Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 08/2015-1436H yang bersidang pada 10 Disember 2015 bersamaan 28 Safar 1437H. Mesyuarat telah memutuskan seperti berikut :
1. Fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar serta bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama‘ah adalah seperti berikut:
i. bahawa pemerintah, ahli parlimen dan para ulama‘ Islam kesemuanya kafir serta harus diperangi kerana menerima sistem kufur;
ii. bahawa negara-negara Islam semuanya negara kafir kerana berhukum dengan sistem kufur dan haram menyertai sistem kerajaan sekarang;
iii. menafikan istilah “al-Qada’ wa al-Qadar”;
iv. berpegang kepada fahaman Qadariyyah;
v. bahawa aqidah Siyasiyyah lebih penting daripada aqidah ruhiyyah;
vi.menolak sumber aqidah melalui hadith Ahad kerana boleh membawa kesesatan berasaskan hadith Ahad itu dalil zanni sedangkan aqidah itu keyakinan; atau
vii.bahawa Nabi dan Rasul tidak maksum sebelum diangkat menjadi Nabi atau Rasul.
2. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir termasuklah-
i. menjadi ahli kumpulan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;
ii. berada di dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;
iii. mengisytiharkan diri sebagai ahli kumpulan Hizbut Tahrir melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain;
iv. berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;
v. melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;
vi. mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;
vii. memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen, atau menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir di mana-mana harta alih atau tak alih atau;
viii. mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir di Negeri Sembilan.
3. Mana-mana orang Islam yang telah berbai‘ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.
4. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru mempunyai persamaan dengan unsur-unsur fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir adalah disifatkan bercanggah dengan aqidah ajaran Islam yang sebenar.
5. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan.
6. Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Sembilan.
Status Pewartaan : Proses Warta