Penggunaan Peralatan dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa :

Berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.

Sekiranya penggunaan produk bone china yang berasaskan abu tulang haiwan yang tidak halal mengikut Syarak ini diharuskan, maka ia akan membuka ruang kepada penggunaan produk-produk bersumberkan haiwan yang tidak halal mengikut syarak berleluasa.

Peralatan atau perhiasan bone china juga tidak mencapai tahap keperluan (darurah) kepada masyarakat untuk memiliki dan menggunakannya.

Sehubungan itu, adalah diputuskan bahawa penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal mengikut syarak, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.

Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan.

 

Penentuan‘Uruf Pemakaian Emas,Wanita Islam Negeri Sembilan

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa 3/1430 pada 14 Sya‘ban 1430H bersamaan 5hb Ogos 2009 telah memutuskan bahawa:

1.  ‘Uruf emas perhiasan bagi wanita Islam di Negeri Sembilan adalah pada kadar 200 gram dan sekiranya melebihi daripada had kadar tersebut maka hendaklah dikeluarkan zakatnya.

2.  ‘Uruf emas perhiasan adalah mengikut timbangan emas (gram) dan bukannya dalam bentuk nilai.

3.  Kaedah penaksiran zakat emas perhiasan hendaklah dibuat setelah ditolak kadar ‘uruf emas perhiasan.

Memakai Gelang Besi Magnetik Bagi Lelaki Bertujuan Kesihatan

Keputusan: (Sighah)

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bilangan 1/1429 bertarikh20 Safar 1429Hbersamaan27hb Februari 2008M telah memutuskan bahawa:

Haram bagi lelaki memakai gelang magnetik kerana pemakaian gelang tersebut lebih kepada menyerupai wanita (تـشبّه بالنساء). Cara ini adalah satu kaedah untuk merosakkan orang Islam.