Guna ayat dari bible untuk panduan hidup
Soalan:
Saya merupakan seorang pelajar tajaan yang sedang belajar di United Kingdom. Ada yang bertanya kepada saya tentang hukum seorang Muslim menggunakan ayat Bible yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam dalam kehidupan harian. Sebagai contoh, dia menggunakan sepotong ayat sekadar sebagai motivasi harian tetapi ayat tersebut jelas tidak bertentangan dengan Islam. Adakah perbuatan seperti ini dibenarkan dalam Islam?
Jawapan:
Sekiranya jelas ucapan-ucapan itu berasal daripada kitab bible atau petikan khutbah paderi Kristian sebaiknya dielakkan daripada disebarkan atau diamalkan. Bagi orang yang membaca atau menyebarkannya atas niat menyebarkan ajaran agama tersebut maka berdosa dan tergelincir akidahnya.
Seseorang itu dibolehkan membaca bible untuk tujuan penyelidikan serta memperkuatkan hujah bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah. Sekiranya terdapat kekeliruan apa yang dibaca, dapatkan nasihat daripada alim ulama bagi memastikannya. Adalah lebih baik kita tidak membaca atau mengkaji bible sekiranya kita kurang atau tidak membaca dan memahami al-quran kerana dikhuatiri kita lebih mempercayai dan mengagumi bible sedangkan kita tidak mendalami keistimewaan isi kandungan al-quran.