Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil. 03/2019-1440H yang bersidang pada 25 April 2019M bersamaan 19 Sya’aban 1440H telah bersetuju dan memutuskan berkenaan berkenaan Sambutan Perayaan Valentine’s Day seperti berikut:
Orang Islam adalah dilarang dan haram menyertai, menyambut atau menganjurkan perayaan Valentine’s Day kerana semangat (roh) perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat.
Perayaan Hari kekasih atau Valentines’ Day ialah satu sambutan tahunan yang diadakan pada 14 Februari khususnya bagi penduduk Amerika dan Eropah untuk meraikan kasih sayang sesama kekasih dengan pelbagai cara seperti menghadiahkan bunga dan kiriman kad ucapan.
Sambutan Valentine’s Day ini diambil daripada nama seorang paderi Kristian yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.
Perayaan Valentine’s Day ini biasanya diraikan di kafe, hotel-hotel atau tempat-tempat yang romantik. Pengisiannya diadakan dengan pesta-pesta hiburan, nyanyian, tarian dan minuman arak yang bersifat serba boleh dan berunsur hedonisme (menurut hawa nafsu).
Tidak ada istilah Hari Kekasih atau Valentine’s Day dalam Islam. Orang Islam tidak boleh menyertainya kerana hari tersebut adalah hari perayaan bagi umat Kristian berdasarkan asal-usul kemunculannya yang dipenuhi dengan unsur-unsur ritual keagamaan. Bergabung dengan mereka bermakna mengakui agama mereka dan meredhai kekufuran yang ada pada mereka.
Senario menyambut Hari Valentine’s Day yang berlaku dalam kalangan muda mudi Islam juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pelbagai kerosakan aqidah, akhlak dan budaya umat Islam. Pergaulan bebas yang wujud dalam perayaan ini dibimbangi akan sampai ke tahap menggadaikan kehormatan dan maruah diri demi membuktikan kecintaan dan kesetiaan.




Users Today : 358
Users Yesterday : 81
Users Last 30 days : 6244
Users This Month : 2326
Users This Year : 2326