warna telekung, menegur ibubapa
Saya Wahizan binti Saharom ingin bertanya
- Adakah salah memakai telekung selain warna putih dan adakah memakai telekung warna lain menyerupai agama lain?
- Adakah saya berdosa hanya kerana saya menjawab teguran ayah saya kerana saya hendak mempertahankan diri walaupun saya hanya bercakap setelah ayah saya habis berbicara dan saya berbicara dgn lembut?
- Bolehkah seorang anak menegur kesilapan ayahnya walaupun ayahnya tidak suka anaknya menegur kerana ayahnya menyangka dirinya saja yang benar?
Jawapan:
- Syarat sah solat ialah menutup aurat dan suci. Selagi pakaian itu menutup aurat maka sahlah solat itu. Maka hendaklah dipenuhi kriteria yang dikatakan menutup aurat sebab ada yang menutup aurat tetapi tidak kena, sebab ketat atau jarang, tidak menarik perhatian orang memandang dan sebagainya.
- Menjawab teguran ibubapa untuk menjelaskan keadaan sebenar dan secara lemah lembut dan berhikmah tidaklah menjadi kesalahan.
- Jika saudari tidak mampu untuk menegur bapa gunakan orang tengah atau orang lain yang rapat dengannya, seperti saudaranya yang dipercayai, ayah (tok wan) dan ibu (nenek) mereka, sahabat mereka dan sesiapa sahaja yang rapat dengan mereka. Selalunya mereka akan mudah menerima teguran dari orang yang dipercayai atau dihormati oleh mereka. Malah mereka akan akur dengan segala teguran orang tersebut.
Anak tidak boleh mengecilkan hati kedua ibu bapanya. Ada juga ibu bapa yang langsung tidak boleh terima teguran anak, sahabat, saudaranya, teman-temannya dan sesiapa sahaja. Ini sangat susah dan perlu mempunyai strategi yang baik menurut kemampuan anak tersebut. Selalunya teguran dari anak akan kesalahan ibu bapa tersebut, mereka akan mengatakan bahawa anak tersebut derhaka dan masuk ke neraka. Anak tersebut tidak berdosa dan tidak derhaka dan cuma menjalankan kewajipan sebagai seorang anak yang soleh dan solehah.
Anak boleh menegur dengan cara yang baik dan berhikmah supaya anak tersebut dapat memelihara ibu bapanya dari seksaan api neraka Allah. Jangan takut kepada segala kesulitan yang akan dihadapi, takutlah kepada Allah yang sentiasa memerhatikan perbuatan dan percakapan kita. Jadi seorang anak yang soleh dan solehah dan sentiasa mendoakan kebaikkan kepada kedua ibu bapanya.