Anak angkat, mahram
Soalan:
Dalam surat beranak dan kad pengenalan dinyatakan AZURA BINTI AHMAD. Mengikut hukum Islam, haram ber”bin” atau ber”binti” kepada bapa angkat. Apakah prosedur atau kepada siapa perlu dirujuk untuk menukar semula kepada AZURA BINTI LOKMAN ?
Jawapan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan tentang Menggabungkan Nama Anak angkat Dengan Bapa Angkat Dalam Sijil Pengangkatan Dan Kad Pengenalan. Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan kepada bapa angkatnya.
Untuk menukarkan semula binti kepada bapa kandung sila rujuk ke Jabatan Pendaftaran Negara.
Soalan:
Setiap kali pulang ke kampung dan mengunjungi Ahmad, Kamaruzaman akan bersalam dengan Halimah. Adakah haram Kamaruzaman bersalam dengan Halimah kerana Halimah bukan ibu mertua sebenar kepada Kamaruzaman ?
Jawapan:
Keadaan sebenarnya Halimah (ibu mertua angkat) adalah isteri kepada bapa saudara Azura (Ahmad). Ibu mertua angkat/isteri kepada bapa saudara isteri tidak termasuk dalam senarai mahram muabbad (yakni orang-orang yang haram dikahwini oleh seorang lelaki buat selamanya). Oleh itu, statusnya sama seperti wanita ajnabi yang lain iaitu tidak boleh bersentuhan dengannya (termasuk bersalaman), berdua-duaannya dengannya, melihat auratnya dan menemaninya untuk bermusafir.