Mengiringi Bacaan al-Quran dengan Muzik dan Menggunakan Matan Hadis, Terjemahan al-Quran serta Terjemahan Hadis Sebagai Lirik Lagu

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 4/2019 yang bersidang pada 27 Jun 2019 bersamaan dengan 23 Syauwal 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Ayat-ayat Al-Quran haram diiringi bacaannya dengan muzik atau dijadikan lirik nyanyian.
  2. Haram menggunakan matan hadis sebagai lirik nyanyian.
  3. Menjadikan terjemahan al-Quran atau hadis sebagai lirik nyanyian hukumnya harus dengan syarat menjaga adab-adabnya yang selari dengan syarak.

 

Status: Tidak diwartakan

Meminta Orang Bukan Islam Sama-Sama Berdoa Mengikut Anutan Masing-Masing Dalam Satu Majlis Yang Dihadiri Oleh Penganut Pelbagai Agama

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil. 3/2019 yang bersidang pada 25 April 2019 bersamaan dengan 19 Sya’ban 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

Orang Islam haram meminta atau mengarahkan orang bukan Islam berdoa mengikut agama mereka masing-masing, begitu juga orang Islam haram berdoa bersama-sama orang bukan Islam mengikut agama masing-masing di dalam satu majlis. Walau bagaimanapun, jika mereka berdoa atau memohon sesuatu mengikut ajaran mereka dengan kehendak mereka sendiri tanpa diarahkan, maka perkara tersebut tidak dilarang.

 

Status: Tidak diwartakan

Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang (Surrogate Motherhood) Untuk Mendapatkan Zuriat

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil. 2/2019 yang bersidang pada 28 Mac 2019 bersamaan 21 Rajab 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang (Surrogate Motherhood) Untuk Mendapatkan Zuriat adalah haram dalam Islam kerana:

  1. Boleh menyebabkan kecelaruan dari segi nasab anak yang akan dilahirkan, walaupun sperma dan ovum adalah diambil daripada pasangan suami isteri yang sah.

 

  1. Bagi kes perkahwinan poligami, menanam embrio kedalam rahim salah seorang isteri sebagai ibu tumpang sedangkan ovum diperolehi daripada isteri yang lain, misalnya embrio dihasilkan daripada percantuman sperma suami dengan isteri kedua tetapi ditumpangkan kepada isteri pertama, hukumnya haram berdasarkan kaedah “Sad az-Zari‘ah”.

 

Status: Tidak Diwartakan

Menanam Rambut di Kepala

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil.8/2019 yang bersidang pada 31 Oktober 2019 bersamaan 3 Rabi’ al-Awal 1441H telah bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Islam tidak menghalang umatnya untuk melakukan sesuatu rawatan seperti menanam rambut di kepala dengan tujuan untuk memperelokkan diri dari keaiban, selagi tidak bertentangan dan melampaui batasan yang telah ditetapkan oleh syarak.
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menanam rambut di kepala adalah harus dengan syarat penanaman rambut adalah dengan menggunakan rambut sendiri, menggunakan bahan-bahan yang suci dan tiada unsur najis serta tidak mendatangkan sebarang kesan mudharat.

Status: Tidak Diwartakan

Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil.8/2019 yang bersidang pada 31 Oktober 2019 bersamaan 3 Rabi’ al-Awwal telah bersetuju memutuskan bahawa:

 

Sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.

 

Status: Tidak Diwartakan

Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera Malaysia

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 7/2019 yang bersidang pada 26 September 2019 bersamaan dengan 26 Muharram 1441H telah bersetuju memutuskan bahawa :

  1. Islam melarang umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliah serta berlebih-lebihan dan membazir.

 

  1. Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan  pemujaan, peringatan atau sebagainya.

 

Walaubagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran  nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, ianya adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.

 

  1. Acara-acara seperti Majlis Peringatan termasuk bacaan Doa Selamat, Yasin, Tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.

 

Status: Tidak Diwartakan

Rokok Elektronik dan Vape

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 01/2016 yang bersidang pada 28 Januari 2016 bersamaan 18 Rabi’ al-Akhir 1437H telah bersetuju memutuskan bahawa :

  1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang   dikemukakan Muzakarah mendapati bahawa:
  2. Rokok elektronik mengandungi Nikotin, Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna. Manakala vape pula mengandungi Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna.
  3. Bahan-bahan yang terkandung rokok elektronik dan vape tersebut boleh memudaratkan dan boleh memberi kesan kepada kesihatan seperti ketagihan, menggalakkan pembekuan darah, kematian mengejut, iritasi pada mata, tekak dan kulit serta mampu membunuh sel paru- paru. Kandungan lain yang terdapat di dalam rokok elektronik dan vape juga boleh mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan.

iii. Prinsip passive smoker seperti pada rokok konvensional juga terpakai pada rokok elektronik dan vape di mana orang yang berada di sekeliling juga mendapat kesan hembusan wap yang keluar daripada rokok elektronik dan vape. Oleh itu, ia tidak hanya memberi mudarat kepada penghisap rokok elektronik dan vape tersebut bahkan juga orang di sekeliling mereka.

  1. Berdasarkan dapatan kajian-kajian dari sudut perubatan dan saintifik yang dibentangkan tersebut, rokok elektronik dan vape masih tidak terbukti sebagai alternatif rawatan ketagihan berhenti merokok atau nikotin oleh perokok-perokok, malahan ia menyebabkan lebih ramai akan terjebak dalam permasalahan ini, termasuk remaja dan kanak-kanak.
  2. Dari perspektif syarak, hukum pengharaman memakan atau meminum atau mengambil bahan-bahan yang memudaratkan disebut oleh ulama daripada keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hambali dalam kitab-kitab mereka. Mereka menyatakan bahawa bahan-bahan yang memudaratkan tubuh badan haram dimakan, diminum atau diambil sekalipun ia suci seperti racun, tanah, kaca dan seumpamanya.
  3. Salah satu dalil umum dalam pengharaman penggunaan rokok elektronik dan vape ini ialah perbuatan tersebut memudaratkan tubuh. Syariat Islam melarang perbuatan dan tindakan yang membawa kepada kebinasaan dan memudaratkan diri, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195:

وَلَا تُلقُواْ بِأَيدِيكُم إِلَى ٱلتَّهلُكَةِ‌ۛ

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Hadith Nabi SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

“Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain)”.

(Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

  1. Antara kriteria kemudharatan yang diambil kira oleh Islam dalam pengharaman sesuatu makanan atau minuman atau bahan ialah:
  2. Kemudharatan bahan tersebut terbukti dengan jelas atau nyata;
  3. Pengambilan bahan tersebut secara kebiasaannya (ghalib) boleh membawa kemudharatan;

iii. Kemudharatan merangkumi kemudharatan yang berlaku secara segera atau secara perlahan;

  1. Kemudharatan merangkumi sesuatu yang boleh membawa kematian, kehilangan/kerosakkan anggota, membawa penyakit berbahaya, atau kemudharatan pada akal;
  2. Bahan yang memudaratkan tersebut tidak mempunyai sebarang manfaat yang muktabar.
  3. Penghujahan berasaskan kepada qiyas juga membuktikan bahawa rokok elektronik dan vape tidak berbeza hukumnya dengan rokok konvensional kerana kedua-duanya mempunyai ʿillah yang sama iaitu memudharatkan tubuh.
  4. Penggunaan rokok elektronik dan vape adalah bentuk pembaziran yang diharamkan oleh agama kerana ia adalah perbelanjaan dalam perkara yang sia-sia, tidak berfaedah, dan malahan memudharatkan tubuh. Ia juga membebankan ekonomi negara bagi membiayai kos rawatan penyakit berkaitan.
  5. Penggunaan rokok elektronik dan vape juga terdedah kepada penyalahgunaan yang boleh membawa kepada kegiatan pengedaran ganja dan dadah yang berbahaya. Justeru, adalah wajar perkara-perkara yang sangat terdedah kepada kemudharatan yang besar ditutup melalui penetapan hukum haram, berasaskan kepada kaedah (sadd adz-dzariʿah) سد الذريعة iaitu “menutup pintu kerosakkan”
  6. Berasaskan kepada maslahah umum, pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk melarang penggunaan bahan-bahan yang memudharatkan kepada masyarakat bagi menjaga kepentingan umum (maslahah ammah)mereka berdasarkan kaedah fiqh:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

“Tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah bergantung kepada maṣlaḥah”

 

  1. Islam adalah agama yang lengkap yang sentiasa menjaga kehidupan manusia sejagat berdasarkan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Penggunaan rokok elektronik dan vape ini sekiranya tidak dibendung, boleh meruntuhkan lima prinsip syarak ini.

Keputusan : Berdasarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan serta perbincangan dan pandangan yang diberikan oleh ahli-ahli, Muzakarah bersetuju terhadap keperluan mengharamkan penggunaan rokok elektronik dan vape. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap rokok elektronik dan vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan rokok elektronik dan vape.

Status : Proses Warta

Wakaf Bagi Tanah Bertaraf “Hak Milik Terhad”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bil.8/2019 yang telah bersidang pada 31 Oktober 2019M bersamaan 3 Rabi’ al-Awal 1441H telah bersetuju memutuskan bahawa:

 

Mewakafkan tanah hak milik terhad (leasehold) adalah sah dan diterima oleh syarak dan hendaklah di ta’bidkan (dikekalkan) menurut Mazhab Syafi’i.

 

Status : Tidak Diwartakan

Memakan Makanan Ubahsuai Genetik (GM Food)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 6/2019 yang telah bersidang pada 30 Ogos 2019 bersamaan dengan 28 Zu al-Hijjah 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

  1. Memakan makanan yang terubahsuai genetik (GM Food) adalah harus sekiranya bahan-bahan yang digunakan dalam penghasilannya adalah halal dan tidak memudharatkan manusia serta alam sekitar.

 

  1. Penggunaan haiwan ternakan selain babi dan anjing, unsur atau keturunannya atau selain binatang yang haram dimakan adalah halal selagi haiwan tersebut disembelih mengikut syarak.

 

  1. Makanan yang dihasilkan melalui kaedah terubahsuai genetik (GM Food) yang tidak dapat dipastikan kemudharatannya adalah dibolehkan berdasarkan kaedah Fiqh menyatakan “Berlakunya sesuatu hukum itu adalah bergantung kepada wujudnya ‘illah atau tidak”.

 

Status: Tidak Diwartakan

Menyambut Perayaan/ Pesta Pongal

         Tajuk           : Menyambut Perayaan/ Pesta Pongal

         Kategori      : Akidah

         Keputusan   :Sighah

 

Muzakarah Jawantankuasa Fatwa Bil. 03/2019 yang bersidang pada 25 April 2019 bersamaan 19 Sya’aban 1440H telah bersetuju memutuskan bahawa:

 

  1. Orang Islam adalah dilarang dan haram daripada menyertai, menyambut atau menganjurkan Perayaan Ponggal kerana ia mempunyai unsur-unsur penyembahan dewa-dewa, pemujaan dan khurafat.

 

  1. Perayaan / pesta ponggal adalah bermaksud “masa menuai”, menandakan masa untuk Orang Tamil menuai hasil tanaman dan dianggap sebagai hari kesyukuran kepada Tuhan mereka kerana memberi rezeki yang cukup, tempat tinggal sempurna dan keluarga bahagia.
  2. Pesta Ponggal diadakan di seluruh India dengan nama yang pelbagai mengikut tempat. Ia diraikan selama 4 hari pada bulan Thai dalam Kalendar Kaum India.

 

  1. Secara asasnya menyambut dan meraikan pesta ponggal ini adalah haram dan dilarang dalam Islam kerana ia adalah perayaan keagamaan.

 

  1. Terdapat unsur-unsur kepercayaan dalam pesta Ponggal seperti berikut:

 

  1. Hari pertama “Bhagi” ialah Hari menghormati Dewa Awan dan Hujan bagi menandakan permulaan Hari Penting dalam kehidupan masyarakat India.

 

  1. Hari kedua “Thai Ponggal” adalah hari untuk memberi penghormatan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari, dengan memasak beras yang dituai bersama susu lembu sehingga melimpah dalam periuk.

 

  1. Hari ketiga “maltu ponggal” adalah hari yang khusus untuk haiwan lembu yang dianggap binatang suci bagi orang India dan banyak berjasa pada manusia serta diberi makan “ponggal”.

 

  1. Hari keempat “Kaanum ponggal” merupakan Hari istimewa untuk wanita. Pada hari ini wanita sulung bangun awal dan menyapukan kunyit pada muka semua wanita muda dan melumurkan minyak bijan kepada rambut mereka. Kaum wanita akan berdoa untuk kebahagiaan keluarga dan ahli keluarga yang muda memohon restu dan memberi penghormatan kepada orang yang lebih tua.

 

Status: Tidak diwartakan