Hukum Membeli Pelacur Tapi Tidak Bersetubuh

Soalan: Saya pernah melanggani pelacur tiga kali. Saya melakukan segala-galanya kecuali bersetubuh. Saya tahu dengan melakukan perbuatan itu saya melakukan dosa besar. Tetapi saya ingin tahu, adakah perbuatan saya itu dikira zina? Adakah saya termasuk dalam kalangan penzina (yang seharusnya dikenakan hukuman 100 kali sebatan)? Adakah jalan untuk saya bertaubat dan bagaimana caranya?

Jawapan: Merujuk kepada persoalan ditimbulkan, sebagaimana diketahui, zina adalah perbuatan yang dikutuk Allah. Dalam hubungan ini, ada banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah melarang umat Islam melakukan zina. Antaranya, Allah berfirman, bermaksud: “dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk” (al-Isra’:32) Oleh kerana zina itu ialah perbuatan yang terkutuk, maka apa saja yang berkaitan dengannya, sama ada perbuatan, kelakuan, perkataan atau apa sahaja kegiatan yang boleh menjerumuskan atau membawa seseorang itu terjerumus ke dalam perbuatan zina, maka ia diharamkan Allah. Mengikut kaedah dalam ajaran Islam, perbuatan yang boleh membawa kepada perkara haram, maka ia juga haram. Begitu juga sebaliknya, sesuatu yang boleh membawa kepada perbuatan baik, berpahala, maka ia juga berpahala. Justeru, apa yang berlaku kepada anda adalah memalukan dan perbuatan yang ditegah oleh Islam. Walaupun anda tidak melakukan zina tetapi bercumbu dengan pelacur dan melakukan perkara lain yang ditegah agama dianggap berdosa kerana ia lambat laun akan membawa kepada zina. Perbuatan itu haram disisi Islam walaupun tidak sama dengan dosa zina yang merupakan dosa besar. Mengikut hukum Islam sendiri, sekiranya anda tidak melakukan zina anda tidaklah dikenakan hukuman sebat sebanyak 100 kali. Tetapi melakukan suatu perbuatan yang boleh membawa kepada penzinaan itu adalah haram. Ini kerana perbuatan zina itu adalah haram, maka apa yang anda lakukan itu adalah haram kerana perbuatan itu akhirnya menuju ke arah penzinaan. Ini berasaskan kepada hadis Rasulullah SAW. Baginda melarang orang yang menternak kambing seumpamanya, daripada menternaknya di tepi sempadan orang lain walaupun ia masih berada dalam tanah miliknya sendiri tetapi kerana berdekatan dengan sempadan itu, ditakuti binatang ternakan itu boleh memasuki dan memakan tanaman orang lain. Oleh itu, ia dilarang oleh Rasulullah SAW. Ertinya Rasulullah SAW atau Islam melarang kita melakukan sesuatu yang boleh membawa kita terjebak ke dalam perbuatan haram. Oleh itu, segeralah bertaubat dan menyesal di atas perbuatan itu. Kembalilah kepada ajaran Islam sebenar, kuatkan iman dan rajin beribadat kepada Allah. Pintu taubat masih terbuka dan Allah Maha Pengampun terhadap hamba-Nya yang menyesal dan bertaubat. Insya Allah, taubat anda akan diterima Allah. Kembalilah kepada agama Islam dengan sebenar-benarnya supaya hidup anda diredhai dan di berkati Allah.

About Author

Connect with Me:

Comment on this FAQ

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast