BINA INSAN MENERUSI KAEDAH SPIRITUAL: SATU TINJAUAN TERHADAP PENDEKATAN INABAH DALAM MEMULIHKAN PENAGIH DADAH DAN MENANGANI KRISIS MORAL REMAJA
BINA INSAN MENERUSI KAEDAH SPIRITUAL:
SATU TINJAUAN TERHADAP PENDEKATAN INABAH DALAM MEMULIHKAN PENAGIH DADAH DAN MENANGANI KRISIS MORAL REMAJA[1]
Oleh
Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi
Universiti Darul Iman Malaysia
Kampus KUSZA
1.Pendahuluan
Penagihan dadah dan kenakalan remaja merupakan penyakit sosial di alaf baru yang semakin membimbangkan. Masalah ini perlu diberikan perhatian serius dan usaha menyelesaikannya memerlukan kerjasama dari semua pihak. Kertas kerja ini bertujuan menjelaskan pendekatan yang digunapakai oleh Inabah, satu badan swasta yang merasa bertanggungjawab dan turut memainkan peranan dalam usaha membasmi dan menangani masalah tersebut.
2.Masalah Penagihan Dadah dan Kenakalan Remaja
Penagihan dadah merupakan masalah dan ancaman besar negara. Pihak kerajaan telah mengistiharkan bahawa dadah merupakan musuh nombor satu negara. Untuk itu pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah besar kewangan negara bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah tersebut. Jutaan ringgit telah dibelanjakan bagi menyediakan dan menyelenggarakan pusat-pusat pemulihan di seluruh negara. Selain itu penagihan dadah juga telah menimbulkan berbagai masalah sosial di negara ini. Terjadi banyak kes-kes jenayah di seluruh negara yang melibatkan penagih-penagih dadah.
Berbagai pendekatan telah diambil oleh pihak kerajaan dan juga swasta bagi menyelesaikan masalah penagihan dadah ini. Pihak kerajaan telah mendirikan pusat-pusat serenti di seluruh negara dengan menggunakan metod pemulihan yang tersendiri bagi menangani masalah ini. Pihak swasta pula seperti Pengasih juga telah membuka pusat pemulihan dengan mempraktikkan metod pemulihan mereka sendiri.
Selain dari masalah penagihan dadah, negara juga menghadapi masalah kerosakan dan keruntuhan akhlak para remaja. Penglibatan remaja dengan gejala sosial seperti kehamilan luar nikah, kemabukan dan ketagihan minuman keras, lari dari rumah, penglibatan dalam kumpulan Black Metal dan sebagainya, merupakan masalah yang semakin membimbangkan. Untuk menangani masalah ini pihak kerajaan telah membelanjakan sejumlah peruntukan kewangan yang agak besar bagi membina dan mengendalikan pusat kebajikan masyarakat di seluruh negara.
Antara badan swasta yang mengambil peranan dalam menangani masalah penagihan dadah dan kenakalan remaja ini ialah Inabah. Inabah yang asalnya merupakan metod pembersihan jiwa secara kerohanian Islam telah diperbadankan sehingga ia menjadi satu institusi yang berperanan memulihkan penagih-penagih dadah dan menyelesaikan masalah remaja yang terlanjur dengan mengembalikan mereka ke pangkal jalan. Dengan kata lain, Inabah ialah satu badan yang menggunakan kaedah terapi kejiwaan sebagai satu bentuk rawatan alternatif dalam menyelesaikan masalah tersebut.
3.Penubuhan Inabah Dan Kemasukkan Serta Perkembangannya di Malaysia
Rawatan pemulihan penagih dadah dan menangani masalah kenakalan remaja menerusi pendekatan inabah mula diperkenalkan di Indonesia oleh Kiyai Haji Ahmad Sahib al-Wafa’ Taj al-`Arifin. Beliau yang lebih terkenal dengan panggilan Abah Anom ialah pengetua pondok pesantren Suryalaya di Tasikmalaya, Jawa Barat, Indonesia, yang juga merupakan murshid tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah yang terkenal di Jawa.
Inabah mula dirintis pada tahun 1972 dan kemudiannya dilembagakan secara rasmi pada tahun 1980.[2] Pusat Inabah pertama didirikan di Ciamis, Jawa Barat, di bawah jagaan Bapak Anang Syah dan kemudian mula bertambah sehingga mencapai bilangan melebihi 20 buah.[3] Dari Indonesia inilah inabah telah dibawa masuk ke Malaysia oleh para wakil talqin dan juga ikhwan tarekat Qadiriyyah wa Naqshabandiyyah pimpinan Abah Anom.
Di Malaysia, inabah terdapat di tiga buah negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Sabah. Inabah mula diperkenalkan di Kedah pada tahun 1986 di bawah jagaan Hj. Mohd Zuki bin Shafie selaku wakil talqin Abah Anom. Ia pada mulanya bertempat di Pulau Bidin, Alor Setar, namun kemudiannya berpindah pula ke Jabal Suf, Kuala Nerang iaitu pada tahun 1990. Inabah yang dibina di atas tanah seluas kurang lebih 30 ekar di kawasan berbukit dan jauh dari perkampungan itu, masih beroperasi sampai sekarang bahkan semakin berkembang dengan terbinanya binaan-binaan baru. Inabah di Jabal Suf ini merupakan inabah yang terbesar di Malaysia.
Di Terengganu, Inabah pada mulanya beroperasi secara kecil-kecilan di Surau Cerong Lanjut, Bandar Kuala Terengganu di bawah jagaan Ustaz Hj. Mohd Othman bin Abdul Latif selaku wakil talqin Abah Anom. Namun pada tahun 1990 ia telah berpindah ke satu tempat baru iaitu di Kampung Sungai Ikan, Gemuruh, Kuala Nerus, Terengganu dengan jarak kurang lebih 25 kilometer dari bandar Kuala Terengganu. Ia didirikan di atas sebidang tanah seluas kurang lebih 10 ekar. Setelah Ustaz Hj. Mohd Othman meninggal dunia, pentadbiran inabah diambilalih oleh isteri dan juga anak beliau sampai sekarang. Manakala di Sabah pula, inabah didirikan di Sempoerna di bawah seliaan Ustaz Hj. Mansur selaku wakil talqin Abah Anom.
Pusat-pusat inabah ini beroperasi secara sah dari segi undang-undang di mana ia bernaung di bawah PEMADAM. Sehingga kini inabah telah berjaya memulihkan sejumlah penagih-penagih dadah dan juga muda-mudi yang bermasalah untuk membaiki diri dan seterusnya kembali semula ke pangkuan masyarakat. Penelitian penulis mendapati, rekod inabah menunjukkan bahawa lebih 50 % penagih dadah dan remaja bermasalah yang memasuki inabah berjaya dipulihkan.
4.Sandaran Umum Metod Pemulihan Inabah
Landasan atau sandaran umum bagi pemulihan penagih dadah dan menangani masalah kenakalan remaja menerusi metod inabah ini adalah merujuk kepada pertunjuk yang ditemui dalam ayat al-Qur’an dan juga hadis Nabi s.a.w.[4]
Terdapat beberapa ayat al-Qur’an yang mendasari metod inabah ini. Pertama, firman Allah s.w.t. yang bermaksud “dan Kami turunkan dari al-Qur’an itu suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan ia (al-Qur’an itu) tidak menambahkan kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”.[5] Kedua, firman Allah yang bermaksud “wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu pelajaran dari Tuhan kamu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang berada dalam dada dan pertunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman”.[6] Ketiga, firman Allah yang bermaksud “orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah, ketahuilah hanya dengan mengingati Allah itu hati menjadi tenteram”.[7]
Demikian juga terdapat beberapa hadis Nabi s.a.w. yang menjadi rujukan inabah dalam meletakkan asas pemulihannya. Antaranya ialah hadis yang bermaksud “mengingati Allah itu adalah penyembuh bagi hati”[8] Begitu juga hadis yang bermaksud “sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada pencucinya dan pencuci bagi hati itu ialah dhikrullah”.[9]
Penelitian terhadap ayat al-Qur’an dan juga hadis Nabi s.a.w. di atas mendapati bahawa pertunjuk al-Qur’an secara umumnya dan zikir secara khususnya menjadi penyembuh bagi penyakit khususnya penyakit mental dan spiritual yang menjadi punca bagi banyak masalah lain. Inilah yang menjadi dasar kepada metod pemulihan inabah.
5.Konsep Inabah
Inabah berasaskan kepada beberapa konsep yang menjadi dasar kepada usaha pemulihannya, iaitu taubat (kembali kepada Allah), benteng keimanan dan perisai ketaqwaan.
5.1. Taubat (kembali kepada Allah s.w.t.)
Inabah berasal dari perkataan Arab yang bermaksud “kembali”. Kajian mendapati, perkataan inabah ini ditemui pada beberapa tempat dalam al-Qur’an. Pertama, pada firman Allah s.w.t. yang bermaksud “dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu”.[10] Kedua, firman Allah yang bermaksud “dan kembalilah kepada Tuhan kamu dan berserah dirilah kepadaNya”.[11]Ketiga, firman Allah s.w.t. yang bermaksud “dan apa yang kamu perselisihkan padanya mengenai sesuatu perkara maka hukumnya kembali kepada Allah, Dialah Allah Tuhanku, padaNya aku berserah diri dan kepadaNya aku kembali”.[12]
Inabah merupakan satu tingkatan (maqam) dari tingkatan-tingkatan orang yang berusaha mendekati Allah s.w.t Dari perspektif ilmu tasawuf, inabah bermaksud kembali dari melakukan maksiat terhadap Allah s.w.t. kepada melakukan ketaatan terhadapNya kerana merasa malu dilihat Allah s.w.t.[13] Dari segi kedudukan, inabah merupakan maqam yang dilalui selepas maqam taubat. Taubat dalam terminologi Islam bermaksud meninggalkan perkara-perkara yang tercela dengan disertai rasa penyesalan dan keazaman untuk meninggalkannya buat selama-lamanya serta tidak ingin kembali lagi melakukannya.[14]
Taubat merujuk kepada perubahan tingkahlaku atau amal perbuatan iaitu meninggalkan perbuatan yang menyalahi syariat kepada perbuatan yang membetuli syariat. Manakala inabah pula secara khususnya merujuk kepada perubahan sifat-sifat dalaman iaitu terbuangnya sifat-sifat tercela dan terisi dengan sifat-sifat terpuji. Dalam ilmu tasawuf, inabah merupakan hasil dari muraqabah iaitu keadaan hati yang merasa selalu berada dalam tilikan dan pengawasan Allah s.w.t. Muraqabah itu pula merupakan hasil dari keteguhan dan kemantapan zikir. Kerana itu amalan penting dalam metod inabah ini ialah menekuni zikir serta memperteguhkannya menerusi zikir jahr dan zikir sirr (khafi).
Menurut konsep inabah, orang-orang yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dianggap berdosa kerana melakukan maksiat dengan perbuatan mereka itu.[15] Punca penglibatan itu ialah ghaflah atau kelalaian dari mengingati Allah s.w.t. Oleh itu mereka perlu melakukan taubat kepada Allah s.w.t. Perkara yang mendorong mereka untuk bertaubat dengan jujur dan benar ialah dhikrullah seperti yang dapat dilihat pertunjuknya dalam al-Qur’an iaitu firman Allah yang bermaksud “dan orang-orang yang apabila mereka melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri, lalu mengingati Allah, maka terus mereka meminta keampunan, dan tidak ada yang mengampunkan dosa itu kecuali Allah, dan mereka tidak berterusan melakukan apa yang telah mereka lakukan sedangkan mereka mengetahuinya”.[16]
5.2. Benteng keimanan
Inabah juga berasaskan kepada konsep benteng keimanan. Tedapat tiga istilah yang saling berkait antara satu sama lain iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Iman ialah kepercayaan dan keyakinan hati terhadap Allah s.a.w. dan perkara-perkara lain yang wajib dipercayai. Islam pula ialah perlaksanaan terhadap perintah-perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangan-laranganNya. Manakala ihsan pula ialah seperti apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. iaitu “bahawa engkau beribadat kepada Allah seolah-olahnya engkau melihatNya dan sekiranya engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.[17]
Iman menjadi benteng yang dapat melindungi seseorang dari terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang yang sudah tentu memudaratkan. Semakin kuat keimanan itu maka semakin teguhlah benteng yang melindungi diri seseorang. Penguat keimanan itu ialah Ihsan. Dari perspektif ilmu tasawuf, kedudukan Ihsan ialah sebagai penyempurna kepada Iman dan Islam. Pencapaian Ihsan menyumbang kepada keteguhan keimanan dan perlaksanaan Islam secara lebih sempurna. Ihsan itu merupakan kesedaran hati dan penyaksian batin terhadap ketuhanan Allah s.w.t. iaitu apa yang diistilahkan sebagai muraqabah dan mushahadah. Ia dapat dicapai dengan kemantapan dan keteguhan zikir. Maka kerana itu, menerusi metod inabah, zikir itu perlu diperteguhkan. Ia bukan hanya diucapkan dengan lidah, malah perlu ditanam dan diperteguhkan dalam jiwa.[18]
5.3. Perisai ketaqwaan
Inabah juga berasaskan kepada konsep perisai ketaqwaan. Menerusi pendekatan inabah, orang-orang yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dikira sebagai menghadapi masalah ketaqwaan yang menjadi benteng dan perisai diri dalam menghadapi godaan nafsu dan perdayaan syaitan. Taqwa itu secara khusus merujuk kepada pengisian jiwa dengan nilai-nilai keimanan dan akhlak terpuji seperti yang diisyaratkan oleh Nabi s.a.w. dengan sabda baginda yang bermaksud “taqwa itu di sini (hati sanubari)”.[19] Kebocoran benteng taqwa adalah berpunca dari kelalaian hati dan kekosongan jiwa. Akibatnya, hati akan dipenuhi dengan berbagai penyakit kejiwaan. Kerana itu orang-orang yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dilihat sebagai menghidap penyakit hati, dalam kesulitan, kebingungan dan kesedihan.[20] Oleh itu mereka perlu dikembalikan ke jalan yang lurus dengan taubat dan perlu disembuhkan dari penyakit hati itu dengan diisi serta diperteguhkan zikir kerana zikir adalah ubat bagi penyakit hati.[21] Kerana itu zikir merupakan elemen penting dalam proses pemulihan menerusi pendekatan inabah.
6.Kaedah-Kaedah (Teknik-Teknik) Pemulihan Menerusi Pendekatan Inabah
Terdapat beberapa teknik yang digunapakai dalam proses pemulihan penagih dadah dan menyelesaikan masalah kenakalan remaja menerusi metod inabah. Teknik-teknik itu secara keseluruhannya merupakan usaha menimbulkan kesedaran diri. Teknik-teknik tersebut ialah mandi taubat, solat, zikir, Qiyam al-lail, puasa dan doa-doa serta adab.[22] Teknik-teknik ini dilaksanakan secara intensif dalam tempoh tertentu, minimanya ialah 40 hari sehinggalah sampai 6 bulan, dan ini bergantung kepada tahap masalah yang dihadapi.
6.1.Mandi Taubat
Menurut pendekatan inabah, orang-orang yang terlibat dengan penagihan dadah berada dalam keadaan kemabukan dan mereka perlu disedarkan dulu dengan cara mandi.[23] Dari perspektif ilmu tasawuf, kelalaian dan kemabukan itu dihukumkan sebagai berjunub. Sebagaimana junub itu terangkat dengan mandi, maka demikian pula kelalaian dan kemabukan itu terhapus dengan mandi. Pendekatan mandi ini adalah berasaskan kepada pertunjuk yang terdapat dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud “sekiranya kamu berjunub maka bersucilah (mandilah)”.[24] Juga berasaskan kepada firman Allah yang bermaksud “ingatlah ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman dariNya dan Allah menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan air hujan itu dan menghilangkan dari kamu kotoran (gangguan) syaitan dan untuk menguatkan hati kamu dan memperteguhkan dengannya tapak kaki (pendirian) kamu”.[25]
Falsafah mandi ini ialah sebagai usaha untuk membersihkan diri (taharah) zahir dan batin iaitu bersih badan dan jiwa.[26] Dari segi praktikalnya, mandi taubat ini dilakukan dengan niat bertaubat atau menghilangkan dosa seluruh anggota tubuh mulai hujung rambut sampai hujung kaki. Caranya ialah dengan mengalirkan air ke seluruh permukaan tubuh dari atas ke bawah. Ketika mandi itu sentiasa dibacakan doa yang merupakan sepotong ayat al-Qur’an iaitu yang bermaksud “wahai Tuhanku tempatkanlah aku di tempat yang berkat kerana Engkau adalah sebaik-baik yang memberi tempat”.[27] Mandi taubat ini dilakukan di waktu tengah malam iaitu sebelum melakukan solat tahajjud di mana suhu persekitaran adalah rendah. Demikian juga ia dilakukan setiap kali sebelum mendirikan solat waktu.
Mandi taubat ini mengandungi manfaat psikologis iaitu ia merupakan ekspresi dari keinginan untuk membersihkan diri dari dosa anggota tubuh secara keseluruhan. Di samping itu ia juga mempunyai manfaat terapeutik terhadap penyakit atau gangguan biologis (fizikal) yang bersifat psikosomatif. Selain itu ia juga dilihat sebagai hydroterapy.[28] Menurut penelitian pakar, mandi di waktu tengah malam dalam keadaan kesejukan ini menjadikan pembuluh darah di bahagian permukaan mengecut atau mengecil sehingga darah berjalan laju dan pergi dengan lebih banyak ke bahagian otak dan tubuh bahagian terdalam. Ia menjadi hidroteraphy yang sangat efektif, menyegarkan jiwa raga yang pernah tersiksa dengan racun dadah dan sebagainya.[29]
6.2.Solat (Fardu dan Sunat)
Solat, iaitu solat fardu dan sunat (rawatib dan nawafil) merupakan salah satu amalan penting dalam proses pemulihan menerusi metod inabah. Sandaran bagi amalan ini ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud “sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan munkar, dan ingat kepada Allah itu merupakan pekerjaan yang agung, dan Allah mengetahui apa yang kamu lakukan”.[30] Solat merupakan amalan yang melibatkan gerakan fizikal dan mental dalam usaha berkomunikasi dengan pencipta alam semesta. Menerusi amalan dan latihan solat, seseorang itu dapat menghayati dan merasai kedekatan (qurbah) dengan Allah s.w.t. seperti yang disebut dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud bahawa sedekat-dekat kedudukan hamba dari Tuhannya ialah dalam keadaan dia sujud. Demikian juga menerusi latihan solat seseorang itu akan mencapai kenikmatan rohani yang sebenar seperti yang diisyaratkan oleh Nabi s.a.w. dengan sabda baginda yang bermaksud “rehatkanlah kami dengannya (solat) wahai Bilal”.[31]
Ternyata solat memiliki manfaat psikologis yang bersifat terapeutik. Demikian juga ia mempunyai manfaat psikosomatif menerusi gerakan-gerakan dalam solat yang memiliki aspek senaman dan akupuntur yang bersifat terapeutik.[32] Menerusi pendekatan inabah, selain dari solat fardu, solat sunat yang terdiri dari rawatib dan nawafil dilakukan sebanyak mungkin iaitu sejumlah 82 rakaat sehari semalam dengan pelbagai jenis solat sunat seperti yang telah diprogramkan.[33]
6.3.Zikir
Zikir merupakan amalan penting dalam proses pemulihan menerusi pendekatan inabah. Penggunaan kaedah zikir ini adalah berpandukan kepada pertunjuk yang terdapat dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud “ketahuilah bahawa hanya dengan mengingati Allah itu hati menjadi tenteram”.[34] Juga berpandukan kepada hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “mengingati Allah itu penyembuh bagi hati”.[35] Terdapat dua jenis zikir utama yang diamalkan menerusi metod inabah iaitu zikir jahr dan zikir khafi.
6.3.1. Zikir Jahr
Zikir jahr ialah zikir kalimah tauhid yang diucapkan dengan lidah dengan syarat dan kaifiyyat tertentu. Zikir ini bukan hanya diucapkan, malah ditanamkan dalam diri manusia sehingga keyakinannya menjadi kuat dan perilaku serta amalannya menjadi baik. Menerusi pendekatan inabah, zikir kalimah tauhid ini diamalkan setiap kali selepas solat fardu sejumlah paling kurang 165 kali.[36]
Praktik menanam kalimat tauhid ini berasaskan kepada pertunjuk yang terdapat dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud “tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seumpama pohon yang baik, tunjangnya teguh dan cabangnya sampai ke langit (menjulang tinggi), ia membuahkan hasilnya setiap ketika dengan izin Tuhannya, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia supaya mereka selalu ingat”.[37]
Ia juga berasaskan kepada hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “iman itu ada lebih dari tujuh puluh tiga cabangnya, yang tertinggi ialah ucapan La ilaha illallah dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakitkan di jalanan, dan sifat malu itu sebahagian dari iman”.[38]Begitu juga hadis yang bermaksud “perbaharuilah iman kamu. (Para sahabat bertanya) Bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami wahai Rasulullah. (Baginda menjawab) Perbanyakkan menyebut La ilaha illallah”.[39]
Kalimah tauhid yang juga disebut sebagai kalimah tayyibah dapat menyucikan diri seseorang itu daripada syirik jali sebagaimana ia dapat membersihkan jiwa seseorang itu daripada syirik khafi serta menjadikannya ikhlas dan murni. Begitu juga kalimah ini dapat membuang hijab-hijab hati yang berkait dengan kebendaan serta membersihkan jiwa daripada segala kekotoran dan sifat-sifat kebinatangan.[40]
6.3.2. Zikir Khafi (Sirr)
Manakala zikir khafi pula ialah zikir ism al-dhat yang ditanam dan diisikan di dalam hati dan perasaan sehingga terasa dan sedar terhadap kebersertaanNya di mana juga berada. Zikir ini diamalkan dengan persyaratan dan kaifiyyat tertentu. Zikir ini merujuk kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud “dan sebut serta ingatlah Tuhanmu dalam dirimu dalam keadaan merendah diri dan merasa takut, dan tanpa menyaringkan suara pada pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong dalam golongan orang-orang yang lalai”.[41] Juga merujuk kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud “serulah Tuhan kamu dalam keadaan merendah diri dan sembunyi, sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batasan”.[42] Juga merujuk kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud “dan sebutlah nama Tuhanmu dan tumpukanlah perhatian kepadaNya semata-mata”.[43] Zikir khafi ini diamalkan setiap masa selain dari waktu yang telah ditetapkan pada setiap kali selepas selesai solat fardu iaitu selepas zikir jahr.[44]Zikir ini adalah sebagai usaha mendapatkan malakah ihsan sehingga seseorang itu selalu merasai keberadaan dan kebersertaanNya. Pencapaian ini akan memperkukuhkan keimanan seterusnya menjadi benteng yang dapat memelihara diri dari perkara yang tidak baik.
6.4. Qiyam al-Lail
Qiyam al-lail merupakan amalan yang paling penting dalam proses pemulihan menerusi metod inabah. Pengisian bagi qiyam al-lail ini ialah dengan mempraktikkan mandi taubat, solat sunat dan juga zikir. Praktik qiyam al-lail ini adalah merujuk kepada firman Allah s.a.w. yang bermaksud “dan pada sebahagian malam bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai satu ibadah tambahan mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat terpuji”.[45] Qiyam al-lail ini mempunyai elemen tazkiyat al-nafs yang sangat tinggi. Ini merujuk kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud “sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat dan bacaan di waktu itu lebih berkesan”.[46]
Menerusi metod inabah, peserta dikehendaki bangun awal pagi iaitu sekitar jam 3 atau 4 pagi lalu melakukan mandi taubat. Setelah ini dia dikehendaki melakukan beberapa rakaat solat sunat seperti yang telah ditetapkan dan seterusnya berzikir kalimat tauhid dengan syarat dan kaifiyyat yang telah diajar sehinggalah sampai waktu subuh. Perkara ini dilaksanakan pada tiap-tiap malam sepanjang tempoh pemulihan.
6.5. Puasa
Puasa juga merupakan satu amalan yang dilaksanakan dalam proses pemulihan menerusi metod inabah. Puasa mempunyai elemen tazkiyat al-nafs yang tinggi. Ini merujuk kepada hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “wahai para pemuda, jika kamu telah mampu maka kahwinlah, sesungguhnya ia dapat menutup pandangan dan menjaga kehormatan, tetapi sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana puasa itu adalah perisai”.[47]
Menerusi metod inabah, puasa tidaklah dimestikan. Walau bagaimanapun ia sangat digalakkan terutamanya bagi mereka yang sudah memperolehi kesedaran jiwa sepenuhnya. Para peserta digalakkan melakukan puasa isnin khamis, puasa kifarat (tiga hari setiap bulan) dan puasa baydh (awal bulan, tiga hari di pertengahan bulan dan akhir bulan).[48]
7.Penutup
Kesimpulannya, inabah merupakan satu pendekatan kerohanian yang digunapakai bagi memulihkan orang-orang yang terlibat dengan penagihan dadah dan juga menghadapi masalah kenakalan remaja. Inabah melihat bahawa punca masalah tersebut ialah kekosongan jiwa, kelupaan hati, kelemahan iman dan kemerosotan nilai taqwa sehingga seseorang itu terpengaruh dengan godaan nafsu serta perdayaan syaitan. Proses merawat penagihan dadah menerusi pendekatan inabah ini adalah tertumpu pada beberapa amalan utama iaitu mandi taubat, solat fardu dan sunat (rawatib dan nawafil), zikir jahr dan khafi yang dilaksanakan secara teratur dan intensif dalam tempoh tertentu, qiyam al-lail dan juga puasa. Amalan amalan ini mempunyai nilai tazkiyat al-nafs yang sangat tinggi dan juga mempunyai sandaran yang boleh dirujuk di dalam al-Qur’an dan juga sunnah.
Rujukan
K.H. Anang Syah. 2000. Inabah, Metode Penyedaran Korban Penyalahgunaan Napza. Bandung: Wahana Karya Grafika.
Yusuf Hj Wanjor. 1994. Inabah, Suatu Metoda Penyedaran. Singapura: Afia Printat.
K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin. 1988. Kunci Pembuka Dada. Selangor: Thinkers Library Sdn. Bhd.
K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin. 1991. Ibadah Sebagai Metoda Pembinaan Korban Penyalahgunaan Narkotika dan Kenakalan Remaja. Tasikmalaya: Institut Islam Latifah Mubarokiyyah.
K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin. `Uqud al-Juman. Tasikmalaya: Yayasan Serba Bakti Pesantren Suryalaya.
Kharisudin Aqib. 2005. Inabah, Jalan Kembali dari Narkoba, Stres & Kehampaan Jiwa. Surabaya: Pt. Bina Ilmu.
M.A. Subandi. 2004. Dzikir Pembelah Dada. Yogyakarta: Cindelaras.
Juhaya S. Praja. 1991. TQN Pondok Pesantren Suryalaya dan Perkembangannya Pada Masa Abah Anom (1950-1990) (dlm) Thoriqot Qodiriyyah Naqsabandiyyah, Sejarah, Asal-Usul dan Perkembangannya (pnyt.) Harun Nasution. Tasikmalaya: Institut Agama Islam Latifah Mubarokiyyah.
`Ala’ al-Din al-Muttaqi al-Hindi. 1390. Kanz al-`Ummal. Halab: Matba`ah al-Balaghah.
Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas`ud al-Baghawi. 1961. Sharh al-Sunnah. Damsyik: al-Maktab al-Islami.
Muhammad ibn `Abd Allah al-Hakim al-Naysaburi. 1990/1411. al-Mustadrak `Ala al-Sahihayn. Bayrut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah.
Muhammad ibn Isma`il al-Bukhari. 1987/1407. Al-Jami` al-Sahih al-Mukhtasar. Bayrut: Dar Ibn Kathir.
Muslim ibn al-Hajjaj al-Qushayri al-Naysaburi. 1954/1374. Sahih Muslim. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.
Abu Dawud Sulayman ibn al-Ash`ath al-Sajastani al-Azdi. t.th. Sunan Abi Dawud. Dar al-Fikr.
Ahmad ibn Hanbal al-Shaybani. t.th. Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal. Misr: Muassasah Qurtubah.
[1] Kertas kerja ini akan dibentangkan dalam Seminar Tasawwuf Negeri Sembilan 2007, pada 22 Disember 2007, bertempat di Allson Klana Resort.
[2] K.H. Anang Syah, Inabah, Metode Penyedaran Korban Penyalahgunaan Napza, Wahana Karya Grafika, Bandung, 2000, hlm.17.
[3]Harun Nasution, Thoriqot Qodiriyyah Naqsabandiyyah, Sejarah, Asal-Usul dan Perkembangannya, Institut Agama Islam Latifah Mubarokiyyah, Tasikmalaya, 1990, hlm.413; dan
Yusuf Hj Wanjor, Inabah, Suatu Metoda Penyedaran, Afia Printat, Singapura, 1994, hlm.52-53.
[4] Lih. Harun Nasution, Thoriqot Qodiriyyah Naqsabandiyyah, hlm.171-185.
[5] Al-Qur’an, Surah al-Isra’:82.
[6] Al-Qur’an, Surah Yunus:57.
[7] Al-Qur’an, Surah al-Ra`d:28.
[8] al-Zubaydi, Ittihaf, Jil.4, hlm.188; Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas`ud al-Baghawi, Sharh al-Sunnah, al-Maktab al-Islami, Damshiq,1961, Jil.5, hlm.16; `Ala’ al-Din al-Muttaqi al-Hindi,Kanz al-`Ummal, Matba`ah al-Balaghah, Halab, 1390, Hadis No.1751.
[9] Hadis Riwayat Ibn Abi al-Dunya dan al-Bayhaqi.
[10] Al-Qur’an, Surah Luqman:15.
[11] Al-Qur’an, Surah al-Zumar: 54.
[12] Al-Qur’an, Surah al-Syura: 10.
[13] Juhaya S. Praja, TQN Pondok Pesantren Suryalaya dan Perkembangannya Pada Masa Abah Anom (1950-1990) (dlm) Thoriqot Qodiriyyah Naqsabandiyyah, Sejarah, Asal-Usul dan Perkembangannya (pnyt.) Harun Nasution, Institut Agama Islam Latifah Mubarokiyyah, Tasikmalaya, 1990, hlm.174.
[14] K.H. Anang Syah, Inabah, Metode Penyedaran, hlm.18.
[15] Ibid.
[16] Al-Qur’an, Surah Ali `Imran: 134.
[17] al-Bukhari, al-Jami` al-Sahih, Kitab al-Iman, Bab Su’al Jibril al-Nabi Salla Allah `Alayhi wa Sallam `an al-Iman wa al-Islam wa al-Ihsan.
[18] Juhaya S. Praja, TQN Pondok Pesantren Suryalaya, hlm.177.
[19] Hadis riwayat Muslim.
[20] Juhaya S. Praja, TQN Pondok Pesantren Suryalaya, hlm.182.
[21] Yusuf Hj Wanjor, Inabah, Suatu Metoda Penyedaran, hlm.
[22] Kharisudin Aqib, Inabah, Jalan Kembali dari Narkoba, Stres dan Kehampaan Jiwa, Pt. Bina Ilmu, Surabaya, 2005, hlm.175.
[23] Juhaya S. Praja, TQN Pondok Pesantren Suryalaya, hlm.184.
[24] Al-Qur’an, Surah al-Ma’idah: 6.
[25] Al-Qur’an, Surah al-Anfal: 11.
[26] K.H. Anang Syah, Inabah, Metode Penyedaran, hlm.23.
[27] Al-Qur’an, Surah al-Mukminun:29.
[28] Kharisudin Aqib, Inabah, Jalan Kembali dari Narkoba, hlm.179.
[29] Yusuf Hj Wanjor, Inabah, Suatu Metoda Penyedaran, hlm.31.
[30] Al-Qur’an, Surah al-Ankabut: 45.
[31] Hadis Riwayat Ahmad dan Abi Dawud.
[32] Kharisudin Aqib, Inabah, Jalan Kembali dari Narkoba, hlm.183.
[33]Lih. KHA Shohibulwafa Tajul Arifin, Ibadah Sebagai Metoda Pembinaan Korban Penyalahgunaan Narkotika Dan Kenakalan Remaja, Yayasan Serba Bakti Pondok Pesantren Suryalaya.
[34] Al-Qur’an, Surah al-Ra`d: 28.
[35] Lih. Nota kaki no.7.
[36] Lih. KHA Shohibulwafa Tajul Arifin, Ibadah Sebagai Metoda Pembinaan.
[37] Al-Qur’an, Surah Ibrahim: 24-25.
[38] Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud dan al-Nasa’i.
[39] Hadis Riwayat al-Hakim.
[40] K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin, Kunci Pembuka Dada. Selangor, Thinkers Library Sdn. Bhd., Selangor, 1988. hlm.15.
[41] Al-Qur’an, Surah al-A`raf: 205.
[42] Al-Qur’an, Surah al-A`raf: 55.
[43] Al-Qur’an, Surah al-Muzammil: 8.
[44] Lih. K.H.A. Shohibulwafa Tajul Arifin, `Uqud al-Juman, Yayasan Serba Bakti Pesantren Suryalaya.
[45] Al-Qur’an, Surah al-Isra’:79.
[46] Al-Qur’an, Surah al-Muzzammil: 6.
[47] Hadis riwayat al-Bukhari.
[48] Kharisudin Aqib, Inabah, Jalan Kembali dari Narkoba, hlm.192.