Anak luar nikah
Soalan:
Fatwa mengatakan hukum nikah dengan wanita hamil sah tetapi jika kelahiran bayi itu kurang daripada 6 bulan kandungan, bayi tersebut tidak boleh dinasabkan kepada suami ibunya walaupun beliau merupakan bapanya kalau mengikut secara biologinya.
Mohon penjelasan
Jawapan:
Para Fuqaha sepakat bahawa anak zina/anak luar nikah/anak tak sah taraf adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah. Oleh itu kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua-dua ibu bapanya.
Jumhur berpendapat anak yang tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya, walaupun setelah bapa biologinya itu berkahwin dengan ibunya. Ini memberikan implikasi daripada sudut penamaan, keturunan anak, pergaulan dalam keluarga, hadanah, nafkah, pusaka, wali, kematian, amal kebajikan, penghakiman hukum qisas dan hudud serta lain-lain lagi
Fatwa Negeri Sembilan
- Jika seorang bayi itu dilahirkan kurang 6 bulan daripada tarikh akad nikah maka anak tersebut haram dinasabkan kepadaa suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kelahiran anak tersebut.
- Seorang bayi yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan dan kurang daripada 4 tahun daripada tarikh tersebut diketahui dengan yakin atau berat zan bahawa kehamilan telah berlaku sebelum akad, atau suami tidak bersetubuh selepas akad atau tidak dimasukkan mani suaminya ke dalam rahim, maka anak tersebut haram dinasabkan kepada suami ibunya atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.
- Wajib bagi suami tersebut menafikan bayi berkenaan adalah anaknya.
4 Pihak berkuasa yang mendaftarkan kelahiran ditegah daripada membinkan atau membintikan mana-mana bayi di dalam perenggan (1) dan (2) kepada suami ibu bayi atau lelaki yang menyebabkan kehamilan ibunya yang melahirkan anak tersebut.