Zakat Fitrah Ke Atas Orang Tahanan & Banduan Islam Di Penjara

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2014-1435H yang bersidang pada 22 Mei 2014 bersamaan 22 Rajab 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-60 berkenaan Hukum Zakat Fitrah Ke Atas Orang Tahanan Dan Banduan Islam Di Institusi Penjara dengan sighah seperti berikut :

Mesyuarat telah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah ke atas orang tahanan dan banduan Islam di Institusi Penjara adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu :

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

4. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Status warta : tidak diwartakan

‘Uruf Pemakaian Emas Wanita Islam di Negeri Sembilan

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2015-1436H yang bersidang pada 26 Mei 2015 bersamaan 08 Sya’ban 1436H telah memutuskan agar ‘uruf pemakaian emas wanita Islam di Negeri Sembilan dikekal pada kadar 200 gram.

Status pewartaan : Tidak diwartakan

Agihan Zakat Secara Persendirian

Keputusan: (Sighah)

Mesyuaratbersetuju menerimakeputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan dengan sighah seperti berikut:

“Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut. Justeru itu mengeluarkan zakat kepada berkuasa agama adalah wajib.

Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak dan cukup syaratnya tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib”

“Mengenai hukum Qada Zakat, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya”

Bayaran Zakat Fitrah Melalui Sistem Pesanan Ringkas(SMS)

Keputusan: (Sighah)

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa 3/1430 pada 14 Sya‘ban 1430H bersamaan 5hb Ogos2009

  1. Pembayaran zakat fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) adalah harus.
  2. Pembayar zakat fitrah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) tidak dikenakan apa-apa bayaran perkhidmatan.
  3. Syarikat telekomunikasi hendaklah menyediakan satu sistem (antara 10-15 minit) untuk memaklumkan kepada pembayar sama ada pembayaran yang dibuat melalui SMS berjaya atau gagal.
  4. Sebarang bayaran perkhidmatan yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi adalah ditanggung oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan dan bukannya diambil daripada hasil kutipan zakat fitrah yang diperolehi.

Tajuk: Zakat Pendapatan

Keputusan: (Sighah)

Zakat ke atas pendapatan bagi penggajian adalah wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang layak bagi seluruh Negeri Sembilan.

Bertarikh 13hb. Safar 149/8hb Jun 1998

[JMKNNS.209(01) 914/1;

PU/NS (JB) (Ag) 15/92 Jld.1.]

DATO” HJ. MOHD MURTADZA BIN HJ. AHMAD

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Pembayaran Zakat Menggunakan Kad Kredit

Keputusan: (Sighah)

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Bil 1/1430 pada 7 Rejab 1430H bersamaan 30hb Jun 2009M

Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus, dengan ini membuat dan mengeluarkan keputusan berikut:

Pembayaran zakat harta dengan menggunakan Kad Kredit yang berlandaskan Syariah adalah harus.