PENDIDIKAN ANAK DENGAN SOLAT
PENDIDIKAN ANAK DENGAN SOLATÓ
Oleh : Y.B S.S Dato’ Hj.Mohd Murtadza bin Hj. Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri
Negeri Sembilan Darul Khusus
MUQADDIMAH
Menurut Imam al-Ghazali[1] mendapatkan anak merupakan tujuan utama perkahwinan. Ianya untuk mengekalkan keturunan supaya dunia ini terus dihuni oleh manusia. Kemudian, beliau menyatakan empat faktor yang menjadi galakan kepada pasangan suami isteri supaya mempunyai ramai anak iaitu:
- Seiring dengan kasih Allah atas usaha mengekalkan manusia (sebagai khalifah) di muka bumi.
- Mengharapkan kesukaan Nabi saw kerana meramaikan umatnya.
- Mengharapkan keberkatan anak yang soleh dengan doanya.
- Mengharapkan syafa‘at sekiranya anak tersebut meninggal dalam usia muda.
Anak merupakan anugerah Allah dan tanggungjawab yang berat yang diamanahkan atas bahu ibu bapa. Pentarbiahan anak-anak dengan didikan yang baik wajib ditunaikan oleh ibu bapa atau sesiapa yang mengambil tugas mereka dan tanggungjawab ini tidak boleh dipandang sepi. Amanah yang wajib ini hendaklah dijaga dengan baik dan janganlah dikhianati. Pastinya tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dengan sepenuhnya ini tidak sunyi daripada cabaran dan dugaan. Sehubungan dengan itu, hendaklah kita sentiasa prihatin untuk mengwujudkan keluarga bahagia.
Disebabkan kebelakangan ini terdapat pelbagai bentuk serangan yang dilancarkan terhadap umat Islam terutama terhadap golongan remaja yang mudah terpengaruh maka Rasulullah saw telah berpesan supaya menjaga golongan remaja ini dengan sabdanya:
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أُوصِيكُمْ بِالشَّـبَابِ خَيْرًا، فَإِنَّهُمْ أَرَقُ أَفْئِدَةٍ، لَقَدْ بَعَثَنِيَ اللهُ بِالحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ، فَحَالَفَنِي الشَّـبَابُ وَخَالَفَنِي الشُّـيُوخُ.
Yang bermaksud, Rasulullah saw bersabda: Aku berpesan supaya kamu berbuat baik kepada orang muda. Sesungguhnya mereka dikurniakan Tuhan perasaan yang sangat sensitif. Ketika aku diutuskan membawa agama yang suci murni ini, kebanyakkan pemuda zamanku mendokongku dan kebanyakkan orang tua-tua menentangku.
Tujuan serangan perosak remaja pada zaman ini ialah untuk mengasingkan generasi Islam itu sendiri daripada syariat Islam yang mana telah memprogramkan untuk penganutnya satu manhaj yang mampu menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Lantaran menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk menyelamatkan ahli keluarganya daripada kehancuran. Allah swt berfirman,
Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnnya: manusia dan batu (berhala). [2]
DIDIKAN ANAK DENGAN IKATAN ROHANI KEPADA ALLAH[3]
Mendidik anak melalui pendekatan rohani adalah bertujuan membersihkan lagi roh atau jiwa anak-anak agar ia semakin suci dan bercahaya. Natijahnya,terpancarlah di hati mereka keimanan dan keikhlasan dalam beribadat. Terdapat beberapa manhaj yang dianjurkan oleh Islam berkaitan ikatan rohani untuk mengekal serta menjaga hati anak-anak supaya terus bersih, suci, bercahaya dan ikhlas. Antaranya:
Didikan Rohani Dengan Ibadah.
عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ.[4]
Yang bermaksud, Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah saw: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.
Dikiaskan juga solat dalam hadith ini ialah ibadah-ibadah lain seperti puasa, haji dan zakat bahkan hendaklah kita memberi kefahaman kepada anak-anak bahawa ibadat menurut Islam tidak terbatas kepada empat perkara ini sahaja tetapi merangkumi segala amal soleh seperti perkara halal haram sejak mereka kecil lagi sebagai didikan dan membentuk jiwa yang beragama yang dapat mengawal dirinya daripada kesesatan. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menunjuk ajar anak-anak kita perbezaan baik dan buruk, masalah halal dan haram, antara hak dan batil. Di samping itu, ibu bapa hendaklah menjadi tauladan seperti melakukan apa yang dihalalkan dan meninggalkan apa yang dilarang. Hal ini ditegas oleh Rasulullah dengan sabdanya,
اعْمَلُوا بِطَاعَةِ الله، وَاتَّقُوا مَعَاصِى الله، وَمُرُوا أَوْلاَدَكُم بِامتِـثَالِ الأَوَامِر، وَاجْـتِنَابِ النَوَاهِى، فَذلِكَ وِقَايَة لَهُمْ وَلَكُمْ مِنَ النَّارِ.[5]
Yang bermaksud, Kerjakanlah olehmu amalan ketaatan kepada Allah, takutlah kamu daripada melakukan maksiat, suruhlah anak-anak kamu melakukan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang. Sesungguhnya itu adalah pendinding bagi mereka (anak-anak kamu) dari dirimu daripada api neraka.
Didikan Rohani Dengan al-Quran
Diriwayatkan oleh al-Tabrani, daripada Ali Karamallahu Wajhah, Nabi saw bersabda,
أَدِّبـُوا أَوْلاَدَكُمْ عَلَى ثَلاَث خِصَال: حُبُّ نَبِيَّـكُمْ، وَحُبُّ آل بَيْتِهِ، وَتِلاَوَةُ القُرْآن، فَإِنَّ حَمْلَةَ القُرْآن فِى ظِلِّ عَرْشِ الله يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ مَعَ أَنْبِيَائِهِ وَ أَصْفِيَائِهِ.
Yang bermaksud, Didiklah anak-anak kamu dengan tiga perkara ini: Cintakan Nabi kamu, kasihkan Ahli keluarganya, dan membaca al-Quran. Sesungguhnya penghafaz al-Quran bernaung di bawah ‘Arsy Allah pada hari tiada lagi naungan kecuali naungan Allah bersama para Anbia’ dan Asfia’Nya.
Sabda Nabi saw,
قال رسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ القُلُوبَ تَصْدَأُ كَمَا يَصْدَأُ الحَدِيد. قِيْلَ : يَا رَسُولَ الله وَمَا جَلاَءُهَا؟ فَقَالَ : تِلاَوَة القُرآن وَذِكْر المَوْت.
أخرجه البيهقى
Yang bermaksud, Sabda Rasulullah saw, sesungguhnya hati ini berkarat sepertimana besi yang berkarat. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimana untuk mengilatkannya? Baginda menjawab: Membaca al-Quran dan mengingati mati.
Selain itu, kesan membaca al-Quran di rumah sebagaimana hadith Nabi saw,
البَيْتُ إِذَا قُرِئَ فِيْهِ القُرْآنُ حَضَرَتْهُ المَلاَئِكَةَ وَتَنَكَّبَتْ عَنْهُ الشَّيَاطِينُ (أَيْ تَبَاعَدَتْ عَنْهُ) وَاتَّسَعَ عَلَى أَهْلِهِ وَكَثُرَ خَيْرُهُ وَقَلَّ شَرُّهُ وَإِنَّ البَيْتَ إِذَا لَـمْ يُقْرَأْ فِيهِ القُرْآنُ حَضَرَتْهُ الشَّيَاطِينُ وَتَنَكَّبَتْ (أَيْ تَبَاعَدَتْ) عَنْهُ المَلاَئِكَةُ وَضَاقَ عَلَى أَهْلِهِ وَقَلَّ خَيْرُهُ وَكَثُرَ شَرُّهُ
Yang bermaksud, Rumah yang dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi para syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan adapun rumah yang tidak dibaca al-Quran di dalamnya dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat, tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.
Mendekatkan Anak Dengan Masjid
Masjid dalam Islam memainkan peranan yang sangat penting untuk pembentukan diri seorang muslim dan juga membina masyarakat Islam. Bagi masyarakat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah saw ketika di Madinah, masjid adalah tempat memupuk peribadi-peribadi muslim dan muslimat sehingga ia cukup kuat dan tahan untuk menjadi asas dan bahan dalam membina masyarakat Islam yang padu dan kuat. Dari aspek apa pun ditafsirkan, langkah dan tindakkan Rasulullah saw itu ternyata bahawa masjid merupakan kilang memproses, mendidik serta membentuk teras-teras dan asas-asas keperibadian muslim. Ini kerana daripada masjid inilah lahirnya graduan-graduan para sahabat yang memiliki keperibadian yang teguh dan utuh dengan ketaqwaan, keberanian, keilmuan dan amalan untuk menegakkan negara Islam selepas wafatnya Rasulullah saw.
Didikan Rohani Dengan Berzikir (mengingati) Allah.
Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum-hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan: dan bersyukurlah kamu kepada Aku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). [6]
FirmanNya lagi,
Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan dan sebutan yang sebanyak-banyaknya. [7]
Zikir ialah menyebut dan mengingat Allah dalam semua keadaan sama ada melalui akal, hati, lisan dan perbuatan. Sesungguhnya kedamaian jiwa dan kesejahteraan hati serta kelapangan dada adalah merupakan sebesar-besar kebahagiaan di dunia ini. Meskipun terdapat pelbagai pendapat mengenai konsep kebahagian namun pada realitinya ia mendustai segala pengertian kebahagiaan yang diangan-angankan pada harta, pangkat dan kedudukan selagi ia tidak dibina atas ketaatan kepada Allah dan mengikut Rasulullah. Allah swt menerangkan bahawa kedamaian itu bergantung kepada mengingatiNya Yang Maha Agung. FirmanNya,
Yang bermaksud, (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. [8]
Dengan mengingati Allah, diharap akan menjadikan iman kita bertambah serta meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya. FirmanNya,
Yang bermaksud, Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jua berserah. [9]
PENDIDIKAN ANAK MELALUI SOLAT
Firman Allah,
Yang bermaksud, Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. [10]
Firman Allah mengenai nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya,
Yang bermaksud, “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala’ bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. [11]
عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ.
Yang bermaksud, Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah saw: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.
Di dalam hadith ini dinyatakan tiga perkara yang perlu dilakukan sebagai didikan awal kepada anak-anak iaitu:
i. Perintah mendirikan solat ketika berumur tujuh tahun.
Menurut al-Syeikh ‘Izzuddin ‘Abdul Salam, lafaz perintah di sini ditujukan kepada ibu bapa. Mereka hendaklah menyuruh anak-anak mereka supaya mendirikan solat setelah mengajarnya dengan syarat dan rukun-rukun solat, sama ada ibu bapa itu sendiri mengajarnya atau dengan mengupah orang lain untuk mengajarnya. Secara asasnya, pembentukkan sahsiah anak-anak dipengaruhi pada dua keadaan:
Pertama: Pendidikan dalaman iaitu rumah ibu bapa itu sendiri sebagai sekolah dan medan tarbiyah.
Kedua: Pendidikan luaran seperti masjid, surau dan sekolah-sekolah yang disediakan oleh kerajaan.
Justeru, Islam mewajibkan ibu bapa supaya melakukan contoh yang terpuji, berbudi pekerti dan peribadi yang terpilih di hadapan anak-anak. Perkara ini amat penting bagi mereka kerana anak akan mengikut dan bertabiat sepertimana apa yang dia lihat, sama ada mengikutinya dengan sengaja atau tanpa disedari. Begitu jugalah hal keadaannya di sekolah iaitu guru-guru. Ini kerana mengikut pandangan murid-murid, peribadi guru merupakan peribadi sejati dan mereka juga banyak menghabiskan masa bersama guru.
Oleh itu, perlulah guru bersikap mulia terutama di hadapan murid-muridnya supaya tidak berlaku sepertimana pepatah melayu “Cikgu kencing berdiri, anak murid kencing berlari”.
Selain itu, Islam menggalakan kita segera mendidik anak-anak di usia muda sebelum mereka disibukkan dengan pekerjaan. Sebagai contoh Imam al-Syafi‘i telah menghafaz al-Quran ketika berumur tujuh tahun, menghafal kitab al-Muatta’ ( الموطاء ) ketika berumur sebelas tahun dan mempu memberi fatwa apabila berumur lima belas tahun. Diceritakan Sufian bin ‘Uyainah apabila ditanya tentang fatwa atau tafsir maka beliau menghampiri Imam al-Syafi‘i lalu berkata: “Kamu tanyalah kepada budak ini”.
Di dalam hadith ini, dijelaskan agar kita menyuruh anak kita mendirikan solat. Melalui solat, kita diajar untuk menghargai nilai waktu dan masa. Kita akan menggunakannya dengan aktiviti yang berfaedah dan tidak mensia-siakannya. Allah berfirman mengenai waktu dan masa,
Yang bermaksud, Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. [12]
Justeru, Islam sangat mementingkan waktu kerana waktu menjadi hitungan bagi seluruh manusia. Setiap waktu yang berlalu dan pergi itu tidak akan kembali lagi. Harga satu waktu itu tidak boleh dicari ganti lagi. Ibadah-ibadah di dalam Islam juga adalah mengikut waktu yang tertentu berdasarkan kepada pusingan hari dan musim mengikut peredaran matahari dan bulan. Solat lima waktu sehari semalam adalah difardhukan mengikut waktu-waktunya yang tertentu. Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [13]
Ianya tidak boleh diubah sama sekali atau tukar ganti dengan waktu yang lain. Setiap waktu dan bahagiannya pula ada pelbagai kelebihan. Islam mengiktiraf keistimewaan solat di awal waktu. Di sisi Islam solat di awal waktu memang digalakkan kerana menunjukkan kesegeraan menunaikan tanggungjawab tanpa menglengah-lengahkan dan menangguh-menangguhnya.
ii. Pukul jika meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun.
Konsep balasan kepada kesalahan yang dilakukan oleh anak. Sehubungan dengan itu, kita harus mendenda anak sekiranya mereka cuai atau melakukan kesalahan. Berdasarkan ini, Islam mengharuskan kita memukul atau merotan anak sekiranya mereka meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun. Pada usia ini ada antara anak kita yang telah mencapai umur baligh atau hampir baligh iaitu usia taklif. Akan tetapi apa yang diharuskan itu mestilah satu perkara yang munasabah.
Selain ibu bapa, para guru juga diharuskan mendenda atau merotan anak muridnya yang cuai atau melakukan kesalahan. Walau bagaimana pun janganlah terlalu mudah untuk mengenakan denda atau rotan tanpa cuba memperbaiki atau memperbetulkannya terlebih dahulu dengan pelbagai cara yang lain seperti nasihat. Perkara ini penting dilakukan bagi tujuan menanamkan perasaan pada anak bahawa denda atau rotan itu bertujuan untuk menghentikan mereka daripada melakukan kesalahan berulang-kali untuk kepentingan diri mereka sendiri. Lantaran, Islam lebih menggalakkan kita berlemah-lembut dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak agar matlamat mendidik anak-anak tersebut tercapai dan tidak menganggu perkembangan psikologi mereka. Contoh pendekatan Rasulullah saw dalam mendidik anak:
عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: مَرَبِّي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا مُضْطَجِعَةٌ مُتَصَبِّحَةٌ فَحَرَّكَنِي بِرِجْلِهِ ثُمَّ قَالَ: يَا بُنَيَّةَ قُومِي اشْهَدِي رِزْقَ رَبِّكِ، وَلاَ تَكُونِي مِنَ الغاَفِلِينَ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقْسِمُ أَرْزَقَ النَّاسِ مَا بَيْنَ طُلُوعِ الفَجْرِ إِلَى طُلُوعِ الشَّمْسِ.[14]
Yang bermaksud, Daripada Fatimah binti Muhammad saw r.a berkata: Rasulullah selalu datang menghampiriku pada waktu subuh sedang aku nyenyak tidur maka Baginda menggerakkan aku supaya bangun dengan lbu jari kakinya sambil Baginda bersabda: Wahai anakku Fatimah, hendaklah anakanda bangun segera lihat rezeki daripada Tuhan anakanda dan janganlah anakanda menjadi orang yang pemalas. Hendaklah anakanda mengetahui Tuhan telah menetap pemberian rezekiNya kepada seluruh umat manusia di antara terbit fajar sehingga terbit matahari.
Hadith yang lain,
وَقَدْ كَانَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُ أَصْحَابَهُ أَنْ يُعَامِلُوا أَوْلاَدَهُمْ بِالرِّفْقِ وَاللَّيْنِ، وَيَضْرِبُ لَهُمُ المَثَلَ بِمَا يُمَارِسُهُ هُوَ بِنَفْسِهِ، فَقَدْ كَانَ يُصَلِّى يَوْمًا إِمَامًا، فَارْتَحَلَهُ الحَسَنُ ابْنُ بِنْتِهِ السَّـيِّدَةِ فَاطِمَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا، فَأَطَالَ السُّجُودَ، فَلَمَّا فَرَغَ قَالَتِ الصَّحَابَةُ، يَا رَسُولَ الله! أَطَلْتَ السُّجُودَ؟ فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِنَّ ابْنِي ارْتَحَلَنِي فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ.
Yang bermaksud, Baginda Rasulullah saw telah mengajar sahabat-sahabat Baginda bagaimana cara melayan anak-anak dan cucu-cucu mereka dengan lemah lembut dan Baginda sendiri telah menunjukkan sebaik-baik contoh sebagaimana yang diceritakan bahawa Baginda Rasulullah solat berjemaah di masjid dan Baginda sendiri menjadi Imam. Tiba-tiba cucunya yang bernama Hassan memaut leher Baginda ketika Baginda sedang sujud menunaikan solat. Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan memanjangkan sujudnya ketika itu. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya: Engkau memanjangkan sujud?. Jawab Rasulullah saw: Cucuku sedang menunggangku maka aku tidak sampai hati tidak menyampaikan kehendaknya.
Hadith lain pula,
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ، مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْـبَهَ سِمْتًا وَلاَ هَدْيًا بِرَسُولِ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَضِيَ اللهُ عَنْهَا، كَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ إِلَيْهَا فَقَبـَّلَهَا وَأَجْلَسَهَا فِي مَجْلِسِهِ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا قَامَتْ مِنْ مَجْلِسِهَا فَقَـبَّلَتْهُ وَأَجْلَسَتْهُ فِي مَجْلِسِهَا.[15]
Yang bermaksud, Daripada ‘Aishah telah berkata: Belum pernah aku melihat seorang pun menyamai Rasulullah saw di dalam ketenangan dan keraiannya yang mana Siti Fatimah binti Rasulullah saw ketika dia masuk berjumpa Nabi saw maka Rasulullah saw pun bangun dan memeluknya serta mempersilakan dia duduk di majlisnya. Begitu juga apabila Baginda masuk berjumpa Fatimah r.a, kemudian dia (Fatimah r.a) bangun dan memeluk Rasulullah saw serta mempersilakan duduk di majlisnya.
iii. Memisahkan tempat tidur mereka.
Anak-anak yang berumur sepuluh tahun wajib disediakan tempat tidur yang berasingan antara adik beradik lelaki dengan perempuan. Ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada mereka tentang adab-adab pergulan dan batasan aurat.
Selain anak-anak yang mencapai umur sepuluh tahun perlu dididik dengan adab-adab meminta izin memasuki bilik ibu bapa ( الإستئذان ) sebagaimana firman Allah,
Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepadakamu (sebelum masuk ketempat kamu) dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengahari, dan sesudah sembahyang isya`; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatnya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya(yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi MahaBijaksana. [16]
Berdasarkan ayat di atas tadi, anak-anak atau hamba hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada ibu bapa untuk memasuki bilik mereka pada tiga waktu ini:
1. Sebelum Solat Subuh.
2. Ketika kita menanggalkan pakaian akibat kepanasan tengah hari. Iaitu ketika kita hendak tidur pada waktu Zuhur atau waktu Qailulah.
3. Selepas waktu Isya’.
Ini bertujuan untuk menjaga aurat ibu bapa yang terbuka ketika mereka tidur agar tidak dilihat oleh anak-anak.
KELEBIHAN SOLAT[17].
Allah swt memberi kelebihan dan kemuliaan kepada Umat Muhammad yang menunaikan solat dan memeliharanya. Di sini disebutkan beberapa kelebihan-kelebihan tersebut:
Kelebihan Solat
1. Solat dapat menghapuskan dosa.
Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang itu) menghapus perbuatan-perbuatan yang buruk (dosa). Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.[18]
Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a katanya:
سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ مِنْهُ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ، هَلْ يَـبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَيْءٌ؟ قَالُوا: لاَ يَـبْقَى دَرَنِهِ-أَيْ وَسَخِهِ- شَيْءٌ فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فَكَذَلِكَ الصَّلَوَاتُ الخَمْسُ يَمْحُو اللهُ بِهِنَّ الخَطَايَا-الصَّغَائِرَ.
Yang bermaksud, Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: Sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan rumah salah seorang daripada kamu, lalu kamu mandi di sungai itu 5 kali setiap hari, adakah masih kekal kekotoran di badan kamu? Mereka (para sahabat) menjawab: Tidak ada kekotoran yang kekal. Sabda Rasulullah saw lagi: Begitulah juga solat lima waktu, Allah swt menghapuskan dengannya dosa-dosa iaitu dosa-dosa kecil.
2. Sesungguhnya solat itu meningkatkan darjat/kedudukan.
Hadith riwayat Ibnu Majah dengan sanad yang sahih, daripada ‘Ubadah bin Somit r.a bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda,
مَا مِنْ عَبْد يَسْجُدُ لِلّهِ سَجْدَةً إِلاَّ كَتَبَ اللهُ بِهَا حَسَنَةً وَمَحَا عَنْهُ بِهَا سَيِّئَةً وَرَفَعَ لَهُ بِهَا دَرَجَةً فَاسْتَكْثِرُوا مِنَ السُّجُودِ.
Yang bermaksud, Setiap sujud seseorang hamba itu akan dikurniakan oleh Allah satu kebaikan dan dihapuskan satu kesalahan serta diangkat untuknya satu darjat. Oleh itu, perbanyakkanlah sujud.
3. Solat itu adalah sebagai penawar bagi diri dan roh.
Hadith riwayat Ahmad, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda,
إِنَّ فِي الصَّلاَةِ شِفَاءً
Yang bermaksud, Sesungguhnya di dalam solat itu ubat (penyembuhan)
4. Solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.
Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang telah diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun). Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. [19]
Allah swt telah memerintah supaya mendirikan solat dan juga telah menerangkan kesan solat kepada mereka yang mendirikannya. Solat itu mencegah perbuatan keji iaitu perbuatan yang haram dan kata-kata mungkar. Perbuatan yang keji dan perkataan yang mungkar, kedua-duanya menghasilkan dosa.
5. Solat itu memelihara diri daripada sifat-sifat yang tercela.
Yang bermaksud, Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiat resah-gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan dia sangat resah-gelisah, dan apabila dia beroleh kesenangan ia sangat bakhil kedekut kecuali orang-orang yang mendirikan solat, iaitu mereka itu sentiasa mendirikan solat. [20]
Ini bermakna apabila manusia ditimpa kesusahan dia merasa sangat resah-gelisah dan bosan sedangkan apabila dia mendapat kebaikan daripada Allah swt dia menjadi bakhil dan kikir serta tidak melaksanakan hak Allah swt.
Seseorang itu tidak akan terlepas daripada sifat-sifat yang tercela itu melainkan mereka sentiasa mengerjakan solat pada waktunya kerana solat mampu mengubah tabiat buruk mereka kepada tabiat yang baik dan kepada keadaan yang lebih sempurna serta utama.
6. Sesungguhnya solat itu mendekatkan diri kita dengan Allah.
Firman Allah swt,
Yang bermaksud, Sujudlah dan dampingilah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal saleh) [21].
Hadith Nabi saw, yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada Abu Hurairah,
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَقْرَبُ مَا يَكُونُ العَبْدُ مِنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَهُوَ سَاجِدٌ، فَاكْثِرُوا الدُّعَاءَ.
Yang bermaksud, Rasulullah saw bersabda: Detik yang paling hampir seseorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.
7. Antara keistimewaan solat bagi mereka yang mendirikannya ialah solat sebagai satu persediaan yang kukuh untuk melihat Rabbil ‘Izzati ‘Azza wa Jalla.
Jarir r.a menceritakan bahawa kami pernah bersama Rasulullah saw pada suatu malam melihat bulan dan di dalam riwayat lain menyebut “bulan purnama”. Rasulullah saw bersabda,
إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا القَمَرَ، لاَ تُضَامُونَ فِي رُؤْيَتِهِ. فَإِنِ اسْتَطَعْـتُمْ أَنْ لاَ تُغْلَبُوا عَلَى صَلاَةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا.
Yang bermaksud, Sesungguhnya kamu akan dapat melihat Rabbil ‘Izzati seperti mana kamu melihat bulan ini tanpa ada apa-apa halangan untuk melihatnya. Justeru berusahalah kamu supaya tidak terlalai solat sampai terbit matahari dan terbenamnya.
Al-Khattab menjelaskan bahawa hadith di atas menunjukkan orang yang menjaga dua solat iaitu solat ‘Asar dan solat Subuh akan beroleh ganjaran melihat wajah Allah ‘Azza wa Jalla.
Kelebihan Solat Berjemaah
Solat adalah asas akhlak yang baik. Manakala solat berjemaah pula merupakan satu cara dan disiplin yang efektif untuk ikatan kemasyarakatan, berkasih sayang sesama manusia dan bersatu tenaga untuk menyelesaikan pelbagai masalah.
Ganjaran besar yang dikurniakan oleh Allah terhadap pelaksanaan solat berjemaah adalah petanda yang nyata bahawa Umat Muhammad ialah umat yang istimewa. Di sini disebutkan antara kelebihan solat berjemaah:
1. Mendapat 27 darjat.
Pahala solat berjemaah dinyatakan oleh hadith daripada Ibnu ‘Umar r.a,
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: صَلاَةُ الجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرْجَةً وَفِي رِوَايَةٍ بِخَمْسٍ وَعِشْرِينَ دَرْجَةً.
Yang bermaksud, Pahala solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat-dalam riwayat yang lain disebut-dengan 25 darjat.
Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa perbezaan pahala solat berjemaah yang dinyatakan oleh hadith tersebut adalah bergantung kepada orang yang melakukan solat serta sifat solat itu sendiri. Oleh kerana itulah dalam keadan tertentu ia dikurniakan pahala 27 darjat sedang dalam keadaan yang lain 25 darjat. Hal ini juga bergantung atas kesempurnaan solat itu, ketelitiannya, khusyuk, bilangan jemaahnya serta dimanakah tempatnya solat itu didirikan.
2. Orang yang memelihara solat berjemaah akan mendapat dua ganjaran. Pertama: Bebas dan selamat daripada siksa api neraka. Kedua: Terhindar daripada sifat munafiq, ragu terhadap adab-adab Islam, hati yang keji dan tidak ikhlas terhadap Allah swt serta lemah pancaran cahaya iman daripada menerangi kehidupan. Oleh itu, akan lahirlah segala bentuk kekejian, menganggap ringan dosa besar apatah lagi dosa kecil. Daripada Anas r.a berkata,
قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ صَلَّى لِلّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ، يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الأُوْلَى كَتَبَ لَهُ بَرَاءَتَانِ: بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنَ النِّفَاقِ.
Yang bermaksud, Rasulullah saw bersabda: Sesiapa yang bersolat secara berjemaah serta sempat bersama imam pada takbir yang pertama selama 40 hari, maka Allah akan menetapkan untuknya dua keselamatan, pertama, selamat daripada api neraka, kedua, selamat daripada menjadi seorang munafiq.
3. Menghilangkan was-was dan terpelihara daripada syaitan.
Solat berjemaah boleh menghilangkan was-was dan terpelihara daripada syaitan. Golongan yang tidak solat berjemaah akan dikalahkan oleh syaitan. Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, dan al-Nasa‘I, daripada Abu Darda’ r.a berkata,
سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَا مِنْ ثَلاَثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلاَ بَدْوٍ لاَ تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلاَةُ إِلاَّ وَقَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِم الشَّيْطَانُ فَعَلَيْكُمْ بِالجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ مِنَ الغَنَمِ القَاصِيَةَ.
Yang bermaksud, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Jika ada tiga orang dalam satu Qariah atau satu kampung, tidak mendirikan solat berjemaah, mereka akan dikalahkan oleh syaitan. Oleh itu, kamu hendaklah kamu berjemaah. Sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang terpencil (bersendirian).
KESIMPULAN
Solat dalam Islam merupakan salah satu cara pendidikan akhlak atau peribadi serta membaiki cara hidup seseorang. Anak-anak hari ini adalah harapan bangsa akan datang. Mendidik anak-anak melakukan ibadah solat kemudian diikuti dengan ibadah-ibadah serta perkara-perkara kebaikan yang lain supaya dapat membentuk satu jiwa yang beragama untuk mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat. Ini bertepatan dengan firman Allah swt,
Yang bermaksud, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun). Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar. [22]
Semoga pendedahan sebegini akan menyelamatkan kita daripada melahirkan generasi yang meninggalkan solat lantas menurut hawa nafsu serta melakukan kerosakan dan kejahatan sebagaimana firman Allah,
Yang bermaksud, Kemudian mereka diganti oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). [23]
Ó Kertas ini dibentangkan di dalam Seminar Kebangsaan Menghayati Ajaran Islam: Sembahyang Kewajipan Asasi, Tahun 1427H/2006 M, di Sutera Hall, Center Point Hotel, Bandar Seri Begawan, 22hb Ogos-23hb Ogos 2006, anjuran Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.
[1] Ihya’ Ulum al-Din, al-Imam Abi Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, Darul ‘Ilmiyah, Kitab Adab al-Nikah, Jld. 2 hlmn 24.
[2] (At-Tahrim 006)
[3] Tarbiah al-Aulad fi al-Islam, Abdullah Nasih ‘Alwan, Darussalam, bab al-Ribat al-Ruhi, Jld. 2.
[4] ‘Aun al-Ma‘bud Syarh Sunan Abi Daud, Sidqi Muhammad Jamil al-‘Attar, Darul Fikr, Bab Mata Yukmaru al-Ghulam bi al-Salah, Jld. 2 hlmn 123.
[5] Riwayat Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir
[6] (Al-Baqarah 152)
[7] (Al-Ahzab 041)
[8] (Ar-Ra’d 028)
[9] (Al-Anfal 002)
[10] (Ta-Ha 132)
[11] (Luqman 017)
[12] (Al-‘Asr 001-003)
[13] (An-Nisaa 103)
[14] Riwayat al-Baihaqi
[15] Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasi‘ie, al-Tirmizi.
[16] (An-Nur 058-059)
[17] Keistimewaan Umat Muhammad, Syed Muhammad bin Syed Alawi, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan darul Khusus.
[18] (Hud 114)
[19] (Al-‘Ankabut 045)
[20] (Al-Ma’arij 019-023)
[21] (Al-‘Alaq 019)
[22] (Al-‘Ankabut 045)
[23] (Maryam 059)