Penjualan Produk Menggunakan Ayat Ruqyah (ayat al-Quran) Untuk Tujuan Komersial

Keputusan: (Sighah)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2016-1437H yang bersidang pada 31 Mac 2016 bersamaan 22 Jamadil Akhir 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-108 berkenaan Hukum penjualan produk menggunakan Ayat Ruqyah (ayat al-Quran) untuk tujuan komersial dengan sighah seperti berikut :

1. Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak menafikan penggunaan ruqyah dan Rasulullah SAW menyebutkan bahawa sebaik-baik ubat ialah ayat-ayat al-Quran dan Baginda membolehkan untuk meruqyah selama tidak berlaku syirik.

2. Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa isu produk yang dilabelkan sebagai “makanan sunnah” dan makanan dan minuman yang diruqyahkan dengan ayat al-Quran serta zikir semakin berleluasa dan menjadi pelan pemasaran pengusaha produk-produk makanan dan barangan di negara ini. Ia telah menjadi kaedah untuk melariskan produk bersandarkan perkataan “makanan sunnah” dan ruqyah.

3. Sehubungan itu, sebagai “sad az-zari‘ah” kepada unsur-unsur penipuan dan penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan komersial, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan ruqyah dan istilah “makanan sunnah” secara tidak bertanggungjawab untuk tujuan mengaut keuntungan dan melariskan produk adalah dilarang kerana termasuk dalam perbuatan memperdagangkan ayat-ayat al-Quran yang ditegah oleh ajaran Islam.

4. Oleh hal yang demikian, Muzakarah menggesa supaya perbuatan tersebut ditangani segera supaya istilah “makanan sunnah” ini tidak difahami oleh masyarakat dalam konteks yang tidak tepat, dan penggunaan ruqyah tidak disalahgunakan sehingga menggugat akidah sekiranya masyarakat meyakini keberkesanan ruqyah pada sesuatu produk tersebut mengatasi usaha dan ikhtiar serta kekuasaan Allah SWT.

5. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pelabelan, pengiklanan atau promosi untuk tujuan komersial atas nama ruqyah pada sesuatu produk adalah dilarang.

 Status pewartaan : Tidak diwartakan

About Author

Connect with Me:

Comment on this FAQ

  • WP-Backgrounds by InoPlugs Web Design and Juwelier Schönmann
    Change Font Size
    Contrast