Peristiwa Penyembelihan Dalam Sejarah Keluarga Nabi SAW
Soalan : Kenapa ibadah korban penting bagi umat Islam
Jawapan : Pensyariatan ibadah korban adalah menghayati semangat pengorbanan yang berlaku sebanyak 2 kali dalam sejarah silsilah keluarga Nabi Muhammad saw iaitu:
1. Pengorbanan yang agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim as, iaitu ketika Allah menguji Baginda supaya menyembelih anaknya Ismail as. Kemudian Allah menebusnya dengan seekor kibasy yang diturunkan Nya dan memerintahkan Baginda menyembelihnya.
2. Peristiwa di mana Abdul Mutalib bernazar akan mengorban salah seorang anaknya jikalau dia dikurniakan semuanya anak lelaki. Disebut dalam sirah Nabi saw bahawa Abdul Muttalib, datuk baginda, telah bernazar sekiranya Allah mengurniakan beliau sepuluh orang anak lelaki, maka beliau akan menyembelih salah seorang daripada mereka sebagai tanda korban kepada Allah. Peristiwa ini berlaku ketika beliau dilarang menggali telaga Zamzam kerana pada ketika itu beliau hanya ada seorang anak sahaja iaitu al-Harith.
Ditakdirkan Allah, beliau dikurniakan sepuluh orang anak lelaki iaitu al-Harith, al-Zubair, Hajal, Dharar, al-Muqawwam, Abu Lahab, al-Abbas, Hamzah, Abu Talib dan Abdullah. Bagi menunaikan nazarnya, maka undian dibuat bagi memilih siapa yang akan disembelih. Nyata Abdullah, bapa Rasulullah saw yang merupakan anak kesayangan kepada Abdul Muttalib terpilih. Maka diakhir kisah yang berlaku, Abdullah ditebus dengan seratus ekor unta.
Sehubungan dengan itu, Rasulullah saw bersabda:
أَنَا ابْنُ الذَّبِيحَيْنِ
Yang bermaksud, “Aku anak kepada dua orang yang dipilih untuk disembelih” iaitu Nabi Ismail di mana Allah memerintahkan bapanya, Nabi Ibrahim, menyembelihnya dan Abdullah sebagai mana kisah yang dinyatakan di atas.
Bahkan disebut dalam kitab Hujjatullah ‘Ala al-‘Alamin fi Mu‘jizati Sayyidil Mursalin saw, disebut Nabi saw diuji dengan kesabaran lebih tinggi daripada peristiwa penyembelihan Ismail. Di mana penyembelihan Ismail tidak berlaku tetapi ditebus dengan seekor kibasy, sedangkan Nabi Muhammad diuji dengan pembedahan dada sebanyak empat kali sebagaimana yang dipetik daripada al-Sirah al-Nabawiyyah al-Muhammadiyyah oleh al-Sayyid Soleh Muhammad al-Ja‘far al-Sadiqiy al-Husainiy
Setengah daripada keistimewaan Baginda s.a.w. yang tidak dapat diatasi oleh seorang pun Nabi-nabi yang lain ialah pembedahan dadanya yang mulia sebanyak 4 kali, yang demikian menunjukkan Allah s.w.t. telah menjaga urusannya pada permulaan dan akhir.
1. Pertama dada Baginda s.a.w. dibedah di perkampungan Bani Saad ketika berada di rumah Halimatun Saadiah kerana Nabi Muhammad akan menghadapi masa kanak-kanak yang mana hatinya yang mulia itu dibersihkan oleh Allah Ta’ala supaya jadilah Baginda terpelihara dari gangguan syaitan dan tentera-tenteranya yang jahat.
2. Yang kedua Baginda s.a.w. dibedah ialah ketika sampai umurnya ke peringkat baligh, kerana baginda akan menempuh menjadi seorang lelaki dewasa kerana hati baginda di waktu itu dipenuhi dengan sifat kesempurnaan, tetap, teguh, kebesaran dan cahaya yang menerangi sekitar hidupnya. Dan baginda s.a.w. ketika berada di zaman Jahiliah mendapat cahaya yang diilhamkan oleh Allah Ta’ala dengan berjalan di atas jalan yang bertepatan dengan syariat Muhammadiah iaitu suka kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan dan Baginda s.a.w. semasa bersunyi-sunyi dengan bermunajat kepada Tuhannya. Sesungguhnya dalam bersunyi-sunyi di dalam Gua Hira’ itu Baginda s.a.w. sentiasa penuh dalam keadaan menyaksikan di atas kebesaran Allah, sentiasa berdoa dan sentiasa bermunajat kepada Allah.
3. Kali yang ketiga Allah Ta’ala membedah dada Baginda s.a.w. setelah sempurna umurnya empat puluh tahun, kerana yang demikian untuk bersedia menerima tuntutan wahyu Allah Ta’ala memilihnya di antara makhluknya. Supaya tetaplah Baginda s.a.w. menerima Al-Quran yang kalau diturunkan al-Quran di atas gunung nescaya hancurlah kerana kehebatannya. Dan adalah Rasulullah s.a.w. tetap dan teguh daripada gunung yang kuat dan lebih kuat daripada malaikat, lantaran Allah sendiri yang menguatkan dan meneguhkannya.
4. Kali keempat dada Baginda s.a.w. dibedah oleh Allah Ta’ala pada malam Israk dan Mikraj ke langit yang tinggi dan Allah memenuhkan hati Baginda s.a.w. dengan ilmu, hikmat, iman dan yakin supaya Baginda s.a.w. bersedia untuk melihat dan berjumpa dengan Allah s.w.t.
Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan ayat dengan firmannya dalam surah al-Syarh ayat 1 yang bermaksud :
“(Tidakkah kami telah melapangkan dadamu)”.
Yang demikian itu adalah sebagai kurniaan nikmat yang besar ke atas Baginda s.a.w. mengangkat sebutan ke atasnya, yang mana tidak disebut nama Allah s.w.t. melainkan nama Muhammad s.a.w. disebut bersama.