Duit nombor ekor
Soalan:
Apakah hukum seseorang ni dia main nombor ekor, dan menang duit tu dia buat untuk baiki kereta. Lepas tu dengan menggunakan kereta tersebut dia membeli makanan, dan makanan tu dia guna duit halal. Apakah hukum memakan makanan tersebut. Adakah halal atau sebaliknya.
Jawapan:
Persoalan ini adalah berkaitan 2 sumber kewangan, sumber wang halal dan sumber wang haram.
Bermain nombor ekor adalah salah satu bentuk perjudian. Ianya haram disisi agama.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Maa’idah : ayat 90)
Wang daripada sumber haram jika digunakan untuk apa sahaja tujuan, tetap haram. Duit haram itu adalah haram digunakan dan untuk dimanfaatkannya, membaiki kereta dengan duit haram itu bermakna, telah memanfaatkan dan menggunakan duit haram.
Manakala makanan yang dibeli dengan sumber duit yang halal adalah halal untuk dimakan.
Kedua-dua sumber wang yang dinyatakan telah jelas; wang judi itu haram maka haram untuk digunakan, wang halal itu halal untuk digunakan dan dimanfaatkan.
Berhati-hati dalam setiap tindakan yang ingin dilakukan kerana perkara yang haram akan tetap menjadi haram, walaupun matlamatnya adalah untuk kebaikkan. Matlamat tidak menghalalkan cara.