Melukis Gambar Sahabat Nabi SAW

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa 1/1430 pada 7 Rejab 1430H bersamaan 30hb Jun 2009 telah memutuskan bahawa:

Perbuatan melukis, melakar dan mengukir gambar sahabat Nabi s.a.w adalah haram dan gambar-gambar sahabat Nabi s.a.w yang ada pada hari ini adalah palsu.

Pengesahan Agama Bagi Mayat Yang Tidak Dikenali

Keputusan: (Sighah)

Saya dengan ini, selaku Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan memutuskan seperti berikut:

1. Bagi mayat yang dijumpai dan tidak diketahui sama ada ia mayat orang Islam atau mayat orang bukan Islam maka hukumnya sama seperti hukum anak pungut. Sekiranya mayat tersebut dijumpai di negara kafir dan tiada orang Islam di sana maka mayat tersebut adalah mayat orang bukan Islam. Bagi keadaan yang sebaliknya, maka mayat tersebut dikira mayat orang Islam dan hendaklah disembahyangkan selepas dimandi serta dikafankan. Kemudian ianya dikebumikan pinggir di tanah perkuburan orang Islam.

2. Bagi keadaan di mana kepala mayat tersebut dipotong dan terpisah kepalanya di satu negeri manakala badannya di satu negeri yang lain maka wajib disembahyangkan badannya di mana ianya berada dan kepalanya disembahyangkan di tempat ianya berada.

Penggunaan Lambang Bulan Sabit Dan Bintang Pecah Lima

Keputusan: (Sighah)

Saya dengan ini membuat dan mengeluarkan, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus, keputusan berikut:

Lambang bulan sabit dan bintang pecah lima telah dimaklumi sebagai lambang rasmi bagi agama Islam sama ada di peringkat Persekutuan mahu di peringkat Negeri di Malaysia. Sehubungan dengan itu, mana-mana golongan atau kumpulan bukan Islam tidak dibenarkan menggunakan lambang bulan sabit dan bintang pecah lima di rumah ibadat mereka bagi mengelakkan kekeliruan kepada umat Islam.

Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 1/2017-1438H yang bersidang pada 15 Februari 2017 bersamaan 18 Jamadiawwal 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-86 berkenaan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam dengan pindaan sighah seperti berikut :

1. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram.

2. Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada kerana tempat yang ditatu itu adalah najis jika tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

3. Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.

4. Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.

Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 3/2017-1438H yang bersidang pada 27 April 2017 bersamaan 30 Rejab 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan berkenaan Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol dengan pindaan sighah seperti berikut :

  1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
  2. Harus pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari sekiranya janin itu cacat atau berpenyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
  3. Pengguguran janin mangsa rogol adalah harus sebelum berusia 120 hari bagi mengelakkan berlakunya fitnah.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 3/2017-1438H yang bersidang pada 27 April 2017 bersamaan 30 Rejab 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan berkenaan Hukum Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan dengan pindaan sighah seperti berikut :

Haram menggugurkan janin di dalam kandungan, kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk dan boleh membahayakan nyawa ibu atas nasihat dua orang doktor yang adil.

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan