Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang (Surrogate Motherhood) Untuk Mendapatkan Zuriat

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil. 2/2019 yang bersidang pada 28 Mac 2019 bersamaan 21 Rajab 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang (Surrogate Motherhood) Untuk Mendapatkan Zuriat adalah haram dalam Islam kerana:

  1. Boleh menyebabkan kecelaruan dari segi nasab anak yang akan dilahirkan, walaupun sperma dan ovum adalah diambil daripada pasangan suami isteri yang sah.

 

  1. Bagi kes perkahwinan poligami, menanam embrio kedalam rahim salah seorang isteri sebagai ibu tumpang sedangkan ovum diperolehi daripada isteri yang lain, misalnya embrio dihasilkan daripada percantuman sperma suami dengan isteri kedua tetapi ditumpangkan kepada isteri pertama, hukumnya haram berdasarkan kaedah “Sad az-Zari‘ah”.

 

Status: Tidak Diwartakan

Cerai Taklik Pilihan Kepada Isteri Sekiranya Suami Berpoligami

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 06/2015-1436H yang bersidang pada 26 Ogos 2015 bersamaan 11 Dzulqa’dah 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-71 berkenaan Hukum Cerai Taklik Pilihan Kepada Isteri Sekiranya Suami Berpoligami dengan sighah seperti berikut :

  1. Di dalam Islam poligami adalah diharuskan. Oleh itu dengan mengambilkira hikmah poligami yang telah disyariatkan, Muzakarah memutuskan bahawa cadangan memasukkan lafaz cerai taklik sekiranya suami berpoligami tidak perlu dilaksanakan.
  2. Muzakarah juga berpandangan bahawa Undang-Undang Keluarga Islam yang sedia ada telah lengkap dan mencakupi semua isu berkaitan institusi keluarga Islam. Sehubungan itu sebarang pindaan undang-undang bagi tujuan penambahan lafaz cerai taklik ini adalah tidak diperlukan.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference)

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 1/1433H yang bersidang pada 21 Mac 2012 bersamaan 28 Rabi’ul Akhir 1433H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dan ia merupakan akad yang diterima syarak dengan menegaskan bahawa para fuqaha’ bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.

Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut :

  1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
  2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
  3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
  4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
  5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
  6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.

Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil 5/2018-1439H yang bersidang pada 26 Julai 2018 bersamaan 13 Zu-al-Qa’dah 1439H telah 2014 telah membincangkan Isu Perkahwinan Kanak-kanak: Kajian dari Aspek Agama, Kesihatan dan Psikologi. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Berasaskan nas-nas Syarak dan Qaedah-Qaedah Fiqhiyyah serta keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah harus dan dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syar’ie, mengikut peraturan dan undang-undang yang telah wujud dan sedia ada.