PERSEDIAAN UNTUK MENANGANI AJARAN MENYELEWENG/SESAT
PERSEDIAAN UNTUK MENANGANI
AJARAN MENYELEWENG/SESATã
Oleh : Y.B S.S Dato’ Hj.Mohd Murtadza bin Hj. Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri
Negeri Sembilan Darul Khusus
MUQADDIMAH
Timbulnya ajaran-ajaran sesat dan amalan-amalan sesat di dalam masyarakat Islam di Malaysia bukanlah perkara baru dan tidak disedari tetapi kadang-kadang ajaran-ajaran sesat itu tidak dapat dikatakan sesat keseluruhannya kerana ada bercampur aduk di antara yang salah dan yang benar. Yang paling rumit dan kritikal sekali ialah di dalam ajaran-ajaran berkenaan dikatakan betul oleh satu golongan dan dikatakan salah oleh satu golong yang lain. Namun begitu masalah perselisihan pendapat ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor:
Pertama: Orang yang memperkatakan tentang ajaran itu mempunyai sikap dan niat tertentu.
Kedua: Mereka yang cuba menilai ajaran itu tidak mengetahui betul-betul kandungan ajaran berkenaan.
Ketiga: Aliran atau ajaran dari kumpulan berkenaan mempunyai cara-cara pengajarannya mengikut peringkat-peringkat tertentu seperti di peringkat awal menonjolkan kebenaran tetapi di akhirnya mengandungi ajaran dan kepercayaan yang mengelirukan bahkan ada beberapa unsur-unsur yang menyeleweng daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Keempat: Ajaran-ajaran berkenaan kebanyakkannya tidak disebarkan secara terbuka. Oleh itu, ia tidak dapat dibincang dan dinilai oleh umum secara terus ataupun terperinci.
Sehingga kini hampir setiap buah negeri di Malaysia ini terdapat ajaran-ajaran yang disebarkan secara senyap-senyap. Sebahagian kumpulan ajaran sesat ini yang didalangi oleh sesetengah individu atau puak tertentu telah berjaya bertapak dan mendapat sambutan daripada sesetengah golongan yang jahil setelah melakukan dakyah secara rahsia. Pelbagai bentuk ajaran-ajaran sesat telah menyerang negara ini sama ada yang berasal daripada dalam negeri atau luar negara. Kebanyakan kumpulan ajaran-ajaran itu mengheret pengikut-pengikutnya menyimpang daripada ajaran agama Islam tanpa mereka sedari. Memandangkan ancaman dan bahaya gerakan kumpulan ajaran sesat itu, maka pihak berkuasa agama negara dan negeri telah melakukan pelbagai usaha untuk menyelesaikan masalah yang besar ini.
TAKRIF AJARAN SESAT
Terdapat beberapa takrifan ajaran sesat:
i. Setiap ajaran, keyakinan atau amalan dan perbuatan yang dipegang atau dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa ianya berdasarkan ajaran Islam atau tidak bertentangan dengan ajaran Islam, sedangkan ianya adalah berlawanan, sebahagian atau seluruhnya, dengan ajaran Islam.
ii. Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada Islam yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Secara dasarnya, bolehlah dirumuskan bahawa ajaran salah dan sesat ini biasanya ditujukan kepada penyelewengan di dalam syariah dan aqidah.
BENTUK AJARAN SESAT
Bentuk ajaran sesat yang terdapat di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga bentuk:
i. Bentuk Ajaran Baru.
Ajaran bentuk ini biasanya lahir melalui ajaran-ajaran yang direka atau dicipta oleh guru atau penganjur ajaran sesat yang menggunakan berbagai-bagai nama seperti ajaran Ilmu Hakikat Jahar Dumin pada tahun 1995 di Selangor.
ii. Bentuk Tariqat.
Ajaran bentuk tariqat ini biasanya menggunakan nama-nama tariqat yang termasyhur. Melalui bentuk ini guru-gurunya menggunakan bentuk amalan yang berbeza dengan yang asal atau ianya diubahsuai.
iii. Bentuk Keperayaan dan Amalan Tradisi.
Bentuk ini lumrahnya diamalkan oleh orang yang dianggap wali, kepercayaan kepada dukun-dukun, pawang dan bomoh atau pembawa ilmu tertentu sama ada melalui menurun dan sebagainya.
PERSEDIAAN MENANGANI AJARAN MENYELEWENG/SESAT
- IMAN ASAS KUALITI INSAN
Iman mempunyai kaitan yang padu dengan kualiti insan. Ia adalah asas atau permulaan bagi setiap perilaku dan tindakan manusia yang akan menghasilkan kesempurnaan seseorang yang benar-benar bersyahadah dengan keimanannya. Oleh kerana itulah al-Quran tidak memisahkan antara iman dan amal seseorang itu. Firman Allah swt,
Yang Bermaksud, Sesungguhnya orang- orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). [1]
Melalui konsep iman, tunggak kekuatan seseorang muslim akan menjadi teguh, berupaya melaksanakan titah perintah Allah, meninggalkan segala larangan dengan cekal hati, mampu menghindari belenggu kejahilan dan penyelewengan.
Melalui iman juga manusia akan terselamat daripada sebarang ancaman sama ada yang datang dari luar mahupun runtunan hawa nafsuyang muncul dari dalam diri. Mereka tidak akan tunduk kepada ancaman-ancaman tersebut kerana telah dibentengi oleh iman yang teguh. Beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya akan memberi kepuasan dan kebersihan hati dan fikiran. Ia akan melahirkan sifat taqwa dan dapat memandu seseorang itu menjalani kehidupan ini dengan mengikut jalan yang lurus, dapat mengawal daripada segala macam kelemahan kemungkaran dan penyelewengan serta dapat mengeluarkan dirinya daripada segala perkara yang menyusahkan. Firman Allah swt,
Yang bermaksud, …Dan (ingatlah!) sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah memudahkan baginya segala urusan. [2]
Dengan iman, seseorang itu akan dapat mengenal dan membezakan antara yang benar dengan yang salah dan tidak mudah terpengaruh serta terikut dakyah penyelewengan yang disampaikan kepada mereka.
- SYARIAH ASAS SETIAP AJARAN
Ukuran yang tepat untuk memastikan sesuatu ajaran, pemikiran, istiadat dan tindakan itu salah atau benar, sesat atau batin, sesuai atau bercanggah dengan Islam ialah sejauh mana ianya bersesuaian dan serasi dengan Islam, sejauh mana ianya bertepatan dengan kehendak syariah dan mutabaqah ( مطابقة ) dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Pada kebiasaannya ajaran salah atau sesat ini dihubungkan dengan perjalanan tasawwuf dan tariqat demi untuk menarik minat masyarakat Islam. Jika diperhatikan dengan teliti berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap beberapa ajaran salah dan sesat, ternyata ianya terpengaruh oleh ajaran batiniah yang cuba meruntuhkan Islam dan aqidahnya, menggugurkan taklif dan syarak, menafikan Muhammad Rasulullah saw dan syariat, dengan mendakwa kesempurnaan dirinya kerana adanya ‘hakikat Muhammad yang batin’ dalam dirinya. Ada yang menafikan ketuhanan Allah dengan idea bertuhankan diri sendiri dengan mengaku dirinya tuhan bertujuan untuk membebaskan diri dari larangan dan ikutan syarak supaya dapat mengamalkan kepuasan hawa nafsu terutama berhubung tentang seks dan wang. Demikianlah inti pati ajaran batiniah yang banyak mempengaruhi ajaran sesat di negara ini.
Di dalam hubungan ini, ulamak sufiah telah menegaskan bahawa jika kamu melihat seseorang berjalan di atas air sedangkan dia melakukan larangan dan tegahan syarak, ketahuilah bahawa dia adalah syaitan. Kata-kata ini dibenarkan oleh Imam al-Ghazali.
Menurut al-Syeikh Ahmad Fathullah Jamiy[3], apa yang dituntut pada setiap orang mukmin ialah berpegang dengan syariah. Manakala tariqat itu sebahagian daripada syariat. Beliau menegaskan lagi, syariat itu adalah asal dan tariqat cabang baginya, hakikat pula gabungan antara syariat dan tarikat.
- WADAH ISLAM MENGHAPUSKAN KEJAHILAN
Mencari dan menuntut ilmu pengetahuan adalah suruhan yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu muslim. Seseorang yang jahil tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan. Kebenaran dan kebatilan amat berbeza. Untuk mengenalpasti mengenainya, seseorang itu mesti mempunyai ilmu dan menghayati kebenaran itu. Di samping dapat mengenalpasti kebenaran, seseorang itu hendaklah juga mengetahui ciri-ciri kesesatan supaya tidak tergelincir ke dalamnya.
Allah swt telah menyatakan Islam sebagai agama kebenaran, jalan yang lurus dan jalan yang boleh menyampaikan kepada keredhaan-Nya. Jalan ini mestilah dilalui oleh setiap hamba Allah yang ingin mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Allah juga menerangkan bahawa selain Islam, semua jalan lain adalah sesat belaka dan membawa kecelakaan di dunia dan di akhirat. Bagi membezakan antara jalan yang benar dan sesat ini, seseorang itu hendaklah melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan dan mengkaji mengenainya dengan penuh keinsafan.
Baginda Rasulullah saw telah mengajarkan umatnya satu doa supaya menetapkan hati dan pegangan terhadap ajaran Islam dan menjauhi diri dari kesesatan. Doa baginda Rasulullah,
اللهم ثبت قلبي على دينك وعلى طاعتك
Yang bermaksud, wahai tuhanku tetapkanlah hatiku di atas agama mu dan ketaatan kepadamu.
Dalam hal ini, ilmu yang benar adalah penting untuk diikuti bukan yang mengelirukan dan bukan meragukan. Pengertian ilmu dalam konteks ini dijelaskan oleh imam al-Ghazali sebagai berikut :
“Ilmu yang sesungguhnya ialah tersingkapnya sesuatu yang jelas, sehingga tidak ada lagi ruang untuk ragu-ragu, tidak mungkin salah atau keliru; tidak ada tempat di hati untuk itu. Keimanan dari bahaya salah atau keliru harus diperkuat dengan keyakinan demikian rupa sehingga andaikata disangkal oleh seorang yang mempunyai kesaktian, yang misalnya dapat merubah tongkat menjadi ular, namun demikian itu tidak akan menimbulkan ragu-ragu sedikitpun juga terhadap keyakinan tadi. Apa yang diketahui, bila tidak seyakin itu maka yang demikian bukanlah ilmu yang patut menjadi pegangan dan tidak ada rasa aman di dalamnya. Dan setiap ilmu yang tidak memberi rasa aman bukanlah ilmu yang yakin.
- PENDEKATAN UNDANG-UNDANG
Usaha untuk membasmi dan membanteras ajaran sesat adalah satu usaha berterusan yang telah dipelopori oleh generasi awal islam, para ulama dan diteruskan oleh pihak berkuasa agama negara dan negeri sehingga kini jika dahulu para ulama seperti Imam Al-Ghazali berusaha mempertahankan aqidah Islam daripada dipengaruhi oleh pemikiran falsafah Greek melalui kitabnya al–Munqiz min dhalan dan Tuhufatul al-Falasafah. Maka kini digubal undang-undang bagi membanteras penyelewengan akidah yang sedang berlaku. Pemikiran-pemikiran Muktazilah, Qadariah dan penyelewengan akidah lain yang berlaku dahulu, sebenarnya kini masih berleluasa di dalam masyarakat dalam bentuk yang baru, ia perlu ditangani dengan dakwah dan penerangan mengenai aqidah Islam yang sebenar.
Dalam keadaan tertentu tindakan undang-undang perlu diambil terhadap golongan yang berdegil dan masih mengamalkan akidah Islam yang menyeleweng. Usaha untuk menjaga keharmonian akidah Islam adalah satu usaha yang perlu di jalankan dengan penuh rasa tanggungjawab dan bukannya sekadar untuk memenuhi kehendak undang-undang sahaja. Tidak dapat di nafikan bahawa pengamal–pengamal ajaran sesat boleh di dakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah yang boleh dijatuhkan hukuman jika disabitkan kesalahannya. Apa yang lebih penting ialah di dalam undang-undang berkaitan dengan ajaran sesat bagaimana ia boleh digunakan bagi memberi peluang kepada mereka yang telah tersesat kembali ke pangkal jalan. Ia bukan mengutamakan hukuman kepada pesalah tetapi yang lebih mustahak umat Islam tidak terpengaruh dan dipengaruhi oleh ajaran sesat tersebut dan mereka yang telah terlibat akan bertaubat oleh sebab itu para pegawai penguatkuasa agama dan pegawai pejabat agama yang lain seharusnya berusaha di dalam tindakan mereka untuk memberi peluang kepada pengikut ajaran sesat untuk menyedari kesilapan mereka dan bertaubat. Dalam erti kata lain pendekatan ajaran sesat ini tidak boleh disamakan dengan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah yang lain seperti zina, minum minuman keras dan tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan.
KESIMPULAN
Dengan pembentangan yang ringkas ini, diharap dapat memberi input dan manfaat kepada kita untuk menangani ajaran yang menyeleweng yang berlaku dalam masyarakat.
ã Kertas ini dibentangkan di dalam Kursus Pemantapan Aqidah, di Palm Spring Golf Resort (MBI),Port Dickson pada 22hb Mei-24hb Mei 2006, anjuran Bahagian Penyelidikan JHEAINS.
[1] (Al-Hujurat 015)
[2] (At-Talaq 004)
[3] Kitab Sawanih Qalbiyyah, Ahmad Fathullah Jamiy, Dar al-Ghazali, cetakan kedua, 2002.