Ayam ternakan makan di rumah jiran
Soalan:
Anak saya ada membeli dan memelihara ayam sebanyak 8 ekor. Tetapi reban ayamnya telah rosak. Dia telah melepas kesemua ayamnya. Ayamnya telah berkeliaran ke rumah jiran dan mencari makanan di rumah jiran. Jiran itu telah menangkap ayamnya serta memelihara ayam itu dengan memberi makan.
Apabila anak saya pergi menuntut ayamnya kembali jiran itu tidak memberinya dengan alasan mereka telah memelihara dan memberi makan ayam itu. Walaupun ingin diberi bayaran ke atas mereka tetap juga mereka tak mahu serah. Jadi apakah hukum pada anak saya dan jiran itu.
Jawapan:
Pada asalnya hukum memakan harta orang lain tanpa izin adalah dilarang.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:
Jangan lah kamu memakan harta sesama kamu dengan cara yang salah.
Bagi haiwan, tidak mampu berfikir seperti manusia dan tidak menghiraukan dari mana sumber makanannya. Oleh itu tuan punya haiwan yang bertanggungjawab memastikan sumber makanan haiwan tersebut dan tidak dibiarkan bebas makan di kawasan larangan, kalau sudah makan, berbincanglah dengan jiran supaya diselesaikan dengan mudah. Tindakan melepaskan ayam bebas merayau adalah tidak harus kerana ayam telah makan di rumah jiran tanpa izin. Maka daging ayam atau hasil jualannya adalah tidak harus dimakan.
Jiran tetap tidak boleh bela dan makan daging ayam tersebut tanpa izin tuannya. Kerana perbuatan itu juga termasuk dalam memakan harta orang lain secara tidak benar. Jiran sepatutnya menghalau ayam itu ke rumah tuannya dan tidak berhak makan daging ayam dan mengambil manfaat seperti menyembelih atau menjualnya.
Rasulullah s.a.w bersabda:
Yang bermaksud, Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas. Namun diantara keduanya ada perkara syubhat (samar) yang tidak diketahui oleh banyak orang. Maka barangsiapa yang menjauhi diri dari yang syubhat berarti telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang sampai jatuh (mengerjakan) pada perkara-perkara syubhat, sungguh dia seperti seorang penggembala yang menggembalakan ternaknya di pinggir jurang yang dikhawatirkan akan jatuh ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki batasan, dan ketahuilah bahwa batasan larangan Allah di bumi-Nya adalah apa-apa yang diharamkan-Nya. Dan ketahuilah pada setiap tubuh ada segumpal darah yang apabila baik maka baiklah tubuh tersebut dan apabila rusak maka rusaklah tubuh tersebut. Ketahuilah, ia adalah hati”.