Apakah hukum membaca AlQuran dengan “mencuri ayam” tidak wakaf dan ibtidak pada tempatnya sebalikya mengambil/menyambung nafas tanpa wakaf ditengah bacaan

1) Apakah hukum membaca AlQuran dengan “mencuri ayam” tidak wakaf dan ibtidak pada tempatnya sebalikya mengambil/menyambung nafas tanpa wakaf ditengah bacaan.

 

2)Ada pandangan mengatakan tarhim/membaca alquran pagi sebelum subuh di masjid atau surau adalah makruh berdasarkan sebuah hadith nabi yang menegur sahabat yang membaca Al Quran dengan kuat didalam masjid agar perlahankan suara kerana mengganggu orang lain lalu baginda mengatakan bahawa semua orang sedang bermunajat kepada Allah

Jawapan:  Jawapan Pertama :

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم

Wakaf dan ibtidak adalah antara bab yang paling penting dalam ilmu tajwid. Maka pembaca al-quran hendaklah menjaga kaedah-kaedah dalam bab ini supaya dia dapat mewakafkan atau memberhentikan bacaannya ketika membaca al-quran mengikut kesempurnaan dan kesuaian makna al-quran tersebut. Jika tidak, ia akan menyebabkan seseorang itu mewakafkan bacaannya pada pada makna yang tidak elok di dalam al-quran al-karim. Oleh sebab itu, apabila ditanya Imam Ali bin Abu Thalib tentang firman Allah taala (وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً) katanya :

الترتيل هو تجويد الحروف ومعرفة الوقوف

” at-tartil ialah memperelokkan huruf dan mengetahui wakaf bacaan”.

Adapun jika tidak diwakafkan bahkan disambung bacaan tersebut dengan mengambil nafas ditengah-tengahnya maka ia dibenarkan sekira-kira dia mengeluarkan huruf daripada makhrajnya dan tidak memutuskan perkataan bacaan tersebut.

والله أعلم وأحكم

Jawapan Kedua :

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم

Allah taala berfirman :

وافعلوا الخير لعلكم تفلحون

Mafhumnya : ” Dan kerjakanlah amalan kebaikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)”.
Amalan-amalan baik seperti membaca al-Quran, bertarhim, berzikir, berselawat ke atas Rasulullah salla Allahu `alayhi Wa Sallam dan seumpamanya yang dilaung-laungkan di masjid-masjid di Malaysia atau di Negara Islam yang lain melalui alat pembesar suara terutamanya sebelum waktu fajar (subuh) adalah sesuatu boleh diamalkan dan tidak bercanggah dengan syarak. Berikut adalah dalil keharusan amalan tersebut :

1. Fuqaha` memandang baik amalan tersebut. Berkata ad-Dusuki di dalam Hasyiahnya bagi Syarah al-Kabir karangan as-Syeikh Ad-Dardir , jilid 1, halaman 193 : ” Adapun berselawat ke atas Nabi Salla Allah Alayh Wa Sallam selepas laungan azan maka ia merupakan bid`ah hasanah (elok). Buat pertama kalinya ia dilakukan pada zaman pemerintahan an-Nasir Sholahuddin Yusuf Bin Ayyub pada tahun 781 H, di bulan Rabiul Awwal. Perkara ini ditambah pada permulaannya selepas azan Isyak pada malam Isnin dan pada malam Jumaat sahaja. Kemudian setelah 10 tahun berlalu, ditambah pada setiap azan yang dilaungkan melainkan waktu Maghrib sahaja. Begitu juga amalan yang dilakukan pada waktu malam seperti beristighfar, bertasbih dan bertawassul maka ini adalah bid`ah hasanah (elok). Inilah pendapat yang telah diutarakan oleh sesetengah ulama dan menurut al-Allamah as-Syeikh Ahmad al-Bisybisyi dalam Risalahnya yang berjudul at-Tuhfah as-Saniyyah Fi Ajwibah al-Asilah al-Mardhiyah bahawa pertama kali ditambah membaca selawat dan salam ke atas Rasulullah setiap kali setelah azan di menara-menara (masjid) pada masa as-Sultan al-Manshur Haji ibn al-Asyraf Sya’ban ibn Husain ibn an-Nashir Muhammad ibn al-Manshur Qalawuun atas perintah al-Muhtasib Najmuddin ath-Thambadi pada bulan Sya’ban tahun 771 H. Setelah sebelumnya juga dikumandangkan pada masa pemerintahan as-Sultan Sholahuddin al-Ayyubi pada setiap malam sebelum azan subuh di negara Mesir dan Syam dengan lafaz “as-Salamu ‘ala Rasulillah”. Perkara tersebut berlanjutan sehinggga pada tahun 767 H kemudian bacaannya ditambah lagi atas perintah al-Muhtasib Shalahuddin al-Barlasi menjadi: “Ash-Shalatu wa as-Salamu ‘alayka ya Rasulullah” kemudian bacaan selawat ini dikumandangkan pada setiap kali selepas melakukan azan pada tahun 771 H.”perdapat yang sama diutarakan oleh as-Showi al-Maliki di dalam Hasyiahnya ke atas Syarah as-Shoghir, jilid 1, halaman 249, al-Hatthab ar-Ra`aini al-Maliki di dalam Manh al-Jalil, jilid 1, halaman 429, al-Hafizh as-Sakhawi (anak murid kepada amir al-Mukminin dalam bidang Hadis iaitu Ibn Hajar al-Asqalani) dalam kitabnya “al-Qaul al-Badi” pada halaman 192, an-Nafrawi al-Azhari di dalam kitab al-Fawakih ad-Diwani syarah bagi risalah Abi Zaid al-Qairawani jilid , halaman 174, at-Thahthawi al-Hanafi di dalam Hasiyahnya ke atas kitab Maraqi al-Falah syarah kitab Nur al-Eidhah pada jilid 1, halaman 193, al-Jashkafi di dalam Dur al-Mukhtar jilid 1, halaman 390, ibn Abidin al-Hanafi di dalam hasyiahnya ke atas kitabnya (dur al-mukhtar), ibn Hajar al-Haitami di dalam kitab al- Fatawa al-Kubra jilid 1, halaman 13, Syarwani di dalam hasyiahnya ke atas Tuhfah al-Muhtaj jilid 3 halaman 483 dan ramai lagi.

2. Ahli sejarah dan sirah menyebutkan bahawa melakukan tasbih (mengatakan subhanallah) pada waktu sahur (waktu sebelum subuh) di atas mimbar-mimbar dengan suara yang nyaring ianya adalah amalan para nabi-nabi terdahulu. Sesungguhnya mereka memerintahkan pengikut-pengikut mereka melakukannnya sebagaimana dinukilkan oleh ahli sejarah dan sirah (al-Hafiz as-Suyuti di dalam kitab al-Wasail Fi Masarah al-Awail, halaman 25).

3. Pembacaan tasbih pada waktu sahur di menara-menara berlaku pada zaman para sahabat dan salaf as-soleh dan tiada dari kalangan ulama dan fuqaha yang mengingkarinya (al-Hafiz as-Suyuti di dalam kitab al-Wasail Fi Masarah al-Awail, halaman 15)

4. Membaca al-quran, takbir, membaca qasidah adalah sesuatu perkara yang masyhur dalam sejarah umat Islam berlaku secara terus-menerus semenjak daripada kesultanan umat Islam terdahulu lagi dan dan mendapat pengiktirafan para ulama (al-Hafiz as-Suyuti di dalam kitab al-Wasail Fi Masarah al-Awail, halaman 15).

5. Sultan al-Mujahid Solahuddin al-Ayyubi-semoga Allah merahmatinya- merupakan seorang fuqaha syafie, baginda telah memerintahkan para tukang azan supaya mengulang-ngulangkan selawat kepada nabi Salla Allah Alayhi Wa Sallam sebelum azan berkumandang (Al-Hafiz As-Suyuti dalam al-Wasail Fi Masarah al-Awail, halaman 14 dan Nur ad-Deen Bin Burhanuddin di dalam as-Sirah al-Halabiyyah jilid ke 2 , halaman 143.

6. Sultan al-Mujahid Solahuddin al-Ayyubi -semoga Allah merahmatinya- adalah seorang penguasa yang memerintahkan supaya pengajaran akidah diadakan di atas menara-menara masjid pada waktu sahur (sebelum subuh) dan amalan mulia ini berterusan selama 4 kurun lamanya (al-Muarrikh Taqiyuddin al-Maqrizi (W 845 H) di dalam kitabnya al-Mawa`iez Wa al-Iktibar Bi Zikr al-Khutati Wa al-Atsar, Al-Hafiz Jalaluddin as-Suyuti (W911 H) berkata dalam al-Wasail ila Ma`rifah al-Awail, Al-`Allamah Muhammad Bin `ilan as-Siddeq as-Syafie ( W 1057) di dalam kitab al-Futuhaat ar-Rabbaniyyah `ala al-Azkar an-Nabawiyyah,

7. Antara ulama yang menganggap perkara ini sebagai bid’ah hasanah adalah al-Hafizh as-Sakhawi (anak murid kepada amir al-Mukminin dalam bidang Hadis iaitu Ibn Hajar al-Asqalani) dalam kitabnya “al-Qaul al-Badi” (halaman 192) dan ramai lagi.

8. Amalan bacaan al-Quran pada waktu sebelum subuh di masjid-masjid melalui pembesar suara bagi memberi peringatan kepada orang Islam akan masuk waktu solat dengan harapan supaya mereka sempat bersiap awal untuk menghadiri solat jemaah adalah sesuatu yang baik. Jangan lupa, pada zaman Rasulullah azan dilaungkan sebanyak 2 kali iaitu sebelum masuk waktu dan pada waktu masuk solat bagi mengingatkan dan supaya para sahabat boleh bersiap lebih awal untuk solat berjemaah.

9. Bagi umat Islam pembacaan al-Quran memberi ketengan jiwa. Allah taala berfirman :

الذين ءامنوا وتطمئن قلوبهم بذكر الله ألا بذكر الله تطمئن القلوب

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia”. al-quran tidak menyerabutkan hati orang yang beriman. Sesungguhnya orang yang membantah perkara ini adalah secara kebiasaannya terdiri daripada mereka yang bukan Islam dan ahl bidaah atau orang yang malas daripada golongan munafik yang payah dan berat untuk bangun solat subuh. Mereka adalah golongan yang dicela oleh Rasulullah melalui sabdaannya :

أثقل الصلاة على المنافقين العشاء والفجر

“Solat yang paling berat untuk dilakukan oleh orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh” HR al-Bukhari.

Adapun hadis (ولا يجهر بعضكم على بعض بالقرآن) tiada di dalamnya sebarang hujjah atau dalil yang jelas untuk mengatakan keharaman atau celaan bagi meninggikan suara dengan melakukan azan ataupun berzikir sebelum subuh sebagaimana penerangan hadis ini telah diselewengkan oleh beberapa pihak.

Menurut az-Zarqani ketika mensyarahkan dan menjelaskan hadis ini di dalam syarahnya pada kitab Muwattho` Malik bahawa pembacaan al-quran yang dimaksudkan ialah pembacaan yang menggangu orang yang sedang bersolat dan mencegahnya daripada melakukan solat. Hadis Ini bukan tegahan atau larangan mengangkat suara secara mutlak.

Jika dilihat di dalam masalah yang dihadapi sekarang ialah berhubung dengan pembacaan al-Quran sebelum masuknya waktu subuh, sebelum orang datang melakukan solat di masjid iaitu bertujuan untuk membangunkan mereka yang sedang nyenyak tidur supaya mereka menyiapkan diri mereka untuk bersolat. Perbuatan ini tiada sangkut paut dengan perbuatan menganggu orang yang sedang bersolat. Bahkan kebanyakan manusia pada ketika itu sedang nyenyak tidur dan mengharapkan ada yang membangunkan mereka dan mencerdaskan mereka bagi melakukan solat. Maka tidak sahih mengatakan perkara ini gangguan atau bertujuan menyakitkan orang ramai. Kerana perbuatan mengejutkan atau membagunkan mereka untuk melaksanakan kefardhuan solat adalah perkara yang sangat baik dan disarankan oleh syarak. Oleh sebab itu, disyariatkan kepada tukang azan supaya melaung-laungkan “الصلاة خير من النوم” solat adalah lebih baik daripada tidur.
Walaubagaimanapun, dari segi perlaksanan amalan sewajarnya amalan ini dilakukan secara sistematik dan sekata di semua masjid dan surau-surau seperti melaung-laungkannya di corong-corong pembesar masjid 15 atau 30 minit sebelum masuk waktu subuh dan tidak perlu melakukan sejam atau 2 jam sebelumnya.

والله أعلم وأحكم

About Author

Connect with Me:

Comment on this FAQ

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast