Solat bagi pelaut yang tinggal atas kapal selama 6 bulan
Soalan:
Seorang pelaut yang tinggal atas kapal selama 6 bulan. Kapal tersebut tidak tinggal di satu tempat. Malah belayar dari semasa ke semasa dan dari satu tempat ke destinasi yang melebihi dua marhalah.
Adakah kapal dikira tempat tinggal dalam konteks ini atau kenderaan yang membolehkan pelaut melakukan jamak dan qasar sepanjang 6 bulan di atas kapal.
Jawapan:
Sepanjang tempoh perjalanan di atas kapal, seseorang boleh melakukan solat secara jamak dan qasar.
Manakala apabila sampai ke destinasi maka hukum jamak dan qasar adalah tertakluk kepada status seseorang itu, sama ada dikira bermukim atau bermusafir.
Menurut Mazhab Syafie, sekiranya seseorang berniat untuk menetap di satu-satu tempat selama empat hari empat malam, maka dia dikira bermukim di tempat tersebut, dan terhentilah segala hukum-hakam musafir. Dengan itu, dia tidak lagi boleh mengambil rukhsah jamak dan qasar solat.
Sekiranya tempoh berada di pelabuhan adalah dua minggu, maka dia sudah dikira melebihi tempoh musafir dan tidak lagi berhak mengambil rukhsah jamak dan qasar menurut Mazhab Syafie.
Tetapi sekiranya tempoh perhentian di sana adalah kurang daripada empat hari empat malam, dia masih boleh mengambil ruhksah untuk melakukan jamak dan qasar.