TAREKAT YANG DITOLAK PENDAFTARANNYA- ‘TAREKAT KHIDIRIAH’
1. Nama Tarekat: Tarekat Khidiriyah
2. Syeikh: Shamsudin bin Abdul Rahman
3. No. I/C: 590415-05-5111
4. Kelayakan: SPM
5. Alamat: 1273, Jln Cengal 1, Tmn Ampangan Paroi, 70400Seremban
6. Pusat Pengamalan: No. 1435, Persiaran Semarak 4 Fasa 7, Tmn Panchor Jaya, 70400 Seremban.
§ Permohonan dipanjangkan kpd AJK Fatwa dalam Mesyuarat JK Fawta bil. 1/1430 pada 30hb Jun 2009.
§ Dibincangkan dalam persidangan Anggota Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah NS pada 23hb Januari 2010.
§ Kertas Syor daripada Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah telah dibentangkan dalam Mesyuarat JK Fatwa bil. 1/1431, 24hb Februari 2010 dan diputuskan ditolak permohonan pendaftarannya.
PERMOHONAN PENDAFTARAN
TAREKAT KHIDIRIYAH
1. TUJUAN
1.1 Kertas syor ini dikemukakan kepada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan untuk mendapatkan keputusan berhubung dengan permohonan pendaftaran ‘Tarekat Khidiriyah’ untuk diamalkan di Negeri Sembilan Darul Khusus di bawah peruntukan seksyen 9, Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005
2. LATARBELAKANG
2.1 Syeikh bagi tarekat ini telah memohon untuk mendaftarkan tarekat ini bagi diamalkan di Negeri Sembilan berdasarkan kehendak seksyen 9, Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 pada 18hb Mac 2008.
2.2 Bahagian Penyelidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan juga telah menerima aduan berhubung dengan kegiatan kumpulan tarekat ini yang meragukan daripada beberapa orang awam.
2.3 Permohonan tarekat ini telah dipanjangkan kepada Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 30hb Jun 2009 dan keputusan persidangan tersebut agar perkara ini dipanjangkan kepada Anggota Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah Negeri untuk kajian dan syor.
2.4 Sehubungan dengan keputusan berkenaan, pada 22hb – 24hb Januari 2010, satu persidangan Anggota Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah telah diadakan bagi membincangkan perkara berkenaan bertempat di Klana Resort, Seremban, Negeri Sembilan.
3. HASIL SOAL SELIDIK DAN REPRESENTASI TAREKAT KHIDIRIYAH
3.1 Ahli Tarekat Khidiriyah yang hadir ;
3.1.1 Shamsudin Abdul Rahman – Syeikh
3.1.2 Taha bin Kadir – Ahli
3.1.3 Mohd Sharif Othman – Ahli
3.1.4 Amran Othman – Ahli
3.1.5 Ahmad bin Ab. Rahman – Ahli
3.2 Syeikh mendakwa menerima ajaran ini terus daripada ‘Nabi Khidir’ melalui mimpi.
3.3 Cara penerimaan adalah seperti :
3.3.1 Bermimpi melihat cahaya putih kemudian timbul satu wajah seorang lelaki tua berserban dan berjanggut putih yang panjang hingga ke dada.
3.3.2 Gambaran wajah berkenaan kemudian menghilang dan hanya kedengaran satu suara yang memberi arahan dan ajaran yang didakwa ayat-ayat jalan ketuhanan.
3.4 Beliau mengalami mimpi tersebut ketika berumur 28 tahun pada tahun 1987 di Taman Bukti, Seremban dan perkara ini berlanjutan selama hampir 2 tahun. Mimpi tersebut masih berlanjutan sehingga sekarang tetapi pada skala kekerapan yang rendah.
3.5 Beliau berkeyakinan bahawa orang yang ditemui dalam mimpi berkenaan adalah ‘Nabi Khidir’. Pada permulaannya beliau tidak mengenali orang yang datang dalam mimpinya. Namun setelah bertanya, orang itu menjawab bahawa beliau adalah ‘Nabi Khidir’.
3.6 Keyakinan beliau ini dikukuhkan lagi dengan ‘nas’ yang kononnya diterima daripada ‘Nabi Khidir’ (Lampiran A).
3.7 Kononnya ‘Nabi Khidir’ memerintah alam selama 10,800 tahun, bermula tahun 1400 hijrah. Di dalam generasinya ini akan berlaku 81 kali bala disebabkan oleh angin. Ada tiga pernigkat ilmu, iaitu Atas, Tengah dan Bawah. Atas ialah hati tenang, mulut dan hati jadikan satu. Tengah ialah duduk di satu tampat berzikir. Bawah baca dan nyanyi. Perbezaan ketiga-tiga itu ialah Atas boleh terus ke Arasy jauh dari bintang sampai ke peringkat nabi. Tengah ialah sampaikan kepada orang lain, iaitu mengajar dan Bawah sampai ke neraka memberi tahu roh-roh di dalam neraka supaya mendengar ia membaca dan menyanyi.
3.8 Beliau mengakui tidak ada merujuk tentang peristiwa mimpi berkenaan dengan mana-mana ulama yang muktabar pada masa tersebut kecuali seorang lelaki yang didakwa bernama Lebai Abd. Rahman (Allahyarham) di Kg. Talang, Kuala Pilah.
3.9 Di dalam mimpi tersebut, beliau mendakwa menerima ajaran agar disampaikan kepada seluruh umat manusia.
3.10 Setiap ajaran yang diterima tersebut dicatatkan di dalam sebuah buku dan beliau mengakui bahawa beliau seperti diberi kekuatan untuk mengingati setiap ajaran yang diterima di dalam mimpi tersebut.
3.11 Beliau merasakan bahawa ajaran berkenaan adalah logik dan diterima oleh akal kerana manusia tidak mampu untuk mencipta ajaran berkenaan yang memerintahkan manusia agar berbuat kebaikan.
3.12 Ini dikuatkan lagi dengan kepercayaan beliau bahawa syaitan hanya akan menyuruh manusia untuk berbuat kejahatan.
3.13 Ajaran yang diterima itu dibukukan dan diberi namaKesedaran Yang Mulia.
3.14 Ajaran ini dinisbahkan kepada ‘Nabi Khidir’ setelah mendapat kebenaran daripada ‘Nabi Khidir’ sendiri hanya bertujuan untuk didaftarkan di bawah peruntukan Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 sedangkan ajaran ini adalah merupakan Ajaran Jalan Ketuhanan.
3.15 Beliau mendakwa bahawa perbualan beliau dengan ‘Nabi Khidir’ berlangsung dalam Bahasa Melayu.
3.16 Beliau sendiri mengaku tidak mahir membaca al-Quran dan tidak mempunyai pengetahuan agama Islam yang mendalam tetapi sekadar pengetahuan asas agama seperti orang awam setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
3.17 Cara zikir khusus yang diamalkan di dalam ajaran ini ialah dimulakan dengan membaca al-Fatihah, nafas ditarik melalui hidung dan membesarkan perut kemudian menyebut kalimah Allah seberapa banyak dan selepas itu melepaskan nafas melalui mulut sambil mengempiskan perut. Cara ini dilakukan di dalam keadaan duduk bersila. Sewaktu mengamalkan zikir ini seseorang itu akan melihat cahaya berwarna warni sehingga bertukar menjadi cahaya putih untuk seseorang itu sampai ke langit ( ‘Arash).
3.18 Beliau juga mendakwa ilmu yang diterima daripada ‘Nabi Khidir’ merupakan ilmu Laduni.
3.19 Beliau mengaku bahawa seringkali mendengar dakwaan ramai orang bertemu dengan ‘Nabi Khidir’ di dalam mimpi. Perkara ini telah ditanya kepada ‘Nabi Khidir’ dan jawapan yang diberi ialah kerana ‘Nabi Khidir’ mempunyai 32 wajah.
3.20 Beliau mendakwa tidak pernah melakukan apa-apa amalan untuk bertemu dengan ‘Nabi Khidir’ dan pertemuannya dengan ‘Nabi Khidir’ di alam mimpi adalah secara yang tidak dirancang.
3.21 Beliau mempunyai keyakinan tentang kebenaran mimpi-mimpinya itu kerana cahaya yang dilihat berwarna putih dan sekiranya cahaya itu berwarna merah ia adalah syaitan.
4. ASAS PERTIMBANGAN
4.1 SYEIKH
4.1.1 Pelantikan
4.1.1.1 Perlantikan sebagai syeikh kumpulan ini
adalah berlawanan dengan kaedah-kaedah tarekat yang telah disepakati oleh ulama tasawuf kerana beliau semata-mata mendapat pelantikan menerusi mimpi.
4.1.1.2 Kaedah mendapat pelantikan menerusi mimpi adalah berlawanan dengan kaedah sufiyyah.
4.1.2 Pendidikan
4.1.2.1 Beliau mempunyai latarbelakang pendidikan agama Islam yang lemah kerana pendidikan yang dimiliki hanya setakat SPM. Beliau sendiri juga mengaku tidak pandai membaca al-Quran.
4.1.2.2 Hasil pengamatan anggota Jilsah, beliau didapati tidak peka dengan budaya membaca kitab-kitab agama dan tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi sebagai seorang syeikh tarekat.
4.1.3 Pengalaman
4.1.3.1 Tidak pernah memiliki pengalaman dalam pendidikan kerohanian dan tidak ada hubungan dengan tokoh kerohanian yang membimbingnya dalam bidang tersebut.
4.2 SILSILAH
4.2.1 Tidak mempunyai silsilah untuk dinilai menurut disiplin ilmu tarekat tasawuf.
4.3 AMALAN DAN BENTUK AMALAN
4.3.1 Zikir yang dikemukakan dalam borang permohonan pendaftaran tarekat tasawuf yang diterima tidak bercanggah dengan ajaran Islam kecuali ia mempunyai beberapa kesalahan ejaan.
4.3.2 Zikir umum (hasanah) yang dikemukakan adalah merupakan zikir umum yang tidak mewakili tarekat yang ingin didaftarkan.
4.3.3 Beberapa zikir khusus yang dikemukakan dalam dokumen tidak boleh diperakukan sebagai zikir tarekat kerana tidak mempunyai rantaian silsilah.
4.3.4 Pengalaman yang dilalui semasa mengamalkan zikir khusus ini sangat diragukan seperti nampak cahaya berwarna-warni yang akhirnya naik ke langit.
4.4 PUSAT PENGAMALAN
Berdasarkan kenyataan yang diterima pusat pengamalan adalah seperti yang dinyatakan dalam borang TT1 iaitu di No. 1435, Persiaran Semarak 4 Fasa 7, Taman Panchor Jaya, 70400 Seremban.
4.5 BUKU/RISALAH
4.5.1 Dokumen yang dikemukakan hanya ada 2, iaitu dokumen yang berkaitan dengan pengamalan ‘Tarekat Khidiriyah’ dan bukuKesedaran Yang Mulia. Kedua-dua dokumen berkenaan didakwa telah diterima daripada ‘Nabi Khidir’ secara mimpi dan kedua-duanya mempunyai unsur-unsur yang sangat meragukan.
4.5.2 Di samping itu, kumpulan ini masih mempunyai banyak bahan rujukan lain yang didakwa telah diterima daripada ‘Nabi Khidir’ (yang tidak dikemukakan kepada anggota Jilsah) dan sebahagian besarnya masih dalam bentuk manuskrip.
4.5.3 Buku-buku tersebut diakui oleh mereka menjadi sumber rujukan kumpulan ini. Pengamatan anggota Jilsah mendapati mereka enggan bertolak ansur dari segi bahan rujukan ini.
4.5.4 Semua ilmu yang didakwa telah diterima daripada ‘Nabi Khidir’ secara mimpi ini diterima dalam bahasa Melayu.
5. KEPUTUSAN PERSIDANGAN ANGGOTA JILSAH AL-TURUQ AL-SUFIYYAH KALI 1/1431H
5.1 Ajaran kumpulan ini bukanlah satu ilmu atau amalan tarekat kerana tidak memenuhi pensyaratan sebuah tarekat.
6. SYOR
6.1 Berdasarkan permohonan pendaftaran ‘Tarekat Khidiriyah’ di bawah seksyen 9 Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005, anggota Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah yang bersidang pada 22hb-24hb Januari 2010 mengesyorkan Jawatankuasa Fatwa Negeri:
6.1.1 Menolak permohanan pendaftaran ajaran kumpulan ini sebagai ajaran tarekat yang sah di bawah bidang kuasa yang diperuntukan di bawah sub-seksyen 10 (1), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 kerana sebab-sebab seperti yang dijelaskan sebelum ini.
6.1.2 Memanjangkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri tentang perkara ini kepada Pengarah JHEAINS untuk tindakan lanjut di bawah seksyen 52, Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 di bawah peruntukan ajaran meragukan.
Disediakan oleh,
Syaiful Nizam bin Md Jan
Pendaftar
Tarekat Tasawuf
Negeri Sembilan Darul Khusus
24hb Januari 2010
Diperakukan oleh,
Dato’ Hj. Mohd Yusof bin Hj. Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri
Merangkap
Pengerusi Anggota Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah
24hb Januari 2010
KEPUTUSAN
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa 1/1431
Pada 10 Rabiulawwal 14310H
bersamaan 24hb Februari 2010
بسم الله الرحمن الرحيم
Saya bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus, dengan ini membuat dan mengeluarkan keputusan berikut:
1. Permohonan pendaftaran ‘Tarekat Khidiriyah’ adalahDITOLAK oleh Jawatankuasa Fatwa sebagaimana kuasa yang diperuntukkan di bawah sub-seksyen 10 (1), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.
2. Sehubungan dengan itu, tiada seorangpun boleh menjadi ahli tarekat ini atau mengamalkan tarekat tersebut sebagaimana sub-seksyen 7(1) dan sub-seksyen 7(2), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.
DATO’ HJ. MOHD YUSOF BIN HJ. AHMAD
Mufti Kerajaan Negeri,
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tarikh: 12hb Januari 2011
JMKNNS.BTT.070-2/3 ( 18 )