Wasiat/hibah/faraid
Soalan:
- Saya kurang faham berkenaan dengan wasiat, di mana wasiat adalah pemberian harta simati kepada bukan waris…mohon jelaskan tuan.
- Saya mempunyai seorang anak perempuan dan saya berwasiat untuk menghibahkan rumah milik saya kepada anak saya, apakah tindakan ini perlu mengikut hukum faraid.
- Saya juga turut berwasiat mengagihkan harta alih kepada isteri dan anak perempuan saya..adakah akan berlaku tuntutan mengikut hukum faraid. Ini kerana saya mempunyai saudara kandung lelaki.
Jawapan:
Sebelum menjawab persoalan eloklah difahami perbezaan ketiga-tiga istilah tersebut.
- Wasiat adalah iqrar, seseorang yang dibuat pada masa hayatnya mengenai hartanya atau manfaat hartanya, untuk disempurnakan bagi maksud khairat atau apa-apa maksud lain yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati. Wasiat digunakan untuk pembahagian harta kepada bukan waris dan terhad kepada 1/3 daripada harta pusaka.
- Faraid adalah pembahagian harta yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui surah An-Nisa (4), ayat 11, 12 dan 176. Faraid pula, pembahagiannya khusus untuk waris sahaja.
- Hibah adalah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan.
Soalan 1:
Saya kurang faham berkenaan dengan wasiat, di mana wasiat adalah pemberian harta simati kepada bukan waris…mohon jelaskan tuan.
Jawapan 1:
Wasiat adalah iqrar, seseorang yang dibuat pada masa hayatnya mengenai hartanya atau manfaat hartanya, untuk disempurnakan bagi maksud khairat atau apa-apa maksud lain yang dibenarkan menurut Hukum Syarak, selepas dia mati.
Bukan waris bermaksud golongan yang tidak mempunyai hak mewarisi harta pusaka menurut Hukum Syarak (bukan dalam senarai penerima faraid); kadar yang dibenarkan untuk wasiat tidak melebihi 1/3 daripada hartanya. Wasiat yang dibuat oleh seseorang hanya berkuat kuasa selepas kematian pewasiat
Soalan 2:
Saya mempunyai seorang anak perempuan dan saya berwasiat untuk menghibahkan rumah milik saya kepada anak saya, apakah tindakan ini perlu mengikut hukum faraid.
Jawapan 2:
Hibah dan wasiat adalah 2 perkara berbeza, hibah adalah satu pemberian milik secara sukarela semasa hidup pemilik harta kepada seseorang tanpa balasan. Wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat.
Harus bagi tuan menghibahkan rumah tersebut kepada anak perempuan dan hibah itu sah jika pemilikan dilakukan semasa tuan masih hidup dan dalam keadaan sihat.
Soalan 3:
Saya juga turut berwasiat mengagihkan harta alih kepada isteri dan anak perempuan saya..adakah akan berlaku tuntutan mengikut hukum faraid. Ini kerana saya mempunyai saudara kandung lelaki.
Jawapan 3:
Niat atau perbuatan mengelak daripada melaksanakan faraid dalam pembahagian harta pusaka dengan melakukan helah tertentu seperti menghibahkan keseluruhan harta semasa hidup kepada waris tertentu merupakan perbuatan yang dibenci oleh Islam. Tidak harus berwasiat kepada waris kecuali dengan persetujuan waris yang lain.