Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2014-1435H yang bersidang pada 27 Ogos 2014 bersamaan 01 Zulqaedah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-95 berkenaan Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid dengan sighah seperti berikut :
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Mesyuarat berpandangan bahawa Jumhur ulama’ telah memperakukan bahawa upacara akad nikah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Bahkan ulama’ mazhab Syafie berpendapat adalah sunat dan digalakkan untuk melaksanakan akad nikah di masjid.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melakukan upacara akad nikah di masjid atau surau adalah sunat untuk mendapat keberkatan. Walaubagaimanapun, kedua-kedua pihak bagi pengantin lelaki dan perempuan yang turut menyertai upacara akad nikah tersebut hendaklah menjaga adab dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam masjid atau surau berkenaan.
Status Pewartaan : Tidak Diwartakan