Mengiringi Bacaan al-Quran dengan Muzik dan Menggunakan Matan Hadis, Terjemahan al-Quran serta Terjemahan Hadis Sebagai Lirik Lagu

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 4/2019 yang bersidang pada 27 Jun 2019 bersamaan dengan 23 Syauwal 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Ayat-ayat Al-Quran haram diiringi bacaannya dengan muzik atau dijadikan lirik nyanyian.
  2. Haram menggunakan matan hadis sebagai lirik nyanyian.
  3. Menjadikan terjemahan al-Quran atau hadis sebagai lirik nyanyian hukumnya harus dengan syarat menjaga adab-adabnya yang selari dengan syarak.

 

Status: Tidak diwartakan

Menggabungkan Nama Anak Angkat Dengan Bapa Angkat Dalam Sijil Pengangkatan Dan Kad Pengenalan

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 4/1434H yang bersidang pada 25 Mac 2013 bersamaan 13 Jumada al-Ula 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-57 bertarikh 10 Jun 2003 dalam isu ini dengan sighah seperti berikut :

“Mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya. Mana-mana anak angkat sama ada sah taraf atau tidak, yang digabungkan namanya dengan nama ayah angkat hendaklah dibin atau bintikan kepada bapa kandungnya atau mana-mana nama Allah al-Husna yang tidak sama dengan nama ayah angkat berkenaan”.

Wanita Menyusukan Anak Angkat

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan seperti berikut :

i. Islam menggalakkan setiap ibu yang melahirkan anak untuk menyusukan sendiri bayi mereka dengan susu ibu sehingga mencapai usia dua tahun, sekiranya mereka mampu berbuat demikian. Namun begitu, Islam juga membenarkan wanita yang tidak melahirkan anak tetapi mengambil anak angkat, untuk menyusukan sendiri anak tersebut dengan bantuan rawatan perubatan.

ii. Penegasan ini adalah berdasarkan pandangan Jumhur fuqaha’yang tidak mensyaratkan seseorang wanita itu mesti hamil terlebih dahulu untuk menyusukan anak sepertimana pandangan Mazhab Hanbali, Syafie dan Hanafi yang menyatakan bahawa seorang perempuan yang hendak menyusukan seorang anak, tidak disyaratkan mempunyai suami yang menyetubuhinya.

iii. Sehubungan itu, adalah diputuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat ianya seorang wanita yang telah mencapai umur baligh sama ada telah berkahwin ataupun sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur najis atau mudharat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.

iv. Jumhur fuqaha’juga bersepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi tersebut mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung dari payudara dan penyusuan secara tidak langsung seperti menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya. Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, adalah diputuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:

a.  bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan;

b.  susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan

c.  umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.

v. Hujah thabitan ini ialah kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payudara. Walau bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.

vi. Adalah diputuskan juga bahawa seorang wanita beragama Islam tidak dilarang untuk menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga seorang bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada aqidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.

vii. Manakala susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama’ mazhab Shafie dan Hanbali, kerana untuk thabit menjadi anak susuan ialah perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak.

viii. Bagi seorang lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut telah thabit menjadi anak susuan, maka adalah diputuskan bahawa lelaki yang menjadi suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.

Pelaksanaan Wasiat Wajibah

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 9/2013-1434H yang bersidang pada 27 Ogos 2013 bersamaan 20 Syauwal 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-83 bertarikh 22 – 24 Oktober 2008 dengan menegaskan bahawa Islam amat menitikberatkan kebajikan dan kesempurnaan hidup umatnya, terutama anak-anak yang kehilangan ahli keluarga mereka. Oleh itu, Mesyuarat berpandangan bahawa dalam melaksanakan Wasiat Wajibah adalah harus mengambil pandangan yang menyatakan bahawa berwasiat kepada ahli-ahli waris (seperti cucu) yang tidak mendapat pusaka disebabkan halangan-halangan tertentu adalah merupakan suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan.

Oleh yang demikian, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa dalam kes di mana seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih dahulu daripada datuk atau neneknya, anak tersebut iaitu cucu berhak untuk menerima Wasiat Wajibah dengan mengambil bahagian faraid bapa atau ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau nenek. Sekiranya bahagian ibu atau bapa adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar tidak melebihi 1/3.

Pelaksanaan Wasiat Wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:

  1. Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima Wasiat Wajibah.
  2. Hendaklah kedua ibu atau bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak dengan datuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.
  3. Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardu atau ta’sib maka mereka tidak layak untuk mendapat Wasiat Wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding Wasiat Wajibah.
  4. Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah daripada harta pusaka datuk.
  5. Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucu melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang daripada hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan. Maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.
  6. Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang lain.
  7. Pembahagian Wasiat Wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.
  8. Pembahagian Wasiat Wajibah kepada cucu-cucu yang berhak adalah berdasarkan kepada prinsip faraid iaitu seorang lelaki menerima bahagian 2 orang perempuan.

Keterangan/Hujah: 

  1. Majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa hokum wasiat adalah sunat dan umat Islam digalakkan untuk berwasiat kepada ahli-ahli keluarga yang tidak mendapat pembahagian pusaka dengan kadar tidak melebihi 1/3.
  2. Ibn Hazm al-Zahiri berpendapat bahawa wajib berwasiat kepada kaum kerabat yang tidak mendapat bahagian harta pusaka. Menurut Ibn Hazm, penurunan ayat pusaka yang menerangkan hak faraid bagi waris-waris tidak menasakhkan kewajipan berwasiat bahkan penurunan ayat wasiat tersebut dikhususkan bagi ahli-ahli waris yang tidak mendapat pusaka disebabkan oleh halangan-halangan tertentu.
  3. Dalam hal ini Ibn Hazm menegaskan bahawa kewajipan itu tidak akan gugur meskipun selepas kematian seorang muslim dan menjadi kewajipan kepada waris atau pentadbir harta untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut menurut kadar yang berpatutan tanpa menimbulkan kesusahan kepada waris-waris yang ditinggalkan.
  4. Wasiat Wajibah perlu dilihat dari segi maksud dan hikmah serta bagaimana pelaksanaannya kerana wasiat wajibah dilihat dapat mengatasi isu kematian serentak yang berlaku terhadapdatuk atau nenek bersama anak yang masih mempunyai anak-anak (cucu) yang masih hidup.
  5. Dalam sistem pembahagian pusaka Islam, cucu tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka datuk atau nenek disebabkan mereka terdinding oleh bapa saudara dan ibu saudara. Keadaan ini telah menimbulkan persoalan tentang kebajikan dan masa depan cucu-cucu ini terutama sekali sekiranya mereka masih kecil. Lebih memburukkan lagi keadaan sekiranya ibu bapa mereka meninggal dunia pada usia muda dan tidak meninggalkan harta untuk diwarisi oleh anak-anak bagi meneruskan kehidupan.
  6. Dalam melaksanakan Wasiat Wajibah, harus mengambil pandangan Ibn Hazm az-Zahiri demi kepentingan keluarga terutamanya anak-anak yang menjadi yatim piatu.
  7. Sebahagian negeri tidak mengkanunkan pelaksanaan Wasiat Wajibah kerana ia tidak mengikut pandangan Mazhab Syafie. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa meminta supaya negeri-negeri memfatwakan kerana asas pelaksanaannya adalah maslahah dan kebajikan insan. Dalam situasi hidup pada hari ini, maslahah ahli-ahli waris yang dalam keadaan memerlukan tetapi terhalang daripada mendapat bahagian pusaka, perlu ditentukan mengikut Maqasid Syariyyah.
  8. Wasiat Wajibah boleh dianggap sebagai badal atau ganti kepada faraid. Oleh itu, pelaksanaannya juga perlu didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.

Status pewartaan : Tidak Diwartakan

Menggunakan DNA Untuk Menentukan Status Anak

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa :

Islam sangat menitik beratkan persoalan nasab dan apabila telah ada dalil yang mengisbatkan nasab, maka penafiannya tidak boleh diterima melainkan dengan kaedah Li’an kerana Li’an telah sabit melalui al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’dan merupakan suatu amalan taabudiah.

Majma’Fiqh al Islami yang bersidang pada 21 – 26 Syawal 1422 bersamaan 5 – 10 Januari 2002 telah memutuskan bahawa untuk mengisbatkan nasab, penggunaan DNA dibenarkan dan dilakukan atas perintah mahkamah hanya dalam kes pertelingkahan ketidaktahuan nasab anak atas pelbagai sebab, kes kekeliruan atau pertukaran anak di hospital atau pusat jagaan, kes bayi tabung uji serta dalam kes anak-anak yang hilang atas sebab bencana alam dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Majma’al-Fiqh al-Islami menetapkan bahawa DNA tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab anak apalagi digunakannya mendahului kaedah li`an.

Adalah ditegaskan oleh para Fuqaha’yang telah bersepakat bahawa penafian nasab anak melalui kaedah li’an perlu dilakukan dengan kadar segera (على الفور) dan jika penafian nasab tidak dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan, maka gugurlah hak penafian nasab tersebut.

Merujuk kepada Mazhab Shafie, terdapat dua pandangan iaitu dalam qaul qadim dan qaul jadid. Dalam qaul qadim, Imam Shafie menetapkan bahawa penafian hendaklah berlaku sejurus diketahui kelahiran bayi tersebut. Sekiranya penafian tidak dibuat, bermakna seseorang itu telah mengakui bahawa bayi tersebut adalah anaknya. Namun begitu, dalam qaul jadid, penafian tidak semestinya secara terus. Ia memerlukan masa sebelum sesuatu keputusan diambil memandangkan ia merupakan satu perkara yang penting. Ia boleh ditangguhkan sehingga tiga hari dan penangguhan hanya boleh berlaku atas sebab-sebab keuzuran.

Sehubungan itu, berdasarkan penegasan dan pandangan para ulama’ mengenai tempoh segera bagi melakukan li’an untuk menafikan nasab anak, seseorang yang hendak melakukan li’an bagi penafian nasab anaknya perlu mempunyai tempoh waktu yang munasabah sebelum membuat keputusan demi mengelakkan sebarang kemudaratan yang mungkin berlaku.

Oleh yang demikian, adalah diputuskan bahawa tempoh segera bagi seseorang bapa yang hendak melakukan li’an bagi menafikan nasab anaknya adalah bermula daripada tarikh isterinya disahkan mengandung sehinggalah tiga (3) hari selepas bersalin. Penafian setelah tempoh munasabah tersebut adalah tertolak dan anak tersebut adalah sah dan sabit sebagai anaknya.

Adalah diputuskan supaya garis panduan untuk menjalankan ujian DNA oleh pihak berkuasa berkaitan hendaklah diperketatkan lebih-lebih lagi dalam isu untuk menafikan nasab kerana DNA hanya sekadar qarinah atau sokongan semata-mata dan tidak boleh dijadikan bukti utama.

Wang Pampasan Kematian Pekerja Yang Dianugerahkan Oleh Kerajaan Atau Syarikat Swasta

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2014-1435H yang bersidang pada 24 April 2014 bersamaan 24 Jumada al-Akhirah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-49 berkenaan Wang Pampasan Kematian Pekerja Yang Dianugerahkan Oleh Kerajaan Atau Syarikat Swasta dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa wang pampasan yang diperolehi dari kematian pekerja, wang pampasan melalui tuntutan mahkamah, wang SOCSO dan seumpamanya tidak dianggap harta pusaka.

 

Status Pewartaan : Tidak diwartakan

Sembahyang Jumaat Banduan Di Dalam Penjara Dan Seumpamanya

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2014-1435H yang bersidang pada 22 Mei 2014 bersamaan 22 Rajab 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-56 berkenaan Sembahyang Jumaat Banduan Di Dalam Penjara Dan Seumpamanya dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat telah memutuskan bahawa hukum sembahyang Jumaat ke atas banduan di penjara dan seumpamanya adalah wajib dan Jabatan Penjara Malaysia hendaklah membenarkan para banduan menunaikan sembahyang Jumaat kecuali bagi mereka yang didapati boleh menimbulkan ancaman seperti ancaman keselamatan, sosial dan sebagainya.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Menulis Ayat-Ayat Al-Quran Mengikut Reka Bentuk Alat Permainan Seperti Wau, Tumbuhan, Bunga-Bungaan Dan Seumpamanya

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2014-1435H yang bersidang pada 26 Jun 2014 bersamaan 28 Sya’ban 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-69 berkenaan Hukum Menulis Ayat-Ayat Al-Quran Mengikut Reka Bentuk Alat Permainan Seperti Wau, Tumbuhan, Bunga-Bungaan Dan Seumpamanya dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat telah memutuskan bahawa:

1. Penulisan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk hiasan yang keterlaluan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesukaran kepada pembaca adalah dilarang;

2. Penulisan khat ayat al-Quran boleh dibuat dengan syarat ditulis dengan betul dan dapat dibaca;

3. Tulisan khat ayat al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan ayat-ayat lain sehingga boleh mengelirukan pembaca;

4. Tulisan khat ayat-ayat al-Quran mestilah ditulis dengan sempurna dan susunan ayat-ayatnya tidak boleh terputus-putus sehingga mencacat atau mengelirukan atau mengubah maknanya; dan

5. Tulisan seni khat ayat-ayat al-Quran yang dibuat dalam pelbagai bentuk sehingga menimbulkan kekeliruan dan menghilangkan tujuan ayat-ayat al-Quran diturunkan iaitu untuk dibaca, difahami dan dihayati adalah dilarang.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Menulis Dan Menerbit Bahan-Bahan Yang Mengandungi Ayat-Ayat Al-Quran, Hadis Beserta Pandangan-Pandangan Agama Lain (Cina, Buddha, Hindu, Sikh Dan Kristian)

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2014-1435H yang bersidang pada 26 Jun 2014 bersamaan 28 Sya’ban 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-69 berkenaan Hukum Menulis Dan Menerbit Bahan-Bahan Yang Mengandungi Ayat-Ayat Al-Quran, Hadis Beserta Pandangan-Pandangan Agama Lain (Cina, Buddha, Hindu, Sikh Dan Kristian) dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat telah memutuskan bahawa menulis dan menerbit bahan-bahan yang mengandungi ayat-ayat al-Quran, hadis beserta pandangan-pandangan agama lain (Cina, Buddha, Hindu, Sikh Dan Kristian) adalah dilarang bagi mempastikan kesucian dan kehormatan agama Islam terpelihara.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Kedudukan Amalan Khurafat Di Pulau Besar Melaka

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2014-1435H yang bersidang pada 26 Jun 2014 bersamaan 28 Ramadhan 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-105 berkenaan Kedudukan Amalan Khurafat Di Pulau Besar Melaka dengan sighah seperti berikut :

1. Setelah mendengar pembentangan S.S Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa:

a. Perbuatan memohon hajat, berdoa dan bermeditasi serta bertawassul di sisi kubur-kubur yang ada di sekitar Pulau Besar merupakan amalan ghuluw yang boleh membawa kepada syirik.

b. Perbuatan memuja dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan daripada sesuatu objek seperti di kubur Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail, kubur Tujuh Beradik, kubur Syarifah Rodziah, kubur Syeikh Yusuf, kubur Tok Janggut, kubur Nenek Kebayan, Tempayan Pecah, Batu Belah, Gua Yunus, perigi Nenek Kebayan, Tasik Bunian, Tasik Biawak dan pokok disula adalah syirik.

c. Perbuatan membaca Surah Yasin, membuat tahlil seterusnya mendoakan hajat bagi pihak orang bukan Islam dengan tujuan supaya permintaan mereka tercapai adalah dilarang oleh Islam.

d. Perbuatan mandi di Perigi Nenek Kebayan dan Tempayan Pecah, menjadikan batu-batu atau objek yang diambil daripada perigi sebagai azimat, membakar colok di sekitar kawasan kubur dan pokok-pokok dengan mempercayai ia boleh memberi manfaat atau mudharat adalah perbuatan khurafat yang jelas dilarang oleh Islam.

e. Perbuatan menjamu orang ramai dengan daging yang dinazar oleh orang Islam dan bukan Islam adalah perlu dihentikan.

f. Menjual poster yang dipercayai sebagai gambar para sahabat nabi adalah haram dan hendaklah dihentikan.

g. Amalan membaca tahlil ketika upacara menaik dan menurunkan bendera serta berjalan kaki tanpa kasut atau selipar menuju ke gua atau perigi serta perbuatan menyapu dan menjirus cairan cendanan berwarna kuning pada batu nisan dan kubur Sheikh Ismail adalah khurafat yang perlu ditegah.

2. Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Jawatankuasa Fatwa bersetuju memutuskan bahawa amalan dan perbuatan yang disebut di atas adalah merupakan perkara bida’ah dhalalah dan khurafat yang amat ditegah oleh syarak dan perlu dihentikan segera kerana ia boleh membawa kepada syirik.

3. Sehubungan itu juga Jawatankuasa Fatwa menggesa supaya tindakan penguatkuasaan bagi membenteras amalan khurafat di Pulau Besar dilaksanakan segera oleh Kerajaan Negeri Melaka. Penjelasan dan kesedaran kepada masyarakat awam hendaklah dilaksanakan supaya amalan khurafat yang berleluasa di Pulau Besar tersebut dapat dihentikan.

Status Pewartaan : Tidak diwartakan