Mencari Lailatul Qadr
Ulamak berselisih pendapat tentang bilakah berlakunya Lailatul Qadr. Di dalam Kitab Fath al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari menyebutkan ada 46 pendapat ulamak berhubung bilakah berlakunya Lailatul Qadr. Ada yang menyatakan ianya berlaku setiap 7 tahun sekali sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muhammad bin al-Hanifah, ada yang menyatakan ianya berlaku pada setiap bulan, ada yang menyatakan ianya berlaku pada awal Ramadhan, sebahagian lagi mengatakan ianya berlaku pada setengah bulan Ramadhan yang kedua, ada mengatakan ianya berlaku pada malam ke-17 Ramadhan dan jumhur mengatakan ianya berlaku pada 10 malam yang terakhir bulan Ramadhan.
Imam Syafie mengatakan Lailatul Qadr itu terkandung dalam 10 hari yang terakhir Ramadhan pada malam yang ganjil iaitu malam ke 21 dan malam ke 23.
Formula Ulamak Tafsir Yang Semasa,
Lailatul Qadr berlaku pada malam ke 27 Ramadhan. Hal ini berdasarkan kepada 2 perkara dalam Surah al-Qadr iaitu:
i Allah mengulang-ulangkan perkataan لَيْلَةُ القَدْرِ ( ) pada 3 tempat dan perkataan ( لَيْلَةُ القَدْرِ ) terdapat 9 huruf. Sehubungan dengan itu 3 x 9 = 27.
ii Surah al-Qadr mengandungi 30 patah perkataan. Perkataan هِيَ pada ayat yang terakhir surah ini berada di kedudukan yang ke 27.
Formula Imam Ghazali,
Malam Lailatul Qadr ditentukan berdasarkan bilakah hari awal Ramadhan itu jatuh.
Bil 1 Ramadhan Lailatul Qadr
1 Isnin Mlm 21 Ramadhan
2 Sabtu Mlm 23 Ramadhan
3 Khamis Mlm 25 Ramadhan
4 Selasa/Jumaat Mlm 27 Ramadhan
5 Ahad/Rabu Mlm 29 Ramadhan
Justeru, al-Syeikh Yusuf Khattar Muhammad menyatakan hikmah tidak ditentukan Lailatul Qadr secara yakin adalah supaya kita sentiasa melakukan ibadah kepada Allah pada setiap malam dalam bulan Ramadhan khususnya pada 10 malam yang terakhir. Sabda Nabi S.A.W,
فَالتَـمِسُوهَا فِى العَشْرِ الأَوَاخِرِ فِى الوِتْرِ
Yang bermaksud, Maka kamu carilah ia (Lailatul Qadr) pada 10 malam terakhir (bulan Ramadhan) iaitu pada malam yang ganjil.
Rujukan
Al-Nafahat al-Nuraniyah fi Fadhail al-Ayyam wa al-Layali wa al-Syuhur al-Qomariyah, al-Syeikh Yusuf Khattar Muhammad, Matba’ah Nadhr, 2001, bab Lailatul Qadr hlmn 201.
Fath al-Bari bi Syarh Sohih al-Bukhari, al-Hafiz Ahmad bin Ali bin hajar al-Asqolani, Dar al-Fikr, 1996, Kitab Fadl Lailatul Qadr, Jld 4, 786