Soalan:
Saya mahu bertanya tentang rujuk. Saya baru saja bercerai dengan suami saya bulan lepas. Bulan ni suami ada menghantar whatsapp seperti ini “Dalam fikiran saya, mau merujuk kamu dalam tempoh iddah ini.” Adakah sah rujuk ini walaupun hanya melalui whatsapp tanpa lafaz sorih?
Whatsapp ini ditaip tanpa melafaz terlebih dahulu dan ditaip selepas ibu suami iaitu ibu mertua saya yang menyuruh suami untuk menyatakan hasrat untuk rujuk, suami kata bukan dengan kehendak sendiri tetapi memenuhi kehendak ibunya.
Pada pendapat tuan, adakah lafaz rujuk ini sah?
Jawapan:
Sebelum saya menjawab soalan puan, saya hendak menerangkan sedikit mengenai lafaz sorih dan kinayah. Telah dibahaskan lafaz sorih dan kinayah ini didalam dalam bab talak.
Lafaz sorih itu ialah ucapan yang zahirnya tidak mengandungi sebarang kemungkinan selain talak tanpa perlu kepada niat untuk menjatuhkan talak.
Lafaz kinayah ialah ucapan yang boleh membawa maksud talak atau maksud lain, tetapi hanya dengan niat talak maka jatuh talak.
Lafaz sorih dan kinayah yang dibahaskan dalam bab talak adalah sama perbahasannya dalam bab rujuk.
Disebutkan di dalam Mughni Al Muhtaj (5 / 5) :
«وَالَّذِي جَرَى عَلَيْهِ الْجُمْهُورُ أَنَّهَا لَا تَصِحُّ إِلَّا بِاللَّفْظِ مِنَ الْقَادِرِ»
Terjemahan : “Dan pendapat yang dipegang oleh jumhur ialah bahawa (talak itu) tidak sah kecuali dengan lafaz daripada orang yang mampu (melafazkannya).”
Turut disebutkan juga di dalam Al Fiqh Al Islami Wa Adilatuhu (9/ 6991):
شرط ما تحصل به الرجعة: تحصل الرجعة من ناطق عند الشافعية بالقول فقط سواء أكان صريحاً أم كناية
Terjemahan: Disyaratkan bagi sesuatu yang dengannya berlaku rujuk : Berlaku rujuk bagi orang yang boleh bercakap menurut mazhab Al Syafie dengan ucapan sahaja, sama ada dengan lafaz yang jelas (sorih) ataupun sindiran (kinayah).
Maka jelaslah bahawa rujuk melalui aplikasi Whatsapp tidak sah rujuknya kerana rujuk mestilah dengan lafaz bagi yang mampu bercakap adapun yang tidak mampu bercakap hendaklah dengan isyarat yang boleh difahami oleh keduanya pasangan itu.
Kesimpulannya:
Rujuk dengan menggunakan Aplikasi Whatsapp adalah tidak sah dalam mazhab Al Syafie. Rujuk hanya berlaku dengan menggunakan lafaz sahaja sama ada sorih atau kinayah.Pihak puan diminta merujuk perkara ini kepada Pejabat Agama Islam Daerah berdekatan.




Users Today : 53
Users Yesterday : 71
Users Last 30 days : 7041
Users This Month : 5136
Users This Year : 5136