Upacara Akad Nikah Di Masjid

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2014-1435H yang bersidang pada 27 Ogos 2014 bersamaan 01 Zulqaedah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-95 berkenaan Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid dengan sighah seperti berikut :

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Mesyuarat berpandangan bahawa Jumhur ulama’ telah memperakukan bahawa upacara akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Bahkan ulama’ mazhab Syafie berpendapat adalah sunat dan digalakkan untuk melaksanakan akad nikah di masjid.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melakukan upacara akad nikah di masjid atau surau adalah sunat untuk mendapat keberkatan. Walaubagaimanapun, kedua-kedua pihak bagi pengantin lelaki dan perempuan yang turut menyertai upacara akad nikah tersebut hendaklah menjaga adab dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam masjid atau surau berkenaan.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Qurban Dan Aqiqah Ke Atas Haiwan Import Yang Tidak Diketahui Umurnya.

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2014-1435H yang bersidang pada 27 Ogos 2014 bersamaan 01 Zulqaedah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-96 berkenaan Hukum Qurban Dan Aqiqah Ke Atas Haiwan Import Yang Tidak Diketahui Umurnya dengansighah seperti berikut :

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Mesyuarat berpandangan bahawa Qurban dan Aqiqah telah disyariatkan dalam al-Quran dan Sunnah dan kedua-duanya merupakan sembelihan sunat yang bertujuan untuk taqarrub kepada Allah s.w.t.

Sehubungan itu, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa hukum Qurban dan Aqiqah ke atas haiwan yang diimport adalah berdasarkan hukum yang telah disepakati oleh para fuqaha’, iaitu bagi anak kambing muda ianya sesuai untuk dijadikan qurban apabila umurnya genap setahun dan telah masuk ke tahun yang kedua. Manakala bagi unta disyaratkan umurnya memasuki enam tahun dan bagi kambing dan lembu pula hendaklah telah memasuki umur tiga tahun. Bagi biri-biri pula hendaklah memasuki umur dua tahun.

Para pengimport haiwan ternakan pula dinasihatkan agar untuk tujuan ibadah Qurban atau Aqiqah hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mempastikan haiwan import tersebut mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan kerana Qurban dan Aqiqah merupakan satu amal ibadah yang bersifat ta’abbudiyyah yang perlu dilaksanakan secara sempurna.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Penggantungan Kaligrafi Islam Di Premis Bukan Islam.

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2014-1435H yang bersidang pada 27 Ogos 2014 bersamaan 01 Zulqaedah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-83 berkenaan Hukum Penggantungan Kaligrafi Islam Di Premis Bukan Islam dengan sighah seperti berikut :

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, mesyuarat telah memutuskan bahawa bagi menjaga kehormatan dan kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran dan kalimah-kalimah suci agama Islam, perbuatan menggantung apa jua ayat-ayat suci al-Quran atau kalimah-kalimah suci agama Islam di premis-premis bukan Islam atau mana-mana tempat yang boleh mendedahkannya kepada penghinaan, penipuan atau penyalahgunaan adalah dilarang oleh Islam.

Penjualan dan penyimpanan kitab suci al-Quran di kedai-kedai yang dimiliki oleh orang bukan Islam adalah juga dilarang oleh Islam kerana ia boleh membawa kepada penghinaan ke atas kehormatan dan kesucian kitab suci tersebut.

Status pewartaan : Proses Warta

Kedudukan Perbuatan Zikir Sambil Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Dalam Masjid Atau Surau

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 09/2014-1436H yang bersidang pada 16 Disember 2014 bersamaan 23 Safar 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-106 berkenaan Kedudukan Perbuatan Zikir Sambil Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Dalam Masjid Atau Surau dengan sighah seperti berikut :

1. Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid demi menjaga kehormatan masjid dan akhlak Islam.

2. Walau bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa jua jenis alatan muzik yang diharuskan syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan syariat dan akhlak Islam.

 Status pewartaan : Tidak diwartakan

Pembinaan Tandas Di Dalam Masjid

Keputusan: (Sighah)

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil.02/2015-1436H yang bersidang pada 25 Februari 2015 bersamaan 06 Jumada al-Ula 1436H memutuskan seperti berikut :

“Muzakarah memutuskan untuk tidak membenarkan pembinaan tandas dalam bangunan masjid berdasarkan hukum yang terdapat di dalam Kitab Fathul Bari, syarah Sahih Bukhari menyatakan makruh membina tandas dengan dinding yang sama dengan masjid dan bersamaan dengan arah kiblat. Bahkan adalah makruh untuk bersolat di dalam masjid yang mempunyai binaan seperti itu.”

Pewarisan Bagi Kes Kematian Serentak

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2015-1436H yang bersidang pada 30 Julai 2015 bersamaan 14 Syauwal 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-83 berkenaan Hukum Pewarisan Bagi Kes Kematian Serentak dengan sighah seperti berikut :

Hukum Pewarisan Bagi Kes Kematian Serentak dalam kejadian yang sama atau sebaliknya dan tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu bagi menentukan hak pewarisan, maka mereka tidak akan saling mewarisi antara satu sama lain kerana berdasarkan syarat-syarat pewarisan, waris (al-warith) hendaklah masih hidup semasa kematian orang yang mewariskan (al-muwarrith). Oleh itu, harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambilkira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya.

Bagi merekodkan waktu kematian, perakuan pakar perubatan hendaklah diterimapakai dan dicatatkan dalam Sijil Kematian.

Keterangan/Hujah :

1. Bagi kes ahli-ahli keluarga yang meninggal secara serentak yang tidak dapat ditentukan siapa meninggal terlebih dahulu dalam kejadian kapal karam, kebakaran, tertimbus dalam runtuhan, kemalangan jalan raya dan sebagainya, Jumhur Fuqaha’ kecuali mazhab Hanbali berpendapat bahawa mereka itu tidak saling mewarisi antara satu sama lain kerana syarat pewarisan ialah waris (al-warith) hendaklah masih hidup sewaktu kematian orang yang yang mewariskan (al-muwarrith) sedangkan dalam kes kematian serentak syarat tersebut tidak dipenuhi. Dalam kejadian tidak dapat ditentukan siapa yang mati terlebih dahulu di kalangan ahli keluarga, maka mereka tidak saling mewarisi antara satu sama lain.

2. واستدلوا بما روى خارجة بن زيد بن ثابت عن أبيه أنه قال: أمرني أبو بكر الصديق ـ رضي الله عنه ـ بتوريث أهل اليمامة، فورثت الأحياء من الأموات، ولم أورث الأموات بعضهم عن بعض. وأمرني عمر ـ رضي الله عنه ـ بتوريث أهل طاعون عَمْوَاس، وكانت القبيلة تموت بأسرها، فورَّثت الأحياء من الأموات، ولم أورِّث الأموات بعضَهم من بعض. وهكذا نقل عن علي كرم الله تعالى وجهه في قتلى الجَمَل وصِفِّين

Yang bermaksud, Ini bersandarkan kepada kisah yang diriwayatkan oleh Kharijah bin Zaid bin Thabit daripada bapanya dan dia telah berkata : “ Aku telah diarahkan oleh Abu Bakr al-Siddiq r.a untuk membahagikan harta pusaka kepada penduduk Yamamah, orang-orang yang hidup mewarisi daripada orang yang meninggal dunia. Manakala orang-orang yang meninggal dunia tidak mewarisi sesama mereka. Dan aku juga telah diperintahkan oleh Umar r.a untuk membuat pembahagian pusaka kepada waris si mati yang meninggal akibat wabak taun yang melanda Amwas (sebuah kampung di Palestin). Terdapat kabilah tertentu yang seluruh anggota keluarganya meninggal dunia. Oleh itu, orang yang mati mewarisakan harta mereka kepada warisnya yang hidup dan orang yang meninggal dunia secara bersama itu tidak saling mewarisi di antara mereka. Hal yang sedemikian turut dipraktikkan oleh Ali k.w selepas berlakunya peperangan Jamal dan Siffin.”

 

3. Dar al-Ifta’ Mesir telah mengeluarkan fatwa bagi kes kematian serentak melibatkan ahli keluarga dengan menyatakan bahawa ahli keluarga berkenaan tidak mewarisi antara satu sama lain.

4. Dalam isu pewarisan bagi kes kematian serentak ini, pandangan Jumhur Ulama’ lebih fokus berbanding dengan yang lain di mana Jumhur menetapkan bahawa mereka tidak saling mewarisi antara satu sama lain dan harta pusaka si mati akan dibahagikan kepada waris-waris yang hidup tanpa mengambil kira bahagian ahli keluarga yang mati bersamanya.

5. Jawatankuasa boleh mengambil pandangan Jumhur dalam menentukan hukum kerana ia berdasarkan kepentingan dan maslahah umat Islam.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Merokok dari Pandangan Islam

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Penukaran Nama Daripada Bukan Islam Kepada Islam

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 06/2015-1436H yang bersidang pada 26 Ogos 2015 bersamaan 11 Dzulqa’dah 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-23 berkenaan Penukaran Nama Daripada Bukan Islam Kepada Islam dengan sighah seperti berikut :

  1. Dibolehkan untuk mengekalkan nama asal yang mempunyai pengertian yang baik.
  2. Walau bagaimanapun, adalah menjadi satu keperluan untuk meletakkan nama Islam.
  3. Pertukaran nama perlu dilakukan sekiranya nama tersebut mempunyai pengertian yang tidak baik.
  4. Tiada halangan saudara baru untuk meletakkan nama bapanya atau boleh dibin/dibintikan dengan nama Abdullah atau tidak dibin/dibintikan dengan apa-apa nama.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Orang Bukan Islam

Keputusan: (Sighah)
  1. Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  2. Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
  3. Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.
  4. Mesyuarat juga memutuskan untuk menerima pakai Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam dan bersetuju agar garis panduan ini diterbitkan dalam bentuk risalah atau edaran yang bersesuaian untuk makluman awam.

Had Tempoh Panggilan Muallaf

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 8/2012-1434H yang bersidang pada 11-13 Disember 2012 bersamaan 27-29 Muharram 1434H telah bersetuju memutuskan bahawa di dalam Islam tiada sebarang nas yang mewajibkan seseorang yang baru memeluk Islam dipanggil muallaf. Sebutan dan had tempoh panggilan muallaf ini lebih bersifat urf semata-mata.

Mesyuarat juga mengesyorkan agar pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan mengambil tindakan untuk menentukan tempoh had muallaf berdasarkan uruf di Negeri Sembilan.