Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference)

Keputusan: (Sighah)

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 1/1433H yang bersidang pada 21 Mac 2012 bersamaan 28 Rabi’ul Akhir 1433H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan bahawa harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dan ia merupakan akad yang diterima syarak dengan menegaskan bahawa para fuqaha’ bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.

Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut :

  1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
  2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
  3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
  4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
  5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
  6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.

About Author

Connect with Me:

Comment on this FAQ

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast