PENGENALAN TAREKAT AHMADIAH AL-IDRISIAH AL-RASHIDIAH AL-DANDARAWIAH
Pengasas Utama Tarekat Ahmadiah
1. Sayyidi Ahmad bin Idris
Pengasas utama dan pertama tarekat ini dilahirkan di Fas, Maghribi pada tahun 1172H/1755M dari keturunan Rasulullah SAW. Nama penuh beliau ialah Ahmad bin Idris bin Abdullah bin Hussain al-Muthanna bin Abu Muhammad hingga kepada Sayyidina al-Sabt.
Sayyidi Ahmad (r.a) sebelum mendirikan Tarekat Ahmadiah ini menerima Tarekat al-Misriah al-Azizah daripada Sayyidi Abd. Wahab al-Tazi. Tarekat kedua yang diterimanya ialah al-Syazuliah daripada Syeikh Sayyidi Abu Kassim al-Wazir al-Ghazi. Manakala tarekat ketiga ialah Tarekat al-Khulwatiah daripada Syeikh Hassan bin Hassan Bek al-Kina.
2. Sayyidi Ibrahim al-Rashid
Setelah wafat Sayyidi Ahmad bin Idris pada bulan Rejab 1263H/1837M, tampillah Sayyidi Ibrahim al-Rashid mewarisi tempatnya sebagai pengasas Tarekat Ahmadiah al-Rashidiah.
Beliau dilahirkan di Sudan pada tahun 1228H/1813M. Nama penuh beliau ialah Ibrahim bin Syeikh Saleh al-Qahanabi bin Sayyid Abdul Rahman. Jurai nasabnya dari sebelah ayahandanya berasal daripada ‘Akil bin Abi Talib, saudara Sayyidina Ali (k.a)
3. Sayyid Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi
Manakala wafat Sayyidi Ibrahim al-Rashid pada tahun 1291H/1874M dan dimakamkan di perkuburan Ma‘la di Makah, maka tampillah pula Sayyid Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi, waris kepada Sayyid Ibrahim al-Rashid. Beliau dilahirkan di Dandarah yang letaknya di Lembah Sungai Nil di bahagian selatan Kaherah. Keluarga beliau daripada keluarga bangsawan Maghribi yang datang ke Mesir bagi memerangi penjajah yang menguasai Mesir. Dalam peperangan tersebut, mereka berhasil menguasai beberapa buah daerah termasuk Dandarah yang menjadi tempat kediaman keluarga itu hingga sekarang.
Perkembangan Tarekat Ahmadiah Di Asia Tenggara
Perkembangan Tarekat Ahmadiah di Asia Tenggara secara umumnya dan Malaysia khasnya adalah di bawah pimpinan Syeikh Mohd Said al-Linggi dan anak-anaknya. Ini adalah untuk memenuhi cita-cita gurunya Sayyidi Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi bagi mengembangkan tarekat ini di seluruh dunia.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa tokoh ulamak lain di Malaysia yang berjasa dalam mengembangkan dan mempertahankan tarekat ini terutama di negeri Kelantan. Antara tokoh-tokoh lain tersebut ialah:
1. Tuan Haji Abdul Samad bin Muhammad Saleh yang terkenal sebagai Tuan Tabal (W 1891M). Beliau menerima ijazah Tarekat Ahmadiah daripada Sayyidi Ibrahim al-Rashid. Usaha murni beliau disambung oleh anak beliau Wan Musa bin Wan Haji Abdul Samad (W 1939). Beliau pernah menjawat jawatan Mufti Kelantan (1908-1916M) berusaha mengembangkan tarekat ini di Kelantan dan Terengganu.
2. Seorang lagi tokoh Tarekat Ahmadiah di Kelantan ialah Tuan Haji Daud bin Haji Umar al-Labidi (W 1972M). Beliau juga lebih dikenali sebagai Tuan Haji Daud Bukit Abal. Beliau mengambil ijazah tarekat ini daripada Tok Syafie, seorang ulamak tasawwuf di Kedah.
3. Turut mengembangkan tarekat ini ialah Tok Syafie. Nama penuh beliau ialah Mohd Syafie bin Mohd Saleh bin Abdul Rahman. Ulamak tasawwuf yang mengajar di Kota Makah ini menerima ijazah Tarekat Ahmadiah daripada Sayyidi Ibrahim al-Rashid. Beliau sezaman dengan Tuan Tabal dan Syeikh Mohd Said al-Linggi. Ramai pelajar Malaysia yang mengambil ijazah Tarekat Ahmadiah dari beliau antaranya Tuan Haji Abdullah Sijang, bekas Kadi Port Dickson dan Tuan Haji Semaun, seorang ulamak tasawwuf di Negeri Sembilan.
4. Sejarah perkembangan Tarekat Ahmadiah tidak akan lengkap tanpa memperkatakan tentang Tuan Syeikh Mohd Said al-Linggi (W 1926). Beliau pernah belajar di Makah di Jami’atul Azhar dengan ulamak yang terkenal di zaman itu Syeikh al-Anbabi, syeikh al-Azhar yang terkenal di zaman itu, Syeikh Hasbullah al-Makki dan lain-lain. Beliau menerima ijazah tarekat ini daripada Sayyidi Muhammad al-Dandarawi. Atas arahan gurunya, beliau turun ke Nusantara untuk mengembangkan tarekat ini. Beliau telah pergi ke seluruh tanah Melayu, Singapura, Riau-Indonesia, Ayutia-Siam, Kemboja, Bangkok dan Vietnam. Ajaran yang dibawanya diakui benar oleh Tuan Haji Wan Ahmad bin Mohd Zain al-Fatani, seorang ulamak yang mengajar di Masjidil Haram dalam surat yang dikirimkan kepada Sultan Kelantan pada masa itu. Begitu juga Sultan Terengganu di zamannya, Sultan Zainal Abidin yang membenarkan beliau dan mengembangkan Tarekat Ahmadiah di negeri itu.
Amalan Utama Tarekat Ahmadiah
Tarekat Ahmadiah mempunyai amalan-amalan di waktu siang dan malam. Amalan amalan yang diterima oleh Sayyidi Ahmad bin Idris ialah:
i Fatihatul Aurad
ii Al-Tahlil
iii Al-Salawat al-‘Azamiah
iv Al-Istighfar al-Kabir
v Al-Mahamid al-Thamaniah
vi Al-Ahzab Arba‘ata ‘Ashar
vii Al-Husun Mani‘ah
viii Al-Ahzab
Di kalangan ahli Tarekat Ahmadiah amalan-amalan ini terkumpul dalam kitab yang dipanggil nama singkatannya ‘al-Ahzab’. Syeikh Mohd Said telah mencetak semula Ahzab ini yang dinamakan ‘al-Ahzab al-‘Urfaniah wal Aurad al-Nuraniah’. Beliau telah menulis di tepi Ahzab itu karya beliau ‘Syarh Kunuz al-Jawahir al-Nuraniah’ di mana di antaranya beliau menghuraikan amalan-amalan wirid itu.
Amalan yang dianggap paling utama dan mempunyai banyak kelebihannya serta sangat digalakkan oleh guru-guru tarekat ini membaca dan mengamalkannya ialah:
1-Al-Tahlil ( التهليل )
Lafaznya ialah:-
لاَ اِلَهَ اِلاّ اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ
Ertinya:- Bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan ilmu Allah.
2-Selawat Azamiah (الصلوات العظمية )
Lafaznya ialah:-
اَللّهُمَّ اِنِّيْ أَسْاَلُكَ بِنُوْرِ وَجْهِ اللهِ الْعَظِيْمِ الَّذِي مَلأ أَرْكانَ عَرْشِ اللهِ الْعَظِيْمِ وَقَاْمَتْ بِهِ عَوَاْلِمُ اللهِ الْعَظِيْمِ أَنْ تُصَلِّىَ عَلَى مَوْلانَا مُحَمَّدٍ ذِي الْقَدْرِ الْعَظِيْمِ وَعَلَى آلِ نَبِيِّ اللهِ الْعَظِيْمِ بِقَدْرِ عَظَمَةِ ذَاْتِ اللهِ الْعَظِيْمِ فِيْ كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا فِيْ عِلْمِ اللهِ الْعَظِيْمِ صَلاةً دَاْئِمَةً بِدَوَاْمِ اللهِ الْعَظِيْمِ تَعْظِيْمًا لِحَقِّكَ يَا مَوْلانَا يَا مُحَمَّدُ يَا ذَا الْخُلُقِ الْعَظِيْمِ وَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ مِثْلَ ذَلِكَ وَاجْمَعْ بَيْنِىْ وَبَيْنَهُ كَمَا جَمَعْتَ بَيْنَ الرُّوْحِ وَالنَّفْسِ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا يَقَظَةً وَمَنَامًا وَاجْعَلْهُ يَارَبِّ رُوْحًا لِذَاْتِىْ مِنْ جَمِيْعِ الْوُجُوْهِ فِى الدُّنْيَا قَبْلَ الأخِرَةِ يَا عَظِيْمُ
Ertinya:- Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan Nur Wajah Allah yang Maha Besar, yang memenuhi segala penjuru ‘Arasy Allah Yang Besar, dan dengannya berdiri seluruh alam Allah yang Agung. Moga Engkau berselawat ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W yang mempunyai martabat yang agung dan ke atas keluarga Nabi Allah Yang Besar, dengan kadar kebesaran Zat Allah Yang Maha Besar, pada setiap kerlipan mata dan nafas sebanyak bilangan ilmu Allah Yag Maha Besar, dengan selawat yang berkekalan sebagaimana kekalnya Allah Yang Maha Besar, Penghormatan bagi Engkau wahai tuan kami, wahai Muhammad, wahai yang mempunyai akhlak yang besar (indah). Salam kesejahteraan daripadaMu ke atas keluarganya seperti yang demikian itu juga. Himpunkanlah di antara aku dan dia (Nabi Muhammad S.A.W ) sebagaimana Engkau menghimpunkan antara roh dan jasad, zahir dan batin sama ada ketika sedar atau tidur. Jadikanlah dia (Nabi Muhammad S.A.W ) wahai Tuhanku, roh bagi zatku daripada sekalian wajah (keadaan) di dalam dunia ini sebelum hari akhirat, wahai Allah yang Maha Besar.
3-Istighfar Kabir (الاستغفار الكبير )
أَََسْتَغفِرُ اللهَ العَظِيْمَ الََّذِيْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ القَيُّوْمَ غَفَّارَ الذُّنُوْبِ ذَاالْجَلالِ وَالاِكْرَامِ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ مِنْ جَمِيْعِ الْمَعَاصِى كِلِّهَا وَالذُّنُوْبِ وَالآثَامِ وَمِنْ كُلِّ ذَنْبٍ أَذْنَبْتُهُ عَمْدًا وَخَطَأً ظَاهِرًا وَبَاطِنًا قَوْلاً وَفِعْلاً فِىْ جَمِيْعِ حَرَكَاتِىْ وَسَكَنَاتِىْ وَخَطَرَاتِىْ وَأَنْفَاسِىْ كِلِّهَا دَائِمًا أَبَدًا سَرْمَدًا مِنَ الذَّنْبِ الَّذِىْ أَعْلَمْ وَمِنَ الْذَّنْبِ الَّذِىْ لاَ أَعْلَمْ عَدَدَ مَا أَحَاطَ بِهِ العِلْمُ وَأَحْصَاهُ الكِتَابُ وَخَطَّهُ القَلَمُ وَعَدَدَ مَا أَوْجَدَتْهُ الْقُدْرَةُ وَخَصَّصَتْهُ الإِرَادَةُ وَمِدَادَ كَلِمَاتِ اللهِ كَمَا يَنْبَغِىْ لِجَلاَلِ وَجْهِ رَبِّنَا وَجمَاَلِهِ وَكَمَالِهِ وَكَمَا يُحِبُّ رَبُّنَا وَيَرْضَى
Ertinya:- Aku memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Besar, yang bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendirinya. Maha Pengampun bagi segala dosa, wahai yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan. Aku bertaubat kepada-Nya daripada segala jenis maksiat, dosa dan kesalahan yang telah aku lakukan sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja, sama ada yang zahir mahu pun yang batin, sama ada pada perkataan, perbuatan dalam setiap pergerakan atau diamku, yang terlintas di hatiku dan diriku semuanya selama-lamanya. Tidak kira sama ada dosa-dosa yang aku ketahui atau tidak aku ketahui, sebanyak mana yang dicakupi oleh Ilmu Allah, yang dihitung oleh buku amalan dan yang ditulis oleh pena. Sebanyak mana yang diadakan oleh Qudrat dan dituntut oleh Iradat dan sebanyak tinta kalimah-kalimah Allah sepertimana yang selayaknya bagi kebesaran zat Tuhan kami ,keelokanNya, kesempurnaanNya dan sepertimana yang dikasihi oleh Tuhan kami dan yang diredhaiNya.
Cara Menerima Talkin Tarekat
Ada dua kaedah untuk menerima Talkin Tarekat ini iaitu:
Pertama: Secara khas iaitu bertemu secara peribadi dengan Syeikh yang diperakukan dan ditalkinkan:
لاَ اِلَهَ اِلاّ اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ فِي كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ عَدَدَمَا وَسِعَهُ عِلْمُ اللهِ (3x)
لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ (4x)
Kedua: Secara am iaitu menerimanya dalam mana-mana majlis zikr atau majlis hol.
والله أعلم
Dipetik daripada buku “Mengenal al-Tarekat al-Ahmadiah” terbitan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan dilancarkan pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 1414H.