedemikian adalah salah di sisi Islam. Oleh itu sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah atau menyeleweng.

Fatwa 3:

Ketentuan syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah s.w.t. Dari itu dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seorang Islam dilayakkan ke syurga atau ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam. Oleh itu sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah atau menyeleweng.