Memakan Makanan Ubahsuai Genetik (GM Food)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 6/2019 yang telah bersidang pada 30 Ogos 2019 bersamaan dengan 28 Zu al-Hijjah 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Memakan makanan yang terubahsuai genetik (GM Food) adalah harus sekiranya bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilannya adalah halal dan tidak memudharatkan manusia serta alam sekitar.

 

  1. Penggunaan haiwan ternakan selain babi dan anjing, unsur atau keturunannya atau selain binatang yang haram dimakan adalah halal selagi haiwan tersebut disembelih mengikut syarak.

 

  1. Makanan yang dihasilkan melalui kaedah terubahsuai genetik (GM Food) yang tidak dapat dipastikan kemudharatannya adalah dibolehkan berdasarkan kaedah Fiqh menyatakan “Berlakunya sesuatu hukum itu adalah bergantung kepada wujudnya ‘illah atau tidak”.

 

Status: Tidak Diwartakan

Pendapat Mengenai Makanan “Sarang Burung Layang-Layang”

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa pada 19 Rejab 1426H bersamaan 24hb Ogos 2005 membuat dan mengeluarkan, keputusan berikut:

i. Sarang burung layang-layang adalah halal dimakan oleh orang Islam. Ianya diqiaskan seperti lebah dan madu lebah.

 ii. Beberapa orang ulamak turut menghalalkan memakannya seperti Muhammad bin Alawi al-Maliki dan Sahibus Samahah Abdul Aziz, Mufti Fatani.

 iii. Bagi mengeluarkan sijil logo halal kepada pengeluar produk sarang burung layang-layang, pihak Bahagian Penyelidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan hendaklah memastikan cara pembersihan sarang burung layang-layang tersebut mengikut hukum syarak.