KESILAPAN IMAM SEMASA SOLAT JUMAAT
Adalah dimaklumkan, pada Jumaat 26 April 2026, imam solat Jumaat kami telah melakukan kesilapan. Beliau telah membaca al-fatihah dan surah selepas itu secara israr dan tidak jahar seperti yang sepatutnya.
Ini telah menyebabkan reaksi kelam-kabut di kalangan makmum. Terdapat tiga jenis tindakan makmum.
1) Ada makmum yang membaca al-Fatihah dan terus mengikut imam sehingga selesai solat dua rakaat.
2) Ada makmum yang tidak membaca al-Fatihah dan terus mengikut imam sehingga selesai solat dua rakaat.
3) Ada makmum yang mufaraqah dan menggantikan solat Jumaat itu dengan solat zuhur (empat rakaat).
Mohon jasa baik pihak Dato’ untuk menerangkan kepada kami apa nasihat patut kami berikan kepada makmum berkenaaan sama mereka perlu qada atau sebagainya.
Jasa baik pihak Dato’ sangat kami hargai.
HJ SAMSUDIN ABDULLAH
Pengerusi,
Masjid Dato’ Penghulu Menteri Sungei Ujong Kuarters KLIA
Situasi makmum:-
1) Ada makmum yang membaca al-Fatihah dan terus mengikut imam sehingga selesai solat dua rakaat.
Sah solat makmum
2) Ada makmum yang tidak membaca al-Fatihah dan terus mengikut imam sehingga selesai solat dua rakaat.
Solat makmum tidak sah kerana mengikut mazhab Syafie wajib membaca al-Fatihah.
3) Ada makmum yang mufaraqah dan menggantikan solat Jumaat itu dengan solat zuhur (empat rakaat).
Solat makmum tidak sah kerana solat zuhur dilakukan sebelum solat Jumaat selesai.
Kesimpulannya makmum pada situasi 2 dan 3 wajib qada’ solat Jumaat tersebut dengan solat zuhur.
Keterangan:
Solat dari sudut kekuatan bacaannya dibahagikan kepada dua, iaitu:
- Solat yang dibaca surahnya dengan suara yang kuat (solatjahriah), iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak serta solat Jumaat.
- Solat yang dibaca surahnya dengan suara yang perlahan (solat sirriyyah) iaitu solat Zohor dan Asar.
Membaca al-Fatihah adalah rukun di dalam solat dan membacanya tidak terikat sama ada dibaca secara perlahan (sirr) ataupun kuat (jahar). Justeru, ia tidak menjejaskan sahnya solat jika seseorang itu membacanya secara sirr pada solat jahriyyah atau sebaliknya, walaupun dalam keadaan menjadi imam, kerana ia (bacaan secara sirr ataupun jahar) bukan rukun solat.
Adapun al-jahr wa al-israr (meninggikan dan memperlahankan suara), ia termasuk dalam perbuatan sunat haiah. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskannya dengan berkata:
فالسنة الجهر في ركعتي الصبح والمغرب والعشاء ، وفي صلاة الجمعة ، والإسرار في الظهر والعصر ، وثالثة المغرب والثالثة والرابعة من العشاء وهذا كله بإجماع المسلمين مع الأحاديث الصحيحة المتظاهرة على ذلك
Maksudnya: Disunatkan untuk meninggikan suara pada dua rakaat terawal solat Subuh, Maghrib, Isyak dan solat Jumaat. Manakala, sunat untuk memperlahankan suara bagi solat Zohor dan Asar serta rakaat ketiga dan keempat solat Maghrib dan Isyak. Hal ini berdasarkan ijma’ para ulama’ dan juga hadith-hadith yang sahih yang menunjukkan kepada perkara tersebut. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3:344)
Justeru, meninggalkan al-jahr dan al-israr (الجهر و الإسرار) tidak menjejaskan sahnya solat dan tidak perlu untuk sujud sahwi sama ada secara sengaja atau terlupa.
Jika imam hanya terlupa membaca surah al-Fatihah dengan suara yang kuat (jahar) dalam solat jahriyyah, ia tidak menjejaskan sahnya solat tersebut.
Hal ini kerana hukum membaca sirr atau jahar hanya sunat dan cara yang afdhal sahaja. Oleh itu, jika sekiranya imam terlupa ketika di awal surah dan belum tunduk untuk rukuk, maka hendaklah dia mengulanginya semula. Namun, jika imam sudah tunduk untuk rukuk, maka tidak perlu untuk bangkit mengulanginya kembali kerana dia sudah terlepas perkara tersebut dan dalam keadaan ini solatnya masih juga sah.
Hal ini seperti yang disebut di dalam kitab Hasyiah al-‘Adawiy ala’ syarh al-Khurasyi:
قَوْلُهُ: وَتَذَكَّرَ ذَلِكَ قَبْلَ الانْحِنَاء قَيَّدَ بِذَلِكَ؛ لِأَنَّهُ إِنَّمَا يُعِيدُ القِرَاءَةَ لِتَحْصِيلِ السِرِّ، أَو الجَهْر، إِذَا كَانَ قَبْلَ الانْحِنَاء. فَإِن انْحَنَى، فَاتَ
Maksudnya: Kata shaykh: “Seseorang imam tersebut teringat sebelum dia tunduk untuk rukuk.” Shaykh meletakkan qoid berikut kerana apabila imam mengulanginya kembali sebelum tunduk untuk rukuk, maka dia mendapatkan bacaan yang afdhal sama ada secara sirr atau jahar. Namun jika sekiranya imam sudah tunduk untuk rukuk, maka dia sudah terlepas perkara tersebut. (Rujuk Hasyiah al-‘Adawiy ala’ syarh al-Khurasyi, 2:34).






Users Today : 314
Users Yesterday : 71
Users Last 30 days : 7302
Users This Month : 5397
Users This Year : 5397