Kenan
Soalan:
Bolehkan saya(suami) membela ikan hiasan yang mempunyai rupa pelik( kepala besar, perut besar, mata besar) ketika isteri sedang hamil ??saya musykil sebab takut dikaitkan dengan kenan..terima kasih
Jawapan:
Harus memelihara haiwan ternakan atau hiasan dengan syarat kebajikan dan makan minumnya dijaga dengan baik.
Percaya kepada ‘kenan’ merupakan salah satu bentuk kepercayaan yang boleh membawa kepada syirik. Ia dikatakan syirik kerana terdapat keyakinan dalam hati terdapat kuasa lain yang dapat mempengaruhi kehidupannya seperti mengaitkan kecacatan dan kemudaratan yang dialami bayi disebabkan oleh binatang tersebut .
Umat Islam dilarang untuk menganggap sesuatu perkara atau makhluk lain boleh memberi keburukan, sial, nasib malang dan sebagainya. Hal ini bagi mengelakkan kita terjerumus dalam mensyirikkan Allah swt.
Sebaliknya kita hendaklah sentiasa bertawakal dan bersangka baik kepada Allah swt apabila berlaku sesuatu musibah, bukan menyalahkan perkara tertentu atau sesuatu itu pembawa malang atau sial. Berpegang teguhlah kepada kekuasaan Allah serta serahkanlah urusan sepenuhnya kepada Allah swt. Ingatlah firman-Nya:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
Maksudnya: “Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”
(Surah al-Talaq: 3)