Wakaf Bagi Tanah Bertaraf “Hak Milik Terhad”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil.8/2019 yang telah bersidang pada 31 Oktober 2019M bersamaan 3 Rabi’ al-Awal 1441H telah bersetuju memutuskan bahawa:

 

Mewakafkan tanah hak milik terhad (leasehold) adalah sah dan diterima oleh syarak dan hendaklah di ta’bidkan (dikekalkan) menurut Mazhab Syafi’i.

 

Status : Tidak Diwartakan

Penerokaan Tanah Secara Tidak Sah

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/1434H yang bersidang pada 30 April 2013 bersamaan 19 Jumada al-Akhirah 1434H telah bersetuju memutuskan seperti berikut :

  1. Islam mengiktiraf konsep ihya’ al-mawat yang dilakukan oleh orang perseorangan/berkumpulan. Namun berdasarkan situasi semasa, aktiviti ihya’ al-mawat hendaklah dilakukan dengan kawalan kerajaan agar ia tidak dimiliki atau dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja;
  2. Orang perseorangan/berkumpulan yang menceroboh tanah kerajaan dengan menanam tanaman seperti kelapa sawit dan sebagainya adalah tidak harus kecuali setelah mendapat kebenaran kerajaan;
  3. Orang perseorangan/berkumpulan yang menceroboh tanah rizab kerajaan (seperti rizab jalan, sungai, hutan dan lain-lain) dengan mendirikan rumah kediaman, rumah kedai dan bercucuk tanam juga tidak harus (haram) kerana tanah-tanah tersebut termasuk di bawah kategori tanah harim dan kemudahan awam yang tidak boleh dimiliki oleh individu. Walau bagaimanapun kerajaan mempunyai kuasa budi bicara untuk melupuskan tanah-tanah tersebut dalam bentuk penggunaan sementara dengan syarat tidak menimbulkan dharar (bahaya) kepada orang lain;
  4. Orang perseorangan/berkumpulan yang menceroboh tanah milik orang lain (tanah bergeran) adalah haram kerana perbuatan itu termasuk dalam istilah menceroboh harta orang lain yang diharamkan oleh syarak.

Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 4/1434H yang bersidang pada 25 Mac 2013 bersamaan 13 Jumada al-UlaH telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dalam isu ini dengan sighah seperti berikut :

“ Di dalam Islam, harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

i. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

ii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.”

Keterangan/Hujah:

Imam al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah (dibelanjakan) kepada maslahah-maslahah umum umat Islam seperti (membiayai pembinaan atau menyelenggara) jambatan, masjid-masjid, dan seumpamanya yang bersangkut-paut dengan urusan orang Islam. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir.

Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya bagaimana mengurus faedah yang terkumpul di dalam bank konvensional, sama ada hanya perlu dibiarkan sahaja berada di dalam bank konvensional tersebut atau sebaliknya, telah menyatakan bahawa :

a. Faedah-faedah bank yang terkumpul hukumnya adalah sama seperti harta-harta lain yang diperolehi melalui jalan yang haram.

b. Tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan seumpamanya.

c. Meninggalkan wang faedah itu di dalam bank konvensional adalah haram secara muktamad. Dasar ini telah dipersetujui di dalam Muktamar Bank Islam Kedua di Kuwait oleh ulama’ secara ijma’. Tindakan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi ekonomi bank riba dan dikira sebagai menolong dalam urusan maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.

Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa :

i.  Insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah kerana mempunyai elemen-elemen yang bercanggah dengan prinsip teras Islam.

ii. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris adalah dikira sebagai harta tidak patuh syariah.

iii. Dalam hal ini, jumlah bayaran pokok pembeli polisi ketika hayat sahaja dikategorikan sebagai harta peninggalan si mati yang perlu diagihkan secara sistem faraid. Manakala baki pampasan polisi insurans konvensional tersebut tidak boleh diwarisi oleh ahli waris secara sistem faraid serta wajib dilupuskan dengan diserahkan sama ada kepada pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-Negeri atau didermakan untuk tujuan kebajikan termasuklah kepada golongan fakir dan miskin.

iv. Jika terdapat ahli waris pembeli polisi, contohnya isteri atau anak-anak pembeli polisi dikategorikan sebagai golongan fakir dan miskin, maka hukumnya adalah harus bagi ahli waris tersebut untuk mengambil wang pampasan polisi insurans konvensional tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir dan miskin setelah disahkan oleh pihak berkuasa atau Jawatankuasa Kariah kawasan berkenaan. Baki wang pampasan polisi tersebut perlulah dilupuskan mengikut cara yang telah dinyatakan dalam perkara (iii) di atas.

Kadar Fidyah

Keputusan: (Sighah)

KeputusanMesyuarat Jawatankuasa Fatwa 3/1430 Pada 14 Sya‘Ban 1430H bersamaan 5hb Ogos 2009 seperti berikut:

1.  Mengguna-pakai pengiraan fidyah puasa mengikut Mazhab Syafi‘I, iaitu satu cupak beras atau nilai ¼ daripada zakat fitrah semasa bagi satu hari puasa yang ditinggalkan, dan fidyah puasa ini digandakan sekiranya puasa yang tertinggal tidak diqadha’ hingga masuk bulan Ramadhan yang baru.

2. Dalam sesetengah keadaan, seseorang/wakil yang tidak mampu membayar jumlah fidyah puasa tersebut, maka pengiraan fidyah puasa mengikut Mazhab Hanafi boleh diguna-pakai, iaitu setengah gantang beras atau nilai ½ daripada zakat fitrah semasa bagi satu hari puasa yang ditinggalkan tanpa gandaan.

3.  Pembayaran fidyah puasa dalam bentuk nilai beras adalah harus.

4. Pusat Zakat Negeri Sembilan bolehlah menerima pembayaran fidyah puasa dan pengagihannya hendaklah diserahkan kepada Baitul Mal Negeri Sembilan

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Percukaian Menurut Pandangan Islam: Kajian Terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2015-1436H yang bersidang pada 25 Februari 2015 bersamaan 06 Jumada al-Ula 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-106 berkenaan Percukaian Menurut Pandangan Islam: Kajian Terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan sighah seperti berikut :

1) Hasil pembentangan, Mesyuarat menerima pendapat bahawa :

i. Sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Isu cukai adalah isu siyasah syar’iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan maslahah pada sesuatu zaman berbanding zaman yang lain.

ii. Cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh Syarak adalah diharamkan. Oleh itu, jika Kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat rakyat, seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ia adalah dibenarkan.

iii. Sebahagian ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi’i, al-Syatibi, Ibn Khaldun, ulama semasa Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni membenarkan Kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.

iv. Majoriti para ulama berpandangan Kerajaan haram mengutip cukai daripada rakyat. Namun jika terdapat keperluan yang mendesak, maka Kerajaan dibenarkan mengenakan cukai bagi memenuhi maslahah umum rakyat berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah:

الشريعة وضعت لمصالح العباد ودرء المفاسد عنهم

“Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka”.

2) Mesyuarat juga berpandangan bahawa apabila Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, wujud kemudharatan khusus iaitu harta milik rakyat akan berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip, banyak maslahah umum tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan. Oleh itu, berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah  يُتَحَمَّلُ الضَّرَرُ الْخَاصُّ؛ لِأَجْلِ دَفْعِ ضَرَرِ الْعَامِّ (Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum), Kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum.

3) Sehubungan itu, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri untuk mengutip cukai seperti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia selagimana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak seperti berikut:

i. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam;

ii. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan;

iii. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;

iv. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil;

v. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat;

vi. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan Setempat;

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Pembayaran Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bagi Ahli Yang Memeluk Islam

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2015-1436H yang bersidang pada 20 April 2015 bersamaan 01 Rajab 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-61 berkenaan Hukum Pembayaran Simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bagi Ahli Yang Memeluk Islam dengan sighah seperti berikut :

1. Mengikut hukum syarak, orang bukan Islam tidak berhak mewarisi harta orang Islam dan begitulah sebaliknya;

2. Jika seseorang bukan Islam memeluk Islam dan mempunyai simpanan KWSP dan telah menamakan penama orang bukan Islam maka hendaklah menukar penama tersebut kepada orang Islam. Jika tiada penama orang Islam dan tiada waris Islam yang berhak ke atas harta tersebut setelah beliau meninggal dunia maka harta itu tidak menjadi hak kepada penama bukan Islam, sebaliknya hendaklah diserahkan kepada Baitulmal; dan

3. Orang Islam boleh membuat wasiat kepada orang bukan Islam tidak melebihi 1/3 daripada hartanya.

Status Pewartaan : Proses Warta

Skim Pinjaman Wang Daripada Koperasi dan Seumpamanya Untuk Tunaikan Fardhu Haji Atau Umrah

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2015-1436H yang bersidang pada 20 April 2015 bersamaan 01 Rajab 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-69 berkenaan Hukum  Skim Pinjaman Wang Daripada Koperasi dan Seumpamanya Untuk Tunaikan Fardhu Haji Atau Umrah dengan sighah seperti berikut :

  1. Adalah harus seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah daripada skim pinjaman wang sekiranya mampu membayar balik hutang tersebut dan ia tidak menjejaskan kehidupan normalnya; dan
  2. Skim pinjaman tersebut hendaklah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, taawun, adil dan telus dalam operasinya disamping bebas dari unsur-unsur riba.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Membangunkan Tanah Wakaf Khas Dengan Pembangunan Tambahan Selain Dari Niat Asal Pewakaf

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan bahawa membangunkan tanah wakaf khas khususnya wakaf masjid dengan tambahan projek pembangunan atau beberapa penambahbaikan bagi menjamin harta wakaf tersebut kekal adalah diharuskan oleh Islam dengan syarat pembangunan ini hendaklah berdasarkan keperluan yang boleh ditentukan oleh pemerintah dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Pelaburan Dalam ASN, ASB dan Seumpamanya

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 5/1433H yang bersidang pada 30 Ogos 2012 bersamaan 12 Syawal 1433H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI dalam isu pelaburan dalam saham ASN, ASB dan seumpamanya berdasarkan alasan berikut:

1. Telah wujud panel syariah dalam institusi PNB yang mengambil tanggungjawab untuk berusaha dari semasa ke semasa untuk mengurangkan peratus percampuran antara pelaburan yang halal dan haram.

2. Mesyuarat bersetuju bahawa keputusan fatwa perlu dirujuk kepada maslahah umum, maqasid syarak dan realiti semasa. Fatwa dikeluarkan bukan berdasarkan pandangan bersifat peribadi atau hukum yang bersifat ideal semata-mata. Dalil yang menyokong aspek maslahah umum dalam isu pelaburan ASN/ASB ini juga adalah kukuh.

3. Isu ini juga bersifat ijtihadi khususnya bagi penentuan peratus keharaman yang dilakukan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Khilaf yang berlaku ini menyebabkan wujudnya sedikit keringanan di dalam sesuatu hukum yang diputuskan.

Berdasarkan pandangan tersebut, mesyuarat bersetuju dengan sighah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI seperti berikut:

“Bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus”.