Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2014-1435H yang bersidang pada 20 Mac 2014 bersamaan 18 Jumada al-Ula 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan berkenaan Pendermaan Jasad Atau Mayat Orang Islam Untuk Tujuan Penyelidikan di dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-105 dengan sighah seperti berikut :
Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa pendermaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan adalah haram dan tidak dibenarkan berdasarkan hujah berikut:
1. Prinsip kemuliaan mayat dan kewajipan menghormatinya perlu diikuti sebagaimana kaedah:
الأصل في العرض التحريم
Maksudnya: Asal kepada perkara yang melibatkan maruah dan kehormatan adalah diharamkan.
Kaedah ini bersandarkan kepada sebuah hadis Nabi SAW:
وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ
Maksudnya: Darah-darah kamu, harta-harta kamu, dan kehormatan kamu di antara sesama kamu haram seperti mana haramnya hari kamu ini, bulan kamu ini, di negeri kamu ini. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
2. Kehormatan mayat merupakan suatu tuntutan dan pendermaannya adalah menceroboh prinsip penghormatan tersebut.
3. Keperluan penggunaan jasad atau mayat orang Islam untuk tujuan penyelidikan belum berada pada tahap mendesak atau dharurah kerana keperluan tersebut masih boleh dipenuhi dengan kaedah-kaedah alternatif yang ada.
Status Pewartaan : Tidak Diwartakan