Hukum viral maklumat / berita
Soalan:
Apakah hukum maklumat/berita?
Jawapan:
Maklumat / berita boleh diklasifikasi kepada tiga
Pertama, berita daripada seorang yang jujur, harus diterima.
Kedua, berita daripada seorang pendusta, mesti ditolak.
Ketiga, berita daripada seorang yang fasik, perlukan penelitian akan kebenarannya.
Firman Allah, Yang bermaksud, Wahai orang-orang Yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah kebenarannya (kerana dikhuatiri) kamu akan menimpakan kepada suatu kaum (perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu sehingga menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal atas apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurat: 6)
Adalah dilarang dan tidak boleh menerima berita daripada seseorang yang tidak diketahui keperibadiannya kerana kemungkinan fasiknya sangat jelas. Selain sikap waspada dan tidak mudah percaya begitu saja terhadap sebuah informasi yang datang daripada seorang fasik, Allah juga mengingatkan sesiapapun agar tidak menyebarkan berita yang tidak jelas sumbernya sebelum jelas kedudukannya.
Allah swt berfirman, Yang bermaksud, Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir. (Surah Qaaf: 18).
Justeru, bagi menghapuskan penyebaran maklumat tidak tepat, pengguna media sosial perlu memastikan kesahihan sesuatu maklumat itu sebelum disebarkan kepada orang ramai. Kesahihan maklumat boleh diperoleh dengan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa, menghubungi sumber berita, menunggu kenyataan rasmi kerajaan dan menyemak laman web rasmi yang berkaitan. Langkah ini perlu diambil bagi menyekat dan seterusnya menghapuskan penyebaran maklumat palsu.
Wajib bagi seorang muslim untuk menjauhkan diri daripada menyebarkan berita-berita buruk terutama berita-berita yang memberi aib kepada orang lain dan haram hukumnya berbuat demikian. Terutama sekali berkaitan agama, hukum hakam atau hadis-hadis yang belum tentu sahih atau tepat. Al-quran telah memberi petunjuk dan panduan agar sesuatu berita itu terlebih dahulu diselidik. Berita dan perkara yang berkaitan dengan dasar dan pemerintahan sama ada berita yang menggembirakan atau yang menakutkan, maka kembalikan ia kepada ulil amri untuk disahkan.
Allah berfirman Yang bermaksud, Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita tentang keamanan atau ketakutan, mereka terus menghebah-hebahkannya; padahal kalau mereka mengembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya daripada mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, tentulah kamu menuruti syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya dalam kalangan antara kamu). (Surah an-Nisaa: 83)
Sebagai masyarakat berilmu, beragama dan berfikiran terbuka, mereka boleh menghentikan viral berita jika didapati sudah ditokok tambah dengan maklumat tidak betul, menghentikan penyebaran perkara yang bermatlamat mengaibkan individu lain, merosakkan integriti kerana ia boleh membawa perpecahan masyarakat. Tiada manfaat dan kebaikan jika ledakan maklumat berunsur fitnah dan hasutan bagi tujuan berbalah sesama sendiri. Rakyat perlu belajar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, berintegriti serta amanah kepada maklumat atau bahan yang disebarkan.