Harta sepencarian
Soalan:
Sekiranya seorang perempuan mempunyai pekerjaan sendiri dan membeli sebuah rumah kedua selepas berkahwin, adakah rumah itu termasuk dalam harta sepencarian suami isteri walaupun si suami tidak menyumbang dalam pembelian rumah tersebut.
Jawapan:
Perkataan harta sepencarian tidak wujud dalam kamus Arab mahupun dalam kitab fiqh Islam. Di Malaysia, pembahagian harta sepencarian merupakan amalan adat yang kemudiannya diterima pakai sebagai sebahagian daripada undang-undang keluarga Islam di Malaysia.
Tuntutan harta sepencarian adalah lebih berdasarkan kepada undang-undang adat Melayu. Oleh kerana prinsip harta sepencarian tidak berlawanan dengan kehendak Syariah Islam maka peruntukan harta sepencarian diterima sebagai sebahagian daripada Undang-Undang Islam di Malaysia.
Kadar pembahagian oleh kebanyakan Hakim bicara ialah prinsip sumbangan. Kalau sumbangan secara langsung, baik berbentuk tenaga ataupun wang ringgit maka pembahagian adalah sama banyak. Tiada ketetapan kadar tertentu bergantung kepada keputusan mahkamah dengan melihat kepada takat sumbangan pemohon.
Kedudukan rumah tersebut, sama ada ia harta sepencarian atau tidak boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.