Setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2017-1438H yang bersidang pada 27 September 2017 bersamaan 7 Muharram 1439H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan berkenaan Fatwa terhadap Golongan AntiHadith dengan sighah seperti berikut :
(1) Kefahaman dan pengajaran menolak hadis adalah bercanggah dengan syariat Islam;
(2) Buku-buku seperti ini atau seumpamanya;
(a) Buku-
(i) “Hadis Satu Penilaian Semula”; dan
(ii)“Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, yang ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) Buku-
(i) “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu” dan
(ii) Hadith di dalam al-Quran”, yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman
(c) Buku- “Bacaan” yang ditulis oleh Othman Ali,
(d) Buku- “The Computer Speaks-God’s Message to The World” yang ditulis oleh Dr. Rashad
Khalifa; dan
(e) Risalah “Iqra” terbitan Jemaah al-Quran Malaysia.
(3) Oleh yang demikian-
(a) Mana-mana ajaran atau kumpulan orang yang berpegang pada ajaran-ajaran dan fahaman- fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah yang dinyatakan dalam perenggan (2) boleh menyebabkan terkeluar dari Islam;
(b) Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi penyebar aliran Antihadith adalah disifatkan bercanggah dengan syariat Islam;
(c) Mana-mana orang Islam, sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang menjadi ahli jamaah atau pengikut aliran Antihadith dengan berselindung di sebalik apa-apa nama, aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran Antihadith, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam;
(d) Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang cuba menyebarkan aliran Antihadith, sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan aliran Antihadith adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam;
(e) Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana aliran Antihadith atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran Antihadith adalah bercanggah dengan syariat Islam; atau
(f) Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan tokoh, aliran dan dakyah Antihadith atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur aliran dan dakyah Antihadith dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah dilarang.
(g) Mana-mana orang Islam atau kumpulan orang Islam yang telah melibatkan diri dengan kumpulan Antihadith sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (c) hendaklah bertaubat.
Proses pewartaan : Proses Warta